Sumber: Majalah Perajurit Edisi Okt 2008
Oleh: Hamzah hd.
Proses penyediaan angkatan tentera atau persoalan keselamatan dan pertahanan bukanlah satu tindak balas ke atas sesuatu ancaman semata-mata tetapi sebagai sebuah negara Islam, persediaan ini seharusnya merujuk kepada Firman dalam Surah Al-Anfal Ayat 60 yang bermaksud:
‘Bersiap sedialah bagi menghadapi mereka (yakni musuh) dengan segala jenis kekuatan yang termampu kamu sediakan dari Pasukan Berkuda yang lengkap, sedia untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain selain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya’.
Ayat di atas menjelaskan bahawa musuh kita tetap ada samada yang sudah kita ketahui atau yang masih belum kita ketahui. Oleh itu kita sebagai umat yang beriman telah diarahkan supaya bersedia dengan kelengkapan dan bersiapsiaga menghadapi kemungkinan dikejutkan oleh serangan musuh yang tidak terduga.
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar-dasar Islam di dalam kehidupan selalunya berpotensi akan dicemburui oleh negara tetangga yang tidak sebudaya dengan kita. Cuma tahap dan potensi kemerbahayaan sahaja yang berbeza di antara satu yang lain dan tidak mustahil secara tidak langsung akan bertindak sebagai proksi kepada kuasa-kuasa besar. Kita harus akur bahawa negara sahabat hari ini kemungkinan akan menjadi musuh pada esoknya. Ianya mungkin di pengaruhi oleh iklim politik dalaman atau iklim politik serantau, ekonomi, ugama, persempadanan wilayah dan sebaginya. Suka atau tidak, persediaan maksima sangat perlu disegerakan bagi memenuhi keperluan sebenar aspek pertahanan negara.
Harus diingat, pertahanan negara adalah ketahanan ummah. Kita mahu pertahanan negara pada asasnya kelihatan kuat dan ditakuti semestinya mempunyai angkatan tentera yang mantap, mempunyai aset yang mencukupi dan sistem persenjataan yang canggih dengan daya mobiliti yang pantas dan kuasa tempur yang utuh. Kemudian diperteguh dan diperlengkapkan dengan perwira dan perajurit yang beriman dan kental rohaninya dan sanggup berjuang hingga ke titisan darah terakhir.
Sebenarnya negara sudah mempunyai perwira dan perajurit yang dinamik dan kental semangat juangnya. Ini telah terbukti sepanjang 75 tahun menangani dengan cemerlang kemelut dalam negara dan mereka tidak gentar di pentas antarabangsa. Apa yang mereka perlu ialah sokongan yang akan mengiringi perjuangan mereka. Apa yang mereka perlu ialah kelengkapan yang sesuai dengan helah dan taktikal peperangan masa kini. Kelengkapan yang ada pada musuh atau bakal musuh harus mereka juga memilikinya.
Persediaan Kian Samar
Tahun ini (sehingga artikel ini ditulis) kemungkinan dua perkara besar yang mempengaruhi kelancaran program pembangunan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam konteks kelulusan kepada perolehan aset-aset tempur baru yang sedang dirancang/dicadangkan untuk mengisi keperluan di dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.
Pertama - Senario politik dalam negara pasca tsunami pilihan raya umum ke 12 yang lalu telah mengubah corak dan rentak persidangan/perdebatan di dalam Dewan Parlimen yang menafikan momentum yang dahulunya didominasikan oleh penyokong kerajaan.
Dengan pertambahan ketara Ahli Parlimen dari kalangan parti pembangkang di dalam Parlimen, kita dapat lihat bagaimana ketidakserasian di antara kedua-dua belah pihak di dalam mencari kata sepakat dalam sesuatu perkara. Sikap suka ‘menidakkan’ kewajaran usul pihak lawan (walaupun benar) dan ‘membenarkan’ perkara yang tidak wajar (walaupun ternyata tidak baik) mendorong kepada satu suasana ‘menghitamkan’ yang putih dan ‘memputihkan” yang hitam yang ternyata akan menjadi bertambah sukar untuk mencari suatu titik pertemuan kepada persepakatan.
Suasana politik yang tidak menentu ini dikuatiri akan membantutkan proses perbincangan yang memerlukan kata sepakat yang menjurus kepada kelulusan sesuatu usul/cadangan dari Kementerian Pertahanan sebagai kesinambungan penambahbaikan dan pembelian kelengkapan strategik ATM yang berskala besar demi kebaikan seluruh rakyat yang telah mengamanahkan soal keamanan kepada ATM secara amnya.
Kedua - Kesan kenaikan harga minyak dunia dan kegawatan ekonomi yang melanda negara waktu ini yang memaksa kerajaan menstrukturkan semula sistem subsidi minyak dan bahan makanan ruji rakyat yang mengalami kenaikan secara mendadak dan tidak terkawal. Dengan alasan ini beberapa projek mega yang telah pun diluluskan sebelum ini telah ditangguhkan atau dikaji semula pembangunan supaya kosnya dapat dijimatkan untuk memberi tumpuan kepada pemulihan trauma rakyat dari golongan sederhana dan rendah yang sedang menerima impak kepada senario ini.
Berdasarkan dua faktor ini (politik dan ekonomi) perancangan perolehan aset atau kelengkapan tempur ATM yang sedang dirancang seolah-olah sedang mengalami tempoh bertenang dan agak sukar diramal samada ATM turut menerima nasib yang sama seperti penangguhan program-program pembangunan dari sektor-sektor lain. Jika dinilai dari Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK 9), sektor pertahanan tidak mempunyai perubahan ketara walaupun ternyata ada pengurangan yang mana perolehan yang telah pun diluluskan seperti Helikopter pengganti Nuri dan Pesawat Airborne Early Warning And control System (AEWACS) akan diteruskan namun apa yang merisaukan ialah momentum perolehan-perolehan lain yang digembar gembur untuk melengkapkan keperluan di ketiga-tiga cabang perkhidmatan akan turut dikaji malah tidak mustahil juga apa yang sedang diusahakan juga turut dikaji semula.
Walaubagaimanapun, jika benar negara sedang berhadapan dengan kemelut dari dua faktor di atas, adalah tidak wajar bagi sesiapa saja untuk menafikan keperluan sebenar negara kepada suatu pertahanan yang mapan yang sudah sampai masanya untuk dipersiapkan secara total selewat-lewatnya menjelang tahun 2020. Ini penting kerana jika Malaysia berjaya mencapai wawasan yang digarap menjelang 2020, adalah menjadi tidak seimbang jika kesiapsiagaan pertahanan dari segi aset dan kelengkapan tempur tidak mengiringi pencapaian tersebut.
Masih dikira bertuah jika dalam tempoh dua belas tahun yang akan datang, negara dikurniakan keamanan. Apa akan jadi jika negara mengalami perkara yang sebaliknya? Apakah perolehan boleh didatangkan dalam masa yang singkat untuk menentukan kedaulatan negara dipertahankan? Hakikat yang harus diterima ialah untuk membina sistem pertahanan yang mapan memerlukan sejumlah aset tempur yang moden dan sejumlah operator yang terlatih atau sejumlah angkatan yang dinamik, kompeten dan mampu membuat penyesuaian taktikal serta menerbitkan pembaharuan dan kemajuan semasa berintraksi dengan mesen memerlukan masa yang agak lama. Jika perkara ini dibuat perkiraan, maka usaha melengah-lengah mempersiapkan kekuatan ketenteraan ke satu tahap mapan adalah satu kesilapan yang akan menyesal kemudian tiada gunanya.
Masa Aman Untuk Menyedia Dan Berlatih
Di dalam sesuatu keadaan kita merasakan bahawa negara kita sentiasa menjalin hubungan baik dengan negara-negara luar dan jiran serantau yang kadang kala mencetus pemikiran yang memencilkan kemungkinan konflik akan berlaku terutamanya dalam jangkamasa terdekat maupun jangkamasa panjang.
Namun jika dinilai berdasarkan suasana politik tanahair yang komunitinya berada di dalam kelompok silaturrahim yang intim pun sukar dijangka dan terjadi juga tsunami perpecahan dan sukar untuk mencari kaedah penyelesaian, apatah lagi untuk menjangkakan gelombang yang bakal datang dari luar.
Kita sepatutnya tidak boleh merasa selesa dengan keamanan yang negara kecapi sekarang untuk menafikan kepentingan sesuatu aset dengan alasan negara akan menanggung kos yang terlalu tinggi untuk memperolehinya. Memang tidak dinafikan, faktor keupayaan ekonomi patut juga difikirkan sebelum sesuatu keputusan pembelian dibuat tetapi alasan sebegitu boleh dipertimbang jika negara kita sudah memiliki sepenuhnya keperluan strategik pertahanan di dalam ketiga-tiga cabang ATM.
Apa maknanya negara mempunyai wang yang banyak jika dalam masa yang sama negara digugat dan sukar ditangkis oleh kerana kekurangan aset-aset strategik yang cukup membantu? Apakah selamanya pemimpin negara mampu bertahan dan sabar dengan kaedah diplomasi? Memang tidak dinafikan, kaedah ini sangat berkesan untuk mengelak negara dari terjebak dengan kancah peperangan, tetapi maukah kita maruah negara diperlekehkan jika satu demi satu kepunyaan negara beralih tangan? Penulis juga cukup yakin bahawa tahap kesabaran seseorang pemimpin negara tidak sama dan selalunya ia berkait rapat dengan ideologi yang dimiliki oleh parti-parti politik yang dinaunginya. Jika kesabaran pemimpin atau daya diplomasi lemah maka keputusan untuk menyahut cabaran provokasi akan lebih cenderung kepada penggunaan kuasa ketenteraan. Dalam suasana ini, rakyat dari golongan mana sekalipun akan bergantung harap kepada kekuatan tentera sebagai benteng pertahanan.
Apa yang perlu difikirkan sekarang ialah bagaimana untuk memenuhi keperluan ATM menjurus kepada kekuatan sebenar yang diperlukan untuk menjaga keamanan dan kedaulatan tanahair kerana inilah masanya untuk ATM berlatih dan mencuba kaedah-kaedah baru taktikal hasil dari sokongan teknologi semasa.
Kewajaran Perolehan
Salah satu kaedah berkesan untuk pengumpulan maklumat pergerakan musuh ialah dengan memanjangkan jangkauan radar samada dengan menggunakan Pesawat Piket, Maritime Patrol Aircraft (MPA) ataupun AEWACS. Boleh dikatakan pesawat-pesawat ini mempunyai peranan yang sama tetapi mempunyai keupayaan yang berbeza. Namun begitu AEWACS dilihat mempunyai keupayaan yang lebih tinggi tetapi harga dalam pasaran juga jelas lebih tinggi. Walaupun begitu konsiderasi kepada perolehan aset terpakai mungkin boleh dipertimbangkan beberapa unit sebagai permulaan.
Di tahun-tahun kebelakangan ini beberapa siri artikel di dalam majalah-majalah pertahanan negara telah menceritakan secara menyeluruh keupayaan pesawat ini dari sudut spesifikasi dan teknikal yang mana cukup jelas mempunyai keupayaan yang tinggi sebagai pemantau dan perantara kepada pasukan kombat namun tidak ramai yang menjelaskan secara taktikal kepada umum tentang kebaikannya kerana taktikal lebih kompleks dan sulit.
Kepentingan keperluan pada dasarnya apa yang dimohon atau dicadang untuk perolehan adalah berkait rapat dengan keperluan taktikal. Orang awam yang tidak pernah berada di dalam kelompok pengguna agak sukar untuk memahami betapa susahnya untuk mendapat sesuatu informasi yang mana berdasarkan maklumat awal tersebut akan dinilai untuk identifikasi dan akan diterjemah kepada taktikal dan kuasa tembakan dari pertahanan udara, laut maupun darat.
Mewajarkan kepentingan perolehan Airborne Early warning And control System (AEWACS) sebagai aset ATM ialah perlu dilihat dari sudut taktikal betapa pentingnya sumber informasi kepada tim pemintas TUDM, Gerup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) dan juga tim Aksi Informasi Organisasi (AIO) armada TLDM untuk merangka pelan bertindak semasa ketegangan.
Keluasan wilayah negara yang dikelilingi oleh laut sebenarnya masih kecil jika dibandingkan dengan kelajuan pesawat pejuang apatah lagi yang berkelajuan supersonik menghampiri sesuatu pertahanan samada darat atau laut. Dengan kelajuan pesawat sebegini yang terbang dari luar beratus batu dari sempadan wilayah negara akan mengambil masa hanya beberapa minit sahaja.
Jika dengan mengambil kira maklumat yang diperolehi dengan keupayaan Radar Amaran Awal dari bumi yang mampu mengesan pada jarak efektif 200 batu nautika bermakna risiko untuk menangkis kemaraan pesawat pejuang musuh menjadi sangat sukar. Tambahan lagi geografi negara yang mempunyai pulau-pulau dan berbukit bukau memberi saham taktikal yang cukup tinggi kepada pihak musuh untuk menipu radar pertahanan bumi.
Ini adalah kerana usaha untuk mengenal pasti samada gambaran udara itu dari angkatan sahabat atau musuh juga memerlukan ketelitian dan masa. Tambahan lagi dengan manipulasi peperangan elektronik yang boleh membutakan mata dan memekakkan telinga peralatan yang dimiliki sangat menyulitkan keadaan.
Inilah peranan yang bakal dimainkan oleh AEWACS yang mana dengan kedudukan pada satu tahap ketinggian operasi, kemampuan radar AWACS boleh mengesan sasaran melebihi 300 batu nautika dengan mod-mod yang dipelbagaikan disamping mod pasif bila mana kawalan polisi emisi (emcon policy) dikuatkuasakan. Dengan mod melampaui ufuk dan kuasa mobiliti pesawat, ianya akan memberi impak kesiapsiagaan yang sangat tinggi dengan keupayaan membuat analisis dan identifikasi awal setiap pergerakan udara yang mencurigakan dan menyalurkan maklumat lengkap kepada pesawat pemintas, GAPU atau pun tim AIO tentera laut tentang kehadiran angkatan musuh ke dalam wilayah tanggungjawab.
Inilah rasionalnya perolehan AEWACS diperlukan beroperasi di dalam perkhidmatan kerana ianya berfungsi sebagai perisik barisan hadapan udara dan maritim yang paling berkesan dalam memberi maklumat awal kedatangan musuh dan memberi ruang kepada pesawat pemintas membuat pemintasan sebelum masuk ke garisan sempadan ruang udara negara.
Selama ini jika pemantauan dari udara banyak diberi peranan kepada MPA dan juga pesawat-pesawat tempur, dengan adanya pesawat ini di dalam armada udara, tumpuan pesawat-pesawat tempur untuk bertindak mengikut peranan utama akan lebih berkesan dan pesawat MPA yang ada dalam inventori TUDM boleh meneruskan tugas yang sama dengan memindahmilikkan ke bawah pengawasan Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM).
Walaupun AEWACS bukan satu penentu mutlak kepada kemenangan, sekurang-kurangnya kapabilitinya dapat menggandakan sumber informasi dan diterjemahkan kepada tindakan susulan tim pertahanan yang terbabit yang akan membawa natijah kemenangan di dalam peperangan. Jika negara-negara serantau yang lebih susah dari sudut kewangan pun boleh mengadakan beberapa buah pesawat ini untuk kepentingan pertahanan negara mereka mengapa kita tidak mahu memikirkan kepentingan ini secara positif dan diberi keutamaan? PERAJURIT
Bersiap sedialah bagi menghadapi mereka (yakni musuh-musuh) dengan segala kekuatan yang termampu kamu sediakan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain selain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahui-Al Anfal Ayat 60
About Me
- Minda Pertahanan
- Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.
Pages
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Labels
- Agensi Penguatkuasaan (5)
- APMM (17)
- ATM (71)
- Aviation (3)
- Ebooks (3)
- Eksesais (9)
- Exhibitions (4)
- LIMA (6)
- LIMA / DSA updated (9)
- LIMA updated (31)
- LIMA'09 updated (7)
- Luar negara (31)
- Menhan (3)
- National Task Force (7)
- NTF (6)
- Ops Benteng (5)
- PDRM (12)
- PKPP (1)
- SAR (1)
- Sejarah (5)
- Seminar (1)
- TDM (90)
- TLDM (135)
- TUDM (54)
- Umum (54)
- Veteran (31)
- Wataniah (7)
- Wataniah/Simpanan (2)
No comments:
Post a Comment