About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Sunday, June 26, 2022

RAS LEKIR DAN HENRY J. KAISER BERJAYA



Sumber/foto: TLDM Page

HAWAII, 26 Jun - KD LEKIR telah berjaya menjalankan pengisian semula (UNREP) di laut bersama USNS HENRY J. KAISER di perairan Hawaii, Amerika Syarikat.

Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertemu dengan kapal minyak Amerika di perairan Hawaii di luar Pulau Oahu petang tadi, selepas hampir dua minggu belayar tanpa henti di Lautan Pasifik.

USNS HENRY J. KAISER melalui hari-hari  yang sibuk melayani kapal-kapal dari negara-negara luar  termasuk Malaysia mengisi minyak sebelum menuju ke Pangkalan Bersama Pearl Harbor-Hickam untuk menyertai latihan Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022.

KD LEKIR ialah wakil kedua Malaysia dalam RIMPAC selepas KD LEKIU mengambil bahagian pada 2018.

Diketuai oleh Pegawai Memerintah Komander Mohd Asri bin Dasman TLDM, korvet kelas Kasturi yang mempunyai 132 kekuatan akan melakukan tembakan peluru berpandu semasa fasa laut RIMPAC tahun ini.

Sebanyak 26 buah negara menyertai dengan menghadirkan 38 buah kapal perang, empat buah kapal selam, lebih 170 pesawat udara dan 25,000 kakitangan menyertai RIMPAC dari 29 Jun hingga 4 Ogos di dalam dan sekitar Kepulauan Hawaii dan California Selatan.

Latihan maritim antarabangsa terbesar di dunia, RIMPAC menyediakan peluang latihan yang unik sambil memupuk dan mengekalkan hubungan kerjasama di kalangan peserta yang penting untuk memastikan keselamatan laluan laut dan keselamatan di lautan dunia.

RIMPAC 2022 ialah latihan ke-28 dalam siri yang bermula pada tahun 1971.



Saturday, June 25, 2022

OP BENTENG – 6 BGD dan 8 BGD BERJAYA MENYERKAP 28 PATI D BUKIT KAYU HITAM DAN TANAH MERAH

24 Jun 2022 : Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) melalui 6 Bgd dan 8 Bgd telah berjaya menahan 28 Pendatang Tanpa Izin (PATI) di dua lokasi berbeza.

Dalam kejadian pertama, pada jam 0245 Tim Serang dan Tangkap (SERKAP) 8 Bgd, telah mengesan sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan keluar dari semak menuju ke arah jalan raya di Kg Nibong, Tanah Merah Kelantan. Hasil pemeriksaan mendapati.  kesemua 9 orang adalah PATI warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Kesemua mereka terdiri daripada 5 lelaki dan 4 perempuan berumur di antara 17 hingga 35 tahun.


Manakala dalam kejadian kedua pada jam 0430 di KTJ 6 Bgd Bukit Kayu Hitam Kedah, pasukan beroperasi yang melaksanakan rondaan telah mengesan sekumpulan individu di kawasan semak di dalam kebun getah berhampiran jalan raya Changlun - Sintok. Hasil pemeriksaan mendapati seramai 19 orang adalah PATI warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Mereka berumur di antara 19 hingga 44 tahun terdiri daripada 15 lelaki dan 4 perempuan. 

Turut dirampas dalam kedua-dua kejadian sebanyak 18 buah telefon bimbit dan wang tunai dalam matawang Malaysia, Myanmar dan Thailand dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM 13,380.05. Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Nibong dan Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.




Thursday, June 23, 2022

LATIHAN PERANG PANGKOR - SERAMPANG DUA MATA ARMADA TLDM


Latihan Perang Pangkor siri 24/22 yang berlangsung hari ini menggambarkan setakat Jun tahun 2022 sahaja Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui armadanya telah melaksanakan 24 kali latihan. Ini bermakna secara purata latihan ini dilaksanakan 4 kali sebulan bagi kapal-kapal di bawah naungan Armada Barat.  


Malahan puluhan kali setahun warga armada TLDM ‘berpencak’ di laut melaksanakan latihan dengan pelbagai nama yang berskala besar dan kecil bertujuan untuk menguji tahap pengoperasian kapal, sistem dan persenjataan di samping usaha berterusan untuk mempertajamkan kemahiran warga kapal di dalam pengendalian semua peralatan kapal serta menguji prosedur dan taktikal dalam menghadapi pelbagai dimensi peperangan.


Di samping itu juga latihan Perang Pangkor  ini juga bertujuan untuk memperagakan kehadiran aset pertahanan TLDM di samping melindungi kepentingan maritim di perairan Selat Melaka. 


Itulah hakikat komitmen Navy People yang menggenggam moto Sedia Berkorban mempertaruhkan  kudrat dan usaha gigih dalam menentukan amanat negara dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan semangat juang yang tinggi dalam menentukan negara berada dalam keadaan kekal aman pada sebilang masa.  Sekali gus memberi gambaran kepada masyarakat bahawa Navy People khususnya tidak ‘makan tidur’.


Latihan Perang Pangkor siri 24/22 di sekitar perairan Selat Melaka hari ini telah melibatkan KD SRI INDERA SAKTI dan KD TEGUH SAMUDERA bersama aset sokongan iaitu Fast Combat Boat TLDM. 


Thursday War


Latihan Perang Pangkor mula diperkenalkan oleh TLDM sejak 2006 yang diadaptasikan dari Thursday War Tentera Laut British. Melibatkan semua kapal-kapal yang beroperasi yang berada di Pangkalan TLDM Lumut dan diatur gerak keluar ‘bertempur’ seawal jam 0500H di Perairan Selat Melaka. 


Ianya bertujuan membina persefahaman antara kapal-kapal yang terlibat berasaskan piawaian prosedur operasi yang telah ditetapkan di samping membina persefahaman dan semangat setia kawan sesama sendiri. Setiap siri pelaksanaannya berpandukan direksi pemula perang samada latihan dalam konteks navigasi yang mengandungi latihan Orang Jatuh Laut, Menggeledah, mendarat dan sebagainya. 


Permainan olah perang ancaman peperangan 4 dimensi adalah menjadi subjek yang paling utama kerana ianya melibatkan manipulasi taktikal pemain, penderia-penderia, sistem integrasi kombat, dan persenjataan. Dalam masa yang sama latihan melawan kebakaran dan mengawal kerosakan (DCFF) terus diberi perhatian serius untuk menentukan kapal boleh terapung dan bergerak untuk berperang. 


Dengan cara ini warga yang terlibat lebih fokus dan mempunyai ruang untuk memperbaiki kelemahan yang ada sebagai persiapan menghadapi eksesais yang berskala besar yang lebih mencabar yang telah direncanakan sepanjang tahun malah lebih yakin dan bersedia untuk menghadapi peperangan sebenar jika terpaksa berbuat demikian.


Nota Kepada Kerajaan


Kepada kerajaan, supaya tidak ragu-ragu untuk membelanjakan sejumlah wang negara bagi memperlengkapkan TLDM ke tahap yang lebih kelihatan dominan sebagai usaha cegah rintang di dalam kalangan negara-negara di rantau Asean. 


Walaupun pada dasarnya Malaysia memilih diplomasi sebagai jalan penyelesaian kepada sesuatu peperangan namun ini tidak bermakna membangunkan sebuah angkatan laut kepada satu tahap dominan boleh dikesampingkan. 


Gendang perang ada kalanya dipalu tanpa menyoal samada pasukan bertelagah sudah bersedia atau tidak. 


Apa yang jelas, Navy People sangat komited untuk menjadi pemain yang versatile di dalam bidang mereka namun kerajaan harus memberi perhatian sewajarnya dalam konteks perolehan platform, peralatan dan persenjataan agar armada TLDM kelihatan lebih ‘bertaring’ untuk meletakkan TLDM lebih digeruni. 


Apa yang penting Navy People akan lebih yakin untuk keluar berperang sebagai anak jantan dan moto ‘Sedia Berkorban’ menjadi pemangkin kepada keberhasilan di dalam setiap misi dan visi yang di gagaskan oleh TLDM.


Sunday, June 19, 2022

OP BENTENG - 47 LAGI PATI DITAHAN


Foto: Markas 2 Div

BUKIT KAYU HITAM - 18 Jun.  Cubaan 47 orang Pendatang Tanpa Izin (PATI) warganegara Myanmar yang  menyelusup masuk ke Malaysia melalui lorong tikus sempadan Malaysia-Thailand  berjaya disekat oleh pihak berkuasa Malaysia.

 Menurut  Pegawai Perhubungan Awam Markas 2 Divisyen , PATI yang berumur dalam lingkungan 15 hingga 49 tahun itu terdiri daripada 40 lelaki dan 7 perempuan ditahan di kawasan ladang getah sektor OP BENTENG Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia jam 0545H pagi kelmarin.

 Tim Serang dan Tangkap (SERKAP) Bgd Ke-6 Infantri Tentera Darat   turut merampas  34 buah telefon bimbit dan wang tunai dalam matawang Thailand, Myanmar dan China dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM 27,608.40. Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

Thursday, June 16, 2022

OP BENTENG LAUT: KD GEMPITA TAHAN 11 LAGI PATI

 



Sebelas orang lagi Pendatang Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam Operasi Benteng Laut (OPS BENTENG)  di laluan sibuk perairan Johor Selatan jam 12.30 malam tadi.  Sektor tersebut yang bukan sahaja sibuk dengan laluan perkapalan malah menjadi laluan utama Tekong Laut yang menjalankan aktiviti menyeludup PATI ke negara ini.


Menurut sumber Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD GEMPTA yang masih berada di sektor operasi bertindak atas maklumat yang disalurkan oleh   Area Control Centre (ACC) Johor melalui Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) mengesan sebuah bot laju bergerak dari perairan Batam, Indonesia dan disyaki menuju ke perairan Tanjung Penyusop, Johor.


Kali ini FCB 1124  TLDM dan bot pemintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM ) RHIB LEPAU selaku unit tugas diatur gerak bagi melaksanakan misi penjejakan dan pemintasan ke atas bot curiga tersebut. 


Hasil penggeledahan didapati 10 lelaki dan seorang wanita yang dipercayai warga negara Indonesia lingkungan umur 20-an hingga 50-an tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.  Kesemua mereka ditahan di lokasi 3.1 batu nautika barat daya Tanjung Penyusop atas kesalahan  menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan.


PATI yang diberkas dibawa ke Jeti Maritim Tanjung Pengelih untuk  diserahkan kepada Tim Op MERPATI untuk soal siasat dan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tujuan tindakan lanjut. 


Pengalaman Yang Mendewasakan


Mutakhir ini saban hari kita dapat membaca berita-berita tentang aktiviti pencerobohan, rentas sempadan malah penyeludupan berjaya dikesan dan diberkas oleh penguatkuasa di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘laluan tikus’ samada di laut atau di darat. Cuma, hanya tangkapan yang besar sahaja yang sering dilapor kepada umum sementara tangkapan yang berskala kecil tidak didedahkan.  Taktik-taktik yang diguna pakai oleh tekong-tekong yang mengetuai kegiatan ini telah dapat dijangka oleh pasukan penguatkuasa berdasarkan pengalaman yang diraih dari kekerapan mengendalikan operasi di lapangan..


Kalau di laut, keupayaan Radio Aid Direction And Range (RADAR) yang berkeupayaan tinggi menjadi pertaruhan utama bagi pengesanan awal kontak-kontak yang bergerak di permukaan. Bukan mudah untuk membuat identifikasi sesuatu kontak terutamanya di waktu malam.  Apa pun pengalaman telah mendewasakan operator-operator peranti yang bertugas dimana identifikasi sesuatu objek bergerak itu boleh diterjemah kepada sesuatu objek yang disyaki sebelum ianya disahkan benar oleh unit tugas yang berada di lapangan melalui aksi penggeledahan.


Di atas permukaan laut, keadaan lalu lintas laut juga sangat sibuk dengan kapal-kapal dan bot-bot kecil. Keadaan ini sangat menyukar dan mengelirukan  misi pengesanan dan penjejakkan.  Tekong-tekong yang berpengalaman sering menjadikan kapal-kapal besar yang ada di persekitaran sebagai satu helah bagi mengelirukan pengesanan RADAR  atau seumpamanya. Namun melalui karakteristik dan tindak-tanduk sesuatu kontak yang dapat dikesan secara konsisten oleh RADAR biasanya akan berakhir dengan kejayaan.


Pemantauan Udara


Satu lagi elemen yang sangat berkesan dan pantas untuk penjejakan objek yang disyaki ialah melalui pemantauan pesawat udara.  Penambahan aset udara kepada agensi-agensi penguatkuasaan adalah sangat relevan dan rasional memandangkan peningkatan aktiviti-aktiviti yang telah banyak merugikan kerajaan dan mengancam keselamatan negara.


Makanya jika sepanjang sempadan negara tidak boleh dibina tembok penghadang bagi mengekang  aktiviti rentas sempadan  melalui jalan laut dan darat, penambahan sistem pemantauan yang berkebolehan tinggi untuk pengesanan awal dan aset-aset udara serta permukaan perlu diperbanyakkan untuk penjejakan dan pemintasan yang lebih berkesan.


Wednesday, June 15, 2022

PATI SEMAKIN BERANI




Dalam sebulan ada saja Pendatang Tanpa Izin (PATI) ditahan oleh pihak berkuasa samada mereka cuba menceroboh melalui jalan laut maupun jalan darat. 

Kes terbaharu kelmarin, 8 orang PATI telah ditahan di Perairan Johor Selatan.Tujuh lelaki dan seorang wanita dipercayai warga Indonesia dalam lingkungan umur 20-an hingga 50-an didakwa atas tuduhan menceroboh perairan negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

Sebuah bot yang mencurigakan dikesan oleh Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) dari perairan Batam Indonesia dan disyaki  menuju ke perairan Teluk Ramunia, Johor.

Area Control Centre (ACC) Johor menyalurkan maklumat pencerobohan kepada KD GEMPITA yang sedang melakukan rutin patroli di lapangan untuk tindakan lanjut.  FCB 1123 TLDM seterusnya diatur gerak untuk melakukan penjejakan dan pemintasan ke atas bot curiga tersebut dan berjaya menahan di lokasi 2.5 batu nautika selatan Tanjung Ayam. Kesemua PATI yang diberkas diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.

Garisan Sempadan Sentiasa Terancam

Sempadan laut dan darat negara sentiasa menerima ancaman.  Meski pun ancaman tersebut merupakan aktiviti rentas sempadan, namun ianya tidak boleh dipandang ringan kerana rekod tangkapan PATI berlaku  beberapa kes setiap bulan bagi menggambarkan keseriusannya aktiviti tersebut.  

Kes-kes yang direkodkan sebelum ini modus operandinya hampir sama dimana  dalam bulan Mei lalu 9 orang PATI Indonesia ditahan di Telok Ramunia Johor. Melalui sempadan darat pasukan di bawah Briged Ke-6 Infantri beberapa kali membuat penahanan PATI rakyat Thai, Myanmar dan lain-lain dalam jumlah yang agak ramai yang merangkumi wanita dan kanak-kanak.di sektor OPS BENTENG Durian Burung, Bukit Kayu Hitam dan lain-lain.

Kata pujian sememangnya layak diucapkan kepada anggota penguatkuasaan kita kerana kejayaan demi kejayaan yang dicapai namun tidak mustahil masih ada yang dapat membolosi kawalan yang dilakukan kerana sempadan laut dan darat itu sangat luas berbanding dengan jumlah aset dan  keanggotaan yang berkawal.

Penampan

Bagi meringankan beban penguatkuasaan dan ketirisan hasil cukai dan lain-lain kerugian kepada negara, adalah tidak keterlaluan jika penulis katakan bahawa di garisan sempadan negara perlu ditampan dengan sistem penampan kekal seperti tembok atau seumpamanya.

Di kebanyakan kawasan-kawasan sempadan darat, tanah-tanah di sempadan itu dimiliki oleh individu-individu yang mana adakalanya menyukarkan penguatkuasaan pasukan keselamatan yang bertugas kerana dikatakan boleh mengganggu privasi tuan tanah itu sendiri.  Dibimbangi situasi ini akan memberi ruang kepada aktiviti-aktiviti penyeludupan barang dan manusia melalui tanah-tanah persendirian yang bersempadan.  Justeru pihak kerajaan perlu membuat penebusan tanah-tanah sedemikian dan menggazetkan sebagai tanah kerajaan yang dijadikan kawasan larangan.


Saturday, June 11, 2022

LAGI PATI DITAHAN DI JOHOR

Johor 11 Jun - 8 orang PATI telah ditahan di Perairan Johor Selatan.Tujuh lelaki dan seorang wanita dipercayai warga Indonesia dalam lingkungan umur 20-an hingga 50-an didakwa atas tuduhan menceroboh perairan negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

Sebuah bot yang mencurigakan dikesan melalui Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) dari perairan Batam Indonesia dan disyaki  menuju ke perairan Teluk Ramunia, Johor.

Area Control Centre (ACC) Johor menyalurkan maklumat pencerobohan kepada KD GEMPITA yang sedang melakukan rutin patroli di lapangan untuk tindakan lanjut.  

FCB 1123 TLDM seterusnya diatur gerak untuk melakukan penjejakan dan pemintasan ke atas bot curiga tersebut dan berjaya menahan di lokasi 2.5 batu nautika selatan Tanjung Ayam. Kesemua PATI yang diberkas diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut. 

Sunday, June 5, 2022

VETERAN BANGKIT MENUNTUT HAK



Di kebanyakan negara terutamanya negara-negara barat, penggunaan istilah veteran adalah biasanya dikhususkan kepada entiti peperangan yakni bekas-bekas tentera mereka.  

Di Malaysia, istilah Veteran juga turut dikhususkan kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pewartaan Rang Undang-undang Veteran  2012 yang membawa maksud warganegara Malaysia yang telah berkhidmat sepenuh masa dan tidak pernah dibersarakan atau diberhentikan daripada perkhidmatan atas alasan salah laku dalam mana-mana Angkatan Tetap ATM, Angkatan Sukarela yang dikerah sepenuh masa oleh ATM tanpa mengira tempoh perkhidmatan, Force 136, Tentera British yang telah berkhidmat di Malaya, Malaysia atau Singapura dan Sarawak Rangers. Selari dengan itu juga satu badan yang dikenali sebagai Majlis Veteran Kebangsaan  (MVK) telah ditubuhkan bagi mencapai maksud Akta ini.


Namun begitu setakat ini di Malaysia, banyak didapati tulisan-tulisan malah juga ucapan-ucapan yang menggunakan perkataan Veteran oleh jabatan atau badan-badan lain bagi menggambarkan  entiti dari badan-badan tersebut yang sudah bersara, berusia dan matang di mana keadaan ini tidak ‘dibendung’ penggunaannya yang menyebabkan penyalahgunaan perkataan Veteran ini  tidak nampak menjadi suatu ‘kesalahan’ atau penyalahgunaan istilah.


Di sini boleh disimpulkan  bahawa  Veteran ATM ini agak 'istimewa' berbanding entiti lain dalam kalangan penjawat awam yang lain.  Istimewa dalam ertikata ianya berada di dalam kelumpok yang sangat ‘dijaga’ dan diberi perhatian oleh pihak pemerintah melalui Akta ATM 1972, Akta Veteran 2012 (Akta 740) dan perlembagaan khusus Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) di bawah Kementerian Pertahanan.


Terdapat sedikit perbezaan maksud di antara Veteran ATM dan Bekas ATM di mana Veteran ATM adalah kelumpok yang diiktiraf melalui pewartaan RUU Veteran 2012 yang tersebut di atas dan Bekas ATM adalah mereka yang pernah sama-sama berkhidmat dalam angkatan yang sama tetapi telah diberhentikan di bawah klausa-klausa tertentu Akta ATM 1972 sebelum tamat tempoh perkhidmatan.   


Veteran ATM Mula Bangkit


Namun begitu, bila dibuat perbandingan pengorbanan getir masa lalu Veteran ATM yang meletakan keadaan negara yang aman pada hari ini sedangkan kehidupan Veteran  itu sendiri sebenarnya tidak begitu kondusif. Malah hasil keamanan yang diraih dengan air mata darah oleh warga tentera yang kini bergelar Veteran/Bekas Tentera telah dikecapi nikmat keamanannya oleh semua warganegara malah turut dirasai oleh warga asing yang berpusu-pusu mencari rezeki di negara bertuah dan berdaulat yang bernama Malaysia ini.


Majoriti Veteran yang bersara sebelum 2014 malah juga yang menamatkan perkhidmatan tanpa bayaran pencen hidup di bawah paras kemiskinan (B40). Meskipun bukan semua, kerana ada Veteran yang sangat berjaya mencapai pendapatan aras pertengahan dan tinggi namun bilangannya sangat kecil dan keberjayaan mereka itu atas daya usaha mereka sendiri dengan pelbagai dorongan serta ruang dan peluang.


Kekecewaan sangat dirasakan bila mana bekas-bekas tentera yang diberhentikan kerana melakukan kesalahan melanggar tatatertib semasa di dalam perkhidmatan dinafikan dari menerima keistimewaan sebagai Veteran ATM serta dijatuhkan hukuman seumur hidup meskipun kesalahan yang dilakukan itu tidak sebesar mana berbanding Ahli-ahli Parlimen terpalit dengan hukuman penjara tetapi masih boleh kembali menjadi menteri atau ketua negara dan menikmati ganjaran lumayan dari kerajaan.   


Tidak dinafikan banyak aspek kebajikan telah diberi perhatian oleh pihak kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sejak dari dahulu lagi namun ianya tertumpu kepada kelumpok kecil yang tidak menyeluruh dan masih terdapat lompang yang masih belum diisi di mana ada beberapa tuntutan yang masih diberi status ‘kajian’ oleh pihak kerajaan di atas pelbagai alasan. 


Bertitik tolak dari situasi ini veteran yang ‘arif’ mula mencari dan menggali apa-apa bukti yang terkandung di dalam perlembagaan dan mula merasakan bahawa kerajaan tidak begitu serius dalam memperjuangkan nasib Veteran ATM berdasarkan penemuan klausa-klausa tertentu tentang hak-hak keistimewaan yang diperuntukkan kepada Veteran ATM yang selama ini didakwa telah ‘dikesampingkan’ oleh pihak pemerintah.   Justeru, apa jua alasan yang pihak kerajaan berikan untuk tidak menunaikan tuntutan dalam masa terdekat tidak lagi menjadi pengubat bagi menahan kesabaran mereka.


Apa Yang Dituntut?


Sebenarnya terdapat beberapa  usaha yang telah diperjuangkan oleh Persatuan-persatuan Veteran ATM melalui  Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi tujuan manfaat Veteran ATM. Di antara perkara-perkara kebajikan yang dituntut semuanya berkisar kepada penambahbaikan kepada perubahan sosio ekonomi bekas ATM dan juga untuk mengembalikan status ‘keistimewaan’ Veteran ATM itu sendiri kepada haknya. Di antara perkara-perkara yang menjadi agenda tuntutan ialah:


-Memohon bayaran Elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada bekas ATM yang berkhidmat sebelum perletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan pada tahun 1989/1990.


-Merapatkan Jurang Pencen Veteran ATM yang menamatkan perkhidmatan sebelum 2014 kerana golongan ini menerima pencen bulanan yang sangat rendah berbanding Veteran yang bersara selepas 2014 walaupun pangkat yang setaraf atau lebih rendah.


-Memohon Elaun Sara Hidup dengan kadar munasabah  untuk Veteran ATM Tidak Berpencen. sebagai mengenang jasa dan pengorbanan mereka yang pernah berkhidmat melebihi 10 tahun.


-Memohon diberi pengiktirafan kepada bekas tentera yang diberhentikan kerana salah laku sebagai Veteran ATM.


-Penambahbaikan Elaun Veteran Kurang Upaya.


-Memanjangkan pemberian Pencen Terbitan kepada isteri yang dikahwini setelah bersara.

Mutakhir ini, bila mana semua tuntutan-tuntutan yang tersebut di atas tidak diberi perhatian dan ‘layanan’ yang setimpal maka wujudlah individu, kumpulan-kumpulan dari kalangan Veteran/Bekas Tentera yang tidak berpuas hati tampil dari masa ke semasa untuk menagih perhatian dari pihak kerajaan khususnya secara lebih serius.  Di antara mereka yang bangkit telah menubuhkan Jawatankuasa masing-masing bagi melicinkan apa-apa tindakan susulan yang mereka akan lakukan. 


Jawatankuasa Khas Veteran


Presiden PVATM, Kapten Datuk Sharuddin Omar (Bersara) dalam satu kenyataan kepada wartawan airtimes.my baru-baru ini berkata, Persatuan Veteran ATM (PVATM) telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Veteran (JKKV) pada 14 Februari lalu dengan melantik  Leftenan Jeneral Datuk Nawi Alias (Bersara) menjadi Pengerusi JKKV berdasarkan kepada pengetahuan, pengalaman serta semangat juangnya bagi meneliti secara terperinci mengenai masalah pencen dan ganjaran anggota ATM berpandukan kepada undang-undang serta peraturan sedia ada iaitu Perlembagaan Malaysia (Artikel 137 dan 147), Akta Angkatan Tentera Tahun 1972 (Seksyen 15, 36 dan 187) serta Peraturan Pencen dan Ganjaran ATM 1982. Idea penubuhan JKKV tercetus apabila Mahkamah Rayuan membuat keputusan kenaikan tahunan pencen sebanyak 2 peratus adalah tidak sah, pada 13 Januari lalu,


Dalam pada itu, beliau turut menyedari adanya kumpulan dalam entiti Veteran yang juga memperjuangkan perkara sama dengan pendekatan berbeza, namun tiada sebarang halangan pihaknya ke atas tindakan itu oleh kerana matlamat yang akan memberi manfaat kepada veteran kelak.


Walau bagaimanapun, kata beliau, dalam usaha memperjuangkan isu kebajikan Veteran, janganlah hendaknya ada percanggahan dan perselisihan serta memperkotak-katikkan sesama sendiri yang menunjukkan perpecahan. (sumber: Airtimes.my)


Penubuhan Tribunal Arbitral Malaysia


Satu lagi usaha yang Veteran dan Bekas Tentera lakukan bagi merealisasikan tuntutan ini ialah melalui  tindakan semakan kehakiman secara Class Action di Mahkamah Timbangtara bebas Malaysia melalui satu Tribunal Khas Veteran ATM bagi setiap isu kes.  Mej. Hj. Mior  Rosli TUDM (Bersara) yang mengetuai kaedah ini merupakan seorang peguam yang mana sebelum ini beliau bergerak secara bersendirian menuntut kepada kerajaan berkaitan perkara-perkara yang disebutkan di atas.  Dalam gerakan yang terkini beliau telah menubuhkan Jawatankuasa bagi melicinkan perlaksanaan dengan sokongan ribuan Veteran dan Bekas Tentera yang mendambakan perubahan. 


Semua Veteran yang menyokong tuntutan ini dan setuju menjadi plaintif dan/atau penuntut dikehendaki mendaftarkan diri menggunakan Google Form yang disertakan sebelum memfailkan tuntutan di mana memerlukan sekurang-kurangnya 10,000 orang Veteran dan Bekas ATM mendaftar. Antara asas permohonan bagi setiap Class Action adalah seperti berikut: 

a. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarah Majlis Angkatan Tentera (MAT) melaksana segala kuasanya menurut undang-undang untuk selaraskan pencen bagi Veteran yang bersara sebelum tahun 2004, 2013 mengikut kuasa yang ada pada MAT berdasarkan Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan, kuasa kebelakangan yang ada pada MAT di Seksyen 187, Seksyen 206 dan Seksyen 207 Akta Angkatan Tentera dan Peraturan-peraturan Pencen dan Faedah-faedah Lain di bawahnya; 


b. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarahkan MAT memberi pertimbangan berdasarkan kuasa  Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 15, Seksyen 36, Seksyen 187, Seksyen 206 dan Seksyen 207 Akta Angkatan Tentera supaya anggota tentera, anggota sukarela yang dikerah dan Veteran diberi hak yang seakan serupa secara kebelakangan yang di nikmati oleh semua penjawat awam di mana mereka boleh diberi pencen setelah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun perkhidmatan seperti yg diperuntukkan dalam Seksyen 9,10,11 dan 12 Akta Pencen 1980; dan seperti juga Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hanya perlu berkhidmat 36 bulan untuk mendapatkan pencen.; 


c. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarahkan MAT menubuhkan satu Lembaga Pengampunan menurut kuasa Yang Dipertuan Agong (YDPA) di Perkara 4(1), Perkara 4(2) dan Perkara 137(1) Perlembagaan Persekutuan di mana YDPA berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum, termasuk  meremitkan,  menggantung atau meringankan hukuman berkenaan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan oleh pegawai atasan, bagi mereka yang layak, supaya mereka yang tidak layak digelar sebagai Veteran oleh Akta Veteran 2012 boleh diterima balik sebagai Veteran dan mereka, suami/isteri dan anak-anak yang layak boleh mendapat kemudahan kebajikan seperti Veteran yang lain.

Sebagaimana wakil rakyat  boleh berkhidmat semula selepas 5 tahun jatuh hukum kesalahan berat mana sekalipun; dan menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera 1972 untuk memberi Pencen kepada Veteran yg telah diampunkan; 


d. Memohon supaya  mahkamah yang mulia mengarahkan MAT mengkaji semula kadar Pencen Hilang upaya agar Veteran yang cedera perang, cedera semasa bertugas dan cedera akibat selepas dari tugas berat dan terlampau semasa berkhidmat diberi PHU dan Layan Sentiasa seperti yang diberi oleh SOCSO dan Insuran yg ditanggung oleh kerajaan selain dari Insuran kelompok yang dibayar sendiri oleh anggota tentera; 


e. Memohon supaya  mahkamah yang mulia mengarahkan MAT mengkaji semula masalah-masalah yang dihadapi oleh 404 orang pegawai yang bertauliah semasa laporan gaji Sheikh Abdullah pada tahun 1972; dan 


f. Memohon mahkamah yang mulia untuk mendapatkan semakan kehakiman ke atas semua isu-isu yg berbangkit seperti, kuasa YDPA di bawah Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan, isu Lembaga Tabung ATM (LTAT), kebebasan Veteran seperti orang awam yang lain menurut Perlembagaan Persekutuan dan lain-lain perkara yang akan dikemukakan kepada mahkamah yang mulia kemudian. 


Mej Mior menjelaskan bahawa terdapatnya pertindihan bidang kuasa di antara MAT dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Agensi Pusat yang tidak menyenangkan. ATM  harus faham bahawa menurut undang undang JPA dan Agensi-agensi Pusat seperti Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit PenyeIaras Pelaksanaan (ICU) tidak boleh mengatasi keputusan MAT yang dibuat dengan kelulusan oleh YDPA seperti Gaji Dan Elaun, Pencen Dan Ganjaran, Syarat Perkhidmatan dan lain-lain.  


Oleh kerana di dalam sistem perundangan Negara YDPA itu teratas sekali,  ianya satu mitos apabila di katakan JPA atau Agensi Pusat boleh mengatasi keputusan MAT.  Walau bagaimanapun adalah tidak salah MAT menerima nasihat lain tetapi tidaklah boleh pihak lain menyatakan ATM hendaklah mengikuti keputusan mereka seperti JPA dan menolak tuntutan Pelarasan Pencen yang Jawatankuasa Khas PVATM sedang tangani.  Ini adalah satu isu berperlembagaan yang beliau mohon Kementerian Pertahanan rujuk kepada Peguam Negara selaku Penasihat Undang-undang YDPA membuat deklarasi bahawa ATM adalah berbeza dari Perkhidmatan Awam yang lain.


Sebagai perbandingan, beliau turut merujuk kepada  keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 11 Jan 2019 dalam kes MAT  dan  Mohd Nurul Ami Bin Mohd Basri Civil Appeal No: A -01(NCVC)(W)-315-09/2017. Dalam kes ini, MAT menang Rayuan ini dan Mahkamah Rayuan mengatakan yang Undang-undang Awam yang lain tidak boleh mengatasi Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan, AAT72, PMAT, dan Peraturan-peraturan Tentera yang lain.


Kemenangan MAT adalah baik untuk ATM dan Veteran ATM sekaligus membuktikan yang skim perkhidmatan, Gaji dan Pencen bukan di bawah JPA. Dengan keputusan kes ini KEMENTAH/JPA tidak ada alasan apa-apa lagi untuk menahan tuntutan hak penyelarasan pencen Veteran ATM.  Jelas Mej. Mior melalui whatsapp kepada penulis.


Tambah Mej. Mior lagi, Anggota ATM boleh dikerah bekerja pada bila-bila masa tidak kira waktu tanpa mendapat apa-apa imbuhan. Anggota ATM termaktub di bawah pengawalan disiplin yang tinggi dan mesti dipatuhi. Sewaktu berkhidmat, ada kalanya Anggota ATM berjauhan dengan keluarga dalam jangka waktu yang lama samada beroperasi di hutan atau di lautan luas. Situasi ini tak dilalui oleh Kakitangan Awam. Inilah salah satu pengorbanan yang dipikul oleh anggota ATM.


Begitu juga bagi Warga ATM yang mahu  menyambung perkhidmatan bukan berlaku secara automatik dan mudah. Mereka perlu menjalani kursus yang panjang dan wajib lulus peperiksaan, perlu ada kekosongan jawatan, perlu diperakui sihat oleh Doktor ATM dan perlu mendapat sokongan dari Pegawai Bahagian dan Pegawai Memerintah. 


Gaji dan pencen Warga ATM sewajarnya lebih tinggi berbanding Anggota Perkhidmatan Awam yang lain sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Antara perkara penting yang wajar diberi perhatian adalah :


a. Perkara 41. Yang DiPertuan Agong merupakan Panglima Tertinggi ATM.

b. Perkara 132. ATM merupakan Perkhidmatan Awam yang terkanan di antara semua perkhidmatan kerajaan.


c. Perkara 137. Majlis ATM bertanggungjawab kepada Yang DiPertuan Agong atas 3 perkara berikut terhadap ATM iaitu Pemerintahan, Pentadbiran, Tatatertib.


d. Perkara 139. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam tidak ada kuasa terhadap ATM. Sehubungan itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam tidak sewajarnya menyamakan gaji dan pencen Warga ATM dengan Anggota Perkhidmatan Awam. Dalam pada itu, dalam Akta Angkatan Tentera 1972 terdapat pelbagai kuasa Majlis ATM. Antaranya ialah Seksyen 157 Majlis ATM bertanggungjawab memperakui gaji Warga ATM dan Seksyen 187 Majlis ATM bertanggungjawab memperakui pencen Warga ATM.


Terdapat beberapa perintah yang dibuat oleh Majlis ATM. Antaranya, Peraturan-peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran Dan Faedah) 1982. Dalam peraturan ini kerajaan perlu selaraskan pencen Warga ATM mengikut pelarasan gaji terkini.


Natijah


Natijah kepada senario yang terbentuk dari ketidakpuasan hati para Veteran/Bekas Tentera ini, secara spontan terbentuk satu lagi Jawatankuasa bagi merancang untuk mengadakan pertemuan keluarga besar Warga Bekas Tentera dan berhimpun secara aman di ibu negara bagi membincangkan tindakan susulan yang terbaik bagi meyakinkan pihak kerajaan tentang kewajaran tuntutan-tuntutan yang sedang diusahakan.


Menurut Pemudah Cara RU 6622, Lt Kdr Rafique Ali bin Ahmad Nordin (Bersara), pada mulanya Ahli Jawatankuasa ini merancang untuk berhimpun jika petisyen yang sedang diusahakan oleh JKKV yang diketuai oleh Datuk Nawi (PVATM) gagal mencapai matlamat setelah petisyen diserahkan kepada DYMM YDPA.


Namun begitu, memandangkan petisyen yang dimaksudkan itu akan memakan masa yang agak panjang dan dijangka menemui ‘jalan buntu’ penyelesaiannya maka perhimpunan terpaksa diteruskan dan menetapkan tarikh 6 Jun 2022,  bertujuan untuk menzahirkan kesepaduan, kesepakatan dan kesungguhan Veteran dan Bekas Tentera dalam memperjuangkan hak-hak istimewa Veteran dan Bekas Tentera yang sepatutnya diperolehi. 


“Setelah pertama kali berjumpa pihak Polis, kami membuat keputusan untuk menamakan Re-union 6622 Bekas Perajurit dan pihak PDRM bersetuju untuk memberi laluan kepada RU 6622  bersama keluarga ini diadakan di Tugu Negara”.  Ujar Rafique melalui pesanan suara.


Polis juga menjamin keselamatan Warga Bekas Tentera dan tidak akan menyekat pergerakan mana-mana Veteran secara individu atau kumpulan yang menyertai RU 6622 di Tugu Negara pada 6 Jun serta menyediakan  segala kemudahan seperti tandas tambahan dan ambulan untuk keperluan peserta RU 6622 yang hadir.  Polis juga turut memberi jaminan tidak akan menyekat kehadiran wartawan untuk membuat liputan berita dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak mengganggu gugat aturcara yang dijalankan di sekitar Tugu Negara. 


Menurutnya lagi, RU 6622 adalah satu perjumpaan keluarga Bekas-bekas Tentera sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri bahawa kita adalah satu keluarga Malaysia. RU 6622 dijadualkan berlangsung bermula jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi.


Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini