Telah diterbitkan di dalam Majalah Perajurit Edisi Sep 2017
Oleh Paklang Hamzah
Pembawa Panji-panji kor TD |
Tanggal 11 Ogos 2017, rakyat
Malaysia umumnya serta warga Kota Kinabalu Sabah khususnya telah menyaksikan
satu lagi program bersejarah telah dianjurkan bagi menzahirkan rasa syukur dan
terima kasih dalam kalangan rakyat kepada jasa dan pengorbanan pasukan-pasukan
keselamatan khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bergalang nyawa
untuk memastikan kedaulatan negara tidak dicerobohi sembarangan.
Upacara Penganugerahan Battle
Honour “DAULAT FEB 2013” telah berlangsung dalam satu istiadat perbarisan yang
penuh dengan tradisi ketenteraan yang memahat nostalgia yang tidak mungkin
boleh dilupakan oleh warga pasukan keselamatan terlibat yang terdiri dari dua
belas pasukan dari Tentera Darat Malaysia (TDM) iaitu 3 RAMD, 4 RAMD, 7 RAMD, 9
RAMD (PARA), 17 RAMD (PARA), 21 RAMD, 3 RRD, 7 RRD Mek, 8 RRD mek, 9 RRD, 4 KAD,
1 RAD (PARA). Tiga pasukan dari tentera Laut Diraja
Malaysia (TLDM) iaitu KD SRI SEMPORNA, KD RAJAWALI dan KD PANGLIMA HITAM serta sembilan dari Tentera Udara
Diraja Malaysia (TUDM) iaitu No. 1 skn,
No. 5 skn, No. 6 skn, No. 7 skn, No. 14 skn, No. 16 Skn, No. 18 Skn, No. 20 Skn
dan Rejimen TUDM.
Di samping pameran statik aset-aset,
pameran promosi dan kerjaya ATM, pemeriksaan kesihatan percuma kepada
pengunjung, persembahan hiburan dan pancaragam ATM, persembahan pentomin juga dipertontonkan kepada khalayak bagi menggambarkan
detik-detik hitam kejadian yang telah meragut nyawa 2 orang anggota tentera iaitu
Allahyarham Koperal Ahmad Hurairah Ismail dan Alahyarham Prebet Ahmad
Farhan Ruslan dalam usaha membebaskan
rakan pasukan keselamatan yang terperangkap dan semasa memerangi penceroboh pengganas
Sulu di Kampong Tanduo Lahad Datu Sabah.
Kontijen TLDM bersama Panji-panji |
Insiden berdarah ini memberi
kesan yang mendalam yang menjadikan satu lagi sejarah perjuangan Pasukan
Keselamatan Malaysia di dalam mempertahankan kedaulatan tanahair. Bagi
memperingati dan mengenang jasa perwira dan sastria yang secara keseluruhannya melibatkan
11,913 orang anggota ATM dan yang
terlibat secara langsung ialah seramai 6,889 orang telah memerah keringat dan
bermandi darah dalam peristiwa hitam itu justeru, satu anugerah khas telah
dianugerahkan kepada mereka-mereka yang terlibat secara berperingkat. Dalam
majlis ini seramai 61 orang pegawai dan anggota, 21 orang mewakili TDM dan
masing-masing 20 orang mewakili TLDM dan TUDM ditampilkan untuk menerima
anugerah.
Pingat Kedaulatan Negara
Pingat Kedaulatan Negara (PKN) adalah dalam kategori Campaign Medal yang dianugerahkan khas untuk sesuatu peristiwa sahaja oleh kerajaan Malaysia kepada angota-anggota keselamatan dan agensi-agensi yang mempamerkan keberanian dan patriotisme yang luar biasa yang pantang berundur sebelum berjuang serta mempunyai strategi, kecekapan dan sensitiviti yang mengagumkan dalam Operasi Daulat.
Pingat PKN berbentuk bulat dengan
Jata Negara di hadapan dan peta Sabah di bahagian belakangnya yang mempunyai
kekananan berbanding yang lain dalam kategori pingat-pingat kempen ketenteraan. Meskipun pingat PKN ini gah dari sudut penghargaan
dan pengiktirafan namun ianya belum layak untuk diberi elaun sepertimana yang
dianugerahkan kepada penerima pingat-pingat keberanian.
Respon Kerajaan
Rentetan daripada insiden di
Lahad Datu inilah, kerajaan telah mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai
Timur Sabah (ESSCOM) yang bertujuan untuk memantapkan kawalan keselamatan di
persekitaran Sabah. Pelbagai iniasitif
telah dilakukan oleh pihak ATM bagi memperkukuh dan bersedia menghadapi apa jua
cabaran mendatang. Terbaharu, seramai
7,000 orang anggota TDM diaturgerakkan bagi pelaksanaan Operasi Daratan,
Operasi Balasah, Operasi Khas dan Operasi Pasir bagi mempertahankan daratan
Sabah. Penambahan 1 kompeni infantri TD
di kawasan Cenderawasih Lahad Datu untuk memastikan kawasan pantai Lahad Datu
terkawal sepenuhnya.
ATM juga telah melancarkan
penubuhan Markas Pemerintahan Armada Timur TLDM bagi memastikan keseimbangan
aset TLDM dalam misi pengawasan perairan Sabah dan Sarawak sentiasa
terpelihara. Justeru, penambahan aturgerak aset 2 buah kapal TLDM bagi membantu
memperketatkan kawalan.
ATM juga telah melaksanakan
kolaborasi Trilateral Maritime Patrol (TMP) bersama tentera Indonesia
dan tentera Filipina dalam usaha untuk memastikan anggota militan termasuk militan
Daulah Islamiah in Iraq and Sham (DAESH) tidak menjadikan Laut Sulu
sebagai laluan tikus untuk menceroboh masuk ke negara ini serta menangani
aktiviti pelanunan, penculikan dan
rompakan bersenjata. Selain TMP, usaha
juga sedang dijalankan untuk melaksanakan Trilateral Air Patrol (TAP)
dalam masa terdekat.
Pada masa yang sama, 5 buah
pesawat pejuang Hawk dan 4 buah helikopter Eurocopter EC-725 AP sedang
dioperasikan sepenuhnya di Pangkalan Udara (PU) Labuan yang juga bertujuan
untuk pemantauan dan menjaga keselamatan
di Pantai Timur Sabah dan Laut China Selatan.
Renungan
Keluasan Sabah melebihi 70 ribu
kilometer persegi dan pantai sepanjang
lebih 14 ribu kilometer dengan
Laut China Selatan terletak di Pantai Barat, Laut Sulu di sebelah Timur Laut
dan Laut Sulawesi di sebelah selatan. Persempadanan
antara dua negara menjadikan kawasan dan kemungkinan jumlah ancaman yang sangat luas dan besar berbanding kekuatan dan
kelengkapan pasukan keselamatan sedia ada untuk mengawal sepenuhnya segala
ancaman yang sedang dihadapi di persekitaran tersebut.
Ancaman tradisi yang yang sejak
turun temurun berlegar di perairan Sabah
seperti penculikan, pelanunan, penyeludupan, rentas sempadan sahaja pun bukan
sesuatu yang mudah untuk ditangani, muthakhir ini pula ditambah dengan ‘dendam’
pengganas Sulu malah kemungkinan DAESH juga turut menangguk di air keruh dengan
bersekongkol membina persefahaman dengan kumpulan-kumpulan militan yang
bertapak di selatan Filipina malah juga melalui sempadan Indonesia dalam usaha memberi tekanan kepada Malaysia.
Walaupun situasi tegang sudah
berlalu beberapa ketika, selepas tindak balas ketenteraaan Malaysia terhadap
mereka, kemungkinan mereka-mereka yang ‘berhajat’ itu belum berputus asa dan
sedang mengatur strategi. Apa yang
sedang pihak kita aturkan masih lagi belum mencukupi untuk memberi cegah
rintang yang menggerunkan untuk pihak musuh mencuba dan terus mencuba kerana
kita harus melihat penempatan ketumbukan dan kelengkapan bukan boleh dibuat
memadai dengan pengagihan angkatan dan kelengkapan yang sedia ada dari satu
kawasan aman ke satu kawasan bergolak tanpa membuat penambahan sewajarnya
secara holistik bagi memenuhi setiap ruang tanahair dengan pertahanan
mapan.
Pengajaran yang boleh kita ambil
dari peristiwa di Sabah, angka keanggotaan yang terpaksa dikerah melebihi
beribu kali ganda dengan jumlah musuh yang terpaksa kita hadapi. Ini cuma ancaman dari satu sudut, bagaimana
jika ancaman datang dari pelbagai dimensi serentak?.
Jalinan kerjasama negara serantau dalam pelbagai
persefahaman sangat praktikal dan perlu dipertingkatkan pada ketika ini malah sokongan
dari rakyat jelata bagi menyediakan diri dan kemahiran juga sangat penting bagi
pertahanan menyeluruh kerana secara logiknya orang lain tidak akan bersusah
payah untuk memberi kesempurnaan kepada kita melainkan kita sendiri sebagai
rakyat negara bangsa wajib untuk sama-sama berganding bahu demi keselamatan,
kedaulatan dan kesejahteraan Malaysia. Aku
negaraku.
No comments:
Post a Comment