About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Friday, January 21, 2011

Bertindak sebelum terlambat

Sumber utusan
Oleh DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew minggu lalu, mengenai kenapa negara sekangkang kera itu memerlukan pertahanan yang begitu kuat sepatutnya menjadi iktibar kepada kita semua. Kenyataan tersebut dikeluarkan ketika pegawai-pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kuan Yew merujuk kepada Malaysia dan Indonesia sebagai ancaman utama kenapa negara itu perlu pertahanan yang kuat.

Dalam bersedia menghadapi ancaman tersebut, negara anak didik Yahudi ini membelanjakan RM35.5 bilion untuk pertahanan pada tahun lalu, tertinggi di Asia Tenggara dan mungkin juga di Asia. Berbanding negara sebesar kita, sejak lebih 23 tahun yang lalu, perbelanjaan pertahanan negara membabitkan RM180 bilion sahaja.

Purata perbelanjaan pertahanan setiap tahun hampir 2.5 peratus daripada KDNK negara antara 1987 hingga 2004. Bermaksud lebih lima tahun, belanja pertahanan Singapura bersamaan lebih 23 tahun belanja pertahanan kita. Lihatlah betapa jauhnya kita ketinggalan dalam aspek pertahanan negara.

Perbelanjaan pertahanan merupakan yang kedua terbesar dalam bajet negara sehinggalah krisis kewangan global melanda Malaysia pada 2008, menyebabkan ia diatasi oleh perkara lain dalam bajet 2009. Namun begitu, perbelanjaan pertahanan kita telah meningkat lebih lima kali ganda dari RM2.09 bilion pada 1987 kepada RM11.013 bilion pada 2010 (enam peratus belanjawan negara).

Jumlah ini masih kecil berbanding dengan negara jiran yang sebenarnya itulah ancaman kita. Apakah kita tidak takut dengan ancaman baru hari ini. Tidakkah terlepasnya Pulau Batu Putih menjadi pengajaran kepada kita?

Saya yakin, pulau tersebut masih menjadi milik kita, jika pertahanan kita mengatasi negara Singapura. Malangnya, kita terus bersangka baik dan memberikan 'khidmat percuma' seperti isu air kepada negara 'sejahat' itu. Pernahkah mereka mengenang budi?

Menurut Kuan Yew, tanpa pertahanan yang kuat, tidak akan wujud Singapura. Negara ini akan 'dimakan' oleh negara-negara jirannya, dirujuk Malaysia dan Indonesia.

Dari segi perancangan strategi dan keselamatan, saya tidak nafikan jawapan tersebut. Tetapi dari sudut lain, jawapan ini amat bongkak dan sombong. Beliau tidak sedar, tanpa pertolongan Malaysia, tidak wujud Singapura. Namun, sifat ultra kiasu telah mengatasi segalanya. Negara ini telah berjaya keluar daripada kemelut ketakutan.

Hari ini, kita pula takut kepada negara sekecil itu yang begitu bergantung air kepada kita. Itupun mereka masih menang. Kita kelihatan masih kalah, walaupun harta itu kepunyaan kita.

Singapura adalah sebuah pulau Melayu yang terletak di kepulauan Melayu. Jika ditakdirkan Tunku Abdul Rahman bertindak menangkap Kuan Yew dan mengadakan perintah berkurung sebelum berpisahnya Singapura dari Malaysia pada 1965, sudah tentu pulau tersebut hari ini milik kita.

Tetapi adakah Tunku bertindak sedemikian? Walaupun pada ketika itu, kita mampu untuk bertindak, kerana kuasa polis dan tentera masih berpihak di tangan Melayu?

Saya fikir Tunku berfikir panjang sebelum bertindak. Inilah sifat dan toleransi Islam yang perlu dihargai. Saya yakin, jika tidak ada pertimbangan ini atau jika pemimpin kita ketika itu tidak Islam, mempraktikkan sistem komunis, sudah lama Kuan Yew dihumban ke dalam penjara.

Hari ini beliau berlagak sombong dengan kenyataan yang langsung tidak mengenang budi. Apakah kita masih terus mahu berlembut ibarat menarik rambut dalam tepung? Zaman berlembut sudah berakhir. Saya tidak pasti apa pandangan Tuan Guru Nik Aziz yang begitu ghairah menyambut Kuan Yew sebelum ini.

Kita sepatutnya bertindak sezalim Kuan Yew, yang menghumban golongan yang menentangnya ke dalam penjara kerana kewujudan mereka dikatakan mengganggu ketenteraman dan perancangan Singapura. Maka tidak hairanlah orang Melayu Singapura seperti Dr. Lili Zubaidah yang cerdik tidak mendapat tempat di Singapura, hanya kerana tidak sekapal dengan Kuan Yew.

Jika Malaysia bertindak sedemikian kepada pembangkang hari ini, apakah perkara ini dapat diterima? Tetapi perkara sebegini adalah biasa di Singapura. Kenapa kumpulan hak asasi manusia ini tidak bangun menentang tindakan Kuan Yew?

Malah ramai ultra kiasu di negara ini yang begitu memuji Singapura. Hanya kerana mereka sekapal. Bayangkan jika kita bertindak seperti mana Singapura bertindak, akan hebohlah satu dunia bahawa Malaysia mengamalkan sistem regim komunis dan mengabaikan hak asasi manusia.

Kuan Yew bertindak mematikan orang yang diistilahkan 'tidak berguna' (duds) walaupun mereka dipilih oleh rakyat. Golongan ini, pada beliau tidak perlu berada dalam Parlimen dan kerajaan. Tindakan Kuan Yew langsung tidak dipertikaikan oleh ultra kiasu di Malaysia.

Kuan Yew begitu disanjung dan mendapat pujian ultra kiasu saban hari kerana dikatakan berjaya memajukan Singapura. Mereka sanggup lupakan 'kekejaman' beliau hanya kerana sekapal. Justeru, kita perlu berhati-hati dengan kelicikan golongan ini sebelum terlambat.

Terlalu bertoleransi juga tidak sepatutnya berlaku. Dengan sebab itu, dalam pemerintahan Islam, ada unsur demokrasi dan ada unsur autokrasi. Jika tindakan seseorang boleh menjahanamkan agama dan negara, maka tindakan nekad perlu dilakukan untuk menjaga kepentingan awam.

Saya fikir sudah sampai masanya negara kita mengambil pendekatan berhati-hati sebelum terlambat. Memang kita memerlukan Singapura. Johor Bahru akan bankrap tanpa Singapura.

Tetapi kita perlu fikirkan pelan jangka panjang supaya tidak terlalu bergantung kepada Singapura, walaupun tidak dinafikan pulau itu juga terlalu bergantung kepada kita. Kita mesti ingat, bahawa pulau itu mendapat sokongan Yahudi, sedangkan kita tidak.

Jika ditakdirkan kita putuskan Tambak Johor, negara kecil itu masih lagi boleh survive sebab sekutu mereka masih ramai yang akan membantu. Negara kita bagaimana?

Justeru, projek Koridor Iskandar hendaklah dirancang dengan betul supaya jangan terlalu berharap kepada Singapura. Jangan biarkan mereka membeli tanah dan harta negara kita sewenang-wenangnya. Saya amat bimbang Johor akan menjadi Singapura kedua kerana pimpinan mereka amat licik. Lihat sahaja apa yang berlaku di Pulau Pinang.

Saya masih teringat kata-kata isteri Kuan Yew, mendiang Kwa sebelum meninggal baru-baru ini. Pesannya kepada Kuan Yew supaya jangan mempercayai orang Melayu dan Malaysia. Dalam kata lain, sampai mati pun, mereka masih tidak mempercayai kita. Apakah kita masih terus mahu bersangka baik?

Masa bersangka baik dan bermain dengan mereka sudah habis. Kini adalah masa untuk kita bekerja untuk berhadapan dengan mereka. Jika mereka boleh menyediakan RM35.5 bilion untuk pertahanan negara sekecil itu, sudah tentu kita perlu berbelanja lebih daripada itu. Jika tidak, kita akan 'dimakan' satu masa nanti, percayalah.

Saya pernah membuat kajian mengenai republik itu ketika membuat program ijazah sarjana pengajian strategi dan keselamatan. Ternyata memang sukar untuk kita menyainginya. Ketua Pengarang Kumpulan akhbar ini, Datuk Aziz Ishak pasti bersetuju dengan saya sebab kami mengambil kursus yang sama.

Justeru, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, pakar strategi dan semua panglima angkatan tentera, sepatutnya memikirkan dan bertindak untuk merangka strategi, apakah langkah terbaik yang perlu dilakukan untuk berhadapan dengan Yahudi kecil ini sebelum nasi menjadi bubur?

Kita perlu ingat, pemimpin Pulau Pinang difahamkan selalu ke sana untuk mencari idea. Apakah mungkin nanti akan wujud Singapura kedua, ketiga dan sebagainya?

Bertindaklah sebelum terlambat kerana masa tidak menunggu kita. Jangan terlalu banyak berpolitik, sehingga wang habis, akhirnya bidang pertahanan terabai. Musuh sedang melihat kita. Mereka sedang menunggu peluang untuk 'masuk' pada ketika waktu yang sesuai.

Ketika itu, jika mahu berjihad sudah terlambat. Apakah mungkin senjata batu boleh berhadapan dengan jet-jet pejuang dan kereta kebal seperti yang berlaku di Palestin? Sedangkan Allah SWT mahukan kita mengambil iktibar daripada kejadian lampau yang ditunjukkan.

Keruntuhan empayar Islam Othmaniyyah sudah cukup menyayat hati kita semua. Begitu juga keadaan di Iraq, Afghanistan dan Palestin hari ini. Apakah wajar kita hanya memerhati tanpa membuat apa-apa tindakan. Ya, kita wajar membantu tetapi pada masa sama, jangan abai kepentingan kita.

Perbelanjaan yang kurang memberikan impak kepada keselamatan hendaklah dikurangkan seperti perkara yang bersifat ceremonial ,supaya kita dapat berjimat dan wang tersebut boleh disalurkan untuk pertahanan.

Jika tidak, saya bimbang, bila sampai masanya Allah SWT tarik semua nikmat yang dianugerahkan kepada kita seperti minyak dan gas. Kita akan menyesal seumur hidup. Hari ini seolah-olah kita terlalu bergantung kepada hasil minyak, sedangkan negara kita masih kaya dengan hasil lain.

Saya ingin cadangkan supaya kita ambil semua hasil keuntungan minyak ini setiap tahun untuk membangunkan pertahanan. Jika keuntungan Petronas lebih kurang RM50 bilion digunakan untuk pertahanan, saya yakin dalam jangka masa lima tahun, Malaysia muncul menjadi negara hebat di Asia dan mungkin di dunia.

Apapun, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada minyak dan gas sebagai sumber pendapatan utama negara. Sampai masanya minyak dan gas akan habis. Apakah ketika itu negara kita akan menjadi papa kedana?

Jadi, fikirkan sumber lain untuk menjana pendapatan negara kerana sumber minyak pasti akan habis. Sementara minyak masih ada, tumpukan usaha membangunkan pertahanan negara. Sebagai persiapan awal, kurangkan berbelanja ketika pilihan raya kecil DUN Tenang. Fikirkan masa depan negara. Kita tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang begitu besar untuk pilihan raya sekecil ini.

DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

3 comments:

since_87 said...

BETUL..sya sgt2 bersetuju dgn anda..Adakah pemimpin2 kta tdak berfikiran sdemikian..? apakah mereka hanya mementingkan kewangan mereka tnpa memperdulikan kselamatan tanah air ini..? hal-hal sebegini lah yg menjadikan sya sndri trfikir mgapa..mgapa..&mgapa..pmimpin2 kta tdk mprdulikannya..tdk kh mrka sedar bhwa sstem prtahanan kta masih jauh kekurangan & ketinggalan..adakah mrka akan prgi meninggalkan ngra ini jka trjadi sbrg konflik, krna mrka memiliki kekayaan aset2 kewangan d luar ngra..apakh mrka tdk mgambil teladan dr apa yg brlaku pda ngra saudara kta d Palestin.. apakh mrka tdk trfikir kekuatan ktenteraan jga mrupakan salah satu dterence pwer dlm apa2 konflik @ prbincangan yg membabitkan ngra.. YA ALLAH buka kn lh hati para pmimpin2 ngra ini utk memikirkan prkara2 ini & bertindak dgn sewajarnya dmi mmpertahankan Agama Mu Ya Allah dan jga tanah ini..Sesungguhnya Engkau jua yg Maha Berkuasa & Memberi Petunjuk..Amin.. Doa sya Semoga Tnah Tumpah Darah ini staraf dgn Ngara2 Maju lain dlm sgala aspek/bidang & mnjadi ngra Pejuang Agama Allah yg sgt disegani kelak..Amin Ya Rabbal a'lamin..

since_87 said...

ingin mngulas sedikit tntng pembelian aset2 pertahan ngra ini..

CKUPke Sorpene 2 buah tanpa AIP + 1buah kpl lthan klas Agosta brbanding 6 BUAH Improve Kilo Vietnam yg stnding dgn Scorpene dgn harga RM3.2 bilion TIDAK MAMPUkah Malaysia..? tnggu smpai brapa tahun lg nak tambah scorpene tu..?

Kapal2 TLDM yg bru hanya d lengkapi Meriam dan Tdak dlengkapi Misille2..kononya Kapal2 trsebut blh dpasang misille tersebut bila2 masa, persoalannya BILA..?? knpa tdk dilengkapkan ktika pmbinaan kpl2 trsebut..?? Tdk malukah Ngra memiliki kpl2 baru ttapi tiada Taring..?? ini adalah kpl Tentera,yg sudah smestinya d lengkapi dgn persenjataan2 canggih, bkn kpl ikan laut dalam..!!!

Terlalu byk kekurangan dlm aspek pertahan ngra kta..!!

1.ketiadaan AWACS,(Thailand&Sgpore sda ada)
2.sistem pertahan udara yg tdk mantap,
3.Pembelian EC725 12 buah ckupke?
4.Pengganti Mig29 smpai bila hrus mnggu..?
5.Penambahan MBT, ckupke 49 buah..? (sngapore have 100buah evo 2a4 leopard mbt)
6.ketiadaan Self Propelled Howitzer..
7.ketiadaan Attack helicopter, Sgpore mmliki 20 buah Apache
8.Ckupke jumlah jet pejuang ngra kta..? stlah Sgpore yg akn memiliki 100buah F35stealth + F15 + F16
9.Jumlah kapal selam, Frigate, Kovette Malaysia yg sdkit & tdk bertaring..
10.Ketiadaan kpl LPH..(ura2 pmblian DOKDO smpai bla terlaksana..??)
11.ketidaan flight simulator utk latihan pilot2 pesawat2 pejuang..ckupke stakat trbang2 buat show at LIMA..??

d atas adalah sebahagian & TERLALU BANYAK KEKURANGAN..!! adakah Kerjaan menyedarinya..?? bertindaklah sblum trlambat ngraku..!!!

ben sungib said...

Saya amat tertarik untuk mengulas mengenai pandangan Dr Riduan Tee dan since 87 mengenai perkara tajuk.Sedikit terlambat tetapi setidak-tidaknya saya telah dapat memberikan pendapat saya.

Memang benar. Tanyalah kepada sesiapa sahaja yang patriotik dan cintakan negara ini. Jawapan mereka, kalau boleh setiap inci daripada wilayah negara ini mahu dipertahankan daripada ancaman, khasnya yang berpunca daripada luar. Tetapi persoalannya, mampukah kita berbuat demikian?

Dr Ridhuan Tee ada menyebut antara lain tentang membelanjakan RM 50 bilion untuk pembelian peralatan pertahahann.Masalahnya proses ini tidak berhenti di situ sahaja kerana setiap RM 50 billion yang kita belanjakan kita perlu RM 50 billion yang lain untuk tujuan senggaraan dll. Itu tidak mengambil kira kos senggaraan yang semakin meningkat mengikut jangka hayat peralatan yang kita miliki ie semakin berusia peralatan berkenaan semakin bertambahlah kos senggaraannya.

Dalam membincangkan isu keselamatan, Dr Ridhuan hanya fokus kepada Singapura.Ini berbeza dengan cara Kementah/ATM melihat dan menilai isu keselamatan dan pertahanan.Kita melihatnya secara holistik.Sila rujuk kepada perkara ini di dalam Dasar Pertahanan Negara malaysia.

Dalam konteks Singapura, perspektif keselamatan mereka yang berunsurkan "seige mentality" telah disuntik dari awal oleh LKY sehingga ia meresapi pemikiran rakyat bahawa Malaysia dan Indonesia adalah musuh utama mereka.Mungkin ada logiknya perspektif LKY kerana kedudukan Singapura yang majoriti rakyatnya adalah daripada keturunan Cina dikepong dari sudut geografi oleh negara-negara Melayu.

Dr Ridhuan Tee adalah rakan saya.Kami sama-sama belajar di UKM.Ijazah sarjana dalam bidang yang disebutkan juga diperoeh daripada UKM.Kini beliau menjadi pensyarah kanan di Universiti Pertahanan Nasioanal Malaysia.Saya harap segala pandangan peribadi beliau tidak dipanjangkan kepada para penuntut UPNM yang bakal menjadi pemimpin di dalam ATM. Ini kerana di dalam proses membuat keputusan khasnya di dalam bidang seperti pertahanan kita perlu berfikiran secara lebih "objektif" daripada "subjektiuf".

Tinggalkan pesanan anda di sini