About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, August 4, 2008

HARI ARMADA - PROGRAM TLDM BERSAMA RAKYAT

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Jun 2008
Oleh: Hamzah h.d

Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut yang mempunyai keluasan 1,850 ekar yang terbahagi kepada kawasan Latihan, Penempatan dan Operasi merupakan pangkalan Tentera Laut yang terbesar dan termoden di rantau ini malah jika dilihat dari segi infrastruktur, prasarana dan keceriaan alam sekitar, ianya sebuah Pangkalan yang terbaik setakat ini. Ini memberi gambaran jelas bahawa TLDM mempunyai kepimpinan yang berwawasan dan bekerja keras membina dan membangun sebuah angkatan yang disegani dirantau ini.

Pembangunan infrastruktur dan kemudahan prasarana sudah mencapai lebih 90 peratus keperluan malah boleh dikatakan sudah mencapai tahap keselesaan kepada setiap lapisan warga pangkalan. Ianya meliputi keperluan asas seperti Berek Bujang, Rumah Keluarga, Hospital, Komplek Sukan dan Riadah, Pusat membeli belah dan lain-lain untuk kemudahan warga pangkalan.

Pangkalan TLDM Lumut sering menjadi tumpuan pertubuhan-pertubuhan, pelajar-pelajar dan badan-badan swasta membuat lawatan di hujung minggu. Juga menjadi pilihan Jabatan-jabatan Kerajaan dan swasta untuk menganjurkan karnival sukan jabatan masing-masing.

Faktor yang mendorong lokasi ini menjadi pilihan ialah bukan sahaja kerana pangkalan ini merupakan pintu masuk ke Pulau Peranginan yang merupakan kawasan pelancongan bagi Negeri Perak malah mempunyai kemudahan gelanggang untuk semua jenis sukan yang akan dipertandingkan. Kemudahan bantuan teknikal pertandingan seperti Pengadil dan lain-lain boleh dikoordinasikan dengan mudah kerana TLDM mempunyai Kelab-kelab Sukan yang terdiri daripada pegawai dan anggota yang berkelayakan yang diiktiraf oleh badan-badan sukan induk di dalam negara.

Satu perkara yang telah difahami dan sering diperkatakan oleh khalayak ialah tahap kebersihan pangkalan maupun kapal-kapal yang sentiasa terjaga rapi. Ini adalah kerana amalan kebersihan telah menjadi budaya dan tradisi TLDM yang diadaptasi dari kehidupan di kapal.

Walaubagaimanapun sebagai pangkalan tentera, TLDM tidak pernah mengabaikan aspek keselamatan fizikal yang mana setiap kawasan-kawasan strategik memerlukan dokumentasi dan tapisan sekuriti sebelum memasukinya dan kawalan rapi di setiap pintu masuk utama dan sub unit tidak boleh dikompromi.

Fiesta Hari Armada

Tanggal 27 April setiap tahun merupakan hari istiadat gemilang bagi TLDM yang telah tercatat dalam kalendar negara sebagai sejarah permulaan kewujudan TLDM.

Setiap tahun detik bersejarah itu akan dikenang dan dihiasi dengan sambutan-sambutan tertentu. Paling tidak pun armada TLDM akan dihiasi dengan ‘dressing ship’ di mana-mana pelabuhan yang terpilih dengan kehadiran kapal-kapal perang dan dibuka untuk pelawat umum.
Pada 26 dan 27 Apr lalu TLDM telah meneruskan kesinambungan sambutan yang dikenali sebagai Hari Armada yang diadakan setiap dua tahun sekali. Banyak acara-acara menarik yang diadakan sepanjang dua hari tersebut. Seperti kelaziman pameran statik kerjaya TLDM mendapat perhatian ramai yang ingin mengetahui lebih dekat lagi tentang TLDM.

Fiesta Hari Armada kali ini juga telah menunjukkan pertambahan tapak-tapak pameran dan program-program yang dibawa oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bertindak sebagai penyiar rasmi fiesta kali ini.

Seperti mana-mana fiesta yang dianjurkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya, pengunjung pasti tidak akan kecewa kerana berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat aset-aset tempur dan kelengkapan yang dimiliki oleh ATM telah dipamirkan. Begitu juga Fiesta Hari Armada, TLDM turut memberi peluang kepada pengunjung menaiki kapal-kapal perang dan melihat atau berintraksi dengan krew-krew yang ditugaskan untuk melayani pengunjung.

Tidak menjadi kesukaran untuk mengetahui kelengkapan dan sokongan kombat sesebuah kapal perang kerana kebanyakan kelengkapan tersebut sememangnya diinstalasikan di geladak-geladak permukaan.

Kali ini aset-aset armada yang dibuka untuk pengunjung ialah KD JEBAT, KD LEKIR, KD HANG TUAH, KD MAHAWANGSA, Skuadron Kelas Laksamana , Skardronn Kapal Penyapu Periuk Api (MCMV).

Demonstrasi PASKAL

Pasukan Khas Laut [PASKAL] adalah unit elit dalam TLDM mengadakan demonstrasi anti keganasan kepada umum iaitu aksi membebaskan tebusan di laut. Demontrasi tersebut telah dijayakan dengan bantuan elemen unit udara TLDM (Fennec dan Super Lynx).

Bermula dengan episod warga kapal awam telah ditawan oleh lanun kemudian diikuti dengan aksi penggeledahan anggota PASKAL dengan menggunakan bot tempur Rigid Hull Inflatable Boat [RHIB] melalui laut setelah Sniper PASKAL terlebih dahulu mengkucarkacirkan pengawalan dan konsenstrasi musuh di atas kapal. Aksi berikutnya ialah beberapa orang lagi anggota bantuan diturunkan dari Fennec dalam masa yang cukup pantas.

Pendekatan yang agresif dan berani yang dipersembahkan oleh juruterbang-juruterbang sangat mengujakan dengan aksi fast ropping penggeledahan anggota PASKAL yang pantas ke lokasi sasaran.

Setelah sasaran berjaya dimusnahkan sekali lagi pengunjung dapat menyaksikan bagaimana pendekatan untuk membawa keluar anggota PASKAL oleh elemen udara digerakkan dengan aksi yang berani.

PASKAL juga membuat demonstrasi penerjunan free fall dan pengendalian bot tempur yang tidak kurang mendapat perhatian pengunjung. Demonstrasi dan aksi-aksi yang ditunjukkan sebenarnya memerlukan kemahiran dan ketepatan bertindak, ketahanan mental dan fizikal yang tinggi. Sebagai seorang anggota pasukan khas, mereka bukan sahaja terdedah dengan bahaya semasa operasi sebenar, malah semasa latihan penyediaan diri, mereka terdedah dengan risiko kemalangan yang boleh mengakibatkan maut.

Di dalam keadaan sebenarnya semasa konflik, inilah pasukan yang menjadi taruhan negara untuk melakukan pembebasan. Senario sebenar, mereka berdepan dengan bahaya yang mengancam nyawa tebusan dan diri mereka sendiri. Untuk keberkesanan dan impak maksima, mereka harus dibekalkan dengan peralatan moden untuk beraksi dengan lebih yakin di dalam sesuatu konflik. Mereka yang sanggup bergadai nyawa tidak harus dilayan dengan birokrasi yang memungkinkan mereka mendapat musibah.

Untuk merealisasikan program sebegini TLDM telah membelanjakan ribuan ringgit dalam usaha menentukan ‘tentera dan rakyat berpisah tiada’. Apa yang pasti, hanya segelintir masyarakat sahaja yang dapat datang ke lokasi pada jangkamasa tersebut. Jika media tidak mengambil peranan bertindak sebagai penghubung, sudah tentu usaha ini tidak mencapai sasaran yang diinginkan.

Di kesempatan program yang seumpama dianjurkan oleh ATM, media dari semua medium harus mengambil peranan untuk menghebahkan keupayaan ATM umumnya dalam bentuk dan kreativiti masing-masing dengan hasrat supaya generasi hari ini mengenal dan menghargai peranan anggota-anggota keselamatan dan menjadikan hero-hero negara sebagai idola mereka.
Liputan positif, ikhlas dan bertanggungjawab dalam usaha membentuk generasi patriotik akan menyumbang kepada pembentukan generasi yang sanggup berkorban demi ugama dan tanahair yang merupakan elemen cegah rintang kepada provokasi anasir luar.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini