About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Friday, September 1, 2017

JCEX THAMAL- MISI BANTUAN KEMANUSIAAN

Telah diterbitkan dalam Majalah Perajurit Edisi September 2017

Oleh: Paklang Hamzah/Foto Murshid



Misi bantuan kemanusiaan  perlu digerakkan bila manusia, hidupan,harta benda  dan alam sekitar berada dalam kecemasan atau musnah dilanda sesuatu bencana di sesuatu kawasan yang melampaui keupayaan komuniti setempat untuk mengawalnya.  Kecemasan boleh berlaku samada disebabkan bencana secara semula jadi seperti gempa bumi, banjir besar, taufan, tsunami, tanah runtuh dan sebagainya manakala bencana angkara manusia seperti kebakaran, kemalangan industri dan lain-lain yang berlaku secara pantas atau pun beransur-ansur. Tidak terkecuali juga kecemasan yang lebih kompleks yang terhasil dari gabungan bahaya semula jadi dan bahaya buatan manusia seperti peperangan dan aktiviti keganasan yang melibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.

Definisi bantuan kemanusiaan ini mempunyai skop tindakan yang luas, memerlukan sekumpulan manusia yang terlatih menerajui dan bertindak mengeluarkan mangsa dari kawasan tragedi ke tempat selamat samada dengan bantuan peralatan khusus mau pun kemahiran ad-hoc kumpulan terlibat. Berupaya memberi rawatan awal dan rawatan susulan yang mana memerlukan bantuan logistik seperti pengangkutan yang bersesuaian, pakaian , makanan, ubat-ubatan dan sebagainya dalam misi menyelamatkan mangsa.


Bencana tidak mengenal negara kaya atau miskin. Komuniti yang tinggal di kawasan-kawasan mundur dan pendalaman lebih banyak terdedah kepada bahaya dan mudarat kerana mereka kekurangan sumber bagi merancang dan memulihkan keadaan secara drastik.  Penyaluran bantuan mungkin lambat untuk tiba ke lokasi, tidak  mencukupi dan tidak konsisten disebabkan masalah geografi dan kekurangan kemudahan asas berbanding komuniti yang tingal di kawasan bandar dan moden yang mempunyai banyak fasiliti untuk merancang dan bertindak dan kesan musibah dapat dielak dengan lebih mudah dan cepat.

Pengurusan bencana ini sudah menjadi sebahagian daripada visi dunia dengan memfokuskan tindakan sebelum, semasa dan selepas bencana. Strategi diambil kira berpandukan skala dan jenis-jenis kecemasan dengan mengukur keupayaan pasukan penyelamat bagi meminimumkan impak bencana terhadap mangsa yang sedang terdedah kepada bahaya bagi menentukan keperluan asas manusia di beri keutamaan.  

Apa yang penting sekurang-kurangnya tindakan-tindakan awal yang diberi berjaya menyelamatkan nyawa, mengelakkan kecederaan dan menentukan mangsa di berada di tempat selamat sementara bantuan-bantuan susulan dapat dikenal pasti.

Untuk menidakkan fitrah alam ini dari terus berlaku adalah suatu perkara yang mustahil tetapi sebagai manusia yang dianugerah Allah akal fikiran dan daya usaha, adalah menjadi tanggungjawab pihak-pihak yang berupaya merangka plan kontijensi khusus untuk menangani isu kemanusiaan ini dengan lebih terancang dan sistematik yang merangkumi aktiviti-aktiviti khusus secara holistik.  Kerajaan Malaysia sentiasa memandang serius betapa pentingnya misi kemanusiaan ini dan penglibatan Malaysia menghantar bantuan kepada negara-negara yang ditimpa musibah sentiasa diberi pengiktirafan dalam dan luar negara.  Dalam konteks Malaysia, angkatan tentera serta agensi-agensi keselamatan yang lain sering menjadi peneraju kepada usaha ini kerana kecekapan, kemahiran dan komitmen mereka yang versatil, relevan dan sentiasa bersedia untuk dikerah pada sebilang masa.

Joint Combined Exercise Thailand – Malaysia 2017



Pada 19 Jul 2017, Kawasan Pantai Timur Semenanjong Malaysia telah dilanda taufan Dawika yang mengakibatkan kemusnahan teruk di beberapa kawasan terlibat. Dalam masa 8 jam, 40% daripada kawasan-kawasan terbabit telah ditenggelami banjir sedalam 3 hingga 6 meter telah menyebabkan ramai yang mati dan cedera, kemudahan asas musnah dan kehilangan tempat tinggal. 70% kemusnahan berlaku di beberapa kawasan.  Pihak kerajaan dan Agensi Bencana Alam Malaysia secara rasminya mengganggarkan seramai 204,000 penduduk memerlukan bantuan dan mengganggarkan 3,000 orang masih hilang atau mati. Komunikasi terjejas teruk dan terhalang disebabkan talian bawah tanah ditenggelami dan kurang kuasa liputan.

Kerajaan Malaysia telah mengistiharkan beberapa kawasan terbabit dalam kecemasan dan menugaskan semua aset dan agensi-agensi melaksanakan operasi membantu. Kerajaan Malaysia telah memohon bantuan negara jiran dan antarabangsa melalui Pusat Koordinasi Asean bagi membantu menyelamatkan mangsa dan memulihkan keadaan yang sedang gawat. Serentak dengan itu juga Malaysia menerima tawaran dari pelbagai negara dan komuniti antarabangsa untuk turut sama membantu.

Namun begitu, tindak balas yang paling awal adalah datang dari negara Thailand berasaskan hubungan dua hala kerajaan Malaysia-Thailand dan jiran terdekat dengan kawasan terlibat, kerajaan Thai telah menawarkan bantuan untuk membantu kerajaan Malaysia melancarkan operasi Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR). ATM dan RTARF telah menubuhkan Combined Task Force yang diketuai oleh ATM dan dibantu oleh RTARF bagi merencana dan melaksanakan HADR pada 20 Julai 2017.

3rd JCEX THAMAL 2017 adalah merupakan kesinambungan kepada Eksesais Misi Bantuan Kemanusiaan (HADR) yang dilaksanakan setiap tiga tahun sekali di antara negara Thailand dan Malaysia yang mana JCEX siri pertama dan kedua telah dihoskan oleh negara Thailand. Malaysia buat pertama kalinya menjadi tuan rumah mengendalikan eksesais ini.

Eksesais kali ini dilaksanakan dalam bentuk Pos Kawalan Pemerintah (CPX) dan Latihan Medan (FTX) yang melibatkan aktiviti Hospital Medan tahap 1, Bangunan Runtuh, Menyeberangi Sungai dan Pusat Pemindahan.

Eksesais ini berlangsung selama sembilan hari bermula pada 17 hingga 25 Julai 2017 bertempat di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok Kedah merangkumi fasa persiapan dan perlaksanaan dengan penyertaan keseluruhan seramai 863 orang peserta dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Tentera Diraja Thailand (RTARF), Malaysian National Disaster management Agencies (NADMA), Special Malaysian Disaster Assistance and Rescue Team (SMART), Department of Disaster Prevention and Mitigation (DDPM), Ruamkatanyu Foundation of Thailand, Poh Teck Tung Foundation of Thailand,Tong Sia Siang Teung Foundation of Thailand dan Military Observers from ASEAN Members States and United States.

Perasmian JCEX THAMAL yang ketiga ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Mohd Johari bin Baharum di Padang kawad PALAPES Universiti Utara Malaysia. Manakala Majlis Penutupan disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera Diraja Thailand, General Surapong Suwana di Dewan Muazam UUM.


Turut hadir dalam kedua-dua majlis ini adalah Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Seri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor, Panglima-panglima perkhidmatan ATM dan RTAF, wakil Agensi kerajaan dan Agensi bukan Kerajaan. 

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini