About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, June 16, 2022

OP BENTENG LAUT: KD GEMPITA TAHAN 11 LAGI PATI

 



Sebelas orang lagi Pendatang Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam Operasi Benteng Laut (OPS BENTENG)  di laluan sibuk perairan Johor Selatan jam 12.30 malam tadi.  Sektor tersebut yang bukan sahaja sibuk dengan laluan perkapalan malah menjadi laluan utama Tekong Laut yang menjalankan aktiviti menyeludup PATI ke negara ini.


Menurut sumber Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD GEMPTA yang masih berada di sektor operasi bertindak atas maklumat yang disalurkan oleh   Area Control Centre (ACC) Johor melalui Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) mengesan sebuah bot laju bergerak dari perairan Batam, Indonesia dan disyaki menuju ke perairan Tanjung Penyusop, Johor.


Kali ini FCB 1124  TLDM dan bot pemintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM ) RHIB LEPAU selaku unit tugas diatur gerak bagi melaksanakan misi penjejakan dan pemintasan ke atas bot curiga tersebut. 


Hasil penggeledahan didapati 10 lelaki dan seorang wanita yang dipercayai warga negara Indonesia lingkungan umur 20-an hingga 50-an tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.  Kesemua mereka ditahan di lokasi 3.1 batu nautika barat daya Tanjung Penyusop atas kesalahan  menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan.


PATI yang diberkas dibawa ke Jeti Maritim Tanjung Pengelih untuk  diserahkan kepada Tim Op MERPATI untuk soal siasat dan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tujuan tindakan lanjut. 


Pengalaman Yang Mendewasakan


Mutakhir ini saban hari kita dapat membaca berita-berita tentang aktiviti pencerobohan, rentas sempadan malah penyeludupan berjaya dikesan dan diberkas oleh penguatkuasa di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘laluan tikus’ samada di laut atau di darat. Cuma, hanya tangkapan yang besar sahaja yang sering dilapor kepada umum sementara tangkapan yang berskala kecil tidak didedahkan.  Taktik-taktik yang diguna pakai oleh tekong-tekong yang mengetuai kegiatan ini telah dapat dijangka oleh pasukan penguatkuasa berdasarkan pengalaman yang diraih dari kekerapan mengendalikan operasi di lapangan..


Kalau di laut, keupayaan Radio Aid Direction And Range (RADAR) yang berkeupayaan tinggi menjadi pertaruhan utama bagi pengesanan awal kontak-kontak yang bergerak di permukaan. Bukan mudah untuk membuat identifikasi sesuatu kontak terutamanya di waktu malam.  Apa pun pengalaman telah mendewasakan operator-operator peranti yang bertugas dimana identifikasi sesuatu objek bergerak itu boleh diterjemah kepada sesuatu objek yang disyaki sebelum ianya disahkan benar oleh unit tugas yang berada di lapangan melalui aksi penggeledahan.


Di atas permukaan laut, keadaan lalu lintas laut juga sangat sibuk dengan kapal-kapal dan bot-bot kecil. Keadaan ini sangat menyukar dan mengelirukan  misi pengesanan dan penjejakkan.  Tekong-tekong yang berpengalaman sering menjadikan kapal-kapal besar yang ada di persekitaran sebagai satu helah bagi mengelirukan pengesanan RADAR  atau seumpamanya. Namun melalui karakteristik dan tindak-tanduk sesuatu kontak yang dapat dikesan secara konsisten oleh RADAR biasanya akan berakhir dengan kejayaan.


Pemantauan Udara


Satu lagi elemen yang sangat berkesan dan pantas untuk penjejakan objek yang disyaki ialah melalui pemantauan pesawat udara.  Penambahan aset udara kepada agensi-agensi penguatkuasaan adalah sangat relevan dan rasional memandangkan peningkatan aktiviti-aktiviti yang telah banyak merugikan kerajaan dan mengancam keselamatan negara.


Makanya jika sepanjang sempadan negara tidak boleh dibina tembok penghadang bagi mengekang  aktiviti rentas sempadan  melalui jalan laut dan darat, penambahan sistem pemantauan yang berkebolehan tinggi untuk pengesanan awal dan aset-aset udara serta permukaan perlu diperbanyakkan untuk penjejakan dan pemintasan yang lebih berkesan.


No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini