About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, September 4, 2008

DECOMPRESSION SICKNESS- SAMAD AKUR DENGAN KETENTUAN TAKDIR

Oleh: Hamzah h.d
Sumber: Majalah Perajurit Edisi Ogos 2008

Ku ambil rumput di ladang
Ku jadikan penyamaran
Rupa elok bertukar menjadi syaitan
Agar tidak mudah dipandang
Bergerak, bertempur
Komando pantang mundur
Biarpun peluru datang menyembur
Komando pantang mundur.


“Lagu ini adalah lagu keramat pasukan komando. Lagu sedemikian di antara lagu-lagu yang menjadi pencetus kepada keberanian kami di pasukan khusus. Kami menyanyi di kala kami rasa susah dan getir ketika menghadapi cabaran yang ternyata boleh membangkitkan kembali semangat yang hilang”. ujar Samad bekas Pasukan Khas Laut (PASKAL) yang kini sudah 17 tahun meninggalkan perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menghadapi liku-liku kehidupan sebagai seorang Pasukan Khas sebahagian daripada sketsa kehidupan yang sudah menjadi kenangan dalam lipatan sejarah hidup kepada 807798 LK 1 PPP (PASKAL) Samad bin Saad. Beliau dilahirkan di Kampong Rantau Panjang, Klang Selangor pada tahun 1960. Menerima pelajaran asas di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang Klang dan meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad dan Sekolah Menengah Tengku Ampuan Rahimah.

Sebaik tamat persekolahan Samad terus memohon untuk menjadi seorang anggota Tentera Laut. Setelah menjalani pemilihan di Sekolah Sultan Abdul Aziz Kuala Selangor, dia telah terpilih. Pada 9 Jun 1978, sewaktu usia beliau genap 18 tahun, beliau telah memulakan kerjaya pilihan sebagai anggota TLDM. Samad menerima latihan di Pusat Latihan TLDM Sembawang, Singapura yang waktu itu penempatannya masih kepunyaan Malaysia. KD MALAYA yang berada di Woodland merupakan Pangkalan TLDM terbesar dengan sejumlah kapal-kapal menjadikan Malaysia Base Jetty (MBJ) sebagai pusat operasi sementara menunggu Pangkalan Lumut boleh beroperasi.

Permulaan Kerjaya

Setamat kursus asas rekrut selama enam bulan di Sembawang, Samad yang yang telah memilih kepakaran Peperangan Paras Permukaan (PPP) sebagai kerjaya khusus. Kursus persediaan selama enam bulan di Pusat Latihan KD PELANDOK Woodland juga ditamatkan dengan jayanya sebelum menjalani latihan sambil kerja di KD SERI RAJA JAROM iaitu sebuah kapal Landing Ship Tank (LST)- EX USS SEDGWICK COUNTY.

Semasa Latihan Sambil Kerja di KD SERI RAJA JAROM, beliau bersama rakan-rakan yang baru mengenal dunia tentera telah ditempatkan di dalam satu kabin yang dulunya tempat simpanan mayat-mayat tentera yang gugur semasa Perang Dunia Kedua. Satu penempatan yang sangat tidak selesa, tanpa penghawa dingin dan sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan Sebagai anggota dari Cawangan Kelasi, selain daripada mempelajari pelajaran teras dalam aspek persenjataan, mereka dikehendaki juga mendalami hal ehwal Ilmu Kelautan dan dalam masa yang sama membuat kerja-kerja pemuliharaan kapal dan membudayakan Kawalan Kerosakan dan Mencegah Kebakaran di kapal merupakan latihan harian kepada anggota-anggota dalam latihan tanpa kecuali selama tempoh latihan sambil kerja. Cabaran dan tekanan persekitaran membuatkan Samad terfikir untuk mencari jalan keluar.

Idea tercetus bila melihat sendiri tim PASKAL sedang membuat latihan di MBJ dan memerhati dari atas kapal aktiviti PASKAL telah mendorong beliau untuk mengenal secara lebih dekat tentang pasukan elit TLDM ini. Salah seorang yang turut mendorong Samad untuk menganggotai pasukan ini ialah seorang pegawai PASKAL (Allahyarham Lt. Rahmatullah) yang bertugas sebagai Pegawai Persuratan di kapal yang seolah-olah memahami minat anak buahnya. Kebetulannya unit PASKAL memerlukan anggota baru maka peluang ini terbuka luas untuk beliau.

Pada tahun 1980, Samad menyertai PASKAL yang merupakan bac kedua yang telah dihantar ke Surabaya, Indonesia untuk mendapat latihan khas dari pasukan elit Komando Pasukan Katak (KOPASKA) Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Laut (TNI-AL). Sebelum beliau dan 21 orang kawan-kawan yang lain di hantar ke Surabaya, mereka terlebih dahulu mendapat latihan intensif di Tapak Latihan PASKAL Lumut sebagai persiapan awal mental dan fizikal di bawah kelolaan tim PASKAL bac pertama. Persediaan ini penting supaya pelatih tidak mengalami kejutan bila dilatih oleh KOPASKA. Mereka semua lulus dan dipakaikan dengan beret Ungu oleh Panglima Tentera Laut (Laksamana Madya Mohamad Zain)

Prosedur pada peringkat awal penubuhan PASKAL agak berlainan kerana setelah ditauliahkan barulah mereka diperlukan untuk melengkapkan pakej sebagai anggota PASKAL dengan sayap penerjunan dan penyelaman. Tidak seperti silibus PASKAL terkini yang menghabiskan pakej latihan sebelum ditauliahkan. Untuk melengkapkan mereka dengan sayap penerjunan, Samad dan kawan-kawan yang lain meneruskan latihan di Pusat Latihan Pasukan Khusus di Sungai Udang Melaka manakala kursus Penyelam dibuat di Sekolah Menyelam KD PELANDOK. Akhirnya berkat kesabaran dan kemahuan yang menjulang. Samad lulus dalam semua ujian dan beliau layak menerima elaun PASKAL sebanyak RM150.00 sebulan.

Samad tidak bernasib baik. Beliau redha dengan takdir yang meletakkan beliau kepada suatu permulaan yang tidak baik yang telah menjejaskan kualiti kesihatan sekali gus menjejaskan perkhidmatan beliau dengan TLDM

Semasa di dalam satu latihan di Pulau Sembilan, beliau telah melakukan kesilapan yang menyebabkan beliau terkena apa yang dipanggil Decompression Sickness- Diver Desease (DCS).

“ DCS ialah kesakitan akibat penyahmampatan (akibat selaman) merupakan gangguan di mana nitrogen yang larut dalam darah dan tisu akibat daripada tekanan yang tinggi membentuk buih apabila tekanan tersebut mula berkurangan. Udara dihasilkan daripada nitrogen dan oksigen. Oleh kerana udara yang berada bawah tekanan tinggi dimampatkan, setiap nafas yang diambil di kedalaman mengandungi lebih banyak molekul berbanding nafas yang diambil semasa di permukaan. Kerana oksigen digunakan secara berterusan oleh badan, lebihan molekul oksigen yang diambil di bawah tekanan yang tinggi selalunya tidak berkumpul. Bagaimanapun, lebihan molekul nitrogen boleh berkumpul dalam darah dan tisu. Apabila tekanan di luar berkurangan semasa penaikan perenang ke permukaan atau semasa menamatkan penyelaman. Apabila tekanan di luar berkurangan semasa penaikan perenang ke permukaan atau semasa menamatkan penyelaman, pengumpulan nitrogen yang tidak boleh di keluarkan dengan segera akan membentuk buih dalam darah dan tisu. Buih-buih ini akan mengembang dan mencederakan tisu atau pembuluh darah dan mungkin juga akan menghalang perjalanan darah dalam kebanyakan organ badan samada secara langsung atau dengan menghasilkan gumpalan darah yang kecil. Pembuluh darah yang dihalang akan menyebabkan kesakitan dan berbagai simtom lain.buih nitrogen juga boleh menyebabkan keradangan, menghasilkan peluh dan kesakitan pada otot, sendi dan tendon.”

Beliau pengsan dan dirawat di dalam kebuk mampat (chamber) KD SRI INDERA SAKTI. Walaubagaimanapun beliau dapat dipulih dan boleh meneruskan tugas seperti biasa namun kesan DCS ini akan menjejaskan kualiti kesihatan untuk jangka masa panjang. Bila menjalani sesuatu latihan yang agak agresif, banyak kali semasa di dalam Unit, beliau mengalami kekejangan otot dan pengsan.

Pada tahun 1982, Samad telah menduduki peperiksaan ulangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam usaha untuk menentukan masa depan yang lebih cemerlang. Selama tempoh itu beliau telah diberi masa sepenuhnya oleh pasukan dengan memberi tumpuan kepada pembelajaran akademik yang di kelolakan oleh Kor Pendidikan Tentera Darat yang berpusat di KD PELANDOK Lumut. Di akhirnya usahanya beliau memperolehi gred dua.

Penyertaan Dalam Operasi

Baru-baru ini rakyat Malaysia merasa sugul kerana diaibkan oleh Mahkamah Antarabangsa (ICJ) dengan memberikan taraf pemilikan Batu Putih (Pedra Branca) kepada Singapura. Kepulauan Spratly, walaupun Malaysia telah menduduki kawasan tersebut dengan mendirikan penempatan ketenteraan di Terumbu Layang-layang, Terumbu Mantanani, Terumbu Ubi dan di kawal sepanjang masa namun ianya masih dibayangi tuntutan bertindih oleh Vietnam, Filipina dan juga Brunei.

Peringkat awal pembinaan Stesen Lima di Terumbu Layang-layang merupakan detik-detik peristiwa yang sukar untuk dilupakan oleh Samad sekitar awal tahun 80an. Terumbu Layang-layang sebelum dibina merupakan sebuah pulau batu karang yang timbul semasa air surut dan tenggelam semasa air pasang. Pulau ini dihuni oleh habitat asal burung-burung dari pelbagai spesies Camar.

Beliau bersama anggota-anggota PASKAL yag lain terlibat secara langsung menduduki dan mengawasi perkembangan pulau ini sejak dari awal pembinaan. Tim PASKAL yang berpangkalan di Labuan secara giliran dihantar untuk mengawasi pulau tersebut dengan berbekalkan senjata kecil dan sedikit peluru setiap seorang. Berbekalkan ransum tempur dan kelengkapan asas menguji ketahanan dan kesabaran mereka bertugas dalam keadaan terdedah dengan ancaman samada dari tentera negara yang berkepentingan atau bencana alam seperti ribut dan sebagainya.

Pengalaman dijengah oleh kapal selam Rusia, Kapal-kapal Tentera Laut Filipina, China dan juga Vietnam semasa bertugas sungguh mendebarkan. Tentera mereka menunjukkan kehadiran sebagai membantah penaklukan Malaysia di kawasan yang kaya dengan sumber asli. Walaupun kehadiran ejen-ejen mereka tidak disusuli dengan tindakan agresif tetapi di samping aktiviti mereka yang bersifat mengumpul maklumat perisikan, ada juga kegiatan sabotaj dilakukan semasa ketiadaan pasukan negara di situ.

Dalam keadaan sedemikian, mereka hanya mampu berserah jika diserang kerana dengan kekuatan anggota dan kelengkapan yang ada dan jarak untuk bantuan tiba sudah tentu mereka tidak berupaya untuk bertahan namun cogan ‘komando pantang undur’ menjadi pegangan walau dalam keadaan mana sekalipun.

Tindakan drastik kerajaan waktu itu telah membangunkan Terumbu Layang-layang sehingga bertaraf Pulau dengan membangunkan infrastruktur dan prasarana TLDM di samping pembangunan pelancongan dan hub kajian kepada ekosistem maritim negara. Agensi Kerajaan yang lain seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dengan kerjasama anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja dan Pasukan Khusus Tentera Darat turut terlibat dalam pembangunan Pulau Layang-layang.

Semasa di Terumbu Layang-layang, latihan fizikal adalah aktiviti wajib bagi PASKAL. Sekali lagi Samad mendapat musibah apabila terjatuh semasa menjalani aktiviti ini. Beliau pengsan selama lapan jam dan dirawat di Hospital Labuan dan keadaan beliau ketika itu sangat kritikal dan beliau pernah dimaklumkan oleh kawan-kawan yang melawatnya bahawa harapan untuk hidup adalah tipis. Beliau pasrah sebenarnya. Semua ini berpunca dari DCS.

Semasa konflik di Vietnam meletus, ramai rakyat mereka menyusup keluar dan mencari perlindungan di negara ketiga. Malaysia menerima kesan secara langsung. Angota PASKAL ialah di antara mereka-mereka yang telibat secara khusus dalam operasi menyelamat ‘orang hanyut’ dan membawa ke Penempatan Pelarian di Pulau Bidong Trengganu. Samad di antara yang terlibat secara langsung dalam operasi ini dengan menggunakan bot RCP sebagai bot peronda pantai bersama elemen-elemen TLDM yang lain.

Masalah Kesihatan

Samad terpaksa akur dengan ketentuan, penyakit yang dihidapi kesan daripada DCS telah membataskan aktiviti lasak beliau bersama PASKAL. Beliau telah di turunkan gred kepada lasykar biasa kerana doktor telah mengesahkan kesihatan beliau tidak ‘fit’ lagi sebagai seorang Pasukan Khas.

Selepas itu beliau bertukar ke unit Rejimen Keselamatan yang bertanggongjawab menjaga pintu-pintu gerbang utama Pangkalan-pangkalan TLDM. Dalam masa yang sama, Samad menggunakan kesempatan yang ada untuk terus menjalani rawatan di Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) dan rawatan-rawatan tradisional.

Semasa di unit ini, tempoh tamat perkhidmatan (TTP) Samad ke 15 tahun perlu diperbaharui. Tetapi malangnya beliau tidak dapat menyambung perkhidmatan kerana laporan perubatan menyatakan beliau pengidap penyakit darah tinggi. Rayuan demi rayuan kepada pihak atasan dibuat namun keputusan tetap sama. Beliau berpendapat, berlaku sedikit kesilapan semasa menyediakan laporan perubatan yang menjadi penentu kepada keputusan. Dari segi fakta, seseorang anggota yang tercedera atau sakit akibat dari aktiviti perkhidmatan tidak akan diberhentikan kecuali hilang akal tetapi oleh kerana di dalam laporan kesihatan menyatakan beliau mengidap penyakit darah tinggi maka keputusan jadi sebaliknya. Apapun beliau akur setelah berusaha sedaya upaya. Akhirnya beliau balik ke kampongnya di Klang Selangor setelah genap perkhidmatan 13 tahun pada bulan Jun 1991.

Kehidupan Pasca Perkhidmatan

Komplikasi gout, darah tinggi dan darah pekat yang dihidapi menjadikan keadaan kesihatan Samad semakin sukar, Samad meneruskan kelangsungan hidup sekeluarga dengan berniaga tetapi menemui jalan buntu. Takkala keperluan perbelanjaan menyara pelajaran anak-anak semakin tinggi, beliau banyak terlantar kerana lumpuh. Ada juga kawan-kawan seperjuangan yang perihatin dan menguruskan perubatan beliau di Hospital Angkatan Tentera tetapi keadaan kesihatan beliau tidak banyak berubah.

Pada tahun 1999, beliau sekeluarga berhijrah ke kampong isteri beliau di Jitra Kedah untuk terus berubat secara tradisional. Dengan usaha dan sokongan isteri bekerja tanpa mengira penat lelah, banyak membantu beliau meneruskan kehidupan. Masalah beliau telah sampai ke pengetahuan Persatuan Bekas Tentera (PBTM) Kubang Pasu dan di atas usaha PBTM, beliau menjalani pembedahan kedua-dua belah lutut dan dibiayai sepenuhnya oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran. (JHEV). Selepas pembedahan, di samping berikhtiar dengan pelbagai cara, kesihatan beliau agak beransur baik dan kini boleh berjalan walaupun tidak secergas dulu. Fizikal beliau selepas bersara banyak berubah. Kesan DCS menjadikan sendi-sendi kaki dan tangan beliau tidak seperti orang lain. Buih-buih nitrogen yang terperangkap di dalam pembuluh darah membuatkan kehidupan beliau menderita sehingga kini.

PASKAL mengajar Samad menjadi kental walaupun beliau tidak berpendapatan tetap malah dalam kepayahan melayan penyakit kronik, menyara enam orang anak yang masih belajar, dua orang di menara gading, seorang di Sekolah Menengah dan tiga orang di Sekolah Rendah menjadi agenda utama beliau dan isteri. Walaupun anak-anak diberi bantuan asas persekolahan melalui sekolah masing-masing tetapi banyak perbelanjaan keperluan lain yang menuntut beliau dan isteri mencari jalan penyelesaian kewangan untuk sara hidup.

Beliau sekeluarga masih menumpang di rumah ibu mertua yang juga menduduki tanah rizab Sungai. Usaha untuk mendapatkan rumah sendiri masih buntu dan sukar bila membayangkan nasib anak-anak jika dirinya sudah tidak ada lagi di dunia.

Walaupun perkhidamatan beliau hanya separuh jalan namun pengalaman selama tujuh tahun menjadi anggota PASKAL dan lima tahun bersama Rejimen Keselamatan TLDM banyak mengajar beliau erti tabah dan kesabaran. PERJURIT

Catatan Khas:
Kepada pengunjung blog ini terutamanya yang mengenali saudara Samad samada semasa zaman persekolahan atau di dalam perkhidmatan di alu-alukan untuk menitipkan dedikasi perangsang sebagai sokongan moral kepada beliau dan keluarga dan insyaallah Admin akan menyampaikan dedikasi anda dalam bentuk printed sheet kepada beliau. Sila nyatakan dengan jelas siapa anda.Terima kasih.

1 comment:

sudin_9848 said...

Assalamualaikum..... terlebih dahulu saya mendoakan keselamatan dan kesihatan kepada Beliau dan Keluarganya semoga tabah menghadapi cabaran dan dugaan hidup dunia yang penuh dengan berbagai cabaran dan dugaan..... Perhidmatan Beliau yang singkat kepada PASKAL khasnya dan TLDM amnya amatlah dihargai dan di sanjung tinggi....Semoga dengan berbekalkan semangat PASKAL KOMANDO LAUT....akan memberi lagi motivasi diri beliau untuk menempuh hidup ini..... Semoga ALLAH SWT memberi kekuatan dan semagat yg berterusan kepada beliu dan keluarga.....amin..

Tinggalkan pesanan anda di sini