About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Friday, February 19, 2010

Menyelamat di zon maritim

Sumber utusan
Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my
Gambar AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN





TANGGAL 15 Februari lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) secara rasmi genap memasuki tahun ke-5 perkhidmatannya.

Dilaksanakan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), APMM bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang persekutuan di bawah zon maritim Malaysia.

Antara fungsi utamanya adalah menjalankan operasi mencari dan menyelamat, mengawal keselamatan perairan, mencegah pencemaran serta memberi perkhidmatan sokongan di zon maritim kepada agensi lain yang memerlukan.

Kebanyakan kita mungkin kurang menyedari tentang kewujudan agensi ini, namun APMM sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting dalam menjaga kedaulatan zon maritim negara menerusi pengawasan udara dan pantai.

Penubuhan APMM dilaksanakan menerusi kajian oleh Kerajaan Malaysia pada April 1999 berkaitan pengurusan maritim yang tidak begitu berkesan dan melibatkan terlalu banyak agensi.

Ia disebabkan oleh pertindihan fungsi, tanggungjawab, bidang kuasa serta penggunaan sumber yang kurang efektif.

Lanjutan daripada itu, Akta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2004 telah diwartakan pada 1 Julai 2004 dan mula dikuatkuasakan menjelang 15 Februari 2005.

APMM pula telah memulakan operasinya pada 30 November 2005 sebelum dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mac 2006 di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor.

Peringkat awal perkhidmatan APMM memberi tumpuan kepada operasi di sekitar Selat Melaka dan Pantai Timur Semenanjung diikuti operasi di Wilayah Sabah serta Labuan pada 21 Jun 2006 dan Wilayah Sarawak bermula 1 September 2006.

Tanggungjawab APMM di Zon Maritim Malaysia adalah merangkumi sehingga kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sejauh 200 batu nautika dari pantai.

Secara keseluruhannya, APMM setakat ini mempunyai sebanyak 123 buah kapal ronda dan bot penyelamat yang diterima daripada pelbagai agensi kerajaan.

Ia termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut selain pembelian bot-bot baru oleh pihak APMM sendiri.

Di samping itu, perkhidmatannya turut disokong oleh tiga helikopter dan dua pesawat sayap pegun milik APMM untuk tujuan operasi di udara.

Operasi menyelamat


Sememangnya APMM memainkan peranan yang sangat besar dalam perkhidmatan menjaga kesejahteraan kawasan maritim negara menerusi pembahagian banyak fungsi di bawahnya.

Salah satu daripada perkhidmatan penting agensi tersebut adalah menjalankan operasi mencari dan menyelamat di laut serta kawasan yang sukar diakses melalui jalan darat seperti kawasan hutan yang terpencil.

Ia biasanya dilaksanakan oleh pasukan khas yang terdiri daripada perenang penyelamat dan juga krew udara.

Memberi tumpuan kepada operasi tersebut secara menyeluruh, APMM kini sedang giat melatih dan memperkasakan operasi pasukan ini.

Sempena sambutan ulang tahun APMM yang ke-5 dan akan disambut pada esok, MEGA Utusan Malaysia baru-baru ini telah berpeluang meninjau dan mengikuti sesi latihan pasukan ini yang dijalankan di Teluk Rubiah, Lumut, Perak.

Terdiri daripada sembilan pelatih untuk perenang penyelamat dan 11 pelatih krew udara, pasukan berkenaan merupakan kumpulan penyelamat pertama di rantau Asia Tenggara.

Menurut jurulatih pasukan daripada syarikat Integrated Training and Services Sdn. Bhd., Roselan Ismail, perenang penyelamat dan krew udara mempunyai peranan dan tugas yang saling berkaitan.

''Justeru, kehadiran kedua-dua pasukan ini adalah sangat perlu ketika operasi menyelamat dijalankan.

''Mereka yang ingin menyertai pasukan ini harus bersedia dari segi fizikal dan mental sebelum menjalani latihan mencabar untuk jangka masa selama setahun," katanya.

Peringkat awal latihan bagi perenang penyelamat dan krew udara akan melibatkan kursus yang lebih kurang sama.

Dua minggu pertama akan melibatkan sesi latihan asas berenang dan menyelam di bawah penyelenggaraan badan menyelam antarabangsa yang telah dilantik.

Menerusinya, pelatih akan diajar mengenai teknik mengenalpasti peringkat kejutan yang dialami mangsa sebelum menyelamatkan mereka mengikut prosedur dan penggunaan peralatan yang betul.

Setelah lulus dan memperolehi sijil, mereka akan dihantar pula menjalani latihan yang dikenali sebagai First Responder Life Support (FRLS).

Selama sebulan, mereka akan diajar mengenai paramedik iaitu teknik menyelamat dan merawat peringkat awal di Unit Kemalangan dan Kecemasan (ANE) di Hospital Besar Ipoh.

Untuk latihan berkenaan, mereka perlu melengkapkan prosedur pengajian selama 120 jam di bawah pengawasan doktor yang terlatih.

Mereka kemudiannya akan mengikuti fasa penerbangan yang dikenali sebagai Care Flight Instructor yang dikendalikan oleh agensi penyelamat terkenal daripada Australia.

Selepas itu, mereka akan meneruskan latihan Kajian Bawah Penerbangan selama dua minggu melibatkan pengajian bahasa Inggeris, Matematik dan Fizik penerbangan serta teknik asas penerbangan menerusi 13 subjek utama.

Untuk dua minggu berikutnya pula, pelatih akan didedahkan dengan latihan menyelamat di dalam hutan dan juga di laut.

Kesemua peringkat latihan tersebut akan melibatkan penilaian dari segi kecergasan fizikal serta ujian bertulis dari semasa ke semasa.

Sementara itu, seorang lagi jurulatih, Adnan Yusof, pula memberitahu, bagi latihan khusus untuk krew udara, mereka akan diajar tentang arahan yang perlu diberikan kepada juruterbang ketika operasi menyelamat dijalankan.

''Ketika operasi, seramai dua orang krew udara akan bertugas menjaga kabin untuk memberi arahan menurun dan menaikkan perenang penyelamat mengikut kesesuaian keadaan dengan memberi keutamaan kepada aspek keselamatan.

''Untuk perenang penyelamat pula, mereka akan diajar dengan teknik mengawal pergerakan badan ketika menjalankan operasi menyelamat kerana mereka terdedah kepada risiko yang tinggi seperti tiupan angin, laut bergelora dan juga cuaca buruk," jelasnya.

Bagi pelatih krew udara, Bentara Muda John Ibno, 35 , beliau yang merupakan bekas pegawai TLDM tertarik untuk menyertai pasukan tersebut kerana kerjayanya yang mencabar fizikal dan mental.

''Menerusi latihan ini, saya telah mempelajari pelbagai pengetahuan berkaitan dunia penerbangan selain teknik-teknik menjalankan operasi menyelamat.

''Individu yang ingin menyertai bidang ini perlu ada minat, kesungguhan yang mendalam serta usaha untuk menjadi yang terbaik dalam pasukan," katanya.

Seorang lagi pelatih, Mohammad Edros Robai, 27, memilih untuk meneruskan pengajian sebagai perenang penyelamat kerana ingin mencuba sesuatu yang baru.

Beliau yang sebelum ini menuntut di Politeknik Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah ingin merebut peluang tersebut kerana pasukan pelatih berkenaan merupakan yang pertama di Asia Tenggara.

''Saya sedar kerjaya ini mempunyai risiko yang tinggi dan sentiasa terdedah kepada pelbagai kemungkinan. Namun, menerusi latihan yang telah diberi, saya yakin untuk bertugas dalam bidang ini.

''Keyakinan itu penting untuk membolehkan saya melakukan kerja-kerja menyelamat dan mengendalikan mangsa tragedi yang mengalami kecederaan," katanya.

Sambutan


Sempena sambutan ulangtahun ke-5 ini, APMM bakal mengadakan Hari Maritim Malaysia 2010 esok di pejabat Wilayah Maritim Timur APMM, Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.

Pada sambutan kali ini, APMM akan melancarkan perkhidmatan menyalurkan informasi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikenali sebagai mySMS.

Orang ramai yang ingin membuat aduan menggunakan perkhidmatan itu perlu menaipkan MARITIM ADUAN diikuti nombor kad pengenalan dan aduan serta dihantarkan ke 15888.

Untuk mendapatkan maklumat mengenai APMM pula, anda boleh menaipkan MARITIM MENU dan dihantarkan ke nombor yang sama.

Selain itu, mereka yang mahu melaporkan insiden jenayah atau kemalangan di perairan Malaysia boleh menghubungi APMM di talian 03-89434001 atau melalui pautan sistem aduan di laman web www.mmea.gov.my.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini