About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, September 1, 2008

GALLANTRY IN THE SKY – JUBLI EMAS TUDM

Oleh: Hamzah H.d

Program roadshow Jubli Emas Tentera Udara Diraja Malaysia telah bermula semasa LIMA 2007 di Langkawi dan akan menjadi acara bulanan mulai Jan hingga Jun 2008. Lokasi-lokasi roadshow seterusnya di Kolej Tentera Udara Alor Star pada 25 hingga 27 Jan, diikuti Dataran Merdeka Kota Kinabalu pada 15 hingga 17 Feb, Water Front Kuching pada 21 hingga 23 Mac, Ipoh pada 11 hingga 13 Apr, Kuantan pada 25 hingga 27 Apr, KL Sentral pada 16 hingga 18 Mei dan pada Hari Terbuka Pangkalan Tentera Udara Subang pada 1 Jun 2008.

Tujuan program ini ialah untuk memberi pendedahan kepada orang awam tentang peranan TUDM dalam pertahanan negara sekaligus mempromosi TUDM bagi menarik minat lebih ramai pemuda pemudi Malaysia menyertai angkatan ini. Pengambilan anggota yang dilakukan dua kali setahun merupakan usaha berterusan bahagian Sumber Manusia TUDM bagi memenuhi keperluan semasa dan mengimbangi kekurangan anggota yang menamatkan perkhidmatan saban tahun.

Sejarah Penubuhan

Detik permulaan penubuhan Tentera Udara adalah dari sebuah pasukan Sukarela Tentera Udara Negeri-negeri Selat (SSVAF) pada tahun 1936. Semasa Tentera Jepun menunjukkan ancaman dan menguasai di Kepulauan Melayu pada tahun 1940, SSVAF dibesarkan kemudian ditukar nama kepada Pasokan Sukarela Tentera Udara Malaya (MVAF). Walaupun pasukan MVAF berjaya melarikan diri semasa Kejatuhan Singapura dalam bulan Februari 1942, pasukan ini musnah semasa peperangan di Sumatra apabila berhadapan dengan pasukan udara yang jauh lebih besar dan moden. MVAF telah dibubarkan apabila Pentadbiran British kembali ke Malaya selepas Jepun menyerah kalah semasa Perang Dunia Kedua.

MVAF ditubuhkan semula dalam tahun 1950 untuk membantu operasi-operasi ketenteraan semasa Darurat di Malaya. Unit inilah yang menjadi pemangkin kepada penubuhan Tentera Udara Diraja Persekutuan Malaya pada 2 Jun 1958 setelah Parlimen meluluskan satu Enakmen yang dikenali sebagai Ordinan Tentera Udara yang memberikan kuasa pembentukan sebuah pasukan dikenali sebagai Tentera Udara Diraja Persekutuan. Seorang pegawai Tentera Udara Diraja British, Komodor Udara A.V Johnston dipinjam khidmat kepada Tentera Udara Diraja Persekutuan untuk mengetuai pasukan tersebut dan menjadi penasihat kepada Kerajaan. Komodor Udara A.V Johnston kemudiannya dilantik menjadi Panglima Tentera Udara yang pertama. Beliau bertanggungjawab mencorakkan rancangan perkembangan dan pengukuhan Tentera Udara Diraja Persekutuan berserta dengan pengambilan dan latihan kakitangan, aset penerbangan, organisasi dan peraturan-peraturan berkaitan.
Dengan penubuhan Malaysia pada 1963, nama Tentera Udara Diraja Malaya ditukar menjadi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pembangunan Aset

Pembangunan sesuatu entiti tentunya bermula dari sesuatu rentetan peristiwa yang terhimpun menjadikan satu sejarah yang mencetus kepada kejayaan sesebuah entiti. Dari sebuah pasokan yang tertubuh atas kepentingan kolonial kemudian diserahkan atas desakan senario politik semasa anak watan, dipermantap dan diberi nafas baru oleh anak watan yang berjiwa kental didorong oleh kuasa politik yang stabil. Era pasca merdeka, pesawat pertama yang digunakan oleh Tentera Udara Diraja Persekutuan Malaya adalah pesawat pengangkut ringan jenis Scottish Aviation Twin Pioneer yang diberikan nama “Lang Rajawali” (pendaftaran FM-1001) oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan Scottish Aviation Single Pioneer [1958-1967]. Ianya telah digunakan secara meluas membantu Tentera Darat dalam perang melawan insurgensi pengganas komunis. Di antara pesawat-pesawat yang digunakan dalam perkhidmatan TUDM ialah:

Era 60an
- Haviland Dove (1962-1975)
- Cessna 310F (1962-1975)
- De Havilland Heron (1963-1979)
- Handley Page Herald 401 (1963-1976),
- Helikopter Alouette 111B (1963- )
- De Havilland DHC-1 Chipmunk (1964-1972)
- Hunting Percival (Piston Provost) (1964-1972),
- Caribou DHC 4 (1966-1999),- Tebuan (Canadair OL-41G) (1967-1985)
- Helikopter Sikorsky S61A-4 (Nuri) (1967)
- CAC AVON SABRE (F86) (1969-1975).

Era 70an
- Hawker HS-125 (Merpati) (1970-2000)
- Scotissh Aviation Bulldog (1972-1997)
- Bell 47G-5A (1974-1997) - Cessna 402B (1975- )
- Fokker-VFW F28 Fellowship (1975)
-Lock Head- C130H Hercules (975)
- Northrop F5E Tiger 11 [1975]Era 80an
- Lockeed Hercules Pc-130 (1980)
- Northrop F-5F (1981) - Pilatus PC 7 (1983)
- Aermacchi MB 339A (1983)
- Mc Donnell Douglas A-4 PTM Sky Hawk (84-1994)
- Canadair CL-600 Challenger (1984-1989)
- Grumman HU-16 Albatross (1988-1991)
- Marcel Dassault Falcon 900 (1989)

Era 90an
Aerospatial Super Puma (1990
- 1993)- Agusta A- 109C (1990)
- Agusta AS-61N1 (1990)
- British Aerospace Hawk 108 (1994)
- Beach Craft Super King Air B200T (1994)
- MIG 29N Fulcrum (1995)
- Sikorsky S-70 (H-60 Black Hawk ] (1997)
- Mc Donnel Douglas F/A-18D Hornet (1997)
- CN 235- 220M (1999)

Di era 2000 menyaksikan beberapa perolehan Pesawat Pengankutan VIP yang berupaya membuat durasi penerbangan jarak jauh seperti Bombardier BD-700-1A10 Global Express (2002) dan Boeng Business Jet BBJ 737 (2003).


Menjulang Nama

Tahun 2008, genap 50 tahun penubuhan angkatan udara pada awal penubuhannya amat kerdil, kini mempamirkan keupayaan tempur dan kuasa udara yang kredibel dan versatil di rantau ini. Arus pemodenan pesat ATM umumnya juga telah mempamirkan pertambahan bilangan aset seperti pesawat dan juga sistem pertahanan udara. Ini menunjukkan kesungguhan TUDM mempertingkat keupayaan dan usaha berterusan ke arah penambahbaikan dalam institusinya walaupun dengan perolehan bajet negara yang kecil dalam sektor pertahanan jika dibandingkan dengan bajet pertahanan negara-negara serantau.

Manakala perolehan 18 buah pesawat moden Sukhoi Su-30MKM pada tahun ini dengan penghantaran berperingkat menjadi igauan negara-negara serantau yang melihat Malaysia cuba mengadu kekuatan persenjataan kerana perolehan serentak dengan kekuatan tempur Tentera Darat seperti kereta kebal armour PT-91, persenjataan Artileri dan lain-lain malah beberapa perolehan TLDM seperti Patrol Vessel Generasi Baru, Kapal Frigat dan juga Kapal Selam.

Dalam menentukan kesiapsiagaan ruang udara tanahair menyakinkan penghuninya, TUDM membangunkan aset, infrastruktur dan modal insan secara seimbang dan teliti supaya kepercayaan rakyat dan yang paling penting ialah anjakan pengawasan dan pertahanan udara dapat direalisasikan dengan cemerlang sesuai dengan misinya ‘Untuk Mempertahankan Kedaulatan Dan Keutuhan Negara Serta Kepentingannya Melalui Penggunaan Kuasa Udara Yang Berkesan’

Dalam tempoh 50 tahun usia TUDM yang telah diterajui oleh 15 orang Panglima Tentera Udara yang sudah tentu mempunyai gaya kepimpinan yang tersendiri namun visi dan misi TUDM dijana dengan baik dan meyakinkan rakyat keseluruhannya. Fakta ini kita tidak boleh nafikan kerana sejak merdeka TUDM membuktikan telah berjaya mengesan, memintas dan memantau setiap pencerobohan dan provokasi ruang udara oleh anasir-anasir yang berniat jahat. Walaupun provokasi demi provokasi dipintas, dalam usaha menentukan keamanan negara, tindakan agresif ketenteraan tidak pernah disalahgunakan malah semua isu diselesaikan secara diplomasi.

Menjana Modal Insan Cemerlang

Di dalam usaha menentukan kesinambungan masa depan TUDM, aspek pembangunan kebolehan professional modal insan juga telah diberi penekanan kerana perolehan teknikal masa kini memerlukan anggota yang betul-betul berwibawa untuk mengendalikannya.

Untuk membuat persediaan “Right Man For The Right Job”, sel pengambilan anggota/pengawai baru sangat teliti semasa pemilihan dilakukan. Bukan sekadar untuk menampung kekurangan sebanyak dua puluh peratus dari kekuatan sebenar yang diperlukan, malah Sel ini memikul amanah untuk menentukan kemantapan fizikal, kebolehan dan kelayakan akademik yang terbaik seseorang calon diutamakan tanpa kompromi. Aspek ini sangat penting kerana selain menyediakan seorang tentera yang kental dari segi semangat juang, keberanian dan ketahanan, mereka juga memerlukan bijak minda untuk mengendali dan menangani pemindahan teknologi secara menyeluruh dari sistem analog kepada sistem digital. Aset canggih TUDM memerlukan sentuhan teknisyen yang tabah dan kreatif untuk menentukan aset dan peralatan dapat berfungsi ke tahap maksima. Selain keupayaan teknikal, kemahiran seseorang anggota/pegawai memanipulasikan taktikal juga menjadi tunjang kepada keunggulan TUDM. Kebijaksanaan taktikal menjadi pengukur keberkesanan sesebuah pasukan. Atas dasar yang dinyatakan di atas, tiada cara lain selain menyedia dan mencanaikan kebolehan modal insan secara sistematik dan konsisten demi keunggulan sesuai dengan perubahan teknologi.

Untuk menzahirkan hasrat ini, latihan berkala intra TUDM juga latihan intergrasi dengan negara-negara luar telah disusun atur oleh bahagian Operasi dan Latihan TUDM sepanjang tahun seperti Latihan Bersama Lima (Negara-negara FPDA), Latihan Black Pitch (RAAF), Latihan Cope Taufan (USAF), Air Thamal (RTAF) , Malindo Hawk dan lain-lain berserta membina kemantapan intergrasi Angkatan Bersama samada TLDM atau TDM dari masa ke semasa bagi memenuhi keperluan tersebut.

Selain dari itu, nilai keperibadian murni berasaskan iman dan takwa turut diselarikan kerana setiap perjuangan menuntut kesabaran, keikhlasan, berdisiplin dan taat setia kepada agama dan tanahair. Menanam nilai-nilai intergriti yang dewasa ini menjadi nilai teras bagi sesebuah organisasi ke dalam diri setiap lapisan anggota melalui program kepimpinan dan holistik. Pengintergrasian elemen rohani dan jasmani di atas menjadi satu tanggung jawab berat dan bukan mudah untuk dilaksanakan melainkan dengan kerjasama dari semua peringkat warga TUDM untuk merealisasikan kecemerlangan yang menyakinkan.

Kepuasan

Hari ini slogan ‘gallantry in the sky’ telah dipilih yang menunjukan satu pencapaian dan kepuasan memiliki dan mengurus selia segala aset yang dimiliki. Dengan perolehan seimbang aset tempur, peralatan, infrastruktur dan modal insan, TUDM telah mengorak langkah dengan lebih yakin untuk menjanjikan ruang udara negara selamat dan telah bersedia menghadapi segala cabaran dan ancaman mendatang. Apa yang ingin ditonjolkankan kepada umum ialah pelaburan rakyat sebagai pembayar cukai selama ini sangat berbaloi dan telah diterjemahkan ke dalam bentuk membawa keamanan, kesejahteraan dan ketenangan bernaung di bumi bertuah dan berdaulat.

Kebolehan anak watan mengurus dan mengendali pesawat dan peralatan canggih dalam masa yang singkat mendapat pujian dan pengiktirafan negara pengeluar. Ini terbukti dengan aksi-aksi yang telah dipamirkan di dalam road show pertama TUDM LIMA 2007.

Walaubagaimanapun, TUDM masih belum berpuas hati dan terus memburu beberapa lagi kelengkapan dan pesawat samada aset penambahan seperti Early warning Aircraft control Syistem (AEWACS) dan mencari calun helikopter yang mampu mengisi keperluan bagi menggantikan NURI. Apa pun usaha untuk mendapatkan perolehan ini sedang berjalan dan akan diumumkan oleh kerajaan tidak lama lagi.

Dengan pemilikan sebahagian besar keperluan serta aset strategik udara, secara keseluruhannya garapan Visi TUDM ‘Untuk Menyedia, Mengendali Dan Menggerakkan Satu Angkatan Udara Yang Sentiasa Bersedia Dan Berkemampuan Untuk Menonjolkan Kekuatan Kuasa Udara Demi Memelihara Dan Menjaga Kepentingan Negara’ dapat direalisasikan. ‘TUDM SENTIASA DI ANGKASA RAYA’.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini