About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, August 4, 2008

ULANG TAHUN KE 74 – TLDM DI AMBANG KEKUATAN STRATEGIK

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Apr 2008

Oleh : Hamzah h.d
Separuh daripada usia ini, sistem dan cara hidup Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dibayangi oleh indentiti kolonial. Dalam beberapa aspek jika diimbas masih banyak lagi peninggalan dan budaya kolonial ini diamalkan tanpa meninggalkan sedikit pun. Mentaliti kolonialisme ini bertapak sehingga kepada satu generasi dan mula berganjak di akhir tahun 70an. Terutamanya dari aspek sosial dan gaya hidup. Namun ada beberapa perkara yang baik dan boleh dijadikan teladan ialah sikap dan komited mereka dalam melaksanakan tugas. Mentaliti kuat bekerja ‘orang-orang lama’ kian terhakis dan diresapi satu perinsip baru yang diperkenalkan iaitu work smart bukan work hard. Walau apa pun perinsip atau kaedah yang diguna pakai, transisi budaya dan mentaliti banyak mempengaruhi cara hidup warga TLDM hari ini. Faktor analog menjadikan generasi ‘orang lama’ sangat kreatif dan tekun membuat kerja tanpa lebih pengawasan dan berbeza dengan generasi digital yang berlaku sebaliknya.

Sepanjang tempoh ini TLDM telah diterajui oleh empat belas orang Panglima yang mempunyai wawasan yang tersendiri yang sepuluh orang daripadanya adalah anak watan yang mula mengambilalih tugas selepas setahun negara merdeka. Walaupun pengisian TLDM pada awalnya dibayangi mentaliti kolonialisme , tetapi dengan iltizam dan jati diri anak watan, mereka telah berjaya menukar sepenuhnya daripada cara hidup yang tidak sehaluan dengan syariat kepada satu cara hidup dan sistem yang berlandaskan syariat dengan mengekalkan tradisi-tradisi Tentera Laut yang diharuskan. Sebagai contoh, pada tahun 1982 penukaran pakaian seragam kepada satu sistem pemakaian yang menutup aurat sepenuhnya baik anggota lelaki maupun anggota wanita menjadi perintis kepada peralihan identiti. Perubahan positif seumpama ini dan banyak lagi budaya peninggalan penjajah yang menjadi ikutan sesetengah pelaut kita sebenarnya telah memberi impak yang besar kepada TLDM kerana menidakkan prejudis khalayak yang sebelum ini mensinonimkan budaya sosial itu dengan TLDM.

Dalam konteks perkhidmatan pula, dengan berbekalkan aset peninggalan penjajah mereka mula mencipta kemajuan dengan sabar tahun demi tahun biarpun dalam serba kekurangan. Pembangunan fizikal infrastruktur bermula seawal era 70an menjadi pemankin kepada penambahan aset tempur yang berasaskan manual dengan keupayaan elektronik yang terhad. Perolehan misteri KD JEBAT yang kemudiannya ditukar nama kepada KD RAHMAT yang kononnya alah dengan kekandanya KD HANG TUAH telah memberi pengajaran yang bermakna kepada TLDM dalam menentukan perolehan mendatang tidak mengulangi masalah yang sama yang bukan sahaja mengganggu pengaturgerakan armada malah banyak melibatkan kos pembaikan yang akhirnya menjurus kepada perlucutan tauliah kapal tersebut.

Visi

To be a quality Navy- Perinsip ke 10 Islam Hadhari memberi penekanan tentang kepentingan kekuatan pertahanan kepada negara dan ummah. Aspek pertahanan bukan sahaja isu-isu yang meliputi kekuatan ketenteraan dan persenjataan, malah ia merangkumi kekuatan diri, rohani dan jasmani warganya. Kualiti menuntut kepada kuasa dalaman iaitu keikhlasan, intergriti, memperbaiki kelemahan, mempertingkat mutu perkhidmatan dan daya saing, mengekalkan tahap disiplin, taat dan patuh semasa menjalankan tugas kemudian mengadaptasikan teknologi terkini sebagai sumber kekuatan luaran. Wawasan yang dicernakan bukan kepunyaan pemimpin semata-mata tetapi pencapaian matlamatnya mesti diusahakan dan diserlahkan bersama oleh segenap lapisan anggota dengan produktiviti yang berkualiti.

Pembangunan seimbang kelengkapan ketumbukan, prasarana malahan juga suasana dan tempat latihan yang kondusif memberi suntikan semangat dan kebanggaan bukan sahaja kepada warga TLDM secara khusus malah memberi keyakinan dan petunjuk kepada rakyat bahawa TLDM benar-benar sebuah angkatan laut negara yang kredibel dan berwibawa dengan menterjemahkan melalui komitmen dan ‘sedia berkorban’ anggotanya.

Dengan mengambil kira perkhidmatan TLDM era moden seawal 90an, hari ini khalayak memperakui bahawa TLDM sudah mencapai visinya untuk menjadi sebuah angkatan yang berkualiti. Apa yang penting ialah mengekalkan pencapaian cemerlang pasukan dan berusaha meningkatkan lagi keupayaan dan skill taktikal dan teknikal individu dengan mengambil kesempatan dan manfaat semasa latihan-latihan yang berskala besar dengan angkatan laut asing kerana ini akan memberi impak besar sebagai cegah rintang.

Misi

Menyedia dan mengatur gerak angkatan laut untuk melindungi kepentingan maritim Malaysia semasa aman dan memastikan kemenangan semasa perang tidak dapat tidak harus berbekalkan kekuatan dan keupayaan dengan sebilangan aset yang mencukupi dan berkebolehan dan sejumlah perwira dan perajurit bestari yang sanggup untuk menghadapi sebarang kesusahan dan dengan sukarela kehilangan sesuatu, walau nyawa sekalipun demi kepentingan ugama dan tanahair.

Mencipta dan mempamirkan visi, misi dan slogan sememangnya mudah tetapi kenyataannya boleh dilihat dan menilai dari kewibawaan dan iltizam pemimpin-pemimpin yang berwawasan yang berusaha keras ke arah pembentukan sebuah angkatan laut yang kredibel. Secara konsisten membuat penambahbaikan sistem dan proses untuk mencapai keupayaan dan jangkaan di arena antarabangsa dan domestik. Kemudian disusuli dengan pengaturgerakan angkatan terbina dengan penugasan aset-aset yang ada untuk memenuhi keperluan samada pembenterasan aktiviti-aktiviti maritim yang tidak sihat maupun operasi-operasi khas dan juga latihan.

Biarpun TLDM tidak mempunyai sejarah perang yang boleh dikira mencabar kewibawaan seperti mana Tentera Darat namun persiapan dan kesiapsiagaan armada menjadi fokus utama dan berjaya menyakinkan kerajaan dan rakyat tentang kepentinganya untuk pertahanan maritim. Atas dasar itu kita lihat walaupun bajet negara berkonsepkan kesamarataan kepada semua jabatan, namun pembangunan TLDM boleh dikatakan sangat terserlah bukan sahaja dari sudut infrastruktur dan prasarana termoden namun mutakhir ini penambahan aset-aset strategik sedang dilaksanakan dengan pesat.

Dalam rangka pembangunan jangka panjang, TLDM sedang menyusun dan melengkapkan armada masa depannya menjelang tahun 2020 dengan rencana perolehan platform untuk menjadikan enam buah kapal bagi setiap skuadron. Sementara pembinaan Kapal Ronda Generasi Baru dan Frigat Bac 2 disiapkan, TLDM terus mengintai sekurang-kurangnya dua buah platform Landing Helicopter Dock (LHD) untuk kepelbagaian tugas bersama Tentera Darat dengan keupayaan mobiliti yang pantas dan berskala besar. Fokus armada masa depan ini adalah selari dengan aspirasi negara untuk memberi ruang tugas yang lebih fleksibel tetapi mencakupi spektrum tugas yang lebih menyeluruh dengan kelengkapan selengkapnya untuk menentukan keselamatan sea lines of communications (SLOC) terjaga dengan keupayaan dan kesiapsiagaan yang tinggi dan juga mampu mengambil bahagian secara aktif dalam operasi kemanusiaan yang ditimpa bencana alam di mana-mana bahagian di seluruh dunia.

Bagi menentukan keberjayaan misi dan visi, TLDM memacu plan aksi yang dinamik dengan strategi teras dan strategi sokongan dengan mengambil kira beberapa polisi peringkat tertinggi seperti Polisi Pertahanan Negara, Polisi Ketenteraan Nasional dan Konsep Pertahanan Maritim sebagai formula asas kepada keberkesanan strategi TLDM.

Renungan Dan Kajian

Umum mengetahui bahawa dunia tentera laut sebenarnya mempunyai tradisi yang sama terutama bagi Tentera Laut Komanwel. Sistem asas seperti silibus dan publikasi rujukan pelaut, taktikal peperangan, naval term, istiadat malah warna dan bentuk pakaian seragam mempunyai persamaan yang agak ketara. Banyak Tentera Laut dari negara-negara Komanwel masih mengekalkan identiti pemakaian Tentera Laut British dengan mempamirkan insignia kepakaran dan pangkat yang serupa. Atas dasar itu juga dari segi kebaikannya, warga Tentera Laut Komanwel tidak begitu sukar untuk berintraksi di antara satu sama lain dan mudah untuk memahami cara kerja masing-masing kerana mereka berkongsi sistem yang masih diguna pakai sehingga ke hari ini tanpa banyak perubahan yang ketara.

Jika menghayati slogan to float, move and fight, memperkasakan kemahiran taktikal dan keupayaan teknikal bukan keperluan skunder dalam misi perjuangan tetapi satu perkara utama yang mesti dipersiapkan dan diasah setajamnya untuk persiapan ke medan perang. Kedua-dua elemen ini akan menentukan kepulangan yang selamat ke pangkalan atau sebaliknya.
Justeru itu, pembangunan pengurusan modal insan di bawah strategi sokongan mensasarkan keupayaan seseorang anggota mesti kena dengan tugas dan pada masa yang betul. Sekadar pandangan penulis, bahasa taktikal alternatif dalam konteks Action Information Organisation (AIO) yang meletakkan Combat Information Centre (CIC) dan Communication Center (COMCEN) sebagai nadi kewujudan armada tentera laut. Jika perlu, menilai konteks ini sebagai suatu kontigensi mungkin akan membuahkan sesuatu pembaharuan. Jika perkara ini relevan, mengangkasakan kemahiran krew CIC dengan terminologi taktikal tempatan sebagai alternatif mungkin menjadi keperluan baru untuk memastikan taktikal kita sukar dimanipulasikan oleh kebanyakan tentera laut dunia yang mempunyai rujukan yang sama. Sebagai tambahan, mencipta kod-kod rahsia taktikal yang baru adalah satu kelebihan yang mana akan menyukarkan pengumpulan maklumat oleh pihak musuh yang kadangkala dari bangsa serumpun. Masa terdesak menjadi suatu perkara yang agak sukar untuk diatasi dan langkah menjadikan ianya sebagai pelan kontigensi adalah yang terbaik. Bahasa dan prosedur taktikal yang berasaskan bahasa nusantara (MALINDO) yang telah lama dicipta harus juga diberi suntikan dan dipraktikkan semasa latihan intra.

Kesempatan di waktu aman merupakan peluang yang terbaik untuk memperkasakan kemahiran. Latihan secara kolektif di pelabuhan harus ditangani secara jujur dan serius oleh pengendali. Bahagian latihan armada tidak harus berlepas tangan dengan hanya mengeluarkan jadual latihan semata-mata tetapi perlu ada susulan pemerhatian dan koreksi. Untuk keberkesanan latihan, pelaku-pelaku harus diberi kelepasan dan ruang secukupnya dari tugas-tugas lain buat sementara waktu. Pegawai yang diberi mandat harus melihat keperluan latihan sebegini dalam konteks tanggungjawab dan amanah dengan mendalami halangan persekitaran yang sering menggagalkan perencanaan yang diatur.

Mengukur keupayaan angkatan musuh juga boleh diperolehi daripada kelengkapan teknikal yang dibeli. Penggunaan kelengkapan berasaskan spesifikasi teknikal yang asal mudah dimanipulasikan setelah mengetahui keupayaan sebenar sesuatu peralatan. Justeru itu jika ada usaha untuk memodifikasi atau meningkat upayakan sistem yang sedang diguna akan memberi impak yang sangat baik kepada kemapanan pertahanan armada kerana sekali gus dapat memelihara tahap kerahsiaan keupayaan peralatan dan sukar dipengaruhi oleh provokasi dimensi elektronik dan seumpamanya.

Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) perlu diberi nafas. Mengoptimakan komitmen dan penyertaan terhadap latihan kepada anggota yang sedia ada. Membiarkan komitmen sesuka hati akan merugikan kerajaan yang telah memperuntukan sejumlah bajet untuk pembangunan pasukan ini. Menyusun agenda dengan memperkasakan pasukan skunder setara dengan angkatan regular TLDM supaya dapat menggantikan angkatan tetap jika berlaku darurat dan sebagainya. Untuk menentukan pasukan ini setara, persediaan intensif perlu digerakkan dengan penambahbaikan pembangunan prasarana dan tempat latihan yang lebih sistematik kemudian disusuli dengan latihan di kapal perang sebenar sekerap mungkin untuk familiarisasi khusus sesuatu kepakaran. Dengan harapan, suatu masa yang diperlukan kelak pasukan ini boleh berdikari dan boleh digerakkan bersama angkatan tetap.

Kesinambungan komitmen Pasukan Latihan Anggota Simpanan (PLAS) dan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Laut (PALAPES) yang sehingga kini tujuh buah pasukan telah tertubuh di Intitusi Pengajian Awam (IPTA) terus menjadi persoalan khalayak. Walaupun alasan penglibatan mereka di IPTA sekadar menagih elaun untuk menambah wang saku atau memenuhi ko-kurikulum wajib pengajian, tetapi susulan komitmen mereka harus berakhir kepada penyertaan dalam pasukan PSSTLDM supaya Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) negara mudah diselaras dan digerakkan bila tiba masanya. Mereka-mereka ini yang saban tahun bertambah merupakan aset HANRUH yang separa terlatih dan sangat rugi jika tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Jika mereka-mereka ini diberi nafas, saya berpendapat strategi HANRUH mudah dikembang dan jika digabungkan dengan cabang-cabang perkhidmatan yang lain seperti PSSTD, PSSTU dan agensi-agensi beriniform yang lain sudah tentu negara sudah menpunyai barisan pertahanan kedua yang mapan.

Komitmen dan Kekangan Semasa

Zon Ekonomi Eksklusif negara yang terbahagi kepada tiga zon iaitu Pantai Timur Semenanjong yang berkeluasan 131,248 km persegi, Pantai Barat Semenanjong yang berkeluasan 74,469 km persegi, Perairan Sabah yang berkeluasan 65,436 km persegi dan Perairan Sarawak yang berkeluasan 63,518 km persegi jika dihitung adalah sangat luas dan jika dibandingkan dengan bilangan aset yang ada adalah sangat mustahil untuk mengawasi dengan berkesan sebilang masa.

Selat Melaka yang menjadi laluan perdagangan antarabangsa paling sibuk sering terancam oleh keganasan tradisional yang menjadi isu global yang membawa kepada penawaran kuasa besar untuk turut sama mengawasi laluan ini. Peluang sebegini sangatlah dinanti-nantikan tambahan lagi dengan adanya proksi yang sentiasa mencari ruang untuk merealisasikan impiannya.

Isu perlanunan Selat Melaka ini telah ditangani dengan baik hanya dengan mengoptimakan kerjasama dan rondaan terkoordinasi bersama negara bersempadan dan mengaplikasikan pengawasan yang bersistematik dan konsisten yang mana hasilnya aktiviti perlanunan dapat dikurangkan dan menjadi isu terpencil sesekali di laporkan tanpa memerlukan pertolongan kuasa besar yang sedang mencari jalan pendominasian di rantau ini. Ketegasan kerajaan Malaysia menolak campurtangan kuasa besar dalam menangani isu ini adalah satu langkah bijak dan sangatlah dipuji.

Laut China Selatan dengan sumber asli dari perut bumi dan pemakanan hasil laut turut menjana ekonomi negara yang bukan sedikit jumlahnya menjadi wilayah tanggungjawab kepada TLDM untuk mengekang aktiviti-aktiviti pencerobohan nelayan asing untuk mengaut keuntungan di dalam perairan negara kita. Rakyat mungkin tidak tahu bahawa Skuadron Patrol Craft (Kelas Keris dan Sabah) yang terlibat secara langsung dengan ‘Operasi Cabut’ (Operasi menghalang kemasukan Pendatang Haram Vietnan) kemudian disusuli dengan membenteras lintas sempadan oleh nelayan asing tanpa kebenaran telah menyelamatkan hasil mahsul perikanan negara yang bernilai berbillion ringgit semenjak kapal ini ditauliahkan seawal tahun 60an sehingga perkhidmatan terakhir sebelum diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) pada tahun 2006. Dalam proses ini ramai anggota TLDM yang cedera malah ada yang terbunuh.

Tuntutan bertindih Batu Putih dengan Singapura yang masih dalam proses perbicaraan di Mahkamah Antarabangsa. Tuntutan bertindih di Gugusan Semarang dan Peninjau (GSP) yang menuntut kepada pengawasan dan menunjuk kehadiran sepanjang masa samada bertugas di atas pulau buatan seperti Terumbu Layang-layang (Stesen Lima), Terumbu Ubi (Stesen Uniform), Terumbu Mantanani (Stesen Mike) dengan sejumlah kekuatan anggota malah pengawasan oleh kapal-kapal ronda yang sentiasa mengawasi dan bersiapsiaga untuk menghadapi segala kemungkinan yang tidak diingini.

Provokasi media cetak dan elektronik negara serumpun mencuri tumpuan dengan menyiarkan berita-berita yang seolah-olah kapal TLDM menceroboh di Blok Ambalat. Slogan ‘Ganyang Malaysia’ disusuli dengan pengumpulan sukarelawan jihat dilancar bukan sahaja di negara mereka malah pekerja Pendatang Tanpa Izin (PATI) di Malaysia tanpa rasa ragu turut bersemangat untuk mengganyang Malaysia.

Kerjasama Rakan

Sebelum tertubuhnya (APMM), selain tugas utama TLDM, ianya juga menjalankan tugas penguatkuasaan perundangan maritim sebagai tugas skunder masa aman. APMM dijangka tidak begitu sukar dan tidak akan mengambil masa begitu lama untuk menyesuaikan diri dengan tugas baru kerana penyerapan sebahagian anggota TLDM bersama kapal-kapal yang sudah matang dan mahir tentang selok belok ilmu kelautan. Dengan perolehan aset moden yang mencukupi seperti helikopter dan bot-bot laju APMM dilihat akan mempunyai keupayaan yang tinggi untuk membenteras aktiviti-aktiviti jenayah tradisional di laut dengan lebih efisien. Sekaligus memberi kenyakinan kepada pedagang-pedagang luar yang menggunakan laluan selat Melaka sebagai laluan perdagangan mereka.
Ini telah memberi ruang kepada TLDM untuk memberi tumpuan kepada pertahankan kedaulatan dari segala bentuk provokasi ketenteraan samada secara individual atau operasi bersama dengan elemen Tentera Darat dan Udara serta latihan kemahiran dan kerjasama dengan negara-negara luar.
Di dalam menyaingi reputasi negara-negara ASEAN seperti Indonesia dan Singapura yang telah mendahului menggerakkan armada kapal selam malah telah memasuki fasa peningkatan, TLDM seharusnya tidak perlu merasai ianya sebagai cabaran yang mendesak kepada perolehan aset tempur strategik yang seumpama malah apa yang penting ialah mengekalkan momentum perolehan mengikut percaturan selari dengan kemampuan modal insan sebagai operator yang berwibawa. Jika diletakkan keutamaan, pesawat Airborne Early warning And Control (AEWAC) dan helikopter yang dilengkapi dengan dipping sonar harus memasuki perkhidmatan ATM kerana aset ini masih belum ada dalam inventory ATM yang ternyata sangat penting sebagai pengumpul maklumat taktikal dalam peperangan udara dan peperangan bawah permukaan.
Mengekalkan tahap kesiapsiagaan dan taraf operasi peralatan sangat penting dan menentukan kapal-kapal yang dibaiki pulih dalam masa yang dirancang adalah sangat memerlukan komitmen pihak limbungan yang dilantik. Kegagalan menyiapkan pembaikan adalah menjejaskan perancangan dan pengaturgerakan kapal-kapal di garisan sempadan. Kesiapsiagaan Logistik harus distrategikan dengan kepunyaan yang mencukupi dan berupaya dimobilisasikan dengan pantas walau dengan apa cara sekalipun.
Penutup
Ramai orang mengukur sumbangan TLDM adalah dari sudut pertempuran di dalam peperangan dengan musuh-musuh di laut maka oleh kerana Malaysia berada dalam zon aman sejak merdeka, lalu ada yang berani mengatakan membangunkan angkatan laut yang menepati keperluan strategik adalah membazir. Ada juga yang mengatakan TLDM hanya tahu menghabiskan duit tanpa memberi pulangan kepada negara. Untuk itu ingin penulis tegaskan bahawa produktiviti TLDM ialah meredakan gelora di laut yang mengancam laluan perdagangan antarabangsa dan mengawal hasil bumi dan makanan laut dalam lingkungan EEZ dari sebarang anasir telah menaikan imej negara di mata dunia dan sekali gus menghadiahkan keamanan yang sangat besar nilainya kepada kedaulatan negara. Budi TLDM kepada rakyat sudah melebihi nilai wang ringgit.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini