About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, January 24, 2011

KOMPLEKS BARU IPD KUBANG PASU

Sumber Majalah perajurit edisi Jan 2011
Oleh Hamzah Hd


Tanggal 24 Nov 2010 bersamaan 17 Zulhijjah 1431 yang lalu tercatat satu lagi sejarah pembangunan Sang Saka Biru dengan perolehan sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu di dalam negeri Kedah amnya dan di dalam daerah Kubang Pasu khasnya sebagai penggantian IPD lama yang telah usang dan sempit.

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah, Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-marhum Sultan Badlishah.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Kedah Dato Seri Azizan Abdul Razak, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Polis Negara, Tan Sri Haji Ismail Omar, Pembesar-pembesar Negeri dan Pemimpin-pemimpin PolitikTempatan.


Tidak boleh dinafikan bahawa peranan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah banyak membantu pembangunan di dalam di negara ini. PDRM telah melaksanakan tanggongjawab dengan berkesan bagi menentukan perinsip ketiga Rukun Negara dalam konteks memastikan kedaulatan undang-undang terus didokong dengan memastikan undang-undang terpelihara.

Kestabilan negara merupakan faktor utama yang telah membolehkan aktiviti-aktiviti ekonomi dan perdagangan dapat berlangsung dengan pesat dengan memberi kenyakinan kepada para pelabur melakukan pelaburan juga memangkin kepada kualiti hidup masyarakat yang aman makmur, sejahtera dan harmoni.

Keamanan dan kestabilan negara ini juga telah mendorong rakyat negara-negara luar berlumba-lumba untuk mencari rezki di negara ini telah mencetus fenomena pendatang tanpa izin, pemerdagangan orang, pengedaran dadah dan melakukan jenayah berat seperti rompakan bersenjata sehingalah kepada pembunuhan dan lain-lain.

Faktor-faktor ini menjadikan tugas PDRM semakin hari semakin berat dan mencabar bagi menangani kes-kes orang yang melakukan kesalahan yang semakin hari semakin meningkat. Peningkatan indeks jenayah ini bukan sahaja dari segi bilangan malah bentuk dan kaedah perlaksanaan jenayah-jenayah ini juga lebih canggih dan memerlukan kemahiran dan kepakaran penguatkuasaan yang lebih tinggi.

Pertumbuhan penduduk dan pergerakan manusia yang semakin mudah dan pantas dengan kemajuan transportasi, komunikasi dunia tanpa sempadan telah mewujudkan senario baharu yang menuntut peningkatan ilmu pengetahuan dan penguasaan teknologi yang tinggi dalam kalangan warga PDRM bagi mengekang kreativiti-kreativiti penjenayah yang semakin kreatif. Seiring transisi dan transformasi jenayah yang semakin pantas dan moden, warga PDRM tidak boleh berdiam diri dan berpuas hati dengan apa yang ada tetapi harus peka dan proaktif mengadaptasikan segala kemudahan dan kemodenan teknologi untuk ‘memerangkap’ kebijaksanaan penjenayah.

Sejarah Awal Dan Perkembangan Polis Kedah

Menyingkap sejarah awal penubuhan, Pasukan Polis Negeri Kedah mula dibentuk oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Kedah sebelum perjanjian Inggeris –Siam pada tahun 1909.

Pasukan Polis pada masa itu diketuai oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Ibrahim Ibni Al-marhum Sultan Abdul Hamid Shah dengan bantuan beberapa pegawai Eropah seramai 501 anggota dalam struktur pentadbirannya bagi menjalankan tugas keamanan di negeri ini.

Negeri Kedah dibahagikan kepada dua wilayah iaitu Kedah Utara dan Kedah Selatan yang masing-masing di bawah kawalan seorang Penolong Pegawai Polis berbangsa Inggeris.

Apabila DYTM Tengku Ibrahim menjadi Raja Negeri Kedah, baginda telah meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pasukan Polis Negeri Kedah.

Mulai tahun 1922, kedua-dua wilayah Kedah Utara dan Kedah Selatan telah disatukan dan W.E. Speers telah dilantik sebagai Pesuruhanjaya Polis Kedah.

Sistem pembahagian tersebut berlarutan sehingga 1929 apabila negeri Kedah dibahagikan kepada tiga wilayah iaitu Alor Setar yang diketuai oleh E.P. Colgan sebagai Pegawai Penguasa Polis (PPP) , Sungai Petani PPP D.Kenny dan PPP A.F. Sheady di Kulim. Ibu Pejabat Polis terletak di Alor Setar hinggalah ke hari ini.

Balai Polis Jitra yang terletak di persimpangan Jalan Changlun dan Jalan Mesjid Jitra mula dibina sejak sebelum Perang Dunia Kedua. Reka bentuknya adalah seperti rumah tradisi orang Melayu yang hanya menggunakan kayu sebagai bahan binaan.

Bangunan lama tersebut dirobohkan bagi pembinaan kompleks baharu pada tahun 1977 setelah Balai Jitra dinaikkan taraf sebagai IPD Kubang Pasu yang berkeluasan 292.1 meter persegi.

Daerah Kubang Pasu yang berkeluasan 948 km persegi dengan jumlah penduduk seramai 221,897 orang dengan pecahan berdasarkan bangsa ialah 198,045 (Melayu), 15,900 (Cina), 3,788 (India) dan 4,164 orang dari lain-lain bangsa.
Sejumlah 50 peratus dari jumlah populasi adalah bekerja di sektor pertanian dan perladangan, 30 peratus mencebur diri dalam perniagaan, 10 peratus bekerja di sektor perindustrian dan hanya 10 peratus yang mewakili perkhidmatan awam.

Daerah Kubang Pasu yang semakin pesat membangun dengan pertambahan penduduk, pembangunan pesat taman-taman perumahan, kawasan-kawasan perindustrian juga Institusi-institusi Pengajian Tinggi menyebabkan keperluan terhadap perkhidmatan Polis telah meningkat bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat untuk mewujudkan satu daerah yang aman dan selamat.

Justeru kompleks IPD Kubang Pasu telah dibina di dalam Mukim Jitra yang berkeluasan 12,386 hektar persegi. Projek pembinaan telah dimulakan pada 03 Jul 2006 yang melibatkan kos keseluruhan RM 71 juta. Pembangunan kompleks ini dilaksanakan oleh Syarikat Barad Holding Sdn. Bhd dan telah siap dibina dan diserahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 16 Nov 2009. Manakala pada 01 Jan 2010, IPD yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan infrastruktur yang selesa dan menarik ini mula beroperasi.

Di bawah pentadbiran IPD Kubang Pasu ini terdapat 5 buah Balai Polis, 10 buah Pondok Polis dan sebuah Balai Polis Komuniti. Keanggotaannya seramai 447 orang yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah yang berpangkat Superintendan.

Sesuai dengan penugasan Polis yang tidak mengira waktu, penempatan untuk ahli keluarga juga tidak dikesampingkan bagi memastikan keselamatan ahli keluarga semasa keluar bertugas terjamin. Sebanyak 8 buah banglo untuk Pegawai Kanan, 25 buah rumah teres 2 tingkat untuk pegawai berpangkat Inspektor dan 138 buah pangsapuri untuk anggota pangkat rendah disediakan di dalam kompleks ini.

Menjadi hasrat kerajaan, dengan adanya kemudahan-kemudahan infrastruktur yang serba lengkap, moden dan canggih dapat menjana transformasi warga PDRM dengan mempamirkan semangat dan motivasi tinggi serta menterjemahkan kepada peningkatan prestasi kerja cemerlang di dalam memberi perkhidmatan kepolisian kepada masyarakat tempatan.

Bersama Mencegah Jenayah

Dalam titah ucapan perasmian, Baginda Sultan menegaskan bahawa setiap jenayah berlaku dalam kalangan anggota masyarakat yang mana setiap penjenayah juga datangnya dari masyarakat. Justeru orang ramailah yang lebih mengetahui keadaan sebenar yang berlaku dan kerana itu masyarakat sepatutnya bertanggungjawab membantu usaha memerangi jenayah ini.

Dalam hal ini anggota masyarakat hendaklah aktif menjadi mata dan telinga pasukan polis dan melaporkan setiap kejadian jenayah yang berlaku di persekitaran mereka. Bagi kawasan yang berlaku kejadian jenayah yang tinggi, masyarakat setempat wajib tampil membantu pihak polis dengan menubuhkan tim-tim rondaan sukarela, rukun tetangga dan sebaginya dalam usaha untuk menurunkan kadar jenayah.

Dalam sidang media, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan bahawa memang benar berlaku penurunan indeks jenayah dalam negara tetapi apa yang lebih penting ialah perasaan rakyat terbanyak perlu merasakan diri mereka rasa selamat. Apa jua indeks jenayah yang pihak polis nyatakan di atas kertas, kalau sekiranya rakyat sendiri tidak merasakan diri mereka selamat, maka apa yang ada di atas kertas tidak membawa makna.

Dalam gagasan 1Malaysia Perdana Menteri iaitu ‘Pencapaian diutamakan’ adalah merupakan pencapaian outcome, bukan output yang mana outcome Kementerian Dalam Negeri (KDN) umumnya ialah bersungguh-sungguh memastikan bahawa bukan sahaja dalam realitinya indeks itu memang menurun tetapi kalau persepsi atau perasaan rakyat merasakan bahawa mereka masih lagi tidak selamat, maka usaha perlu dipertingkatkan bagi memastikan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang telah diumumkan itu betul-betul berjaya dalam ertikata sebenar.

Untuk mengekalkan persekitaran yang aman dan harmoni, tanggongjawab ini tidak boleh dipertaruhkan ke atas bahu KDN dan PDRM semata-mata. Dalam konteks ini anggota masyarakat setempat, Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), agensi-agensi tempatan seperti Ikatan Relawan Rakyat (RELA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPAM) haruslah didampingi untuk sama-sama digandingkan dengan pasukan Polis melalui tindakan dan kempen mengurangkan jenayah secara agresif bagi memastikan pencapaian NKRA PDRM untuk mengurangkan kadar jenayah jalanan sebanyak 20 peratus sehingga berakhir tahun 2010 tercapai.

Secara umumnya penulis yang berada dalam kalangan masyarakat terbanyak setuju dengan Visi PDRM untuk menjadi sebuah ‘agensi penguatkuasa utama yang berintegriti, kompeten dan komited untuk bekerja dengan masyarakat’ dan Misi ‘untuk menjadi pasukan polis yang komited untuk berkhidmat dan melindungi negara dan bekerjasama dengan masyarakat dalam mengekalkan undang-undang dan ketenteraman awam’, yang mana sebenarnya PDRM sudah pun melakukan dengan sebaiknya.

Cuma apa yang perlu diberi perhatian di sebalik momentum Visi dan Misi ini ialah selain dari mengkoreksi apa yang kurang, pasukan tidak harus berkompromi dengan aktiviti virus yang merosakkan sistem operasi PDRM dari dalam. Jika virus-virus ini tidak dinyahkan, dikuatiri intergriti PDRM menjadi bahan skeptikal masyarakat.

PERAJURIT

1 comment:

Feizal Ikhir Juhari said...

salam..info yg menarik...terima kasih bro..

Tinggalkan pesanan anda di sini