Oleh: Hamzah h.d
Kata perumpamaan, “Sekali air bah, sekali pantai berubah”. Perumpamaan ini menjelaskan bahawa peristiwa semasa dan pembangunan persekitaran sedikit sebanyak akan merubah sesebuah organisasi kecil maupun besar samada dalam keadaan rela, bersedia atau sebaliknya.
Dalam konteks persepsi orang awam terhadap kredibiliti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), juga turut terdedah kepada transisi persekitaran. Penulis melewati masa remaja di zaman insugensi, dapat merasakan bahawa suasana pada era 70an menggambarkan bahawa ATM pada masa itu sangat dihormati dan kebanyakan masyarakat bersangka baik terhadap organisasi dan anggota itu sendiri khasnya. Apakah pada zaman itu, semua anggota tentera berperangai baik dan tiada ruang untuk dicela? atau ATM sudah mempunyai kelengkapan sophisticated yang mampu mempertahankan tanah air dari segala ancaman sekaligus telah menutup mulut masyarakat dari mempertikai dan mencela kredibiliti ATM?.
Jawapan yang ada dalam minda penulis mengapa fenomena seperti ini berlaku ialah faktor patriotisme yang ada dalam diri generasi dahulu adalah berkait rapat dengan suasana dalam negara yang mempunyai ancaman.
Generasi veteran rakyat Malaysia sangat memahami situasi dan kondisi tidak aman negara sewaktu zaman penjajahan Inggeris, Jepun malahan pada era insurgensi. Penduduk kampong merasa selamat bila kelibat tentera kelihatan di dalam kawasan mereka. Anggota tentera menjadi idola anak-anak muda yang bersemangat waja dan menjadi sebahagian dari anggota tentera adalah menjadi impian dan cita-cita mereka walaupun mereka sedar nyawa seorang tentera ibarat berada di hujung senapang musuh atau pengganas yang sedang berleluasa di masa itu. Anak-anak gadis lebih rela dan berminat memilih anggota tentera dari bersuamikan guru atau kerani pejabat jika diberi pilihan. Biarpun mereka tahu mereka akan sering ditinggalkan dan peluang untuk menjadi janda lebih mudah jika bersuamikan anggota tentera.
Fenomena ini adalah merupakan sebahagian daripada kesan suasana persekitaran dan senario keamanan dan keselamatan dalam negara yang terdedah dengan ancaman dalam dan luar negara. Senario ini menggambarkan bahawa suasana semasa pada sesuatu zaman banyak mempengaruhi pandangan masyarakat terhadap kredibiliti dan kewibawaan sesebuah organisasi terutamanya angkatan tentera. Sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan menjadi fitrah alam bahawa dalam keadaan tersepit manusia akan memandang tinggi kepada samada orang perseorangan atau kumpulan yang mampu memberi perlindungan kepada mereka. Bagi mereka yang mempunyai kemampuan ekonomi tidak akan teragak-agak untuk membayar harga keselamatan diri maupun keluarganya jika diberi pilihan.
Atas alasan ini juga boleh dikatakan majoriti veteran rakyat Malaysia sangat menyanjungi dan memandang ATM sebagai sebuah organisasi yang perlu diberi ‘ranking’ dan memartabatkannya pada sebilang masa. Penghormatan ini sebenarnya bukan kerana anggota tentera sekarang ini sudah bergaji lumayan tetapi semangat patriotisme yang tertanam dalam jiwa dan kesedaran bahawa betapa pentingnya keamanan di dalam sesebuah negara. Untuk menghasilkan keamanan dan kesejahteraan, mereka sedar dan faham bahawa mesti ada sebilangan orang yang sedang berjaga pada sebilang masa untuk tujuan ini. Mereka itu ialah anggota-anggota keselamatan dari kalangan tentera dan polis.
Sebagai susulan, usaha intensif dari pihak pemerintah mempergiatkan propaganda melalui media cetak dan elektronik untuk memberi kesedaran kepada rakyat melalui slot program ketenteraan di televisyen pada waktu perdana dan juga slot di radio yang mempunyai jumlah pendengar yang sangat tinggi. Di samping itu juga novel ‘Tulang-tulang Berserakan’ yang menggambarkan peranan Polis Hutan menangani zaman darurat dan ‘Pulanglah Perantau’ yang menceritakan suka duka anggota tentera menghadapi konfrontasi dengan tentera Indonesia telah dijadikan buku teks Sekolah Menengah. Usaha itu berhasil dan terbukti bahawa masyarakat turut membantu melumpuhkan pergerakan subversif yang cuba menyebar dakyah kepada masyarakat dengan tidak berkerjasama dengan mereka malah menjadi sumber informasi pergerakan subversif kepada pihak keselamatan.
Selepas negara bebas dari ancaman komunis, usaha penerangan dan pendedahan tentang peranan dan program aktiviti ATM yang telah di buat melalui media elektronik turut terhenti dan lebih memfokus kepada hiburan yang melalaikan. Jadi, tidak hairanlah generasi hari ini, yang mula mempertikaikan atau menidakkan keunggulan dan kredibliti kerjaya ketenteraan kerana semangat patriotisme tidak bertapak dalam diri mereka. Mereka kurang ambil peduli tentang hal-hal pertahanan negara kerana mereka leka dengan bermacam-macam kesenangan dan hiburan. Walaupun angkanya bukan menyeluruh tetapi berdasarkan pemerhatian, kelakuan masyarakat hari ini banyak memberi petunjuk bahawa kepercayaan kepada kredibiliti sebilangan anggota khasnya dan ATM keseluruhannya sudah terhakis. Apa sebab dan musababnya, mari kita perhatikan apa sebenarnya yang memungkinkan transisi budaya ini berlaku.
Faktor Luaran
Situasi semasa dalam negara yang aman dan boleh dikatakan tiada langsung ancaman yang melibatkan campurtangan ATM melainkan misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang mana rakyat sendiri tidak dapat menghayati keadaan sebenar suasana di negara bergolak bagi menilai peranan yang dimainkan oleh tentera kita di negara orang. Khalayak akan diberitahu oleh media hanya sewaktu pemergian dan kepulangan mereka ke tanahair. Dalam kalangan warga ATM itu sendiri, misi PBB merupakan bonus kepada anggota yang terpilih kerana ‘pulangan’ dengan nilai antarabangsa sangat lumayan. Ini mencerminkan bahawa misi PBB bukan suatu misi yang mempertaruhkan nyawa pengaman secara mutlak walaupun tidak dinafikan bahawa pasukan tentera Malaysia pernah ada yang terkorban kerana bertempur di sana.
Rakyat generasi muda menghirup udara keamanan dengan penuh keselesaan tanpa perlu memikirkan bahawa walaupun dalam keadaan aman, ATM bersiapsiaga pada sebilang masa. Mereka melihat keseragaman ATM hari ini adalah sebagai suatu kerjaya cari makan dan tiada bezanya dengan kerjaya di sektor awam yang lain. Mereka mengatakan TD sudah tidak lagi masuk hutan untuk mencari musuh. Anggota ATM tiada mempunyai kelebihan apa-apa di dalam kehidupan seharian sebagai rakyat Malaysia yang lain. Di jalan raya kereta-kereta staf meski pun berplat ‘Z’ mesti juga mempamirkan tanda cukai jalan dan tiada pencualian bayaran tol dan sebagainya. Jika kenderaan ATM terperangkap dengan perangkap laju Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ), atau pun Polis, pemandunya akan dipersalahkan dan dikehendaki bertanggungjawab sepenuhnya. Demikian juga jika berlaku kemalangan.
Suasana ini berbeza dengan ATM suatu ketika dahulu. Suatu ketika dahulu kenderaan tentera seolah-olah bermaharajalela di jalan raya kerana sikap pemandu kenderaan awam seolah-olah memberi laluan kepada mereka kerana mereka merasakan jika berlaku kemalangan, bukan sahaja pemandu tentera tidak akan bertanggongjawab malah mereka juga takut anggota tentera akan mengasari mereka.
Penulis tidak bermaksud untuk mengembalikan hak sebegitu kepada ATM kerana perkara ini melibatkan pembangunan dan penambahbaikan pengurusan dan tidak terkecuali ATM yang juga harus akur dengan perubahan dan kualiti pentadbiran berkaitan. Cuma apa yang boleh penulis kongsikan ialah rasa bangga menjadi tentera dahulu berbanding dengan tentera sekarang yang banyak diberi keistimewaan samada secara berdokumen atau ‘pelepasan’ istimewa dari rasa kagum atau ‘hormat’ orang awam kepada tentera. Pengecualian dalam banyak hal yang mana mungkin kerana ‘kedaulatan’ tauliah Diraja yang menaungi sesuatu pasukan. Walaupun seseorang pegawai itu bersara atau menamatkan perkhidmatan namun tidak ada perlucutan tauliah dilakukan ke atas mereka. Ini menunjukkan bahawa pengiktirafan kepada pegawai ATM selagi hayat dikandung badan.
ATM hari ini tidak segarang dahulu. Dahulu, anggota tentera mempunyai semangat berpasukan dan semangat kekitaan yang tinggi dan bertindak secara berpasukan sekiranya salah seorang dari mereka diperkotakkatikkan oleh orang awam di luar tugas biarpun terpaksa membelakangkan undang-undang. Justeru itu, tentera dahulu ‘dihormati’ mungkin juga ditakuti oleh orang awam dan tidak berani untuk mencetuskan perbalahan dengan sewenang-wenangnya kerana risikonya amat tinggi. Penulis turut berkongsi pengalaman sewaktu bersama-sama anggota Tentera Nasional Indonesia- Angkatan Laut (TNI-AL), sewaktu berkunjung ke negara mereka. Penulis di bawa menaiki kenderaan awam sewaktu berkelepasan tanpa dikenakan bayaran oleh perkhidmatan pengangkutan awam malahan juga di pusat-pusat hiburan terlarang juga kami difahamkan tiada sebarang bayaran dikenakan jika bergerak secara seragam kerana tindakan drastik di luar jangkaan dan kawalan akan ‘dihadiahkan’ kepada orang awam yang ingkar. Kata mereka, tindakan sebegini sebenarnya adalah tindakan menagih ‘penghormatan’ dan ‘terima kasih’ dari orang awam di atas jasa-jasa mereka memerdekakan negara mereka dari penjajah.
Sebaliknya pula berlaku di Malaysia. Tentera kita hari ini lebih menghormati orang awam. Berdisiplin kepada orang awam bermakna anggota tentera tidak boleh melakukan apa-apa kesalahan di dalam masyarakat kerana kesilapan kecil yang dilakukan oleh warga tentera akan dijadikan tajuk besar di media massa dan tidak akan terlepas dari hukuman sivil jika bersabit dengan kesalahan. Di dalam pasukan kemungkinan tindakan dikenakan sekali lagi kerana telah mengaibkan pasukan di mata orang awam. Inilah hasil dari revolusi keamanan yang dikecapi yang mana hak asasi manusia mengambil tempat dengan menidakkan jasa dan pengorbanan anggota ATM. Natijahnya adalah ditakuti atau dikuatiri, warga ATM akan terhakis jati diri dan ketegasan bila mana suatu hari nanti mereka berada di dalam situasi yang betul-betul memerlukan.
Suatu masa dahulu, khalayak tidak pernah merasa keliru dengan pakaian seragam tentera terutamanya Tentera Darat yang satu-satunya mempatenkan kecelorengan pada salah satu pakaian mereka. Rasa gah memakai seragam celoreng bukan sahaja kepada pemakainya malah berkongsi aura oleh kaum keluarga mereka yang mempunyai anak atau saudara mara yang berkhidmat dengan tentera.
Hari ini kita boleh saksikan kebanyakan jabatan yang berasaskan pakaian seragam seperti Pasukan Gerakan AM PDRM, Bomba, PLKN turut mempatenkan pakaian mereka dengan celoreng tetapi dengan warna yang berbeza. Jabatan Pertahanan Awam (JPA 3), menjadikan pakaian seragam asas mereka dengan warna hijau dengan panggilan dan tanda pangkat sama seperti TD. Tidak hairan lah ada kalanya masyarakat yang kurang pendedahan terkeliru untuk membezakan siapa di antara mereka.
Keterbukaan ATM samada ‘mengizin/membiarkan’ media cetak dan elektronik melaporan kepada masyarakat terhadap sekecil-sekecil isu yang berlaku di dalam organisasi banyak menjejaskan kredibiliti ATM. Perbicaraan-perbicaraan kes mahkamah yang melibatkan anggota tentera disiarkan secara meluas. Kes-kes yang melibatkan mahkamah tentera telah dibicarakan di mahkamah sivil yang memberi banyak ruang kepada pendakwa untuk mencari kesalahan yang kononnya untuk memberikan keadilan kepada mangsa. Ini adalah kerana banyak isu-isu remeh yang bersabit dengan salah laku pegawai dan anggota tentera disiarkan/dimanipulasikan tanpa kawalan yang mana memangkin kepada prejudis khalayak terhadap kredibiliti organisasi ATM tanpa mengetahui keadaan sebenar. Dalam sudut lain, media lebih gemar mensensasikan berita seperti kemalangan aset ATM seperti pesawat, kenderaan dan sebagainya dengan mencari suatu sudut supaya khalayak akan mentafsirkan dan menunding jari punca sesuatu kemalangan adalah disebabkan sesuatu peralatan yang dibeli adalah dari jenis yang tidak popular sekali gus meletakkan kesalahan itu kepada ATM yang dianggap sebagai penasihat.
Sesetengan berita dari penerbitan harian berkaitan pertahanan atau ATM mempamirkan ketidakfahaman pemberita itu sendiri semasa membuat laporan. Diperhatikan, perkara-perkara yang bersifat terminologi, tradisi dan asas-asas ketenteraan sering berlaku ketidaktepatan fakta. Walaupun faktor ini bukan suatu masalah besar tetapi sedikit sebanyak memberi informasi yang kurang tepat kepada pembaca yang jahil dalam hal ehwal ketenteraan.
Meneliti sembang-sembang masyarakat dalam pelbagai peringkat usia, masih ramai yang memperlekehkan keupayaan kuasa tempur ATM. Mereka suka membandingkan keupayaan dan kewibawaan berdasarkan pemilikan aset tentera negara jiran tanpa membuat analisa dari segi semangat juang dan patriotisme anggota ATM.
Faktor Dalaman
Salah laku anggota dan penyalahgunaan kuasa pegawai ATM sudah menjadi halaman berita yang diolah supaya menjadi berita yang menarik untuk dibaca dan didengar secara terperinci oleh khalayak. Kelakuan yang tidak bermoral segelintir warga ATM samada menjadi kes mahkamah atau hanya melibatkan individu tertentu yang tidak tersebar menjadikan nama besar ATM yang menjadi sasaran. Jika di teliti dari laman-laman forum maya ketenteraan, di antara kes yang menjadi kelaziman ialah ketidakpercayaan wanita-wanita kepada warga tentera yang kononnya pernah ditipu samada dalam bentuk material ataupun maruah. Mereka bukan sahaja marah kepada individu terbabit malah meletakan warga tentera keseluruhan sebagai sasaran. Sikap sebegini selalunya akan berlarutan dan menjurus kepada mempengaruhi secara negatif kawan-kawan atau saudara maranya supaya tidak menjadikan tentera sebagai kerjaya masa depan.
Sikap autokrat ketua-ketua jabatan terhadap anggota bawahan yang mana pengisian kehidupan sebilangan warganya menjadi tidak seronok dan ada kalanya terbawa-bawa sehingga kepada perkhidmatan terakhir. Biasanya mereka-mereka ini akan membawa berita dan menggambarkan imej buruk organisasi kepada kelompok awam di persekitaran. Tanpa usul periksa, penyebaran secara tradisional segala keburukan di dalam akan tersebar keluar dan menjadikan imej tentera suatu yang sangat buruk di mata mereka.
Tidak dinafikan, pandangan serong masyarakat juga berpunca dari keperibadian dan salah laku anggota tentera itu sendiri. Walaupun aktiviti seharian mereka dikekang oleh akta dan disiplin, namun sebagai manusia biasa yang mempunyai naluri, kadangkala tersasar kepada perlakuan yang memudaratkan nama baik organisasi semasa bertugas atau di luar tugas.
Ketelitian memilih calun Pegawai atau Perajurit Muda yang berkualiti adalah bukan boleh diukur hingga ke dasar sikap atau perangai manusia. Untuk memanusiakan seorang yang boleh jadi ikhlas atau terpaksa menyertai pasukan ATM adalah bukan perkara mudah. Kelayakan kemasukan adalah berdasarkan akademik dan kesihatan mental dan fizikal semata-mata. Selebihnya adalah menjadi tanggongjawab ATM untuk mendisiplinkan remaja seawal umur 18 tahun yang datang dari pelbagai pendedahan globalisasi dengan segala kemahiran dan makanisma yang ada. Walaubagaimana pun ATM berjaya dengan acuannya sendiri melentur buluh walaupun bukan dari rebungnya.
Apapun masih tidak terkecuali seperti mana yang terdapat di dalam organisasi lain spesies manusia yang akan menjadi liability kepada organisasi kerana ada sesetengahnya memang sukar untuk dibentuk dan terbawa-bawa dengan sikap buruk yang diwarisi sebelum menyertai ATM. Bertambah malang lagi, terdapat juga suara-suara sumbang mencerca dan memperlekehkan malah menceritakan kelemahan-kelemahan keupayaan tempur ATM tidak kena pada tempatnya. Golongan ini merupakan duri dalam daging kepada perkhidmatan.
Walaupun kes-kes sebegini kelihatan terpencil namun di atas dasar keterbukaan ATM terhadap media menjadikan pena media begitu rakus mensensasikan apa jua berita yang berkaitan dengan salah laku anggota ATM. Ini sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti dan nama baik ATM. Apa yang membimbangkan ialah ATM akan menjadi hilang fokus kerana adakalanya kecederaan dan kematian anggota akibat dari latihan dan seumpamanya juga tidak terlepas dari inquiry ibubapa anggota dan disensasikan berita dan kejadian oleh media. Dari tinjauan penulis, fenomena ini walaupun memberi keuntungan bagi sesetengah pihak, tetapi tetap memberi kesan yang tidak baik kepada organisasi ATM. Adalah menjadi kebimbangan, berdasarkan siasatan kes-kes yang sudah berlaku, jurulatih-jurulatih yang diamanahkan untuk melatih dan membina kemahiran, ketahanan jati diri sabordinat turut mengalami fobia dan trauma kerana dengan melaksanakan skim dan skedul latihan secara jujur memungkinkan ada yang tercedera sehingga kepada kematian tanpa terduga.
Mempromosi Melalui Idea Kreatif
Memupuk minat dan pandangan positif generasi sepuluh hingga dua puluh tahun mendatang kepada kerjaya ketenteraan di Malaysia perlu ada usaha yang selari dengan kecenderugan anak-anak masa kini. Pengkisahan sejarah perjuangan dan kepahlawanan warga ATM masa lalu di peringkat domestik maupun antarabangsa memerlukan idea kreatif media dan pendekatan yang sesuai lagi konsisten supaya perkembangan dan pembangunan ATM menjadi medium pengilhaman kepada anak-anak menjana pembangunan minda berdasarkan minat dan kecenderungan mereka. Dewasa ini idea kreatif boleh dikembang dan divariasikan melalui pelbagai bentuk.
Umum akur, kemampuan penerbitan filem kombat di Malaysia sangat terhad, mungkin memerlukan kos yang tinggi dan tiada kemudahan dan kerjasama untuk menggunakan aset tentera semasa pembikinan. Apa yang boleh dilakukan berasaskan kemodenan perkomputeran hari ini ialah dengan penceritaan melalui watak animasi yang sudah mula dikuasai oleh rakyat kita dengan mengadaptasikan kisah-kisah perjuangan bangsa dari kalangan pahlawan pra merdeka maupun pasca merdeka. Animasi hari ini lebih mudah dan realistik sebagai alternatif kepada lakonan realiti yang akan memberi banyak kesukaran dan kekangan kepada penerbitan filem atau drama.
Media cetak maupun elektronik harus lebih peka dan menjadikan aktiviti positif warga ATM sebagai program harian media elektronik dan media cetak dalam usaha memberi pendedahan dan kesedaran pertahanan kepada masyarakat. ATM secara umumnya dan TD secara amnya telah memberi ruang dan jaminan yang sangat jelas untuk bekerjasama dengan pihak media selagi ianya tidak menjejaskan aspek keselamatan petugas media dan aspek sekuriti dan kerahsiaan negara. Apa yang penting ialah kejujuran media untuk sama-sama membina dan mengembalikan semangat patriotisme dan sanggup berjuang bersama ATM kepada seluruh bangsa Malaysia demi kedaulatan negara tercinta dari sebarang ancaman dan provokasi dari dalam dan luar.
Tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa ATM juga patut mempunyai stesen radio/TVnya sendiri untuk tujuan memberi maklumat dan paparan aktiviti ATM bagi merapatkan jurang hubungan tentera dan rakyat yang selama ini tidak diberi perhatian oleh stesen media yang mementingkan komersil semata-mata.
Bagi yang mempunyai akses internet, informasi-informasi semasa sangat mudah diperolehi melalui laman-laman web ATM dan perbincangan sihat tentang aspek pertahanan, pemilikan aset strategik ATM dan teknologi pertahanan negara terkini melalui forum-forum maya seperti http://www.gempurwira.com/, http://www.navy.mil.my/ dan lain-lain.
Penutup
Generasi demi generasi, perkembangan di dalam organisasi ATM juga ikut berubah mengikut peredaran zaman dan ancaman. ATM hari ini mempunyai sejumlah anggota yang sudah bersedia sebilang masa dan sanggup terkorban demi negara dengan berbantukan aset strategik yang mampu melumpuhkan kekuatan musuh. Suka atau tidak suka khalayak terhadap kewujudannya, langsung tidak akan menjejaskan pengaturgerakan bala tentera ke medan perang bila tiba masanya. Misi mempertahan dan menjaga kedaulatan negara adalah agenda utama dan apa jua pandangan serong atau kurang senang masyarakat terhadap institusi ini tidak akan mempengaruhi tugas yang diamanahkan. Slogan ‘Taat Setia’, ‘Sedia Berkorban’ dan ‘Sentiasa Di angkasa Raya’ adalah sumpah keramat perajurit dan perwira yang akan ada pewaris pada setiap zaman.
Bersiap sedialah bagi menghadapi mereka (yakni musuh-musuh) dengan segala kekuatan yang termampu kamu sediakan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain selain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahui-Al Anfal Ayat 60
About Me
- Minda Pertahanan
- Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.
Pages
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Labels
- Agensi Penguatkuasaan (5)
- APMM (17)
- ATM (71)
- Aviation (3)
- Ebooks (3)
- Eksesais (9)
- Exhibitions (4)
- LIMA (6)
- LIMA / DSA updated (9)
- LIMA updated (31)
- LIMA'09 updated (7)
- Luar negara (31)
- Menhan (3)
- National Task Force (7)
- NTF (6)
- Ops Benteng (5)
- PDRM (12)
- PKPP (1)
- SAR (1)
- Sejarah (5)
- Seminar (1)
- TDM (90)
- TLDM (135)
- TUDM (54)
- Umum (54)
- Veteran (31)
- Wataniah (7)
- Wataniah/Simpanan (2)
No comments:
Post a Comment