Oleh:
Paklang hamzah/ Foto: PRTD
Pada 20 Oktober 2018 yang lalu, seramai 1,408 Perajurit Muda
Tentera Darat Lelaki pengambilan siri 186/18 dan 77 Perajurit Muda Wanita siri
44/18 telah menamatkan latihan mereka dengan jayanya dalam satu Istiadat
Perbarisan yang sarat dengan tradisi ketenteraan di Pusat Latihan Asas Tentera
Darat (PUSASDA) Port Dickson, Bandar Tentera Darat, Negeri Sembilan.
Selama enam bulan yang bermula pada 8 April 2018 hingga
menamatkan latihan, Perajurit Muda ini dilatih dengan pengetahuan asas
ketenteraan serta pelbagai kemahiran sebagai anggota tentera sebelum diserapkan
ke pelbagai Kor dalam Tentera Darat.
Latihan ini merangkumi aspek pembentukan keperibadiaan
ketenteraan, kekuatan mental dan juga fizikal bagi melahirkan seorang Perajurit
Muda yang mempunyai keyakinan diri, berketrampilan, berdisiplin dan kompeten
dalam kerjaya yang bakal diharungi kelak.
Latihan asas yang dijalani meliputi pembinaan karakter,
pengetahuan am ketenteraan, pengendalian senjata, latihan jasmani dan kemahiran
perang serta pengukuhan aspek kerohanian dan moral.
Kesemua Perajurit Muda ini akan diserapkan dalam pelbagai Kor (16
Kor) dalam Tentera Darat dan akan diberikan latihan yang sesuai dengan penugasan
mengikut Kor masing-masing.
Istiadat Perbarisan telah disempurnakan oleh Jeneral Dato’ Seri
Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi, Panglima Tentera Darat. Turut hadir
ialah Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Dato’ Hasagaya bin Abdullah, Panglima
Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Azizan bin Md Delin, Panglima Latihan
Tentera Darat Mej Jen Dato’ Wira Md Tajri bin Alwi, serta Pegawai-Pegawai
Kanan, Pegawai-Pegawai dan keluarga Perajurit Muda.
Anugerah
Pada siri latihan kali ini, seramai lima Perajurit Muda telah
berjaya menerima anugerah berdasarkan pencapaian dan kecemerlangan dalam
beberapa kategori. Keseluruhan
Terbaik dianugerahkan kepada 1198793 PM
Dexter Libau bin Robert berumur 22 tahun yang berasal dari Serian, Sarawak. Anugerah
ini diberi berdasarkan berdasarkan kepimpinan, dedikasi tinggi, kesungguhan,
kegigihan dan inisiatif yang tinggi serta menunjukkan kebolehan beliau di dalam
semua aspek latihan di samping kecemerlangan dalam setiap ujian yang
dilaksanakan.
Akademik Terbaik dianugerahkan kepada 1199008 PM Mohd Akmal Faqih bin Radzi (19 tahun) yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.
Akademik Terbaik dianugerahkan kepada 1199008 PM Mohd Akmal Faqih bin Radzi (19 tahun) yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.
Kecergasan Jasmani Terbaik dimenangi oleh 1198644 PM Nur Izzudin
bin Abdul Rahim (21 tahun) dan berasal dari Sik, Kedah.
Kawad Terbaik disandang oleh 1199071 PM Muhamad Asyraf bin Roslan
berusia 22 tahun yang berasal dari Hulu Langat, Selangor .
Penembak Terbaik dimenangi oleh 1198866 Mohamad Zaihan bin Rosland
berusia 21 tahun yang berasal dari Sandakan, Sabah.
Hakikat
Pembangunan modal insan angkatan tentera semestinya bermula seawal
pemilihan pegawai kadet maupun perajurit muda.
Era ini sambutan muda mudi yang ingin menyertai Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) adalah sangat memberansangkan yang ternyatanya adalah untuk menjadikan
ATM sebagai satu kerjaya dalam usaha merebut peluang pekerjaan yang semakin
mengecil.
Justeru, cabaran kepada tim pemilihan untuk memastikan setiap
individu terpilih adalah yang
benar-benar mempunyai kualiti terbaik bagi menggalas amanah negara adalah
tanggungjawab yang berat kerana ianya akan memberi kesan negatif kepada
jurulatih-jurulatih di pusat-pusat latihan jika pemilihan tidak menepati
piawaian yang diperlukan bagi menyediakan anggota tentera yang benar-benar berkualiti.
Cabaran sebenar sebagai seorang anggota tentera adalah bukan jerih
payah yang dihadapi semasa tempoh persediaan sebagai Perajurit Muda seperti
yang disangkakan oleh kebanyakan orang awam.
Enam bulan menjalani latihan pengenalan dari dunia awam kepada dunia
baharu untuk menjadi sebahagian warga tentera bukanlah ukuran sebenar kepayahan
hidup dalam dunia ketenteraan.
Meskipun pelatih terpaksa melakukan aktiviti lasak dan padat namun
ianya bersifat persediaan asas secara berjadual tanpa tanggongjawab hakiki
serta dikawal selia dengan rapi oleh
jurulatih yang terlibat bagi menjamin keselamatan dan kebajikan pelatih
terjaga.
Cabaran sebenar setiap anggota tentera adalah bila mana seseorang
itu sudah dikira layak untuk melaksanakan tugas dan peranan mengikut tahap
masing-masing dan mampu bertindak rasional pada saat-saat dan suasana yang
tidak menentu di dalam penugasan.
Namun begitu kecekalan, kesabaran dan semangat setiakawan yang
ditunjukkan oleh setiap peserta Perajurit Muda semasa dalam tempoh peralihan
ini merupakan manifestasi kepada keunggulan dan kompetensi sebagai perajurit
masa depan yang menjadi harapan nusa dan bangsa untuk menggalas amanah
mempertahankan kedaulatan negara dalam apa jua bentuk ancaman mendatang. PERAJURIT
No comments:
Post a Comment