Telah diterbitkan oleh Majalah Perajurit Edisi Ogos 2015
Tahun 2015 merupakan kemuncak
terserlahnya kebenaran yang selama ini sejak beberapa tahun yang lalu, polemik
yang memperkatakan sempadan negara tidak selamat dan sering dibolosi oleh
pelbagai aktiviti yang tidak sihat seumpama aktiviti lintas sempadan oleh
pendatang tanpa izin (PATI), penyeludupan, pemerdagangan orang dan sebagainya.
Selama ini ramai yang menganggap
polemik ini sesuatu yang terpencil yang sengaja ditokok tambah sehinggakan kemuncaknya
terbongkar sesuatu yang tersembunyi dengan penemuan beratus-ratus kubur
persemadian haram etnik Rohinya dan lain-lain PATI di puncak-puncak bukit di
persempadanan Malaysia-Thailand yang mana membuktikan berleluasanya aktiviti
pemerdagangan orang di sempadan negara. Sekali gus menggerakkan ejen-ejen
berita membuat pemerhatian rapat dan menghayati suasana dengan lebih teliti
tentang sikap dan tingkah laku penguatkuasa-penguatkuasa yang bertugas di
pintu-pintu masuk sempadan.
“Dasar Pertahanan negara (DPN)
menggambarkan hasrat negara untuk mempertahankan kepentingan-kepentingan
strategik dan memelihara keselamatan negara.
Dasar Pertahanan menggariskan
tiga asas utama, iaitu kepentingan-kepentingan strategik negara,
prinsip-prinsip pertahanan dan konsep pertahanan. Ianya menekankan keperluan mengekalkan
persekitaran kawasan kepentingan strategik negara yang stabil dan aman.
Kawasan kepentingan strategik
negara dapat dilihat dari tiga lapisan iaitu kawasan terdekat, serantau dan
global. Kawasan terdekat termasuk wilayah
daratan, perairan negara, ruang angkasa, zon ekonomi ekslusif (ZEE), Selat
Melaka dan pintu keluar masuknya dan Selat Singapura selain jaluran laluan
perhubungan laut dan udara yang menghubungkan semenanjong Malaysia dengan Sabah
dan Sarawak”.
Bercanggahnya permasalahan ini dengan
dasar pertahanan ialah bagaimana untuk melindungi kepentingan strategik bila
mana penggunaan tenaga buruh bagi pembangunan pangkalan-pangkalan tentera dan
lain-lain diambilalih oleh warga asing yang sebilangannya kita tidak tahu siapa
mereka sebenarnya.
Persaingan dalam pelbagai kepentingan yang lain, kita dapat melihat
bertambahnya pangangguran warganegara setelah peluang-peluang perkerjaan,
perniagaan dan pertukangan buruh kasar telah dimonopoli oleh warga asing samada
pendatang dengan izin (PADI) atau PATI. Kerap
kali sudah kita dengar rungutan-rungutan daripada orang ramai melalui media
massa bahawa kedapatan warga asing telah mengambil alih premis-premis
perniagaan yang dahulunya dikendalikan oleh warganegara.
Di sektor permakanan,
malah di pasar-pasar malam sekali pun warga asing sudah bertapak. Di sektor
pembinaan, warga asing kini sudah mampu menjadi ‘tawkey’ dengan mendapat
kontrak pembinaan sekali gus menafikan peluang pekerjaan kepada tukang-tukang
tradisional di kampong-kampong. Apa pun alasan dan kelemahan di pihak warganegara
di dalam pengurusan pekerjaan, tidak seharusnya warga asing diberi muka untuk
mengepalai apatah lagi mengambilalih peluang-peluang yang sepatutnya dikuasai
oleh warganegara.
Perkara-perkara seumpama ini juga
memerlukan penguatkuasaan rapi Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Perkhidmatan
Buruh dan sebagainya supaya kemakmuran sebenar negara yang kita cintai ini
madunya dinikmati oleh warga tempatan bukannya warga asing. Bayangkan berapa banyak subsidi yang telah
kerajaan peruntukkan untuk warganegara telah dinikmati bersama oleh jutaan
warga asing.
Keupayaan pertahanan sempadan
berkisar sekitar perinsip-perinsip utama iaitu keupayaan untuk berdikari tanpa
memerlukan bantuan luar.
Perinsip ini boleh direalisasikan dengan
mempertahankan integriti, kompetensi dalam penguatkuasaan dan tidak mudah
‘longlai’ dengan desakan-desakan dari
pihak-pihak yang berkepentingan untuk meraih keuntungan peribadi dengan
menjadikan penguatkuasa sebagai rakan kompromi di dalam melicinkan
kegiatan-kegiatan yang bersalahan dengan undang-undang negara.
Harapkan Pegar, Pegar Makan
Padi
Kurangnya kawalan dan
penguatkuasaan pihak berkuasa di sempadan menjadikan lubuk emas kepada
sindiket-sindiket penyeludupan dan pemerdagangan orang dari negara-negara
seperti Myanmar, Banglades, India, Vietnam, Pakistan, Ghana dan China melalui
lorong-lorong ‘tikus’ malah ada laporan yang menyatakan pembolosan penyeludupan
mereka-mereka ini melalui lorong rasmi yang dikawal oleh penguatkuasa-penguatkuasa
bertauliah yang bertugas di pintu-pintu masuk sempadan negara sebelum
diserahkan kepada pelari-pelari atau tekong darat untuk diagihkan ke serata
negeri. Menurut laporan, soal integriti
ini bukan saja dibolosi di pintu-pintu sempadan malah turut diberi
‘perlindungan’ oleh pihak-pihak tertentu di perjalanan sehingga berada di lapangan pekerjaan.
Amalan ‘kompromi’ segelintir anggota
penguatkuasa dan penglibatan rakus tekong-tekong darat yang terdiri dari rakyat
tempatan seperti mana yang pernah dilaporkan oleh media massa melalui pintu-pintu
masuk negeri-negeri yang bersempadan seperti Pangkalan Kubor-Takbai, Rantau
Panjang-Golok, Pangkalan Hulu-Betong, Padang Besar-Songkhla, Wang Klian-Satun,
Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Durian Burung-Nathawi dikatakan juga sebagai
penyumbang berleluasanya gejala ini menjadikan peningkatan jumlah PATI di dalam
negara ini semakin tidak terkawal.
Dua penempatan dua negara yang dipisahkan oleh struktur pagar yang memudahkan pencerobohan |
Mengikut perangkaan Kementerian
Sumber Manusia seperti mana yang dilaporkan oleh media massa berakhir 2014
sejumlah anggaran 6.7 juta warga asing berada di Malaysia dalam pelbagai sektor
pekerjaan di mana sejumlah 2.1 juta mempunyai permit dan selebihnya tinggal
secara haram samada tinggal melebihi tamat tempoh atau sememangnya kemasukan
secara tidak sah sejak awal lagi.
Selain PADI dan PATI, Malaysia
juga sedang menanggung ‘bala’ Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Orang
Pelarian (UNHCR) yang datang dari pelbagai negara yang statusnya patut
dipersoalkan. Menurut Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berdasarkan statistik UNHCR sebanyak 151,838 pemohon suaka dan
pelarian berdaftar dari pelbagai negara berada di Malaysia sehingga 31 Jan
2015. Seramai 52,788 orang merupakan pemohon suaka manakala
seramai 99,050 orang lagi adalah pelarian.
Mereka-mereka ini tidak berhak mendapat hak-hak sebagai mana
diperuntukan dalam Konvension Pelarian 1951 dan Protokol Pelarian 1957, namun
atas dasar kemanusiaan, kerajaan memberi pelbagai kemudahan kepada mereka
semasa berada di negara ini termasuk kebebasan bergerak dan tidak ditahan
melainkan terlibat dengan aktiviti yang melanggar undang-undang negara, tidak
dihantar pulang ke negara asal secara paksa serta vaksinasi secara percuma
kepada kanak-kanak dan tiada sekatan untuk mendapat kemudahan pelajaran di
sekolah-sekolah swasta.
Penulis agak skeptikal dalam
keadaan yang kurang kawalan ini kad UNHCR juga boleh dimanipulasi oleh
sindikit-sindikit tertentu dan jumlah PATI dari negara-negara berkaitan yang ‘berselindung’ di sebalik kad UNHCR ini
bertambah dari masa ke semasa tanpa disedari.
Malaysia yang sepatutnya hanya menjadi transit sebelum dihantar ke
negara-negara lain seolah-seolah sudah menjadi pemastautin tetap bertapak
berbelas-belas tahun tanpa tindakan susulan oleh PBB atau kerajaan Malaysia
sendiri ‘memandang sepi’ yang seolah-olah selesa dengan keadaan ini. Kalau 10 tahun dahulu mereka datang seorang
diri, sekarang ini mereka sudah beranak-pinak malah ramai yang berumahtangga
sesama mereka dan dengan rakyat tempatan.
Kebebasan bergerak yang diberi oleh kerajaan digunakan sepenuhnya untuk
meraih rezki sebanyak mungkin dan secara tidak langsung telah menyempitkan
peluang warganegara untuk meraih rezki kerana terpaksa bersaing untuk merebut
peluang-peluang yang ada.
Ekoran dari lambakan atau kebanjiran
ini, wujud pula ‘bencana’ baharu iaitu kelahiran warganegara ekspres seperti
mana pembongkaran terbaharu dari pihak media. RM 1.3 juta beli mykad untuk
pelanggan warga China hasil dari serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) di Kota Kinabalu dengan 3 individu ditahan termasuk yang mempunyai akses
kepada sistem Jabatan Pendaftaran negara (JPN).
Fenomena yang menjadi mimpi ngeri
tentang apa yang sedang berlaku dalam negara muthakhir ini bukan sahaja dengan
peningkatan kes-kes jenayah di dalam negara yang melibatkan aktiviti-aktiviti
golongan-golongan pendatang ini tetapi ikut terdorong kepada penyalahgunaan
kuasa dan pecah amanah oleh warganegara sendiri bila berhadapan dengan peluang
boleh menghasilkan duit biarpun menjual maruah negara.
Pencerobohan di Lahad Datu bukan
suatu perkara kecil kerana melibatkan pembolosan berkekuatan beberapa kompeni
Tentera Sulu yang mahu menuntut sesuatu secara militan. Ramai yang mempersoalkan kredibiliti
perisikan tentera dan polis yang ‘gagal’ menghidu kemasukan militan ini atau
setidaknya beranggapan kemasukan puak-puak ini adalah amalan tradisi rakyat dua
negara berjiran yang tidak mengancam keselamatan walau pun di peringkat
nasional tahu bahawa isu-isu tuntutan oleh pihak-pihak tertentu dalam dan luar
negara masih belum padam.
Kegiatan pelanunan yang juga
berunsur pembolosan dari sempadan laut yang menjadikan kapal-kapal dagang milik
dalam negara sebagai mangsa rampasan dan tebusan menjadi semakin kerap dan
terancang. Walau pun pasukan keselamatan
berjaya menyelesaikan kes-kes lalu dengan baik namun ianya meresahkan banyak
pihak dan telah membelanjakan banyak wang untuk operasi sedemikian.
Penculikan demi penculikan di
Perairan Sabah masih lagi menjadi igauan penduduk setempat walau pun Pasukan East
Sabah Security Command (ESSCOM) telah ditubuhkan namun kes-kes
penculikan masih lagi berlaku. Namun begitu penambahbaikan secara terancang
telah dilaksanakan dengan begitu rapi oleh pihak-pihak yang terlibat sangatlah
dipuji dan umum mengakui untuk mendapatkan impak maksima adalah sangat sukar
memandangkan faktor geografi yang sangat luas.
Dengan berleluasanya sebaran
tentang kes-kes jenayah rompakan, penculikan, pembunuhan yang semuanya
melibatkan senjata api telah berlaku dalam negara saban hari melibatkan warga
asing, sudah tentu masyarakat mula mempersoalkan soal integriti, kompetensi
dari sudut penguatkuasaan agensi-agensi yang telah berperanan sekian lama.
Kesan ekonomi yang sangat ketara
bagi pihak kerajaan ialah kerugian hasil pungutan cukai kesan daripada aktiviti
penyeludupan barang masuk serta penyeludupan keluar barang bersubsidi di
samping kos operasi luar jangka semasa proses pembenterasan. Kesan ekonomi yang
lebih besar lagi jika keadaan ini berterusan boleh mengundang sekatan ekonomi
oleh negara lain dikenakan di atas faktor-faktor pengabaian hak asasi
manusia terhadap warga asing yang
membanjiri negara ini.
Cadangan
Garisan sempadan Malaysia-Thai
yang merentasi timur dan barat semenanjong sepanjang lebih daripada 600km. Di antara Bukit Kayu Hitam hingga ke Padang
Besar, garis sempadan dipisahkan dengan pagar, namun begitu oleh kerana
struktur pagar yang dibina tidak begitu
kemas dan usang dan pemantauan yang longgar maka aktiviti pencerobohan dikesan
berlaku.
Cadangan 1 - Pada hemat penulis,
kawasan ini yang bentuk muka buminya yang agak rata, binaan tembok pemisah
dengan ketinggian yang munasabah adalah ikhtiar terbaik untuk mengatasi
permasalahan ini berpanjangan. Pagar
besi yang sedang dipraktikkan sekarang bukan sahaja tidak mampu menampan
aktiviti pecah pagar malah sangat merbahaya kepada pasukan keselamatan yang
berkawal kerana terdedah dengan tembakan curi jika penceroboh mahu berbuat
demikian.
Manakala garisan sempadan yang
terlalu berbukit bukau dan tidak memungkinkan pembinaan tembok pemisah yang
bersesuaian, tiada cara lain pada hemat penulis harus diperketatkan dengan cara
rondaan tradisional dengan melengkapkan keperluan dengan bantuan peralatan
canggih kepada anggota-anggota pasukan-pasukan keselamatan yang ditugaskan.
Apa yang penting dalam dunia
moden hari ini trilogi man machine and method mesti diadaptasikan dengan
sepenuhnya bagi mendapatkan senergi maksima kerana kegagalan atau kekurangan
salah satu elemen tersebut akan mengurangkan impak keberkesanan.
Bagi mengelakkan anggota pasukan
keselamatan ‘terbiasa’ atau mengenali sehingga ke tahap boleh berkompromi
dengan penyeludup, adalah disarankan supaya dipendekkan tempoh berada di
kawasan-kawasan penugasan operasi termasuk petugas-petugas penguatkuasa di
pintu masuk rasmi sempadan.
Penubuhan agensi tunggal yang telah dicadangkan dalam laporan
Utusan Malaysia juga telah mendapat
respon yang baik dari pihak ATM, PDRM dan Imigresen sementara di peringkat
cadangan dan perbincangan bentuk dan perlaksanaannya. Penubuhan agensi tunggal sudah tentu akan
menelan kos yang banyak bagi pembetukan sejumlah modal insan yang diperlukan
serta kelengkapan sokongan yang serba baharu.
Natijahnya dari sudut perlaksanaan masih berkisar kepada permasalahan
yang sedang dihadapi ketika ini dan memerlukan penambahbaikan seperti mana
cadangan-cadangan yang telah dikemukakan sebelum ini.
Pada hemat penulis, agensi tunggal juga boleh
diterjemahkan kepada ‘penyerahan’ secara mutlak kepada Rejimen Sempadan dari
Infantri Tentera Darat yang pada dasar penubuhannya adalah untuk tujuan itu.
Apa yang penting ialah perkemaskan segala bentuk kelengkapan dan kebajikan
tambahan yang sepatutnya ‘dilengkapkan’ samada di penempatan atau pada petugas
itu sendiri. Tambah anggota infantri
secukupnya serta menugaskan anggota-anggota penguatkuasa yang berkaitan seperti
Pegawai Kastam, Imigresen, Polis bagi urusan pendakwaan dalam konteks
masing-masing yang tiada peruntukan bagi pihak tentera untuk melakukannya.
Keadaan pagar sempadan malaysia -Thai di kawasan Bukit Kayu Hitam |
Cadangan 2 – Tertarik
dengan komentar dan cadangan seorang pembaca saudara Hamid Airborne
dalam forum Utusan Malaysia bertarikh 2 Julai 2015. Beliau mencadangkan supaya
jika kerajaan memutuskan untuk mewujudkan Agensi Tunggal bagi mengawal persempadanan negara supaya
menamakan Agensi ini dengan nama Pemerintah Keselamatan Kawasan Sempadan/Border
Area Security Command (BASCOM).
Beliau mencadangkan supaya BASCOM diketuai oleh seorang yang berpangkat
Jeneral Tentera Darat Malaysia (TDM) dan bernaung di bawah Jabatan Perdana
Menteri. Pengarah BASCOM mestilah mempunyai
ilmu keselamatan dan peperangan di samping ilmu-ilmu pengurusan dan
pentadbiran dan mentadbir BASCOM mengikut disiplin tentera.
Beliau juga mencadangkan supaya
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dibuat penambahbaikan dengan mewujudkan
Organisasi Khas bagi pengurusan PATI
yang mana Unit ini akan diketuai oleh Pegawai Kanan PDRM yang berpangkat Deputy
Inspektorat General dengan dibantu oleh Pegawai Kanan dari ATM, PDRM, Imigresen dan RELA yang bertaraf 3
bintang bagi tujuan menghapuskan PATI yang sudah bertapak dalam negara.
Cadangan 3 - Proses
memperkasakan keseluruhan Pasukan-pasukan penguakuasa keselamatan
ke tahap maksima dengan menambah makanisma-makanisma yang membantu
keupayaan mengesan dan bertindak dengan mengemaskini rekod dan pangkalan data
bersepadu PADI atau warga asing supaya dapat mengesan mereka sebelum permit
mereka tamat tempoh. Kuatkuasakan sistem melapor diri setiap bulan atau 3 bulan
sekali bagi memastikan kewujudan PADI di setiap kawasan yang sepatutnya mereka
berada mengikut permit. Wujudkan pusat-pusat sehenti Imigresen di setiap
Parlimen bagi memudah dan menentukan proses ini berjalan lancar. Lancarkan gerakan memburu serta merta bila
didapati PADI tidak melapor diri di tempat-tempat dan masa-masa yang
ditentukan.
Cadangan 4 - Menambah dan
memperbaharui aset-aset penguatkuasa di laut terutamanya Agensi Penguatkuasa
Maritim Malaysia (APMM) seperti yang direncanakan di dalam Pelan Perancangan
Strategik Maritim Malaysia 2040 bagi menjana kekuatan untuk APMM
melipatgandakan kekuatan dan pencapaian dalam penguatkuasaan sempadan laut serta
ESSCOM dari segala bentuk pencerobohan dengan menterjemahkan keberhasilan yang
diharapkan.
Cadangan 5 - Penempatan
Rumah Air yang merupakan penempatan tradisi beberapa etnik di pinggir laut menjadi transit serta ‘sarang’ persembunyian
penjenayah rentas sempadan perairan Sabah menyumbang kepada kesukaran
membenteras penjenayah kerana penempatan yang padat dan tidak bersistematik tersebut telah menghalang pihak
penguatkuasa memburu penceroboh/pengganas yang menghilangkan diri dan meresap
bersama penduduk di situ yang ada dalam kalangannya menjadi tali barut
penjenayah. Pindahkan semua penduduk di
kawasan Rumah Air ke penempatan-penempatan baharu di daratan.
Cadangan 6 -
Mendesak PBB supaya pelarian serta pemohon suaka UNHCR yang sudah lama
‘dipelihara’ di Malaysia dikembalikan ke negara-negara asal atau ke tempat
lain. Untuk sementara itu, jadikan
pulau-pulau yang tidak berpenghuni yang ada di Malaysia sebagai pusat
penempatan mereka dengan membangun industri pembuatan bagi mengisi masa lapang
dan menjana pendapatan negara serta membantu mata pencarian bagi menyara
kehidupan mereka seharian di samping memohon bantuan-bantuan asas kemanusiaan
daripada PBB dan negara-negara lain. Dengan cara ini mereka tidak mengganggu
kehidupan rakyat tempatan.
Natijah
Apa saja yang dinamakan batas
atau sempadan samada kecil atau besar mestilah dikawal bagi memastikan ianya
tidak diceroboh oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Ironinya jika kawasan
sempadan negara samada di kawasan terpencil atau berpenghuni dibuat secara sambil lewa pemantauannya sudah
tentu pencerobohan dengan segala macam aktiviti jenayah bukan lagi sesuatu yang
luar biasa sekali gus mengundang ancaman keselamatan dan masalah sosial dalam
negara. Jika tidak dibendung dengan
serius, ianya akan menjadi suatu fenomena yang menjadi semakin sukar untuk
dikawal bila mana setiap ruang dalam negara sudah dijadikan ‘pusat-pusat
operasi’ secara tidak sedar oleh puak-puak berhaluan kiri, pengganas dan sebagainya.
Turut memberi peluang kepada
ketua-ketua penjahat warganegara mejadikan PATI sebagai operator kerja-kerja
jahat mereka dengan memberi perlindungan sewajarnya. Jadi tidak hairanlah
suasana dalam negara pada masa ini boleh dikatakan saban hari akan terpapar
dalam media cetak atau elektronik kes-kes keganasan, pembunuhan, gengterism, penyeludupan
dan pengedaran dadah yang semuanya melibatkan senjata api menjadi satu angka
yang semakin merumitkan.
Persoalan dari mana dan bagaimana senjata api itu
dibawa masuk, umumnya tentunya sudah boleh menduga berdasarkan penemuan,
pembongkaran serta kaji selidik yang telah didedahkan pihak media wujudnya
unsur-unsur ketirisan dan kelongaran penguatkuasaan di sempadan samada melalui laut,
pintu-pintu masuk darat atau lorong-lorong tikus yang tidak diberi kawalan
sewajarnya.
Sehinggakan pada suatu ketika
nanti identiti rakyat Malaysia mungkin juga akan turut berubah. Persepsi pelancong yang datang pertama kali
ke Malaysia akan melihat rupa paras orang yang menyambut mereka di Lapangan
Terbang, hotel-hotel penginapan dan
restoren seiras Shah Ruk Khan dan menyangka itulah rupa paras tradisional
rakyat Malaysia kerana majoriti orang yang bekerja di persekitaran yang dilalui
pelancong berwajah sedemikian. Juga mungkin
akan menyangka bahasa pertuturan orang Malaysia sama saja dengan bahasa
perbualan Joko Widodo yang mereka mungkin pernah dengar di televisyen negara
mereka.
Realitinya rakyat Malaysia ketika
ini sudah takut dan rasa sudah tidak aman di hati masing-masing memikirkan
keselamatan diri, anak-anak, gadis dan wanita yang sering diancam keselamatan
mereka di mana-mana saja. PERAJURIT
No comments:
Post a Comment