Oleh: Paklang Hamzah
Seluruh rakyat jelata merafak sembah tahniah serta mendoakan
kesejahteraan berpanjangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan
Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sempena Istiadat Pertabalan Kebawah
DYMM Tuanku sebagai Sultan Kedah ke 29
pada 22 Oktober 2018 yang lalu. Baginda
telah dimasyhurkan sebagai Sultan Negeri Kedah Darul Aman ke 29 pada September
2017 yang lalu berikutan kemangkatan paduka kekanda baginda Almarhum Sultan
Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Sesungguhnya tarikh tersebut telah tercipta satu sejarah
keramat di mana kali terakhir rakyat negeri Kedah khususnya menyaksikan
Istiadat Pertabalan Sultan Kedah ialah kira-kira 59 tahun yang lalu iaitu pada tanggal 20 Februari tahun 1959,
menyaksikan Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah ditabal sebagai Sultan
Kedah ke 28 menggantikan ayahanda baginda Almarhum Sultan Badlishah Ibni
Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.
Sebaik selesai pertabalan, baginda Sultan kini bergelar
Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Istiadat Pertabalan berlangsung dalam suasana
penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Kedah di Balairung Seri, Istana
Anak Bukit di Alor Setar.
DYMM Tuanku Sultan adalah ketua agama Islam kepada rakyat
jelata, bersemayam di atas tahta kerajaan untuk terus memayungi rakyat negeri
Kedah Darul Aman serta memelihara dan memperkasakan syariat Islam yang suci untuk ke suatu tempoh yang
mendatang.
Dalam konteks pertahanan, bidang ketenteraan adalah bidang
yang tidak asing kepada baginda kerana baginda pernah menerima latihan
ketenteraan di Akademi Ketenteraan India Dehradun pada 23 Julai 1962 hingga 30
Jun 1963. Menyandang pangkat Leftenan
semasa bertugas di Batalion ke 12 RAMD pada
Februari 1964 dan pernah terlibat dengan beberapa operasi keselamatan di
kawasan sempadan Thailand.
Terkini, baginda merupakan Kolonel Yang DiPertua kepada
ketumbukan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang dilantik menggantikan paduka
kekanda baginda Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah ekoran kemangkatan
Almarhum baginda. Baginda turut
dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged Para pada 13
Februari 2018 yang lalu. Kolonel Yang DiPertua merupakan satu jawatan istiadat
di dalam sesebuah rejimen tentera yang mana jawatan ini disandang oleh penaung
rejimen yang kebiasaannya dalam konteks Malaysia adalah dalam kalangan kerabat
Diraja.
Pengiktirafan
Islam mengiktiraf istitusi Diraja sebagai sebuah institusi yang berdaulat
yang wajib ditumpahkan taat setia kepada raja.
Al-quran juga menceritakan berbagai-bagai orang yang telah diberikan
kuasa pemerintahan maupun kerajaan termasuklah golongan para nabi. Antara mereka yang diberi kekuasaan oleh Allah
ialah Nabi Sulaiman A.S. Pada ketika itu juga terdapat sebuah negara
yang diperintah oleh seorang raja perempuan dari kerajaan Saba’ sepertimana
yang dinyatakan dalam Surah Al-Naml Ayat 23 yang bermaksud: “Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan
memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari
tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang
besar”.
Terdapat juga kisah bagaimana Allah SWT mengiktiraf permintaan
dari ketua-ketua Bani Israel untuk melantik seorang raja dalam kalangan mereka
supaya mereka dapat berjuang bersama-sama dengan raja itu pada jalan
Allah. Firman Allah dalam Surah
Al-baqarah Ayat 246 yang bermaksud: “Tidakkah engkau ketahui (wahai
Muhammad) tentang kisah ketua-ketua dari Bani Israel sesudah (wafatnya) Nabi
Musa ketika mereka berkata kepada seorang nabi mereka: “Lantiklah seorang raja
untuk kamu supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya pada jalan
Allah”.
Allah SWT juga memberi kuasa memerintah kepada sesiapa yang
dikehendakinya. Ini dijelaskan melalui
firmannya dalam Surah Ali Imran Ayat 26 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai
Muhammad): Wahai tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan!, Engkaulah yang
memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah
yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang
Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang engkau
kehendaki. Dalam kekuasaan Engkau sahaja
adanya segala kebaikan. Sesungguhnya
Engkau maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.
Kesetiaan adalah rukun kepada kedaulatan raja. Menurut Imam Al-Mawardi dalam kita Al-Ahkam
AL-Sultaniah bermaksud: “Apabila pemerintah menunaikan hak rakyat (umat)
maka menjadi tanggungjawab rakyat memberi ketaatan dan pertolongan kepada
pemerintah”.
Kita sering dibacakan oleh para-para ulamak tentang tuntutan
syariat dalam meletakkan kesetiaan kepada pemerintah berdasarkan kepada firman
Allah dalam Surah An-Nisa Ayat 59, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang
beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan
kepada ‘Ulil-Amri’ yakni orang-orang yang berkuasa dalam kalangan kamu. Kemudia jika kamu berbantah-bantah atau
berselisihan dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu mengembalikan kepada Al-Quran
dan Sunnah Rasulnya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan
elok pula kesudahannya”.
Baginda Payung Negeri
Raja adalah payung kedaulatan negara dan menjalankan
tanggungjawab memberi naungan yang saksama kepada setiap rakyat tanpa mengira
kaum dan anutan agama. Raja berperanan
sebagai tonggak kerukunan dalam proses sosialisasi rakyat, keadilan
pemerintahan dalam memastikan kestabilan negeri yang dipayunginya terus aman
dan makmur yang memangkin kepada kerahmatan Ilahi.
Justeru, adalah menjadi tanggungjawab rakyat jelata pula
memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja pemerintah
terutamanya bagi umat Islam yang telah disyariatkan supaya taat dan patuh
kepada pemerintah.
Sesungguhnya perinsip keadilan, kesaksamaan dan perpaduan
yang diterapkan oleh Kebawah DYMM Tuanku Sultan akan lebih menyatukan rakyat
dan rakyat pula mempunyai tanggungjawab yang serupa dengan memelihara
undang-undang, menjaga keselamatan pada sebilang masa serta menghormati dan
menghargai institusi Diraja serta memupuk kecintaan kepada negeri.
Rakyat jelata mendoakan semoga Kebawah DYMM Tuanku Sultan dan
Kebawah DYMM Tuanku Sultanah serta kerabat-kerabat Diraja sentiasa dilimpahi
rahmat Ilahi, diteguhkan keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan
kesejahteraan yang berpanjangan bagi meneruskan kesinambungan pemerintahan
dalam suasana aman dan makmur serta dijauhi dari sebarang anasir jahat dan
fitnah yang mencetus kepada mala petaka dan kehancuran agar ikatan ukhuwah dan
kasih sayang antara rakyat sentiasa subur
berpanjangan di bawah payung pemerintahan Tuanku Raja berdaulat lagi
berjiwa rakyat. DAULAT TUANKU!
No comments:
Post a Comment