About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, September 27, 2008

BRIGED SEMPADAN

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Sep 2008
Oleh: Hamzah hd.

DETIK PERMULAAN

Berdasarkan komitmen dan iltizam yang dipamirkan selama 29 tahun Batalion Infantri Siri 300 Askar Wataniah (Bn. Inf. Siri 300) melaksanakan tanggung jawab dan amanah mengawal sempadan utara Semenanjong, pelbagai pihak merasakan kewajaran supaya khidmat bakti Batalion ini dihargai.

Justeru itu tarikh 12 Jan 2008 telah menjadi satu tarikh bersejarah terpahat di dalam kalendar Tentera Darat (TD), kerana kerajaan memberi pengiktirafan kepada pasukan ini dengan penyerapan semua pegawai dan anggota ke dalam sebuah lagi cabang perkhidmatan Infantri iaitu Rejimen Sempadan (RS) menjadikan Kor TD yang ke 16. Majlis pengistiharan telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dalam satu majlis pada 09 Feb 2008 di Batalion Pertama RS Tanah Merah Kelantan. Langkah penubuhan RS adalah satu wahana untuk merealisasikan aspirasi keselamatan di kawasan sempadan negara.

Tindakan Susulan Peningkatan

Tanggal 25 Julai 2008, bertempat di Kem Oran, Kangar Perlis, satu lagi istiadat berlangsung iaitu mengistiharkan Status Operasi Markas Briged Sempadan (MBS). Upacara pengistiharan ini telah di sempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Seri Muhammad Ismail bin Haji Jamaluddin.

Majlis bermula dengan Istiadat Perbarisan yang terdiri daripada 8 orang Pegawai dan 151 orang anggota Lain-lain Pangkat serta turut dihadiri oleh Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor, Panglima 2 Division, Mejar Jeneral Dato’ Mohd Noor bin Daud dan Panglima-panglima Formasi, Pegawai-pegawai Kanan, Pegawai dan anggota.

Upacara dimulakan dengan menandatangani Sijil Serah Terima Batalion Rejimen Sempadan daripada 2, 6 dan 8 Briged Infantri kepada Briged Sempadan.

-Panglima Briged Ke 2 Infantri, Brigadier Jeneral Zulkifli bin Mansur telah menyerahkan Batalion Ke 3 dan Ke 4 Rejimen Sempadan kepada Kolonel Adnan bin Ariffin selaku Pemangku Panglima Briged Sempadan (BS).

-Panglima Briged Ke 6 Infantri, Brigadier Jeneral Dato’ Fadzil bin Mokhtar telah menyerahkan Batalion Ke 5 Rejimen Sempadan kepada Pemangku Panglima BS.
-Panglima Briged Ke 8 Infantri, Brigadier Jeneral Azizan bin Mat Deli telah menyerahkan Batalion Pertama dan Ke 2 RS kepada Pemangku Panglima BS.

Seterusnya upacara menaikkan bendera MBS dan bendera Batalion-batalion Sempadan dan diikuti dengan upacara menandatangani Plat Pelancaran MBS oleh Panglima TD sebagai acara kemuncak.

Kesinambungan Mandat

Kemakmuran yang sedang dinikmati hari ini adalah hasil usaha dan jerih payah generasi dahulu. Dengan usaha-usaha berterusan, maka rakyat hidup dalam keadaan harmoni dan selesa. TD mengekalkan kesinambungan kesejahteraan ini berganding bahu dengan ikrar bagi menjamin untuk mempertahankan keamanan dan kedaulatan supaya kualiti hidup rakyat kekal kondusif dan makmur.

Komitmen berterusan TD, sebagai benteng dan tulang belakang pertahanan negara dengan meneruskan misi order of battle nya telah mengorak langkah dengan mengaktifkan kepada status operasi BS. dengan menurunkan kuasa untuk melaksanakan peranan dan tugasnya sebagai sebuah ketumbukan BS bagi menjamin keselamatan di kawasan sempadan darat negara.

Nukleas asas BS yang telah ditubuhkan pada tahun 2006 telah diberi nafas baru pada awal 2008 dan kini kerajaan sekali lagi merestui segala perencanaan dengan mengistiharkan MBS sebagai sebuah Briged yang berstatus operasi. Dengan ini MBS diberi keupayaan oleh TD untuk merancang, melaksanakan operasi dan latihan serta mentadbir dan juga mengurus keperluan logistik sesuai dengan peranan dan tugasnya.

Batalion-batalion RS yang diletakkan di bawah perintah operasi Briged-briged Infantri sebelum ini telah diambil alih oleh MBS. Ini bermakna Rejimen ini akan melaksanakan tugas menjaga keselamatan sempadan daratan negara dan seterusnya dapat merealisasikan hasrat TD untuk mempunyai satu pasukan keselamatan sempadan yang lebih khusus, fokus dan teratur. Cabaran ini akan berhasil hanya dengan perancangan yang komprehensif serta dizahirkan perlaksanaannya dengan penuh komitmen oleh semua peringkat. Walaubagaimanapun, saluran pemerintahan MBS kekal di bawah Markas 2 Division yang berpangkalan di Pulau Pinang.

Selain daripada itu, pemerintah tertinggi TD turut memberi gambaran tentang proses pemodenan untuk mempertingkatkan pengawalan sempadan di masa hadapan akan dilengkapi dengan bantuan radar surveillance, alat pandang malam (NVG), unmanned aerial vehicle (UAV) dan sebagainya, dalam usaha memberi jaminan supaya tahap keberkesanan pengawalan sempadan dapat dioptimumkan.

Meninjau kepada senario keselamatan dewasa ini telah menunjukkan indek jenayah yang semakin meningkat menjadikan usaha dan perancangan ini sangat relevan, tepat pada masanya dan harus disegerakan. Makanisma atau kaedah teknologi masa kini sebagai alat bantu dan nilai tambah kepada keupayaan pengawalan dijangka akan memberi impak yang lebih besar ke arah keberkesanan.

Langkah pengoperasian Rejimen ini juga dirancang untuk dilaksanakan di sempadan negara di Malaysia Timur. Ini selaras dengan usaha kerajaan yang sedang merancang untuk mengusir dan ‘membersihkan’ Pendatang Tanpa Izin (PTI) dari bumi Sabah dan menentukan sedaya mungkin kemasukan kembali mereka melalui sempadan darat tidak berlaku lagi.

Persediaan

Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, isu keselamatan negara samada bermula dari garisan sempadan daratan atau pun sempadan lautan merangkumi setiap inci tanah jajahan samada bandar maupun desa adalah menjadi tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul oleh setiap warganegara. Segala unsur-unsur yang boleh memudarat dan mencemarkan kedaulatan dan keselamatan, jika tidak dijaga dan dipertahankan, suatu hari kelak akan menjejaskan keharmonian dan kualiti kehidupan semua warganegara itu sendiri.

Kesan daripada pengabaian dan ketidakpedulian tentang hak dan kedaulatan akan mengakibatkan kehilangan kepada suatu pemilikan tanah jajahan yang merupakan maruah kepada sesebuah negara. Dalam konteks lain, kesan daripada pengabaian penjagaan sempadan juga turut mencetus satu suasana tidak harmoni di dalam negara. Ini adalah kerana pembiakan aktiviti-aktiviti pencerobohan dan lintas sempadan seumpama penyeludupan dadah, senjatapi dan juga kemasukan PTI telah membibitkan pencemaran keselamatan yang mana bukan sahaja kesempatan sebegini diambil oleh orang luar malah rakyat sendiri yang menjadi dalang utama yang mencetus ketidakharmonian dalam negara..

Justeru itu, pengemblingan proaktif agensi-agensi keselamatan negara, seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dan Imigresen memerlukan idea-idea baru yang lebih kreatif di samping mempertingkatkan usaha dan sentuhan bagi menafikan segala bentuk aktiviti yang telah banyak mendatangkan masalah.

Suatu reka bentuk berupa kerjasama jangka panjang antara RS dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain dengan pembentukan satu ketumbukan bersama dan melakukan pengawalan terkordinasi mungkin boleh menghasilkan suatu dimensi penguatkuasaan kawasan sempadan yang efisyen dan dinamik. PERAJURIT

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini