About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, August 31, 2015

Perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah


Sambutan Hari Kemerdekaan ke 58 peringkat Negeri Kedah berjalan lancar meski pun pada awal pagi kawasan sekitar Dataran Balai Besar dicurahi hujan lebat.  Upacara ini walaubagaimana pun telah menggamit ribuan penonton yang berada di sekitar bandar Alor Setar. 

Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tungku Temenggong Tan Sri Sallehudin Sultan Badlishah berangkat serta memeriksa Kawalan Kehormatan dan mengambil tabik hormat kontijen-kontijen yang mengambil bahagian.

Hadir sama ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahadhir serta Ahli-ahli Pemangku Jemaah Sultan Kedah, Barisan Exco Kerajaan Negeri, Panglima 6 Bgd, Ketua Polis Kedah dengan disaksikan ribuan  rakyat jelata yang hadir di upacara perbarisan tersebut.

Acara perbarisan yang bermula pada jam 0930 telah melibatkan seramai lebih kurang 3,000 orang peserta dari 93 kontijen yang terdiri dari pasukan-pasukan beruniform, jabatan-jabatan kerajaan, institusi-institusi pengajian serta sekolah dan agensi swasta telah mengambil bahagian.









Saturday, August 1, 2015

Sempadan Bolos-Cegah Sebelum Bertambah Parah

Telah diterbitkan oleh Majalah Perajurit Edisi Ogos 2015

Tahun 2015 merupakan kemuncak terserlahnya kebenaran yang selama ini sejak beberapa tahun yang lalu, polemik yang memperkatakan sempadan negara tidak selamat dan sering dibolosi oleh pelbagai aktiviti yang tidak sihat seumpama aktiviti lintas sempadan oleh pendatang tanpa izin (PATI), penyeludupan, pemerdagangan orang dan sebagainya.

Selama ini ramai yang menganggap polemik ini sesuatu yang terpencil yang sengaja ditokok tambah sehinggakan kemuncaknya terbongkar sesuatu yang tersembunyi dengan penemuan beratus-ratus kubur persemadian haram etnik Rohinya dan lain-lain PATI di puncak-puncak bukit di persempadanan Malaysia-Thailand yang mana membuktikan berleluasanya aktiviti pemerdagangan orang di sempadan negara. Sekali gus menggerakkan ejen-ejen berita membuat pemerhatian rapat dan menghayati suasana dengan lebih teliti tentang sikap dan tingkah laku penguatkuasa-penguatkuasa yang bertugas di pintu-pintu masuk sempadan.

“Dasar Pertahanan negara (DPN) menggambarkan hasrat negara untuk mempertahankan kepentingan-kepentingan strategik dan memelihara keselamatan negara.  Dasar Pertahanan menggariskan  tiga asas utama, iaitu kepentingan-kepentingan strategik negara, prinsip-prinsip pertahanan dan konsep pertahanan.  Ianya menekankan keperluan mengekalkan persekitaran kawasan kepentingan strategik negara yang stabil dan aman. 

Kawasan kepentingan strategik negara dapat dilihat dari tiga lapisan iaitu kawasan terdekat, serantau dan global.  Kawasan terdekat termasuk wilayah daratan, perairan negara, ruang angkasa, zon ekonomi ekslusif (ZEE), Selat Melaka dan pintu keluar masuknya dan Selat Singapura selain jaluran laluan perhubungan laut dan udara yang menghubungkan semenanjong Malaysia dengan Sabah dan Sarawak”.

Bercanggahnya permasalahan ini dengan dasar pertahanan ialah bagaimana untuk melindungi kepentingan strategik bila mana penggunaan tenaga buruh bagi pembangunan pangkalan-pangkalan tentera dan lain-lain diambilalih oleh warga asing yang sebilangannya kita tidak tahu siapa mereka sebenarnya.

Persaingan dalam pelbagai  kepentingan yang lain, kita dapat melihat bertambahnya pangangguran warganegara setelah peluang-peluang perkerjaan, perniagaan dan pertukangan buruh kasar telah dimonopoli oleh warga asing samada pendatang dengan izin (PADI) atau PATI.  Kerap kali sudah kita dengar rungutan-rungutan daripada orang ramai melalui media massa bahawa kedapatan warga asing telah mengambil alih premis-premis perniagaan yang dahulunya dikendalikan oleh warganegara. 

Di sektor permakanan, malah di pasar-pasar malam sekali pun warga asing sudah bertapak. Di sektor pembinaan, warga asing kini sudah mampu menjadi ‘tawkey’ dengan mendapat kontrak pembinaan sekali gus menafikan peluang pekerjaan kepada tukang-tukang tradisional di kampong-kampong. Apa pun alasan dan kelemahan di pihak warganegara di dalam pengurusan pekerjaan, tidak seharusnya warga asing diberi muka untuk mengepalai apatah lagi mengambilalih peluang-peluang yang sepatutnya dikuasai oleh warganegara. 

Perkara-perkara seumpama ini juga memerlukan penguatkuasaan rapi Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Perkhidmatan Buruh dan sebagainya supaya kemakmuran sebenar negara yang kita cintai ini madunya dinikmati oleh warga tempatan bukannya warga asing.  Bayangkan berapa banyak subsidi yang telah kerajaan peruntukkan untuk warganegara telah dinikmati bersama oleh jutaan warga asing.
Keupayaan pertahanan sempadan berkisar sekitar perinsip-perinsip utama iaitu keupayaan untuk berdikari tanpa memerlukan bantuan luar. 

Perinsip ini boleh direalisasikan dengan mempertahankan integriti, kompetensi dalam penguatkuasaan dan tidak mudah ‘longlai’  dengan desakan-desakan dari pihak-pihak yang berkepentingan untuk meraih keuntungan peribadi dengan menjadikan penguatkuasa sebagai rakan kompromi di dalam melicinkan kegiatan-kegiatan yang bersalahan dengan undang-undang negara.

Harapkan Pegar, Pegar Makan Padi

Kurangnya kawalan dan penguatkuasaan pihak berkuasa di sempadan menjadikan lubuk emas kepada sindiket-sindiket penyeludupan dan pemerdagangan orang dari negara-negara seperti Myanmar, Banglades, India, Vietnam, Pakistan, Ghana dan China melalui lorong-lorong ‘tikus’ malah ada laporan yang menyatakan pembolosan penyeludupan mereka-mereka ini melalui lorong rasmi yang dikawal oleh penguatkuasa-penguatkuasa bertauliah yang bertugas di pintu-pintu masuk sempadan negara sebelum diserahkan kepada pelari-pelari atau tekong darat untuk diagihkan ke serata negeri.  Menurut laporan, soal integriti ini bukan saja dibolosi di pintu-pintu sempadan malah turut diberi ‘perlindungan’ oleh pihak-pihak tertentu di perjalanan sehingga  berada di lapangan pekerjaan.

Amalan ‘kompromi’ segelintir anggota penguatkuasa dan penglibatan rakus tekong-tekong darat yang terdiri dari rakyat tempatan seperti mana yang pernah dilaporkan oleh media massa melalui pintu-pintu masuk negeri-negeri yang bersempadan seperti Pangkalan Kubor-Takbai, Rantau Panjang-Golok, Pangkalan Hulu-Betong, Padang Besar-Songkhla, Wang Klian-Satun, Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Durian Burung-Nathawi dikatakan juga sebagai penyumbang berleluasanya gejala ini menjadikan peningkatan jumlah PATI di dalam negara ini semakin tidak terkawal.

Dua penempatan dua negara yang dipisahkan oleh struktur pagar yang memudahkan pencerobohan

Mengikut perangkaan Kementerian Sumber Manusia seperti mana yang dilaporkan oleh media massa berakhir 2014 sejumlah anggaran 6.7 juta warga asing berada di Malaysia dalam pelbagai sektor pekerjaan di mana sejumlah 2.1 juta mempunyai permit dan selebihnya tinggal secara haram samada tinggal melebihi tamat tempoh atau sememangnya kemasukan secara tidak sah sejak awal lagi.

Selain PADI dan PATI, Malaysia juga sedang menanggung ‘bala’ Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) yang datang dari pelbagai negara yang statusnya patut dipersoalkan.  Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berdasarkan statistik  UNHCR sebanyak 151,838 pemohon suaka dan pelarian berdaftar dari pelbagai negara berada di Malaysia sehingga 31 Jan 2015.   Seramai  52,788 orang merupakan pemohon suaka manakala seramai 99,050 orang lagi adalah pelarian.  

Mereka-mereka ini tidak berhak mendapat hak-hak sebagai mana diperuntukan dalam Konvension Pelarian 1951 dan Protokol Pelarian 1957, namun atas dasar kemanusiaan, kerajaan memberi pelbagai kemudahan kepada mereka semasa berada di negara ini termasuk kebebasan bergerak dan tidak ditahan melainkan terlibat dengan aktiviti yang melanggar undang-undang negara, tidak dihantar pulang ke negara asal secara paksa serta vaksinasi secara percuma kepada kanak-kanak dan tiada sekatan untuk mendapat kemudahan pelajaran di sekolah-sekolah swasta.

Penulis agak skeptikal dalam keadaan yang kurang kawalan ini kad UNHCR juga boleh dimanipulasi oleh sindikit-sindikit tertentu dan jumlah PATI dari negara-negara berkaitan  yang ‘berselindung’ di sebalik kad UNHCR ini bertambah dari masa ke semasa tanpa disedari.  Malaysia yang sepatutnya hanya menjadi transit sebelum dihantar ke negara-negara lain seolah-seolah sudah menjadi pemastautin tetap bertapak berbelas-belas tahun tanpa tindakan susulan oleh PBB atau kerajaan Malaysia sendiri ‘memandang sepi’ yang seolah-olah selesa dengan keadaan ini.  Kalau 10 tahun dahulu mereka datang seorang diri, sekarang ini mereka sudah beranak-pinak malah ramai yang berumahtangga sesama mereka dan dengan rakyat tempatan.  Kebebasan bergerak yang diberi oleh kerajaan digunakan sepenuhnya untuk meraih rezki sebanyak mungkin dan secara tidak langsung telah menyempitkan peluang warganegara untuk meraih rezki kerana terpaksa bersaing untuk merebut peluang-peluang yang ada.

Ekoran dari lambakan atau kebanjiran ini, wujud pula ‘bencana’ baharu iaitu kelahiran warganegara ekspres seperti mana pembongkaran terbaharu dari pihak media. RM 1.3 juta beli mykad untuk pelanggan warga China hasil dari serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu dengan 3 individu ditahan termasuk yang mempunyai akses kepada sistem Jabatan Pendaftaran negara (JPN).

Fenomena yang menjadi mimpi ngeri tentang apa yang sedang berlaku dalam negara muthakhir ini bukan sahaja dengan peningkatan kes-kes jenayah di dalam negara yang melibatkan aktiviti-aktiviti golongan-golongan pendatang ini tetapi ikut terdorong kepada penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah oleh warganegara sendiri bila berhadapan dengan peluang boleh menghasilkan duit biarpun menjual maruah negara. 

Pencerobohan di Lahad Datu bukan suatu perkara kecil kerana melibatkan pembolosan berkekuatan beberapa  kompeni  Tentera Sulu yang mahu menuntut sesuatu secara militan.  Ramai yang mempersoalkan kredibiliti perisikan tentera dan polis yang ‘gagal’ menghidu kemasukan militan ini atau setidaknya beranggapan kemasukan puak-puak ini adalah amalan tradisi rakyat dua negara berjiran yang tidak mengancam keselamatan walau pun di peringkat nasional tahu bahawa isu-isu tuntutan oleh pihak-pihak tertentu dalam dan luar negara masih belum padam.

Kegiatan pelanunan yang juga berunsur pembolosan dari sempadan laut yang menjadikan kapal-kapal dagang milik dalam negara sebagai mangsa rampasan dan tebusan menjadi semakin kerap dan terancang.  Walau pun pasukan keselamatan berjaya menyelesaikan kes-kes lalu dengan baik namun ianya meresahkan banyak pihak dan telah membelanjakan banyak wang untuk operasi sedemikian. 

Penculikan demi penculikan di Perairan Sabah masih lagi menjadi igauan penduduk setempat walau pun Pasukan East Sabah Security Command (ESSCOM) telah ditubuhkan namun kes-kes penculikan masih lagi berlaku. Namun begitu penambahbaikan secara terancang telah dilaksanakan dengan begitu rapi oleh pihak-pihak yang terlibat sangatlah dipuji dan umum mengakui untuk mendapatkan impak maksima adalah sangat sukar memandangkan faktor geografi yang sangat luas.

Dengan berleluasanya sebaran tentang kes-kes jenayah rompakan, penculikan, pembunuhan yang semuanya melibatkan senjata api telah berlaku dalam negara saban hari melibatkan warga asing, sudah tentu masyarakat mula mempersoalkan soal integriti, kompetensi dari sudut penguatkuasaan agensi-agensi yang telah berperanan sekian lama.

Kesan ekonomi yang sangat ketara bagi pihak kerajaan ialah kerugian hasil pungutan cukai kesan daripada aktiviti penyeludupan barang masuk serta penyeludupan keluar barang bersubsidi di samping kos operasi luar jangka semasa proses pembenterasan. Kesan ekonomi yang lebih besar lagi jika keadaan ini berterusan boleh mengundang sekatan ekonomi oleh negara lain  dikenakan  di atas faktor-faktor pengabaian hak asasi manusia terhadap  warga asing yang membanjiri negara ini.

Cadangan

Garisan sempadan Malaysia-Thai yang merentasi timur dan barat semenanjong sepanjang lebih daripada 600km.  Di antara Bukit Kayu Hitam hingga ke Padang Besar, garis sempadan dipisahkan dengan pagar, namun begitu oleh kerana struktur pagar yang dibina  tidak begitu kemas dan usang dan pemantauan yang longgar maka aktiviti pencerobohan dikesan berlaku. 

Cadangan 1 - Pada hemat penulis, kawasan ini yang bentuk muka buminya yang agak rata, binaan tembok pemisah dengan ketinggian yang munasabah adalah ikhtiar terbaik untuk mengatasi permasalahan ini berpanjangan.  Pagar besi yang sedang dipraktikkan sekarang bukan sahaja tidak mampu menampan aktiviti pecah pagar malah sangat merbahaya kepada pasukan keselamatan yang berkawal kerana terdedah dengan tembakan curi jika penceroboh mahu berbuat demikian.

Manakala garisan sempadan yang terlalu berbukit bukau dan tidak memungkinkan pembinaan tembok pemisah yang bersesuaian, tiada cara lain pada hemat penulis harus diperketatkan dengan cara rondaan tradisional dengan melengkapkan keperluan dengan bantuan peralatan canggih kepada anggota-anggota pasukan-pasukan keselamatan yang ditugaskan.
Apa yang penting dalam dunia moden hari ini trilogi man machine and method mesti diadaptasikan dengan sepenuhnya bagi mendapatkan senergi maksima kerana kegagalan atau kekurangan salah satu elemen tersebut akan mengurangkan impak keberkesanan.

Bagi mengelakkan anggota pasukan keselamatan ‘terbiasa’ atau mengenali sehingga ke tahap boleh berkompromi dengan penyeludup, adalah disarankan supaya dipendekkan tempoh berada di kawasan-kawasan penugasan operasi termasuk petugas-petugas penguatkuasa di pintu masuk rasmi sempadan.
Penubuhan agensi  tunggal yang telah dicadangkan dalam laporan Utusan Malaysia  juga telah mendapat respon yang baik dari pihak ATM, PDRM dan Imigresen sementara di peringkat cadangan dan perbincangan bentuk dan perlaksanaannya.  Penubuhan agensi tunggal sudah tentu akan menelan kos yang banyak bagi pembetukan sejumlah modal insan yang diperlukan serta kelengkapan sokongan yang serba baharu.  Natijahnya dari sudut perlaksanaan masih berkisar kepada permasalahan yang sedang dihadapi ketika ini dan memerlukan penambahbaikan seperti mana cadangan-cadangan yang telah dikemukakan sebelum ini.

 Pada hemat penulis, agensi tunggal juga boleh diterjemahkan kepada ‘penyerahan’ secara mutlak kepada Rejimen Sempadan dari Infantri Tentera Darat yang pada dasar penubuhannya adalah untuk tujuan itu. Apa yang penting ialah perkemaskan segala bentuk kelengkapan dan kebajikan tambahan yang sepatutnya ‘dilengkapkan’ samada di penempatan atau pada petugas itu sendiri.  Tambah anggota infantri secukupnya serta menugaskan anggota-anggota penguatkuasa yang berkaitan seperti Pegawai Kastam, Imigresen, Polis bagi urusan pendakwaan dalam konteks masing-masing yang tiada peruntukan bagi pihak tentera untuk melakukannya.

Keadaan pagar sempadan malaysia -Thai di kawasan Bukit Kayu Hitam

Cadangan 2 – Tertarik dengan komentar dan cadangan seorang pembaca saudara Hamid Airborne dalam forum Utusan Malaysia bertarikh 2 Julai 2015. Beliau mencadangkan supaya jika kerajaan memutuskan untuk mewujudkan Agensi Tunggal  bagi mengawal persempadanan negara supaya menamakan Agensi ini dengan nama Pemerintah Keselamatan Kawasan Sempadan/Border Area Security Command (BASCOM).  Beliau mencadangkan supaya BASCOM diketuai oleh seorang yang berpangkat Jeneral Tentera Darat Malaysia (TDM) dan bernaung di bawah Jabatan Perdana Menteri. Pengarah BASCOM mestilah mempunyai  ilmu keselamatan dan peperangan di samping ilmu-ilmu pengurusan dan pentadbiran dan mentadbir BASCOM mengikut disiplin tentera.

Beliau juga mencadangkan supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dibuat penambahbaikan dengan mewujudkan Organisasi Khas bagi  pengurusan PATI yang mana Unit ini akan diketuai oleh Pegawai Kanan PDRM yang berpangkat Deputy Inspektorat General dengan dibantu oleh Pegawai Kanan dari  ATM, PDRM, Imigresen dan RELA yang bertaraf 3 bintang bagi tujuan menghapuskan PATI yang sudah bertapak dalam negara.

Cadangan 3 - Proses memperkasakan keseluruhan Pasukan-pasukan penguakuasa  keselamatan  ke tahap maksima dengan menambah makanisma-makanisma yang membantu keupayaan mengesan dan bertindak dengan mengemaskini rekod dan pangkalan data bersepadu PADI atau warga asing supaya dapat mengesan mereka sebelum permit mereka tamat tempoh. Kuatkuasakan sistem melapor diri setiap bulan atau 3 bulan sekali bagi memastikan kewujudan PADI di setiap kawasan yang sepatutnya mereka berada mengikut permit. Wujudkan pusat-pusat sehenti Imigresen di setiap Parlimen bagi memudah dan menentukan proses ini  berjalan lancar.  Lancarkan gerakan memburu serta merta bila didapati PADI tidak melapor diri di tempat-tempat dan masa-masa yang ditentukan.

Cadangan 4 - Menambah dan memperbaharui aset-aset penguatkuasa di laut terutamanya Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) seperti yang direncanakan di dalam Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040 bagi menjana kekuatan untuk APMM melipatgandakan kekuatan dan pencapaian dalam penguatkuasaan sempadan laut serta ESSCOM dari segala bentuk pencerobohan dengan menterjemahkan keberhasilan yang diharapkan.

Cadangan 5 - Penempatan Rumah Air yang merupakan penempatan tradisi beberapa etnik di pinggir laut  menjadi transit serta ‘sarang’ persembunyian penjenayah rentas sempadan perairan Sabah menyumbang kepada kesukaran membenteras penjenayah kerana penempatan yang padat dan tidak  bersistematik tersebut telah menghalang pihak penguatkuasa memburu penceroboh/pengganas yang menghilangkan diri dan meresap bersama penduduk di situ yang ada dalam kalangannya menjadi tali barut penjenayah.  Pindahkan semua penduduk di kawasan Rumah Air ke penempatan-penempatan baharu di daratan.

Cadangan 6 - Mendesak PBB supaya pelarian serta pemohon suaka UNHCR yang sudah lama ‘dipelihara’ di Malaysia dikembalikan ke negara-negara asal atau ke tempat lain.  Untuk sementara itu, jadikan pulau-pulau yang tidak berpenghuni yang ada di Malaysia sebagai pusat penempatan mereka dengan membangun industri pembuatan bagi mengisi masa lapang dan menjana pendapatan negara serta membantu mata pencarian bagi menyara kehidupan mereka seharian di samping memohon bantuan-bantuan asas kemanusiaan daripada PBB dan negara-negara lain. Dengan cara ini mereka tidak mengganggu kehidupan rakyat tempatan.

Natijah

Apa saja yang dinamakan batas atau sempadan samada kecil atau besar mestilah dikawal bagi memastikan ianya tidak diceroboh oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Ironinya jika kawasan sempadan negara samada di kawasan terpencil atau berpenghuni  dibuat secara sambil lewa pemantauannya sudah tentu pencerobohan dengan segala macam aktiviti jenayah bukan lagi sesuatu yang luar biasa sekali gus mengundang ancaman keselamatan dan masalah sosial dalam negara.  Jika tidak dibendung dengan serius, ianya akan menjadi suatu fenomena yang menjadi semakin sukar untuk dikawal bila mana setiap ruang dalam negara sudah dijadikan ‘pusat-pusat operasi’ secara tidak sedar oleh puak-puak berhaluan kiri, pengganas dan sebagainya.

Turut memberi peluang kepada ketua-ketua penjahat warganegara mejadikan PATI sebagai operator kerja-kerja jahat mereka dengan memberi perlindungan sewajarnya. Jadi tidak hairanlah suasana dalam negara pada masa ini boleh dikatakan saban hari akan terpapar dalam media cetak atau elektronik kes-kes keganasan, pembunuhan, gengterism, penyeludupan dan pengedaran dadah yang semuanya melibatkan senjata api menjadi satu angka yang semakin merumitkan. 

Persoalan dari mana dan bagaimana senjata api itu dibawa masuk, umumnya tentunya sudah boleh menduga berdasarkan penemuan, pembongkaran serta kaji selidik yang telah didedahkan pihak media wujudnya unsur-unsur ketirisan dan kelongaran penguatkuasaan di sempadan samada melalui laut, pintu-pintu masuk darat atau lorong-lorong tikus yang tidak diberi kawalan sewajarnya.

Sehinggakan pada suatu ketika nanti identiti rakyat Malaysia mungkin juga akan turut berubah.  Persepsi pelancong yang datang pertama kali ke Malaysia akan melihat rupa paras orang yang menyambut mereka di Lapangan Terbang,  hotel-hotel penginapan dan restoren seiras Shah Ruk Khan dan menyangka itulah rupa paras tradisional rakyat Malaysia kerana majoriti orang yang bekerja di persekitaran yang dilalui pelancong berwajah sedemikian.  Juga mungkin akan menyangka bahasa pertuturan orang Malaysia sama saja dengan bahasa perbualan Joko Widodo yang mereka mungkin pernah dengar di televisyen negara mereka.


Realitinya rakyat Malaysia ketika ini sudah takut dan rasa sudah tidak aman di hati masing-masing memikirkan keselamatan diri, anak-anak, gadis dan wanita yang sering diancam keselamatan mereka di mana-mana saja. PERAJURIT

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini