About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, August 9, 2008

BOUSTEAD NAVAL SHIPYARD MEREALISASIKAN ASPIRASI TLDM



Oleh: Hamzah h.d



Sejarah pembinaan kapal layar dan bot kayu dalam industri perikanan di Malaysia adalah bukan satu mitos atau dongeng yang mana suatu ketika dulu kemahiran ini adalah warisan budaya orang-orang melayu turun temurun yang sehingga kini masih bertapak dari generasi ke generasi . Industri pembuatan bot di Pulau Duyung Terengganu mempunyai reputasi tinggi yang amat membanggakan dengan hasil kerja tangan yang diiktiraf oleh pelanggan-pelanggan dari negara maju.

Jadi tidak hairanlah jika abad ini warisan tradisi pembinaan bot yang asalnya dipelopori oleh kepakaran anak watan kini menjalani tranformasi kepada industri pembinaan perkapalan yang berteknologi tinggi. Anak watan sudah mampu berdikari dan pembinaan kapal perang moden oleh anak melayu berminda glokal mewarisi dan mula mengambil tempat di dalam memartabatkan tamadun bangsa dan secara langsung merealisasikan hasrat dalam ketamadunan bangsa yang setanding negara-negara maju menjelang 2020.

Anugerah dan Kepercayaan

Pemilihan Boustead Naval Shipyard [BNS] sebagai kontraktor utama oleh TLDM atau kerajaan menyambung kerja-kerja pembinaan empat buah lagi Kapal Ronda Generasi Baru yang terbengkalai sebelum ini telah memberi nafas baru dan kembali menambat dan menebus keyakinan rakyat terhadap keupayaan pembina tempatan. Walaupun BNS sebelum ini mengalami zaman sukar namun dengan sokongan dan dorongan pihak kerajaan, BNS ternyata mampu menunaikan kepercayaan kerajaan dan dengan terbinanya skuadron Kapal Ronda ini melambangkan kejayaan mengurus syarikat dan seterusnya membangunkan industri pembinaan kapal dengan menggunakan modal insan tempatan.

Keupayaan syarikat tempatan di dalam pembangunan industri pertahanan maritim tidak boleh disangkal lagi. Ini terbukti dengan keupayaan yang telah ditunjukkan oleh BNS menggalas aspirasi TLDM khususnya dan rakyat Malaysia secara umumnya telah berjaya menyiapkan dua buah lagi NGPV iaitu PERAK yang telah dilancarkan pada 12 Nov 2007 dan terkini TERENGGANU yang telah dilancarkan pada 06 Dis 2007 malah dua buah lagi yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap mengikut perancangan.

Keistimewaan yang patut diberi pujian terhadap kapal ini ialah pembinaan sepenuhnya oleh kumpulan BNS di Limbungan Pulau Jerejak Pulau Pinang. Dengan ini bermakna keupayaan BNS dalam industri pembinaan kapal moden tidak dibatasi oleh infrastruktur yang ada di Lumut sahaja malah juga mampu membinanya di Limbungan BNS kawasan lain dengan syarat pengawalan polisi dan kualiti yang ketat.

Dengan pemindahan teknologi secara berterusan, kini menampakkan hasilnya yang mana syarikat tempatan juga mampu berdikari dalam industri pertahanan maritim dan pembinaan kapal komersial di semua Limbungan Kumpulan BNS. Kejayaan ini telah memberi keyakinan kepada pelanggan-pelanggan yang sebahagian besarnya adalah dari luar negara dengan mengikat kontrak pembinaan di BNS Pulau Pinang dan Langkawi yang bernilai RM 1 Billion.

Dalam usaha untuk terus memartabatkan usahawan tempatan dalam bidang pembinaan kapal dan pangkalan juga pembuatan barangan yang berkaitan dengan industri pertahanan telah menyumbang usahasama strategik bersama mereka. Setakat ini sebanyak 461 buah syarikat telah berdaftar dengan BNS sebagai pembekal dan daripada jumlah itu, 100 buah syarikat adalah pembekal untuk syarikat yang aktif. Hampir 96 peratus daripada syarikat aktif adalah syarikat tempatan yang mana 84 peratus adalah milik penuh syarikat bumiputra.

Perlaksanaan projek Kapal Ronda ini telah memberi peluang kepada pembekal-pembekal tempatan menimba pengalaman untuk meningkatkan keupayaan dan teknologi tinggi yang diperolehi dari perusahaan maritim dan perkapalan dengan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Usahawan dan Koperasi untuk program pembangunan bumiputra. Di bawah program pembangunan Vendor, BNS juga turut memberi sokongan dan bantuan untuk memudahkan pihak pembekal mendapat bantuan kewangan daripada pihak institusi kewangan dalam usaha menaiktaraf syarikat-syarikat pembekal.

Perlaksanaan projek Kapal Ronda TLDM dan Badan Kerajaan yang lain menentukan kesinambungan dan peningkatan kepada pembekal-pembekal. Untuk pembinaan Kapal Ronda ke 3 hingga ke 6 sahaja, kontrak telah diberi kepada syarikat tempatan bernilai hampir RM 400 juta. Ini terbukti di mana perjanjian strategik BNS dengan kerajaan Malaysia telah berjaya menjana dan mengembangkan ekonomi pengusaha Industri Kecil dan Sederhana [IKS] tempatan dengan dorongan dan sokongan pelbagai pihak.

Insentif

Penganugerahan projek pembinaan NGPV menggantikan PSC Naval Dockyard yang terbengkalai sebelum ini, ibarat sireh pulang ke gagang. Jika BNS berjaya membekalkan ke enam-enam NGPV mengikut jadual, kerajaan bersedia untuk meneruskan projek pembinaan tambahan sebanyak enam buah lagi.

Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. adalah anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera [LTAT] yang mempunyai komposisi warga produksi dan Vendor pembinaan kapal yang sejumlahnya adalah bekas-bekas anggota TLDM dari pelbagai pangkat, kepakaran dan kemahiran harus diberi peluang dan pulangan saksama sebagai mengenang jasa dan pengorbanan mereka terhadap negara sebelum ini. Komitmen bukan sahaja untuk menyiapkan kapal yang dihasratkan malah harus menyemat rasa untuk memberi pulangan kewangan terhadap pencarum LTAT yang terdiri dari angkatan tetap Tentera Malaysia. Sekulasi timbal balas jasa dan pengorbanan pencarum harus dibalas dengan insentif setimpal dalam bentuk dan situasi menang menang.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini