About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, August 17, 2010

MMW2- MENJEJAK SEJARAH PERTAHANAN UTARA TANAH MELAYU

Sumber Majalah Perajurit Edisi Ogos
Oleh: Hamzah Hd.
Gambar : Kapt Zuraimi, Cikgu Megat


Kesinambungan daripada Misi Merentas Waktu 1 (MMW1), kumpulan ini mara setapak lagi dengan meneruskan misi berasaskan objektif yang sama untuk menjejak tempat-tempat bersejarah pertahanan lampau dan telah menemui beberapa orang tokoh/pahlawan-pahlawan sezaman yang masih hidup. MMW2 yang diketuai oleh saudara Abdul Aziz Abas yang bertindak sebagai penyelaras dan diikuti oleh ahli-ahli forum yang mengikuti program ini secara sukarela. Mereka-mereka ini di antaranya pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi , pelbagai profesyen, veteran tentera dan lain-lain bidang secara kebetulanya berkongsi minat yang sama dalam konteks pertahanan dan datang dari pelbagai pelusuk negeri termasuk Malaysia Timur. Aktiviti MMW2 telah berlangsung pada 5 hingga 7 Jun 2010 dengan misi mengenal sejarah pertahanan tentera British di Tanah Melayu mengekang kemaraan tentera Jepun melalui utara semenanjong. Benteng pertahanan ini juga dikenali sebagai Jitra Line.
Segmen 1- Intraksi dengan Veteran Tentera



Sebelum mereka bergerak mengesan lokasi-lokasi sejarah peperangan Jitra, satu sesi perjumpaan dengan dua orang Veteran ATM di Jitra Kedah. Pertemuan singkat di antara peserta MMW2 dengan dua orang veteran yang dimaksudkan adalah bertujuan untuk menyatakan penghargaan moral daripada generasi muda perihatin terhadap pejuang-pejuang yang telah banyak berjasa terhadap kesejahteraan tanahair.
Mej. Nor Ibrahim TUDM (Bersara) (1965-1995) merupakan bekas pemandu pesawat NURI ( S61A4 Sikorsky) yang pernah terlibat secara langsung di dalam peperangan menentang pengganas komunis semasa era insurgensi di dalam beberapa operasi. Sebagai transportasi trup tentera darat ke kawasan operasi di pendalaman, penghantaran bekalan, medical evacuation (medivac), casualty evacuation (casevac), body evacuation (bodevac) dan pelbagai tugas yang sungguh mencabar dan sangat merbahaya. Cabaran yang datang dari pelbagai sudut seperti ancaman serangan dari pengganas komunis, cuaca buruk, dan keadaan geologi yang menuntut kesabaran dan ketaatan untuk menyelesaikan segala tugas yang diarahkan. Beliau juga salah seorang penerima pingat keberanian Pingat Tentera Udara.

Manakala Lt Kol. Basri bin Omar PGB (Bersara) adalah di antara mangsa jerangkap samar semasa beliau dan kumpulannya diarahkan membuat pembersihan di sebuah terowong yang terletak di kawasan perkhemahan musuh yang ditawan. Walaupun beliau tahu risikonya terlalu tinggi kerana kawasan tersebut terdapat jerangkap samar yang masih aktif namun sebagai askar Jurutera, tugas ini harus dilunaskan walaupun terpaksa menggadaikan keselamatan diri dan anak-anak buahnya. Malang tidak berbau, semasa melakukan pembersihan, sebutir jerangkap samar meletup. Beliau mendapat kecederaan dan seorang anggotanya cedera parah lalu meninggal dunia kemudiannya. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 2 Jun 1976 dan bersara dari perkhidmatan pada tahun 2005.

Hari berikutnya mereka meneruskan pengembaraan menjejak kesan-kesan sejarah Jitra Line hingga ke negeri Perlis. Dengan di bantu oleh Mej. Wan Hashim (Bersara) yang juga merupakan salah seorang moderator forum Panggilan Pertiwi telah berjaya menemui Cikgu Alwi seorang pengkaji sejarah di negeri Perlis. Menerusi Cikgu Alwi, kumpulan MMW2 bertemu dengan seorang pesara tentera British yang masih hidup iaitu Encik Shariff Rizal yang telah menyertai tentera British pada awal 1952 dan menerima latihan di bawah Royal Artilery dan telah berkhidmat selama 5 tahun. Beliau adalah di antara orang-orang Melayu pada ketika itu yang diberikan kepercayaan oleh tentera British untuk mengendalikan meriam-meriam British di Kluang Line. Beliau telah berhenti berkhidmat pada 1957 selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan ekoran pengurangan jumlah angkatan tentera di Tanah Melayu pada masa itu.



Menurut beliau, Perlis adalah salah satu jalan masuk tentera Jepun ke Tanah Melayu dengan melalui landasan keretapi ke Padang Besar. Ketika tentera Jepun masuk ke Perlis, penduduk kampung khususnya orang-orang Melayu berdiri di tepi-tepi jalan menyaksikan perbarisan masuk tentera Jepun ke Perlis. Kebanyakkan daripada mereka merasa sungguh gembira sebab sangkaan mereka bahawa Tanah Melayu sudah bebas dari cengkaman British. Pada masa itu En. Shariff Rizal baru berusia 10 tahun dan beliau menceritakan tentera Jepun memaksa pemuda-pemuda kampung untuk membawa peralatan-peralatan mereka. Tentera Jepun yang masuk ke Perlis adalah merupakan angkatan yang telah bertempur dengan Tentera British di jajaran Jitra line. Pengalaman hidup di era pendudukkan Jepun adalah sangat memeritkan seperti mana yang dilalui oleh semua penduduk di Tanah Melayu.

Peperangan Jitra
Jika ditakdirkan operasi Matador yang dicadangkan oleh Mej. Jeneral William Dobbie (Pegawai Memerintah Malaya 1935 - 1939) pada tahun 1937 iaitu 4 tahun sebelum tentera Jepun betul-betul mendarat di Songkhla Thailand pada tahun 1941 diterima pakai oleh London, kemungkinan senario pertahanan tentera British di Tanah Melayu tidak seburuk apa yang telah terjadi.

Operasi Matador adalah plan tindakan yang dirancang oleh Mej Jen. William Dobbie untuk menggerakkan angkatan tentera mereka secara besar-besaran sebelum pendaratan amfibi tentera Jepun bermula. Beliau sejak awal lagi menjangkakan bahawa amfibi tentera Jepun akan melakukan serangan ke atas Malaya melalui Pantai Timur Semenanjong pada musim Monsun Timur Laut melalui Pantai Songkhla, Pattani dan Kota Bharu di Kelantan. Operasi Matador membayangkan segala kekuatan dihantar untuk memintas tentera Jepun sebaik sahaja mereka melakukan pendaratan. Apa yang berlaku, cadangan beliau tidak diendahkan yang akhirnya ramalan beliau menjadi kenyataan.
Hanya mulai awal Disember 1941, persediaan dibuat untuk pertahanan utara Semenanjung. Disebabkan kekurangan peruntukan kewangan dan tenaga manusia, halangan semula jadi telah digunakan sepenuhnya dengan pembinaan kubu parit separa kekal yang dibina setinggi lebih enam kaki dan seluas hampir 5-7 kaki dan di perkuatkan dengan kubu yang berbentuk peti surat sebagai pertahanan tentera British ketika menghadapi kemaraan tentera Jepun. Namun masalah utama adalah keadaan muka bumi yang sentiasa digenangi air menjadi tidak praktikal.


Pada 7 Disember 1941, Lt. Jen. Yamashita, Panglima 25 Pemerintahan Medan Tentera Darat Jepun mengetuai bala tentera yang mempunyai kekuatan 25,000 pegawai dan anggota mendarat serentak di Songkhla, Patani dan Kota Bharu. Walaupun tentera Jepun pada awal pendaratannya mendapat halangan oleh Polis Tentera Thailand namun rundingannya membuahkan hasil dengan mendapat ‘laluan’ mudah menuju sempadan Tanah Melayu untuk bertembung dengan 88,000 trup termasuk 9 dan 11 Divisyen Tentera Darat India dan 8 Divisyen Tentera Australia.

Pada 9 Disember 1941, lebih 500 pesawat udara Jepun jenis pejuang dan pengebom yang diketuai oleh Lt. Jen. Sugawara dari 3 Grup Tentera Udara yang berpangkalan di Indochina berlepas ke arah Tanah Melayu. Pesawat pejuang dan pengebom Jepun itu menyerang pengkalan udara yang terdapat di Tanah Melayu, termasuklah menyerang pangkalan udara (aerodrome) Alor Star yang menyebabkan pengkalan udara itu terpaksa diperintah tutup dan anggotanya menyelamatkan diri oleh Pegawai Pemerintah Udaranya.
British juga cuba melengahkan gerakan tentera darat Jepun dengan memasuki sempadan Thailand. Jepun bagaimanapun dapat memintas apabila detachment pendahuluan yang diketuai oleh Lt. Kol. Saeki Shizuo mendapat mesej yang digugurkan oleh pesawat udara peninjau Jepun yang terbang rendah memaklumkan sejumlah pasukan mechanized British bergerak ke utara melalui Changlun. Di antara pasukan yang dihantar ke arah Thailand ialah dua kompeni dari Rejimen Punjab yang sepatutnya menjadi batalion simpanan. British juga menghantar pasukan perlindungan udara yang mengebom pergerakan tentera Jepun yang sedang mendarat. Jepun membiarkan keadaan itu sehingga kelengkapannya selamat mendarat dan membuat serangan balas.
10 Disember 1941 Lt. Kol. Saeki berserta 300 askar dan dengan bantuan Pasukan Peninjau meluncur ke selatan untuk bertembung dengan pasukan British dari Changlun. Dalam pertempuran pertama itu tentera Jepun telah menang dan menawan sebuah peta terperinci tentang pertahanan British sekitar Changlun dan Jitra.
11 Disember 1941 di Changlun, tentera Jepun ditentang oleh pasukan pelindung British yang terdiri dari Rejimen Punjab dengan dibantu oleh Kompeni Gurkha yang berada di Asun bertujuan untuk melengahkan kemaraan tentera Jepun di utara Jitra dengan kelengkapan penangkis kereta kebal. Pertempuran di Changlun sejak jam 0800 berakhir apabila Rejimen Punjab tewas di tangan Jepun. Pertahanan kompeni Gurkha di Asun dan Nongka juga berjaya ditembusi dan tentera Jepun dan mara ke Jitra setelah askar Gurkha lari meninggalkan tapak pertahanan.
Trup 6 Briged yang berundur dari Perlis ke Jitra melalui Manggol yang dikira sebagai laluan strategi pengunduran tentera British dan kemaraan Jepun. Kerja pemasangan alatan letupan telah dilakukan bagi memperlahankan kemaraan Jepun. Bagaimanapun, kesilapan telah berlaku kerana menyangka pasukan yang berundur itu tentera Jepun, pihak pertahanan British di situ telah meletupkan jambatan Manggol itu. Akibatnya sejumlah kenderaan pengangkut berserta dengan tujuh meriam penangkis kereta kebal dan juga empat meriam laras tinggi terpaksa ditinggalkan di tebing sebelah jambatan Manggol. Keadaan ini mendedahkan lagi pasukan tentera British ini kepada kemaraan tentera Jepun.

Pada waktu senja, tentera Jepun telah mengasak masuk sebelah timur jalan Jitra-Changlun. Setelah itu, kereta kebal mencari kedudukan di jalan raya itu dan mula melepaskan tembakan dengan bantuan tembakan peluru cahaya (light blanzing). Jepun bertempur dengan 2/9 Jats dan mula mengasak pertahanan kanan. Lebih kurang jam 2030, kereta kebal Jepun dengan bantuan suluhan lampu besarnya bergerak ke arah selatan jalan besar itu menuju pusat kedudukan pertahanan British. Tentera Jepun itu menumpaskan satu kumpulan peronda hadapan 1 Leicestershire sebelum dua kereta kebal penggempur utamanya terkena tembakan dari Pasukan 215 bateri Penangkis Kereta Kebal. Pada masa itulah juga Jats dihujani peluru tentera Jepun.


Pada awal pagi 12 Disember 1941, tentera Jepun telah menyerbu dan mara ke kawasan pertahanan British dengan diberikan tentangan sengit oleh kombinasi 1 Leicestershire, Jats, kompeni Punjab dan Gurkha. Dalam pertahanan dan tindakan serang balas tersebut telah banyak mengorbankan kehilangan jiwa pihak British. Kegagahan tentera Jepun yang dibantu oleh kereta kebal telah mampu mara ke selatan. Dalam keadaan ini, Jen. Murray-Lyon meminta izin Panglima Malaya Command melalui Markas 3 Kor untuk berundur dari Jitra dan membuat pertahanan di Gurun.
Melihat pertahanan Jats dan Leicestershire dalam bahaya dan terdedah kepada serangan Jepun sekali lagi Brig. Carpendale merancang mengundurkan Jats bagi memenuhi kekosongan kawasan antara Kelubi dengan satu kompeni Punjab di Sungai Bata.
Manakala Brig. Lay diperintahkan supaya mengundurkan dua kompeni East Surreys ke Kepala Batas untuk melindungi jambatan Sungai Kedah sebaik sahaja Leicester dan Gurkha bergabung untuk mengundurkan semua batalion ke kawasan pangkalan udara. Jats juga selamat diundurkan kecuali kompeni pertahanan kanannya yang tidak dihubungi kerana dikatakan telah kecundang di tangan Jepun.

Keadaan menjadi menjadi lebih merbahaya kerana Rejimen Punjab tidak mungkin dapat mempertahankan kemaraan musuh yang sangat cepat di kawasan Kroh dan Baling lebih dari tiga hari. Oleh itu Jen. Murray-Lyon membuat perkiraan mereka perlu berundur segera dari pertahanannya di Jitra yang telah keletihan dan tidak teratur lagi susunannya itu. Murray-Lyon juga memutuskan supaya mereka berundur pada malam itu juga ke seberang Sungai Kedah.
Mulai tengah malam tersebut, pengunduran dari Jitra sejauh 15 batu bermula melalui jalan raya utama dalam keadaan cuaca yang amat buruk. Suatu operasi berundur yang amat perit, bukan sahaja kerana askar yang tidak begitu terlatih dan terlalu muda, tetapi trup yang sudah hilang semangat dan keletihan.
13 Disember 1941 - Kejatuhan Jitra terserlah selepas serbuan terhadap jambatan Sungai Bata yang menjadi pelengkap kepada misi serangan tentera Jepun terhadap pertahanan British yang juga merupakan benteng terakhir yang dipertahankan oleh Rejimen Refal Gurkha sebelum mereka juga menyerah diri kepada Detachment Saeki selepas Jepun menguasai pekan dan hutan sekitar Jitra.
Jitra yang sepatutnya dipertahankan dalam tempoh tiga bulan akhirnya tewas dalam tempoh tiga hari. Jatuhnya pertahanan Jitra menyebabkan Jepun mara dalam tempoh 60 hari ke Singapura.

Penutup

Tinjauan MMW2 mendapati masih bertaburan kesan-kesan sejarah peperangan dan perjuangan yang berlaku di kawasan utara ini khususnya, seperti kubu dan seumpamnya yang sangat perlu dipelihara dan dijaga. Badan-badan seperti persatuan-persatuan sejarah negeri boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mencari jalan terbaik supaya artifak ini senang dikunjungi oleh pencinta sejarah generasi baru malah boleh digazetkan sebagai lokasi pelancongan domestik untuk menjana minat generasi terkini terhadap sejarah dalam negara. Usaha ini tidak terlalu sukar untuk dillaksanakan. Persatuan sejarah harus proaktif di dalam menentukan pemuliharaan bahan atau kesan sejarah sebegini dengan memberi nafas supaya ianya tidak menjadi mangsa pembangunan atau setidak-tidaknya ia tidak dilitupi hutan tebal. Apa yang penting dokumentasi sejarah yang tersimpan boleh dipadankan dengan objek fizikal yang masih wujud sebagai bahan bukti.

Suatu pengajaran yang boleh dikutip dari aktiviti MMW ini adalah sikap bangsa penjajah seperti British sebagai contoh, walaupun bertapak di bumi asing sebagai penjajah yang bersifat sementara namun apa yang telah berlaku mereka membuat persiapan untuk pertahanan seolah-olah mereka ingin tinggal selama-lamanya di tanah jajahan mereka. Jika dihitung dengan jumlah kekuatan anggota tentera di pihak British yang ramainya tiga kali ganda dengan kekuatan anggota tentera jepun, tidak sepatutnya Pihak British dapat dikalahkan dengan begitu mudah. Tetapi apa yang kita boleh membuat sedikit andaian dari sejarah peperangan Jitra ini ialah kebanyakan tentera-tentera upahan British seperti Gurkha, Punjab tidak begitu kental semangat juangnya dan lari menyelamatkan diri dan menyerah diri bila tersepit. Jauh berbeza jika dibandingkan semangat juang anak-anak bangsa Melayu sebagai contoh kecekalan Lt. Adnan dan anak-anak buahnya mempertahankan Bukit Chandu sehingga ke titisan darah terakhir. Contoh lain ialah tentera-tentera kita tidak pernah undur/lari ketika berperang mempertahankan maruah dan kedaulatan tanahair semasa era konfrontasi dan insurgensi.

Adakah kita sebagai tuan punya negeri yang berdaulat begitu yakin bahawa kita tidak akan diserang lagi? Apakah kita masih mengharapkan parit semulajadi atau mengerah kudrat anggota menggali parit sebagai kubu sementara jika tiba-tiba diserang? Jawapan kepada persoalan ini ialah sepatutnya kita sudah ada terowong moden yang boleh berfungsi masa aman dan masa perang untuk perlindungan sementara bagi orang-orang tua, wanita malah kanak yang tidak mampu untuk keluar berperang mempertahankan tanahair. Di samping sebagai laluan alternatif pasukan keselamatan semasa gerakan dan manipulasi taktikal ketika berhadapan dengan musuh.
Begitu banyak peperangan era moden boleh dijadikan teladan bagaimana peperangan tidak mengenal sasaran dan belas kasihan. Di samping kekuatan jati diri modal insan, kecukupan kelengkapan peralatan dan aset yang canggih juga menjadi perhitungan untuk pertahanan mapan.

Kesimpulannya, biarpun negara kita tidak berhasrat untuk menyerang negara orang namun untuk memberi tentangan semasa bertahan, kita tetap memerlukan serangan sebagai tindak balas. Persoalannya, sudahkah kita sudah betul-betul bersedia atau dengan kata lain kecukupan kelengkapan strategik untuk bertindak balas secara maksima?. PERAJURIT

3 comments:

L.e.y.h.a said...

MMW terus mendapat tempat dlm perajurit...=)

wanhashim63 said...

Terbaik dari Bro Hamzah aka Jebat2K

muhamad azhemi said...

assalamualaikum, sy fahmi ingin minta jasa baik tuan, untuk mendapatkan alamat atau cara untuk menghubungi pesara-pesara tentera yg di atas bg tujuan menjalankan kajian tentang kemerdekaan dan zaman penjajahan jepun. harap tuan dapat membantu.

sy serta kan email sy untuk tindak balas tuan fahmy2808_jj@yahoo.com

Tinggalkan pesanan anda di sini