About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Friday, June 19, 2009

TLDM tingkat rondaan

Sumber: Utusan online
Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

KLANG 18 Jun - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meningkatkan rondaan bagi memastikan perairan negara bebas daripada sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan termasuk penyeludupan manusia.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, rondaan berkenaan antara perkara yang diberi keutamaan bagi memastikan imej dan keselamatan negara terus terpelihara.

Jelas beliau, tindakan Amerika Syarikat (AS) meletakkan Malaysia sebagai pusat kegiatan penyeludupan manusia tidak sepatutnya berlaku kerana negara ini bukan tumpuan utama kegiatan tersebut.

''Mereka boleh labelkan kita sebagai antara negara yang gagal menangani aktiviti penyeludupan manusia atau apa sahaja tetapi bukan pusat penyeludupan manusia.
''Namun yang penting TLDM sentiasa meningkatkan kerjasama dengan semua agensi penguat kuasa seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Gerakan Marin (PGM) untuk mengawal perairan negara.

''Walaupun usaha membanteras kegiatan itu dilihat sebagai tugas sampingan, kita akan terus bekerjasama dengan semua agensi penguat kuasa," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Ekspedisi Pelayaran Saintifik Perdana (EPSP) oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili di Pulau Indah di sini hari ini.

Abdul Aziz mengulas mengenai peranan TLDM untuk menangani aktiviti penyeludupan manusia yang turut dikaitkan dengan negara ini.
Selasa lalu, Jabatan Negara AS meletakkan semula Malaysia dalam Laporan Penyeludupan Manusia selain enam negara baru dari Afrika.

Dalam laporan berkenaan, Malaysia didakwa gagal memenuhi standard minimum bagi membanteras kegiatan penyeludupan manusia selain tidak mengambil usaha sewajarnya untuk mengatasi masalah itu.

Bagaimanapun, tindakan AS itu bukan kali pertama diambil ke atas Malaysia kerana pada 2007, negara diletakkan pada Tahap 3 dalam senarai itu.
Namun selepas kerajaan memperkenalkan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007, status negara dalam kegiatan tersebut diturunkan ke Tahap 2.

Dalam pada itu, Abdul Aziz turut meminta pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan manusia terutamanya jika ia melibatkan rakyat tempatan.

''Jika ada rakyat negara ini yang terlibat dalam aktiviti tersebut mereka perlu dikenakan tindakan tegas kerana bagi saya mereka ini pengkhianat negara.

''Malah, saya mahu semua rakyat juga bersama-sama menangani masalah ini kerana tugas untuk menjamin keselamatan dan imej negara adalah tanggungjawab semua, bukan peranan pihak berkuasa dan pasukan keselamatan semata-mata," ujarnya.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini