About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Friday, June 19, 2009

Pagar tinggi elak penyeludupan - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 18 Jun - Pembinaan pagar tinggi dengan kawat berduri di sempadan Malaysia-Thailand adalah satu pelaburan yang baik kerana Kastam Diraja Malaysia boleh mengutip lebih banyak cukai import berbanding kos pembinaan pagar itu, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini.

Katanya, walaupun Malaysia perlu mengekalkan kawalan sempadan bagi mengawal jalan sepanjang pagar di sebelah Malaysia, kos bagi kawalan sempadan boleh ditampung melalui pendapatan tambahan daripada barangan bercukai yang jika tidak dilaksanakan usaha sedemikian, ia mungkin akan diseludup.

Dr. Mahathir berkata, beliau memutuskan bahawa Malaysia perlu membina pagar yang tinggi di kawasan yang bersempadan dengan Thailand semasa menjadi Perdana Menteri berikutan banyak kegiatan penyeludupan berlaku dan para penyeludup telah membina stor yang besar bagi menyimpan kontraban di sebelah kawasan Thailand.

"Walaupun terdapat kawalan di sempadan tetapi entah macam mana mereka tidak dapat menghentikan kegiatan penyeludupan. Jadi pagar yang tinggi dengan kawat berduri mungkin dapat mencegah lori penyeludup daripada menyeberang," kata Dr. Mahathir pada Kongres Juru Ukur Antarabangsa ke-11 di sini.

Dr. Mahathir berkata, beliau kemudian memutuskan bahawa pagar itu dibina di dalam kawasan Malaysia kira-kira dua meter dari sempadan bagi membolehkan pasukan peronda sempadan memeriksa pagar dan batu sempadan dari luar dan jika mereka perlu menangkap para penyeludup, ia akan dilakukan di dalam kawasan Malaysia. - BERNAMA

Dr. Mahathir juga berkata, antara perkara pertama yang diselesaikan dengan (bekas Perdana Menteri Singapura) Lee Kuan Yew semasa bertemu dengannya (Lee) selepas beliau (Dr. Mahathir) menjadi perdana menteri adalah mengenai sempadan antara Malaysia dan Singapura di Selat Tebrau.

"Ia dipersetujui bahawa parit paling dalam di selat itu dijadikan sebagai sempadan maritim dan sebaik diukur dan ditanda ia perlu dianggap sebagai sempadan kekal.

"Kerja-kerja tebus guna mungkin menyebabkan kawasan paling dalam berganjak tetapi sempadan tetap kekal. Kawasan itu sebenarnya merupakan pertengahan jalan antara Singapura dan Malaysia. Ia juga dianggap sebagai sempadan di tambak (Johor)," katanya.
Dr. Mahathir juga mengakui bahawa pengalamannya dengan kerja mengukur dan juru ukur adalah terhad terutama untuk menentukan sempadan Malaysia.
— BERNAMA

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini