About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, March 18, 2013

Teguh Samudera perkuat TLDM

Sumber Utusan online
Oleh SYUKRI SHAARI
pengarang@utusan.com.my


KAPAL boleh disifatkan sebagai 'nadi' kepada angkatan tentera laut sesebuah negara. Tanpa kapal, apalah maknanya kewujudan sebuah angkatan tentera laut.

Kapal menjadi tempat setiap anggota tentera laut memerah keringat, berusaha mempertahankan kawasan perairan negara. Ada ketikanya, kapal menjadi seolah-olah 'rumah kedua' kepada anggota-anggota tentera laut.
Terdapat pelbagai jenis kapal yang digunakan oleh angkatan tentera laut ketika ini. paling canggih sudah tentunya kapal selam yang mampu meredah kedalaman laut selain dilengkapi dengan kelengkapan secukupnya untuk mempertahankan negara daripada serangan pihak luar.

Beberapa tahun kebelakangan ini, pertahanan negara khususnya daripada aspek kawasan perairan semakin mencabar. Kawasan laut yang luas menjadi faktor penyumbang kepada berlakunya pencerobohan, lebih-lebih lagi dalam situasi politik dunia yang kurang stabil sejak dua menjak ini.

Beberapa tahun kebelakangan ini juga, kita lihat kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berusaha meningkatkan keupayaan pertahan laut negara dengan membawa masuk aset-aset yang berkebolehan, canggih bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

Antaranya termasuklah kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak serta kapal latihan Teguh Samudera. Terbaharu, TLDM terus komited mempertahankan kedaulatan perairan negara dengan memperkenalkan kapal latihan kedua angkatan itu iaitu Teguh Samudera.

Dilancarkan pada 27 Februari lalu oleh isteri bekas Perdana Menteri, Tun Siti Hasmah Mohd. Ali, Teguh Samudera mempunyai spesifikasi 75.9 meter panjang dan turut dilengkapi dengan tempat pendaratan helikopter yang mempunyai keberatan 1,366 tan metrik.

Teguh Samudera mampu beroperasi sejauh 2,500 batu nautika atau bersamaan 21 hari tanpa henti sebelum ulang bekal dilaksanakan. Kapal berkenaan bakal menempatkan 47 orang krew dan mampu menampung seramai 60 pelatih pada setiap kali pelayaran termasuklah 12 penempatan untuk pelatih wanita.

Kelengkapan Teguh Samudera juga tidak boleh dipertikaikan apabila mempunyai sistem kombat, radar, peralatan navigasi dan komunikasi serta senjata jarak dekat yang bukan sahaja akan dijadikan platform latihan di laut, malah boleh melaksanakan tugas operasi secara terhad sekiranya diperlukan.

Lebih unik, Teguh Samudera dibina oleh syarikat tempatan iaitu NGV Tech Sdn. Bhd. sekali gus membuktikan bahawa 'anak tempatan' juga berupaya menguasai kemahiran pembinaan kapal berteknologi tinggi serta mampu merealisasikan aspirasi kerajaan untuk membangunkan industri maritim negara.

Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar ketika berucap pada majlis penamaan dan pelancaran kapal berkenaan berkata, kapal latihan kedua itu dinamakan sebagai Teguh Samudera untuk meneruskan kesinambungan nama kapal latihan sedia ada iaitu KLD Tunas Samudera dan Gagah Samudera.

"Nama Teguh Samudera melambangkan keteguhan kapal meredah lautan demi berkhidmat memberi latihan kepada pelatih-pelatih TLDM. Walaupun kapal ini dibina khusus sebagai kapal latihan, Teguh Samudera juga berupaya melakukan penugasan lain, sesuai dengan keperluan operasi semasa.

"Kapal ini juga boleh ditugaskan untuk melaksana rondaan maritim secara terhad serta menjadi kapal pengiring atau kapal operasi mencari dan menyelamat. Keupayaan kapal untuk melaksanakan pelbagai tugas sekunder akan memastikan TLDM menerima pulangan pelaburan yang tinggi hasil perolehan kapal latihan ini," katanya.

Kehadiran Teguh Samudera ke dalam inventori TLDM dilihat berupaya memperkasakan latihan dan kemahiran serta kecekapan 'the navy people' dalam mengendalikan operasi armada.

Latihan di laut yang bakal ditempuhi juga membuktikan bahawa TLDM sentiasa melaksanakan pembaharuan serta penambahbaikan terhadap aset sedia ada dan mutu kerja 'the navy people' supaya lebih efisien , seiring dengan visi TLDM untuk menjadi angkatan tentera laut bertaraf dunia.

Teguh Samudera akan menjalani ujian penerimaan di pelabuhan dan laut serta ujian penembakan meriam sebelum diserahkan kepada TLDM secara rasmi pada 21 Jun 2013 nanti.

Tugas-tugas mengintegrasikan sistem serta ujian sebelum penerimaan kapal merupakan cabaran paling getir dan penting kepada pasukan projek yang terlibat secara langsung terhadap perolehan kapal latihan berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Polis_&_Tentera/20130306/te_01/Teguh-Samudera-perkuat-TLDM#ixzz2NrhnKkhU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Tinggalkan pesanan anda di sini