About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, September 8, 2008

TATU ATM – HIBURAN ALTERNATIF MAKANISMA PATRIOTIK

Oleh : Hamzah Hd.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di samping giat dengan tugas mempertahankan benteng barisan hadapan pertahanan negara masih mempunyai ruang mengisi keperluan yang menepati tugas-tugas skunder semasa aman. Walaubagaimanapun, aktiviti-aktiviti skunder ini mempunyai kaitan rapat dengan pengisian jati diri dan kemahiran yang memberi nilai tambah kepada keunggulan seseorang perajurit.

Oleh kerana itu ATM melalui cabang-cabang perkhidmatan masing-masing mempunyai pasukan Tatunya sendiri yang mana sering dipertontonkan kepada umum di hari-hari kebesaran negara malah menjadi acara tetap di peringkat antarabangsa yang terbukti menggamit ramai penonton.

Jika Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan kemahiran memperaga kawad senyapnya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan kebolehan bergimnastik, Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui unit-unitnya mempunyai variasi kemahiran Tempur Tanpa Senjata (TTS), Akrobatik Wira Merah Polis Tentera, Pertunjukan Kebolehan Anjing Perang dan yang terbaru ditubuhkan ialah Kawad Senyap dari Pasukan Infantri yang mampu menghiburkan penonton dengan aksi-aksi yang jarang dipertontonkan.

Generasi hari ini saban hari melalui pelbagai saluran media disogokkan dengan segala macam hiburan seharusnya ada pihak yang memberi insentif kepada pasukan-pasukan beruniform negara menyediakan slot kemahiran mereka untuk dipertontonkan kepada umum dalam usaha mendedahkan generasi muda dengan unsur-unsur yang lebih patriotik.

Rakyat negeri Kedah khususnya sangat bertuah kerana pada tahun ini genap 50 tahun DYMM Al Sultan Mu’tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Al Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah menduduki tahta pemerintahan. Sambutan Jubli Emas DYMM Sultan turut dikongsi dengan sambutan Jubli Intan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang mana Tuanku Sultan merupakan Kolonel Yang Dipertua.

Menggamit Ramai Penonton

Pada 25 Ogos 2008, kesinambungan daripada acara-acara sambutan bersama yang telah dilaksanakan sepanjang tahun, sekali lagi TDM mengambil iniatif mempersembahkan kebolehan anggota-anggota TD melalui pertunjukan Tatu.

Acara yang bermula pada jam 9.00 malam telah dirasmikan oleh baginda Tuanku. Di antara Dif-dif kenamaan yang turut hadir ialah DYTM Tuanku Raja Muda dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda, YAB Dato Seri Menteri Besar Kedah dan Toh Puan, Pembesar-pembesar Istana, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Negeri dan Yang Berbahagia Lt. Jen. Dato Wira Zulkifli bin Mat Zin Timbalan Panglima TD.

- Persembahan Pentomin yang digarap dengan kombinasi lakonan masa sebenar dan gambaran slide penghantaran anggota ke lokasi tanggungjawab dengan menggunakan helikopter Nuri dan juga penghantaran keluar mangsa pertempuran telah mencuri perhatian penonton.

Pentomin mengisahkan perjuangan Allahyarham Kapt Zainal Abdul Rashid berasal dari Pantai Remis, Perak. Pada 15 Jul 1976 beliau dan lima anggotanya dari pasokan 17 RAMD melaksanakan tugas gerakan di Gubir Kedah berjaya mengesan sekumpulan 15 pengganas komunis. Semasa mengekori pergerakan mereka, terjadi pertempuran yang telah membunuh dua pengganas komunis dengan tembakan semburan, Kapt Zainal meluru dengan berani ke arah musuh sambil memberi kata-kata semangat agar anggotanya terus berjuang. Di masa itu seorang pengganas wanita yang tercedera telah membaling sebutir grenad dan mencederakan Kapt Zainal.Keberaniannya yang luar biasa dan daya kepimpinannya yang tinggi membakar semangat juang anggota-anggotanya menggempur musuh. Mereka berjaya membunuh enam daripada 15 orang pengganas dan merampas selaras mortar 60 mm, tujuh pucuk repal, peluru, bom dan peralatan lain. Kapt Zainal telah gugur dalam pertempuran itu. Beliau dikurniakan pingat SP pada 1 Jun 1977.

- Pusat Latihan Tempur TD (PULADA) turut mengambil bahagian dengan mempertontonkan kemahiran dan ketangkasan Anjing-anjing Perang dengan beberapa skil terlatih. Peranan utama Anjing Perang di dalam membantu tugas-tugas ketenteraan untuk mengesan dan menjejak musuh tidak dapat disangkal lagi. Pertunjukan kali ini melibat 20 ekor anjing dari jenis Rottweiler dan German Shepherd yang dapat berkerjasama dengan baik semasa pertunjukan ini.

- Sketsa humor turut mengalih perhatian penonton dengan lagak lawak sekumpulan juruteknik-juruteknik dari Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (JLJD) yang mendapat pendidikan dari Institut Kejuruteraan TD (IJED) Port Dickson. Pemasangan kenderaan Formula 3 (F3) yang telah diubahsuai menggunakan Enjin Campro berkapasiti 1600 CC dan mampu mencapai kelajuan maksima sehingga 200 km/j. Manakala sebuah lagi menggunakan Enjin Model Subaru berkapasiti 1800 CC dan mampu mencapai kelajuan maksima 180 km/j. Kejayaan mencipta kereta F 3 ini adalah hasil sentuhan inovasi daripada juruteknik-juruteknik IJED.

- Gimnas-gimnas TUDM satu-satunya pasokan yang dijemput oleh TD untuk sama-sama mewarnai pertunjukan Tatu TD kali ini dengan mempamirkan akrobatik gimnastik yang bertenaga yang melibatkan 50 orang gimnas.

- Pasukan Akrobatik Wira Merah Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) tidak pernah ketinggalan di mana-mana jua persembahan Tatu TD. Kumpulan Akrobatik Motosikal ini ditubuhkan pada tahun 1963 di Kem Imphal Kuala Lumpur. Pasokan ini menggunakan 29 buah motosikal Modenas Jaguh, 2 motosikal Aprilla, 2 motosikal Trial dan 2 motosikal Suzuki. Aksi-aksi yang dipamirkan menarik perhatian kerana peserta dari pranita juga turut mengambil bahagian. Walaupun aksi-aksi yang ditunjukkan agak merbahaya namun latihan dan komited menjadikan sesuatu aktiviti yang menghiburkan.

- Pertunjukan Tatu TD pada kali ini diakhiri dengan persembahan Pancaragam dari gabungan kesemua pasukan di bawah naungan Markas Divisyen Ke 2 TD. Ianya melibatkan seramai 130 orang anggota mempamirkan kemahiran menggunakan alat muzik dan dipelbagaikan dengan gerakan formal melalui formasi-formasi yang menarik. Mengakhiri program pada malam tersebut adalah pertunjukan bunga api.

Syabas TD

Sesungguhnya tiada bahasa yang lebih indah selain ucapan syabas yang boleh dilontarkan kepada anggota ATM yang selain menjadi benteng pertahanan malah juga menabur bakti melalui program jiwa murni kepada masyarakat, mampu menjadi penghibur alternatif malah sebagai pengaman di peringkat antarabangsa.

Jika diambil kira dari jumlah penonton yang hadir membanjiri Stadium Sultan Abdul Halim Alor Star pada malam tersebut, penulis merasakan bahawa rakyat Malaysia dahagakan hiburan alternatif seumpama untuk mengimbangi hiburan yang melibatkan artis semata-mata. Pertunjukan sebegini juga jika saluran media elektronik turut menyiarkan secara langsung ke seluruh negara secara konsisten mampu menjadikan generasi muda lebih patriotik dan tahu menghargai kebolehan dan kemahiran rakyat sendiri.

Apa yang boleh dilakukan ialah kerajaan-kerajaan negeri perlu menggerakkan usaha ke arah pengemblingan dengan ATM untuk menjadikan acara sebegini berada di dalam kelendar aktiviti negeri masing-masing. Agensi-agensi beruniform yang lain seperti PDRM, BOMBA dan Kementerian Belia dan Sukan juga boleh turut mencipta aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kepakaran masing-masing mengikut kreativiti yang mana mampu menjana minat generasi muda untuk sama-sama menyertai aktiviti-aktiviti yang mencabar keberanian sekali gus membentuk semangat berpasukan dan jati diri yang diperlukan di samping menghindar diri mereka terjebak di dalam aktiviti yang tidak sihat yang semakin hari semakin parah melanda masyarakat muda mudi hari ini.

Masyarakat telah lama mengiktiraf kebolehan dan disiplin anggota ATM di dalam apa jua aktiviti yang dipertanggongjawab kepada mereka. Tidak ada apa yang istimewanya yang ada dalam diri seseorang anggota ATM melainkan kebolehan mereka terbentuk oleh latihan terancang dan konsisten yang masing-masing menjalankan tugas/peranan yang diarahkan mengikut tahap kedudukan mereka. Di atas dasar inilah biar apapun arahan yang diberikan, mereka cuba melakukan sedaya mungkin dan jika diadaptasikan kaedah ini kepada belia-belia bukan tentera pun, mereka mampu melakukan jika ditangani dengan betul. Jika ada seribu daya, tidak mustahil akan wujud seribu hala. Malaysia mesti boleh.

1 comment:

Mahmud Ahmad said...

Sy mencari Jlatih Tempur Wira ex Army (2nd Dan) utk bersama projek sy di Johor.. hubungi sy 016 7352287. Tkasih

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini