Telah diterbitkan di dalam Majalah Perajurit Edisi jan 2018
Oleh:
Paklang Hamzah/Foto: Paklang Hamzah
Pingat Jasa Malaysia (PJM)diwujudkan adalah dengan limpah
perkenan Kepala Utama Negeri-negeri dan Wilayah-wilayah Persekutuan Malaysia
bagi menghargai sikap keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan khidmat bakti
yang cemerlang dalam menjalankan kewajipan oleh pegawai dan anggota Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) dan juga Pasukan Pengaman dari negara-negara sahabat.
PJM hanya dianugerahkan kepada anggota tentera atau bekas
anggota tentera yang berkhidmat atau telah terlibat dalam operasi secara
berterusan selama tiga bulan dan ke atas atau telah bertugas secara langsung
tidak kurang dari enam bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM atau telah
terbunuh, cedera atau menjadi kurang upaya disebabkan oleh tugas bagi tempoh
dari 01 Januari 1969 hingga 02 Disember 1989 bagi operasi menentang Parti
Komunis Malaya (PKM) atau hingga 17 Oktober 1990 bagi operasi menentang Parti
Komunis Kalimantan Utara (PKKU).
PJM adalah Campaign Medal telah dizahir berdasarkan
undang-undang bertulis yang diluluskan oleh Parlimen atau badan yang berkuasa
membuat undang-undang (statut) yang bertarikh 03 Mac 2004 dan telah diperkenan
oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
Di dalam perkhidmatan, sesuai dengan statutnya sebagai Campaign
Medal, pingat ini telah dimartabatkan sebagai pingat terkanan dan kekanan
susunan berbanding dengan anugerah-anugerah yang sama kelas dengannya.
Pingat ini berbentuk bulat diperbuat daripada tembaga
bersadurkan warna perak. Permukaan di
bahagian hadapan buah pingat tertera ukiran timbul Jata Malaysia dan di
bawahnya tertulis perkataan JASA MALAYSIA.
Manakala di sebelah belakangnya tertera ukiran timbul peta Malaysia dan
tulisan P.J.M. Reben berwarna Merah
memberi maksud keberanian dan kepahlawanan. Warna Biru Tua menunjukkan
perjuangan sentiasa disanjung dan disokong rakyat. Warna Kuning menunjukkan kedaulatan Raja-raja
sebagai Ketua Utama Negeri-negeri dan Jajahan Persekutuan Malaysia.
Penganugerahan PJM ini dibuat adalah berdasarkan
permohonan setiap Veteran ATM yang memenuhi kelayakan samada melalui persatuan-
persatuan Veteran ATM yang diiktiraf atau memajukan terus ke Cawangan Jabatan
Hal Ehwal Veteran (JHEV) yang terdekat.
No comments:
Post a Comment