About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, February 24, 2010

Khidmat MiG-29N dilanjutkan

Sumber utusan
Oleh M. Shahrinnahar Abd. Latib
utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 23 Feb. - Kerajaan akan terus menggunakan pesawat pejuang jenis MiG-29N dan tidak akan melupuskannya untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun lagi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, atas beberapa pertimbangan dan kemampuan untuk menjalankan tugas yang diberikan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pihaknya telah mempertimbangkan untuk menerbangkan semula pesawat itu.

Katanya, keputusan itu sebagai menarik balik perancangan awal untuk menggantikan MiG-29N dengan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) lain.

"Kita akan terus menggunakan pesawat ini sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun lagi dan pertingkatkan peralatan serta keperluan semasa.

"Untuk tujuan itu, kita akan memberikan sepenuh kepercayaan kepada Aerospace Technology System Corporation Sdn. Bhd. (ATSC) untuk melakukan penyenggaraan, baik pulih dan rombak rawat (MRO) kepada pesawat ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan TUDM Kuantan di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Rodzali Daud dan Panglima 1 Divisyen Udara, Datuk Roslan Saad.

Dalam lawatan kerja itu, beliau berpeluang menaiki pesawat jenis BAE Hawk yang diterbangkan Leftenan Kolonel Azhari Mohd. Yusuf hingga ke Dungun, Terengganu sebelum berpatah balik ke Kuantan.

Pada 28 Oktober lalu, Ahmad Zahid pada sidang Dewan Rakyat memberitahu, kerajaan sedang meneliti MRCA yang dikeluarkan empat negara iaitu Amerika Syarikat, Perancis, Itali dan Sweden bagi menggantikan MiG-29N yang akan ditamatkan perkhidmatannya pada 31 Disember tahun ini.

Kata Ahmad Zahid, pembelian MRCA itu tidak akan melibatkan pesawat dari Rusia berikutan pengalaman pahit kerajaan apabila terpaksa mengeluarkan kos tinggi sebanyak RM260 juta setahun untuk menyenggara semua pesawat MiG-29N.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan itu juga mengambil kira pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blognya yang menyarankan supaya pesawat MiG-29N terus digunakan.

Bagi mengurangkan kos penyenggaraan yang tinggi, jelas beliau, pihaknya akan menggunakan khidmat ATSC bagi menaik taraf sistem yang ada dalam pesawat itu.

"Dijangka dengan menggunakan khidmat ATSC ini, kos penyenggaraan boleh dikurangkan daripada RM260 juta setahun kepada satu kos yang lebih rendah," ujarnya

Sementara itu, Rodzali berkata, hanya 10 daripada 16 pesawat jenis itu yang dimiliki kerajaan boleh digunakan.

"Mungkin 10 buah sahaja yang boleh diterbangkan kerana sebahagian yang lain telah ditamatkan perkhidmatan," ujarnya.

1 comment:

Luth said...

berginilah jadinya kalau tangan tangan politik campur tangan dalam bidang pertahanan..dulu kata boleh jimat jika menamatkan perkhidmatan MIG29 ni..sekarang?lain pulak dah...

Tinggalkan pesanan anda di sini