Latihan Perang Pangkor siri 24/22 yang berlangsung hari ini menggambarkan setakat Jun tahun 2022 sahaja Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui armadanya telah melaksanakan 24 kali latihan. Ini bermakna secara purata latihan ini dilaksanakan 4 kali sebulan bagi kapal-kapal di bawah naungan Armada Barat.
Malahan puluhan kali setahun warga armada TLDM ‘berpencak’ di laut melaksanakan latihan dengan pelbagai nama yang berskala besar dan kecil bertujuan untuk menguji tahap pengoperasian kapal, sistem dan persenjataan di samping usaha berterusan untuk mempertajamkan kemahiran warga kapal di dalam pengendalian semua peralatan kapal serta menguji prosedur dan taktikal dalam menghadapi pelbagai dimensi peperangan.
Di samping itu juga latihan Perang Pangkor ini juga bertujuan untuk memperagakan kehadiran aset pertahanan TLDM di samping melindungi kepentingan maritim di perairan Selat Melaka.
Itulah hakikat komitmen Navy People yang menggenggam moto Sedia Berkorban mempertaruhkan kudrat dan usaha gigih dalam menentukan amanat negara dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan semangat juang yang tinggi dalam menentukan negara berada dalam keadaan kekal aman pada sebilang masa. Sekali gus memberi gambaran kepada masyarakat bahawa Navy People khususnya tidak ‘makan tidur’.
Latihan Perang Pangkor siri 24/22 di sekitar perairan Selat Melaka hari ini telah melibatkan KD SRI INDERA SAKTI dan KD TEGUH SAMUDERA bersama aset sokongan iaitu Fast Combat Boat TLDM.
Thursday War
Latihan Perang Pangkor mula diperkenalkan oleh TLDM sejak 2006 yang diadaptasikan dari Thursday War Tentera Laut British. Melibatkan semua kapal-kapal yang beroperasi yang berada di Pangkalan TLDM Lumut dan diatur gerak keluar ‘bertempur’ seawal jam 0500H di Perairan Selat Melaka.
Ianya bertujuan membina persefahaman antara kapal-kapal yang terlibat berasaskan piawaian prosedur operasi yang telah ditetapkan di samping membina persefahaman dan semangat setia kawan sesama sendiri. Setiap siri pelaksanaannya berpandukan direksi pemula perang samada latihan dalam konteks navigasi yang mengandungi latihan Orang Jatuh Laut, Menggeledah, mendarat dan sebagainya.
Permainan olah perang ancaman peperangan 4 dimensi adalah menjadi subjek yang paling utama kerana ianya melibatkan manipulasi taktikal pemain, penderia-penderia, sistem integrasi kombat, dan persenjataan. Dalam masa yang sama latihan melawan kebakaran dan mengawal kerosakan (DCFF) terus diberi perhatian serius untuk menentukan kapal boleh terapung dan bergerak untuk berperang.
Dengan cara ini warga yang terlibat lebih fokus dan mempunyai ruang untuk memperbaiki kelemahan yang ada sebagai persiapan menghadapi eksesais yang berskala besar yang lebih mencabar yang telah direncanakan sepanjang tahun malah lebih yakin dan bersedia untuk menghadapi peperangan sebenar jika terpaksa berbuat demikian.
Nota Kepada Kerajaan
Kepada kerajaan, supaya tidak ragu-ragu untuk membelanjakan sejumlah wang negara bagi memperlengkapkan TLDM ke tahap yang lebih kelihatan dominan sebagai usaha cegah rintang di dalam kalangan negara-negara di rantau Asean.
Walaupun pada dasarnya Malaysia memilih diplomasi sebagai jalan penyelesaian kepada sesuatu peperangan namun ini tidak bermakna membangunkan sebuah angkatan laut kepada satu tahap dominan boleh dikesampingkan.
Gendang perang ada kalanya dipalu tanpa menyoal samada pasukan bertelagah sudah bersedia atau tidak.
Apa yang jelas, Navy People sangat komited untuk menjadi pemain yang versatile di dalam bidang mereka namun kerajaan harus memberi perhatian sewajarnya dalam konteks perolehan platform, peralatan dan persenjataan agar armada TLDM kelihatan lebih ‘bertaring’ untuk meletakkan TLDM lebih digeruni.
Apa yang penting Navy People akan lebih yakin untuk keluar berperang sebagai anak jantan dan moto ‘Sedia Berkorban’ menjadi pemangkin kepada keberhasilan di dalam setiap misi dan visi yang di gagaskan oleh TLDM.
No comments:
Post a Comment