Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
Gambar IZHAM JAFAR
Sumber utusan
KEMAHIRAN juruterbang terlatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bukan lagi sesuatu yang perlu disangkal.
Banyak sudah aksi-aksi berbahaya bertaraf dunia dipertontonkan dalam pelbagai demonstrasi udara.
Tidak terkecuali, apabila mengendalikan pesawat bagi menjalankan misi dan juga pelbagai pengiktirafan yang diterima menunjukkan betapa mereka berada di kelas tersendiri.
Namun perlu diingat, semua itu tidak mungkin berjalan lancar tanpa penyenggaraan serta pemeriksaan yang betul terhadap pesawat.
Perlu juga difahami bahawa menyenggara pesawat yang boleh memuatkan beberapa ekor gajah bukannya sama seperti menukar minyak enjin kereta.
Apa pun, sebagai sebuah organisasi yang sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan, TUDM ternyata mempunyai perancangan sendiri untuk memastikan pesawatnya berada dalam keadaan terbaik dengan kos penyenggaraan yang cukup berbaloi.
Penubuhan pasukan pemeriksaan dikenali sebagai Tim ST 12 yang terdiri daripada dua pegawai kejuruteraan dan 25 juruteknik daripada Cawangan Kejuruteraan TUDM, No. 20 Skuadron dan No. 14 Skuadron baru-baru ini, mencipta sejarah apabila buat julung kalinya mereka berjaya melakukan pemeriksaan Depot Level Maintenance Structural 12 tahun atau lebih dikenali sebagai ST 12 ke atas pesawat pengangkut C130H milik TUDM.
Pemeriksaan yang perlu dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 12 tahun terhadap semua pesawat itu sebelum ini dijalankan oleh tenaga kerja Airod Sdn. Bhd. dan ia menuntut TUDM mengeluarkan belanja besar.
Namun, melalui penubuhan pasukan penyenggaraan itu, TUDM berjaya menjimatkan belanja sehingga RM1 juta bagi menyenggara pesawat buatan Amerika Syarikat (AS) tersebut dalam tempoh 11 bulan sejak 14 April tahun lalu.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud berkata, apa yang dilakukan TUDM kini bukanlah bertujuan menunjuk-nunjuk atau mahu mengambil peranan membaiki pesawat secara terus daripada Airod.
Sebaliknya, ia lebih kepada membina keyakinan anggotanya untuk bersedia menghadapi cabaran berdepan teknologi canggih masa depan.
"Umum mengetahui kita akan memiliki pesawat Airbus A400M yang jauh lebih besar daripada pesawat ini, insya-Allah pada 2015. Justeru, saya rasa sudah tiba masanya untuk kita menanam keyakinan diri betapa TUDM mampu melakukan pemeriksaan pesawat sendiri.
"Dari aspek kualiti dan kelayakan terbang, hasilnya adalah setanding dengan kerja senggaraan yang dilakukan syarikat penyenggaraan, baik pulih dan rombak rawat (MRO) antarabangsa kerana pasukan ini telah berjaya menemui beberapa kecacatan struktur dan hakisan di luar skop pemeriksaan," ujarnya pada upacara penyerahan pesawat itu daripada pasukan Pemeriksaan Struktur (ST) 12 TUDM kepada No. 20 Skuadron di Pangkalan TUDM Subang baru-baru ini.
Kesemua tugas penyenggaraan terbabit dijalankan di Hangar Cawangan Kejuruteraan, Pangkalan TUDM Subang.
Apa yang lebih membanggakan katanya, pesawat itu hanya memerlukan sekali penerbangan pemeriksaan fungsi (FCF) sebaik ia siap disenggara sebelum disahkan selamat digunakan.
"Saya berharap budaya ini akan terus disemai di kalangan warga TUDM iaitu sentiasa cuba mendapatkan yang terbaik pada kali pertama dan setiap kali kita melakukan sesuatu." katanya.
Kejayaan yang dicipta TUDM itu nyata membuka mata negara luar terhadap kemampuan dan kepakaran yang dimiliki rakyat tempatan.
Rodzali memberitahu, Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) telah menyatakan minat untuk berkongsi maklumat teknikal mengenai penemuan dalam penyenggaraan tersebut.
"AS turut berminat untuk berkongsi pengalaman dengan kita dalam penyenggaraan pesawat ini apabila komander pasukan 13 tentera udara mereka yang berpangkalan di Hawaii turut melawat kerja-kerja penyenggaraan ini," katanya.
Beliau menambah, ketika ini, TUDM sedang melaksanakan satu lagi projek besar iaitu penubuhan pasukan pemeriksaan struktur ke atas pesawat Nuri M23-03 yang julung kali dilakukan di rantau ini.
"Pemeriksaan itu adalah untuk menentukan integriti struktur pesawat berkenaan terjamin, selamat serta mampu melakukan penerbangan bagi tempoh yang lebih lama," katanya.
Sementara itu, Ketua Tim ST 12, Mejar Mathialagan Chellapan berkata, kemampuan pasukan itu menjalankan tugas tersebut berkait rapat dengan kerjasama yang diberikan oleh cawangan-cawangan lain di dalam TUDM.
Menurutnya, tugasan yang diberikan itu meskipun diakui mencabar, ia seakan berjalan lancar tanpa dihimpit masalah besar hasil daripada komitmen tinggi yang ditunjukkan 26 anak buahnya.
"Saya berbangga kerana terpilih mengetuai tim pertama untuk menjalankan tugas ini. Kerjasama yang diberikan cawangan-cawangan lain dalam TUDM juga amat baik bagi menjalankan misi ini.
"Peralatan yang disediakan bagi menjalankan tugas juga cukup sempurna. Memanglah sukar untuk kita mengejar teknologi namun peralatan sedia ada juga sebenarnya sudah cukup canggih dan membantu kami melakukan yang terbaik,'' katanya.
Ditanya fasa kerja paling sukar dalam menjalankan tugas itu, beliau memberitahu, cabaran terbesar dilalui pasukannya adalah ketika permulaan penyenggaraan iaitu untuk mengenal pasti kecacatan yang terdapat pada struktur pesawat.
"Kami tidak boleh terlepas walau terdapat keretakan atau lubang angin sekecil mana pun. Memang tiada kompromi dalam menjalankan pemeriksaan itu.
"Dengan ketelitian itu, tugas kami seterusnya berjalan amat lancar. Kemampuan pesawat ini untuk menjalankan misi turut terbukti apabila ia telah digunakan untuk tugasan ke Bandung dan Manila baru-baru ini," katanya.
Bagi orang nombor dua di dalam tim berkenaan, Kapten Mohd. Nor Izham Abd. Aziz, beliau berasa bertuah kerana mendapat kepercayaan TUDM untuk menyumbangkan tenaga bagi menjalankan misi sukar berkenaan.
Seperti diberitahu Mathialagan, jejaka berusia 30 tahun itu turut mengakui mereka perlu memberi tumpuan 100 peratus terhadap pemeriksaan awal yang memerlukan pasukan itu mencari punca kerosakan tersebut.
"Pengalaman ini menjadikan kami lebih berhati-hati dan arif dalam menjalankan pemeriksaan.
"Panglima TUDM turut pernah membuat lawatan ketika kami menjalankan tugas penyenggaraan itu. Beliau kelihatan cukup gembira dan berpuas hati dengan proses kerja kami ketika itu," katanya.
Salah seorang anggota pasukan terbabit, Sarjan Penerbangan Mohd. Aidil Abdul Rani pula menyifatkan pengalaman diperolehinya dalam menjalankan tugas berkenaan banyak mendatangkan ilmu baru kepadanya untuk bekerja dengan lebih baik.
"Dalam tugas ini, saya dipertanggungjawabkan sebagai juruteknik elektrik. Saya akui, tugasan ini lebih mencabar dan berbeza daripada tugas asasi saya sebelum ini.
"Berkat kerjasama semua, setiap yang dirancang menjadi kenyataan tanpa ada masalah. Sebaik pulang ke No. 20 Skuadron, saya akan berkongsi pengalaman ini dengan rakan-rakan lain," katanya.
Bersiap sedialah bagi menghadapi mereka (yakni musuh-musuh) dengan segala kekuatan yang termampu kamu sediakan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain selain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahui-Al Anfal Ayat 60
About Me
- Minda Pertahanan
- Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.
Pages
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Labels
- Agensi Penguatkuasaan (5)
- APMM (17)
- ATM (71)
- Aviation (3)
- Ebooks (3)
- Eksesais (9)
- Exhibitions (4)
- LIMA (6)
- LIMA / DSA updated (9)
- LIMA updated (31)
- LIMA'09 updated (7)
- Luar negara (31)
- Menhan (3)
- National Task Force (7)
- NTF (6)
- Ops Benteng (5)
- PDRM (12)
- PKPP (1)
- SAR (1)
- Sejarah (5)
- Seminar (1)
- TDM (90)
- TLDM (135)
- TUDM (54)
- Umum (54)
- Veteran (31)
- Wataniah (7)
- Wataniah/Simpanan (2)
No comments:
Post a Comment