About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, August 4, 2008

KESELAMATAN SEMPADAN – PERLUKAN ANJAKAN DEMI KESEJAHTERAAN

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Feb 2008
Oleh: Hamzah h.d

Pada 21 Disember yang lalu, Perdana Menteri Malaysia dan rakan sejawatnya Surayud Chulanont melakar sejarah dalam hubungan diplomatik antara kedua-dua negara apabila sama-sama merasmikan jambatan muhibah yang menjanjikan pertumbuhan ekonomi dan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia-Thailand di bawah Pelan Strategi Pembangunan Bersama kawasan sempadan.

Fasa baru selepas 50 tahun Malaysia merdeka menyaksikan terbinanya satu lagi jambatan muhibah menghubungkan dua negara yang bersempadan. Tebing sungai Kampong Jenub Bukit Bunga yang bersempadankan sungai dengan Kampong Bauk Bukit Tar [Buketa] dalam Wilayah Narathiwat Pattani menjadi laluan kedua selepas jambatan Rantau Panjang di dalam negeri Kelantan menghubungkan Pekan Golok di dalam Wilayah Narathiwat.



Kedudukan geografi Malaysia yang mempunyai wilayah daratan negeri-negeri yang bersempadan seperti Pangkalan Kubur-Takbai, Rantau Panjang-Golok, Bukit Bunga-Ban Buketa, Pengkalan Hulu-Betong, Bukit Kayu Hitam-Sadao, Padang Besar-Songkhla dan Wang Kelian-Satun yang masing-masing mempunyai pintu masuk dua hala telah menyumbang pertumbuhan kegiatan ekonomi dan sosial untuk kebaikan bersama. Dengan adanya pintu masuk seperti ini hubungan dagangan dan kegiatan sosial lebih terancang secara tidak langsung dapat mengurangkan aktiviti-aktiviti penyeludupan yang memberi kesan yang tidak baik kepada sektor ekonomi dan keselamatan kedua-dua buah negara.



Keselamatan Sempadan
“Dasar Pertahanan Negara [DPN] mencerminkan hasrat negara untuk mempertahankan kepentingan-kepentingan strategiknya dan memelihara keselamatan negara. Dasar pertahanan menggariskan tiga asas utama, iaitu kepentingan-kepentingan strategik negara, prinsip-prinsip pertahanan dan konsep pertahanan. Ia menekankan keperluan mengekalkan sekitaran kawasan kepentingan strategik negara yang stabil dan aman. Kawasan kepentingan strategik negara dapat dilihat dari tiga lapisan iaitu kawasan terdekat, serantau dan global. Kawasan terdekat termasuk wilayah daratan, perairan negara, ruang angkasa, Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), Selat Melaka dan laluan pintu keluar masuknya, dan Selat Singapura selain jaluran laluan perhubungan laut dan udara yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak”.

Sinonimnya pembinaan jambatan ini dengan DPN ialah untuk melindungi kepentingan strategik negara dan persaingan dalam pelbagai kepentingan yang lain, keupayaan pertahanan sempadan berkisar sekitar prinsip-prinsip utama iaitu keupayaan untuk berdikari dan kerjasama serantau.

Secara prejudis, setelah terbinanya jambatan dan laluan masuk yang bersistematik ini tidak menjanjikan sempadan tidak dicerobohi. Sering kita dengar, siri rompakan sudah menjadi satu kemestian kepada penjenayah untuk menggunakan senjata api yang mana disyaki diperolehi dari negara jiran. Agak sukar untuk mempercayai penyeludupan senjata api adalah melalui atau melepasi kawalan imigresen atau Kastam walaupun baru-baru ini sudah ada kes seumpama berlaku yang mana merupakan kes terpinggir berlaku di negara kita.

Berdasarkan kes yang tertangkap yang sering dibicarakan di dalam media cetak dan elektronik menunjukan ada ketirisan dan integriti penguatkuasaan di sempadan boleh diragui dalam konteks meningkatnya aktiviti-aktiviti penyeludupan barangan, pendatang tanpa izin dan senjata api. Intraksi penulis dengan beberapa responden yang merupakan penduduk tempatan di beberapa kawasan sempadan, aktiviti penyeludupan masih berlaku terutamanya terhadap barangan kawalan seperti beras, minuman keras, pendatang tanpa izin dan sebagainya. Penyeludupan keluar barang kawalan seperti minyak diesel, minyak masak dan lain-lain turut menjadi isu yang mana jika tidak dipantau secara serius, ianya akan mencetus suasana yang tidak harmoni di dalam negara. Apa yang sangat menakutkan khalayak ialah peningkatan aktiviti penyalahgunaan dadah dan senjata api dalam masyarakat yang sekali gus memfokuskan tuduhan terhadap integriti penguatkuasaan di sempadan.

Umum tahu bahawa sempadan Malaysia-Thai yang merentasi timur dan barat semenanjong sejauh lebih kurang 600km tidak mempunyai pagar yang sepatutnya kecuali sempadan di sebelah utara Malaysia, walaupun pada sebahagiannya sudah berpagar namun oleh kerana tidak diberi sentuhan strategik maka aktiviti ‘lubang tikus’ dilaporkan sering berlaku. Di Kelantan sebahagian besarnya bersempadankan Sungai Golok dan langsung tidak mempunyai pagar yang mana sangat menyukarkan aktiviti kawalan terutamanya di waktu malam. Keunikan sempadan yang mempunyai kawasan membangun dan kawasan hutan menyaksikan aktiviti lintas sempadan yang begitu mudah dan memerlukan komitmen tugas penguatkuasaan yang tinggi, konsisten dan tanpa kompromi.

Berkompromi dengan amalan keluar masuk secara bebas di pintu-pintu masuk sempadan atas alasan untuk menggalakan aktiviti pelancongan adalah satu tindakan yang kurang tepat dan telah membibitkan masalah sosial, kesejahteraan dan keselamatan negara kerana kelonggaran ini bukan sahaja digunakan oleh rakyat bersempadan malah pengganas juga boleh mengambil kesempatan. Langkah terbaru kerajaan menguatkuasakan pas sempadan dan sistem biometrik adalah tepat pada masanya dalam usaha untuk menidakkan budaya ‘mengangkat tangan’ di antara penguatkuasa dengan pengunjung yang sudah ‘berbudaya’ sekian lama.

Kawalan konvensional setakat ini ialah dengan menugaskan pasukan keselamatan dari kalangan siri 300 Pasukan Wataniah yang membuat operasi sempadan secara berterusan. Siri-siri operasi dan menunjukkan kehadiran di kawasan tanggungjawab secara konsisten oleh pasukan angkatan tetap Tentera Darat Malaysia dan mendirikan beberapa pos kawalan tambahan di sempadan beberapa kawasan strategik di samping meningkatkan kerjasama rondaan dengan Tentera Darat Thai bagi mengekang sebarang gerakan agresif kumpulan-kumpulan pemisah Islam seperti Barisan Pembebasan Bersatu Pattani [PULO], Barisan Revolusi Nasional [BRN] dan Gerakan Mujahidin Islam Pattani. Walaupun konflik puak bertelagah agak reda sekarang ini namun tindak balas masih tercetus dan tidak mustahil persengketaan berskala besar boleh tercetus dan merebak dalam masa yang singkat.

Konflik yang berlaku di selatan Thai sebenarnya memberi ancaman secara langsung kepada keselamatan negara kerana bukan sahaja untuk manangani limpahan pelarian atau penyusupan kumpulan-kumpulan pemisah secara fizikal malah memungkinkan tercetusnya kecelaruan diplomatik antara dua kerajaan. Ini adalah kerana faktor budaya, ugama dan etnik yang berada di kawasan sempadan memangkin kepada prejudis dan salah sangka pihak Thai terhadap Malaysia ketika melayani puak-puak terbabit.

Untuk mengekang aktiviti penyeludupan dadah, barang-barang keperluan yang dikawal dan kemasukan Pendatang Tanpa Izin [PTI] Banglades, Pakistan dan lain-lain yang juga menggunakan laluan sempadan Thai yang dilaporkan berleluasa sebenarnya menuntut makanisme kerjasama lain-lain agensi penguatkuasaan seperti PDRM, Kastam, Imigresen dan juga RELA untuk menanganinya secara serius. Walaupun kemasukan PTI pada masa ini dilaporkan terkawal namun implikasi yang boleh wujud dari kegagalan mengawal kemasukan mereka ialah ancaman kepada negara di masa hadapan. Ancaman bukan tradisional seperti ini seharusnya mudah dikawal jika komitmen dan tumpuan diberikan secara konsisten dan berintergriti.

Struktur Penampan

Suasana ini menuntut plan penampan strategik dilaksanakan secara drastik sebagaimana yang pernah berlaku di sempadan Perairan Malaysia Timur yang masih berkuatkuasa hingga sekarang. Senario pergolakan politik dunia yang tidak menentu harus menjadi iktibar dan kita harus bersedia segala keperluan sebelum tiba masa susah kerana bayaran masa terdesak akan menjadi lebih mahal.

Satu cara lain dalam konteks membina keyakinan sempadan negara kebal dari sebarang pencerobohan yang mengancam keselamatan, adalah tidak dapat tidak perlu ada tindakan susulan untuk memperkemaskan jaluran laluan sempadan daratan ini dengan struktur penampan berlapis [double layer] di samping sistem pengawasan bersepadu menggabungkan beberapa elemen sumber manusia dari agensi sedia ada, anjing pemburu terlatih dan juga kawalan dengan bantuan teknologi seperti radar dan menara pemerhati yang dilengkapi dengan lampu limpah [search light] peranti alat pandang malam [goggle night vission] dan peralatan seumpamanya sebagai tindakan tambahan. Dalam masa yang sama agensi keselamatan harus mengerah kudrat mengembling segala cara bagi membersih unsur-unsur asing yang bertapak secara haram di bumi Malaysia dikeluarkan secara terhormat

No comments:

Tinggalkan pesanan anda di sini