About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, August 4, 2008

RANJAU LAUT - DIMENSI PERSENJATAAN MARITIM

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Jul 2008
Oleh: Hamzah h.d

Sejarah Ringkas

Penggunaan ranjau pernah direkod sejak zaman Dinasti Ming di China pada abad ke 14 lagi malah kebanyakan negara-negara yang mempunyai tamadun awal telah mencipta mengikut kaedah yang tersendiri untuk menyerang kapal musuh.
Terminologi sea mines (naval mines) atau ranjau laut mula diguna pakai pada awal abad ke 16 lagi di mana kapal Dutch yang sarat dengan bahan letupan dihanyutkan ke dalam kawasan musuh. Pada tahun 1585 seorang Italy, Federico Gianibelli yang bekerja dengan Dutch telah menghantar 2 buah kapal bom berhayut dan meletupkan sebuah jambatan di Sungai Scheldt di Antwerp Belgium. Ini merupakan sejarah permulaan penggunaan bahan letupan yang berkonsepkan ranjau di dalam peperangan maritim.

Di Amerika Syarikat, David Busnell dikenali sebagai bapa peperangan ranjau. Semasa belajar di Yale University, beliau telah membangunkan bahan letupan bawah air. Semasa revolusi rakyat Amerika meletus, beliau telah dibenarkan mencipta ranjau laut yang lebih dikenali sebagai torpedo khusus untuk menentang armada British. Namun ciptaannya menemui kegagalan.
Walaubagaimana pun Robert Fulton telah meneruskan pembangunan ranjau terapung pada tahun 1797. Beliau mencadangkan kepada British supaya menghanyutkan ranjau untuk menyerang armada French. Ranjau yang dilancarkan dengan menggunakan makanisma berjangka berdetik sebaik ranjau dilancarkan dan akan meletup 5 hingga 10 minit kemudian. Cubaan ini juga menemui kegagalan setelah pihak French menyedari dan telah menembaknya terlebih dahulu.

Seterusnya konsep pengunaan ranjau laut di United Kindom mula dibincangkan pada tahun 1910 dan idea ini diperkenalkan secara praktikal setelah pengeluarannya diminta oleh Panglima Tentera Laut British, Sir George Callaghan pada tahun 1914. Kerja-kerja mereka cipta telah dibuat oleh Herbert Taylor di HMS Vernon Torpedo and Mine School di Portsmouth England.
Depth Charge ‘type D’ seberat 140 kgs yang dibangunkan pada tahun 1916 adalah yang pertama berkesan mengandungi bahan letupan Trinitrotoluene (TNT). Suis peledak yang didorong oleh tekanan air boleh meledakkan charge pada kedalaman 100 meter.

Dalam Perang Dunia Kedua, bahan letupan kedua telah diperkenalkan yang mana mempunyai kemampuan 50 peratus lebih kuat daripada TNT. Torpex (Torpedo Explosive) yang mengandungi 42% Cyclotrimethylenetrinitramine [RDX), 40% TNT dan 18% aluminium pada dasarnya dibangunkan untuk torpedoes yang mana terbukti berguna sebagai bahan letupan bawah air yang mampu menenggelamkan sasaran dengan lebih cepat.
Peranti yang mengandungi bahan letupan yang mampu meletup sendiri yang diletakkan di dalam air samada secara terapung dipermukaan atau separa timbul maupun berada di dasar laut adalah bertujuan untuk memusnahkan kapal atau kapal selam.

Evolusi Ranjau Laut

Dengan mengambil kira fleksibiliti dan keberkesanan kos, penciptaan ranjau telah melalui evolusi menarik di dalam persaingan membina senjata-senjata canggih di dalam sistem pertahanan bawah air dunia.
Ranjau Laut adalah satu alat letupan yang serba lengkap diletakkan tersembunyi di bawah air untuk memusnahkan kapal-kapal atau kapal selam yang melalui di dalam kawasan sensitivitinya. Berbeza dengan depth charges yang disimpan dan digunakan bila mengenal pasti kehadiran kapal selam musuh atau penyelam tempur berada berhampiran. Ranjau atau periuk api ini boleh digunakan untuk menghalang kapal musuh dari memasuki atau keluar pelabuhan malah juga boleh menjadikan zon selamat bagi menjaga angkatan sendiri di pelabuhan.
Terdapat tiga kegunaan utama ranjau iaitu untuk tujuan menyerang, bertahan dan pisikologi cegah rintang. Jika sesuatu ranjau dipasang bertujuan untuk membuat serangan biasanya ranjau ini akan dipasang di dalam kawasan perairan musuh, kawasan luar pelabuhan, dan yang biasa dilakukan ialah pada laluan sempit bertujuan untuk menenggelamkan kapal-kapal tentera atau civil yang melalui laluan tersebut.

Jika kefungsian ranjau untuk pertahanan, ianya diletakkan di kawasan pantai mencegah daripada kemasukan kapal-kapal atau kapal selam musuh menghampiri pada sesuatu lokasi/pelabuhan bagi memudahkan gerakan pertahanan direncanakan.
Untuk tujuan pisikologi dan cegah rintang, biasanya ranjau dipasang di kawasan laluan perdagangan dengan kuatiti yang kecil dalam kawasan yang luas bertujuan untuk menakutkan kapal perdagangan dan berusaha mendesak sesuatu pihak memberhentikan pertikaian atau konflik ke peringkat antarabangsa.

Era mutakhir, ranjau telah direka untuk digunakan dalam pelbagai situasi melawan pelbagai kelas sasaran atau pelbagai jenis kapal dalam usaha untuk mencapai satu pencapaian yang terbaik untuk melemahkan angkatan musuh. Walaubagaimana pun satu jenis ranjau tidak boleh melaksanakan semua tujuan serentak. Dengan itu kebanyakan tentera laut dunia memiliki pelbagai jenis ranjau dengan kepelbagaian tugas. Malah kemampuan ranjau yang lebih canggih boleh dilengkapi dengan beberapa jenis peranti pelancar kepala peledaknya oleh roket atau torpedo.

Harganya tidak begitu mahal. Kos operasi memasang ranjau adalah lebih murah jika dibandingkan dengan kos operasi membersih ranjau yang sangat merbahaya dan memerlukan kemahiran yang tinggi. Tidak hairanlah masih banyak ranjau-ranjau yang dipasang semasa Perang Dunia Kedua dan Perang Teluk tertanam di negara-negara yang terlibat dengan perang tersebut. Secara teori ketahanan keaktifan sesuatu ranjau boleh mencecah sehingga beratus tahun.

Sesetengah ranjau diinovasikan dengan kuantiti bahan letupan yang kecil untuk melawan bot-bot kecil yang melalui sungai dan sesetengah ranjau direka dengan kuantiti bahan letupan yang banyak untuk memusnahkan kapal-kapal besar atau kapal selam malah juga diguna sebagai bom yang boleh digugurkan dari kapal terbang.

Penempatan ranjau boleh dilakukan samada dari kapal selam, kapal-kapal permukaan atau kapal terbang. Penggunaan ranjau oleh kapal selam biasanya di lakukan semasa operasi serangan kerana ianya mempunyai kelebihan dari segi kerahsiaan yang kehadirannya sukar dikesan oleh musuh. Walaubagaimana pun kelemahan kapal selam ialah tidak boleh membawa ranjau dalam jumlah yang banyak.

Ranjau yang diletakkan atau dipasang melalui permukaan oleh kapal-kapal adalah kaedah yang paling ekonomik kerana kapal berupaya membawa lebih banyak ranjau dalam satu masa. Namun kaedah ini juga mempunyai kelemahan kerana aktivitinya boleh dikesan dengan mudah oleh musuh kerana dalam situasi tegang/perang musuh berada dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

Ranjau Laut Semakin Pintar Dan Merbahaya

Hari ini, kebanyakan ranjau akan teraktif atau meletup dengan pengaruh persekitaran tanpa memerlukan sentuhan fizikal antara sasaran dengan ranjau itu sendiri. Pengaruh magnetik yang ada pada badan kapal boleh mencetuskan letupan pada ranjau jenis ini di samping pengaruh akustik dari sasaran seperti putaran aci dan bunyi bising yang terhasil seperti aktiviti anak-anak kapal semasa melintasinya. Ianya juga boleh teraktif berdasarkan tekanan air di sekitar ranjau dipasang yang juga terhasil semasa sasaran melalui berhampiran.

Di antara kemampuan yang sangat menakjubkan berkenaan teknologi ranjau ialah sesuatu pasukan boleh memilih untuk meletupkan sasaran-sasaran yang dikehendaki dengan cara memasukkan input data sasaran yang dikehendaki. Makanisma suis penembakan ranjau terdorong bila menerima desakan dari search coil magnetometer, hydrophone atau pressure device. Makanisma penembakan akan memproses amaran yang diterima dan meletus bila mengesahkan sesuatu sasaran.

Walaubagaimana pun kerja-kerja memperolehi data sesebuah kapal yang di kehendaki adalah bukan suatu perkara yang mudah kerana memerlukan operasi-operasi tertentu yang dibuat secara rahsia.

Faktor-faktor tersebut menjadikan angkatan tentera laut dunia membuat perkiraan serius dalam usaha untuk menentukan kawasan pelabuhan dan terusan-terusan di dalam negara masing-masing dikawal rapi dari ancaman anasir sabotaj bawah air pihak musuh semasa negara masing-masing dilanda sengketa. Adalah sangat memalukan jika aset perang sesebuah negara tewas di tangan ranjau pintar pihak musuh dalam keadaan di mana aset perang tersebut belum pun keluar ke kawasan medan perang.

Umum mengetahui bahawa ranjau mempunyai klasifikasi dan karakteristik yang dipengaruhi persekitaran dan juga boleh dikawal oleh manusia.. Di antaranya ialah:
- Controlled Mine- Ranjau yang boleh dikawal oleh pengguna.
- Bouquet Mine- Mempunyai sedikit kuasa apungan tetapi terikat dengan sinker.
- Contact Mine - Teraktif bila menerima sentuhan fizikal yang kuat.
- Bottom Mine - Tanpa kuasa apungan dan kedudukan tetap di dasar laut.
- Homing Mine - Dilengkapi dengan propulsi yang mampu dikawal.
- Drifting Mine - Terapung bebas bergerak dipengaruhi oleh arus, gelombang atau angin.
- Creeping Mine - mempunyai daya apungan di bawah permukaan dan menjalar di dasar dikuasai pemberat.
- Mobile Mine - digerak dengan propulsi ke lokasi yang direncanakan.
- Influence Mine – teraktif oleh beberapa kesan fizikal sasaran dan radiasi ranjau.
- Independent Mine - Ranjau yang tidak dikawal oleh pengguna setelah di letakkan.

Sebagai contoh, MR 80 adalah dari kategori Bottom Mine atau juga dikenali sebagai Ground Mine versi perang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Head and Tail. Head yang mengandungi bahan Trinitrotoluene (TNT) manakala di bahagian Tail mengandungi modul elektronik.

Ranjau ini teraktif dengan pengaruh magnetik, akustik frekuensi rendah/tinggi dan tekanan. Ranjau ciptaan secara kerjasama antara Tentera Laut Italy dan MISAR SPA Brescia, dicipta untuk pelbagai misi dan memenuhi keperluan operasi kebanyakan Tentera Laut Dunia.

Renungan

Peperangan di dunia akhir zaman semakin ganas dan berdimensi. Peperangan elektronik, darat, udara, permukaan laut dan juga peperangan bawah permukaan laut menuntut setiap negara bersiapsiaga dan berwaspada.dengan keupayaan angkatan tentera masing-masing.
Janji keamanan dan kerjasama pertahanan serantau tidak boleh dijadikan pegangan untuk mengabaikan persiapan secukupnya bagi menghadapi semua dimensi peperangan. Kemampuan berdikari dalam menangani konflik mendatang merupakan suatu asas yang mesti dibina dan diperkuatkan dari masa ke semasa mengikut keperluan sebenar sesuatu zaman.
Peperangan bawah permukaan laut sendiri menjadi semakin sukar untuk ditangkis Ancaman kapal selam dan pasukan khas pintar dengan variasi senjata dan bahan letupan sangat menggerunkan.

Sesuatu angkatan laut yang kredibel bukan sahaja dinilai dari sudut pemilikan kapal selam sendiri di dalam armadanya malah perlu juga dilihat dalam konteks kemampuan menyediakan laluan yang selamat untuk armadanya keluar dan masuk pelabuhan. Tim panduarah kapal harus teliti semasa melalui laluan bebas ranjau yang semestinya memerlukan latihan berterusan untuk jaminan kemahiran.
Sistem Penyahgausan Magnetik (Degaussing) kapal dan Penyeyapan Akustik adalah merupakan peranan skunder yang tidak harus di kesampingkan di dalam menyaingi kepintaran ranjau yang menjadikan nilai medan magnetik dan nilai akustik sebagai perujuk sensitiviti pengaktif.

Ancaman ranjau mesti ditangani dengan cermat. Dalam konteks ini, aset Penyapu Ranjau bukan sahaja berada di tahap beroperasi malah harus mempunyai ekuipmen penyapu ranjau yang terkini dan serba boleh. Sistem kombat penyapu ranjau di kapal mesti dikaji dan ditingkat upaya supaya sentiasa relevan dengan kepintaran ranjau itu sendiri di samping mempunyai operator yang bijaksana sebagai pengendali. Penyediaan seorang pengendali yang cekap semestinya bermula dari peringkat pusat latihan dengan mengadaptasikan latihan bersepadu dengan Sistem Simulasi Penyapu Ranjau sebagai familiarisasi dan peningkatan kemahiran. Suka atau tidak, tiada jalan pintas dalam usaha menentukan kombinasi manusia dan mesen berintraksi dengan baik melainkan mengwujudkan dan memahirkannya.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini