About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Friday, December 18, 2009

Peranan Seorang Pilot Nuri Di Era Melawan Insurgensi

Sumber: Majalah Perajurit Edisi November 2009
Oleh: Hamzah Hd

Isu membawa pulang Ong Boon Hua atau lebih dikenali sebagai Chin Peng ke Malaysia telah menjadi polemik nasional sepanjang 2009. Polemik yang mendapat liputan meluas di semua media cetak, elektronik malah juga lebih hebat diperkatakan di media baru.

Veteran-veteran perang ditampilkan dengan hasrat untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya generasi baru tentang sejarah kekejaman Penganas Komunis (PK) di antara tahun 1930 sehingga perletakan senjata pada tahun 1989 yang telah mengorbankan ramai pejuang-pejuang samada anggota tentera, polis, pengawal kampung malah rakyat awam yang tidak berdosa.

Sebelum ini masyarakat umum banyak didedahkan dengan penglibatan Polis dan Tentera Darat (TD) khususnya di dalam menghadapi konflik insurgensi sehinggakan tiada langsung nama-nama lain dalam kelompok bantuan yang ditampilkan. Ini kemungkinan kerana peranan mereka yang agak terpencil tetapi sebenarnya komitmen mereka telah memberi impak besar kepada kejayaan dan keberkesanan sesuatu operasi yang dijalankan.

Peranan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak kurang pentingnya semasa insurgensi yang banyak membantu dari aspek pengeboman sarang-sarang PK. Di antara penglibatan aset TUDM yang paling ketara ialah penggunaan helikopter NURI - S61A4 (Sikorsky) sebagai transportasi trup TD ke kawasan operasi di pedalaman, penghantaran bekalan, medical evacuation (medivac), casualty evacuation (casevac), body evacuation (bodevac) dan pelbagai tugas yang sungguh mencabar dan sangat merbahaya. Cabaran yang datang dari pelbagai sudut seperti ancaman serangan dari PK, cuaca buruk, dan keadaan geologi yang menuntut kesabaran dan ketaatan untuk menyelesaikan segala tugas yang diarahkan.

Bentuk muka bumi dan hutan tropika di Malaysia menjadikan pengangkutan udara sangat penting sebagai penyambung di antara markas dengan trup-trup yang sedang beroperasi di tengah belantara. Kuasa mobiliti yang terpantas dan berkesan adalah semata-mata melalui udara. NURI yang mula beroperasi bersama TUDM sejak 1961 bertindak cemerlang sehingga kini walaupun sebahagian sudah tamat riwayatnya kerana kemalangan semasa menjalani misi-misi ketenteraan di kawasan-kawasan pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Sebagai kuda tunggangan ATM, NURI seringkali menjadi sasaran utama oleh PK dalam usaha melumpuhkan pergerakan TD di hutan belantara.

Nostalgia Perajurit ingin berkongsi pengalaman dengan seorang bekas juruterbang helikopter NURI yang telah terlibat secara langsung semasa negara menghadapi kemelut insurgensi. Di sebalik ketahanan, kekuatan dan kecemerlangan NURI yang sudah hampir 50 tahun berkhidmat dengan TUDM, khalayak seakan lupa bahawa individu-individu yang bersabung nyawa mengoperasikan ‘burung besi’ ini adalah krew udara iaitu juruterbang dan Kuarter Master Udara (AQM).

Biografi

Di antara mereka yang dimaksudkan ialah Mejar (B) Nor Ibrahim bin Sulaiman TUDM. Walaupun namanya tidak begitu besar di persada pahlawan, namun jika diteliti keringat dan pengorbanan, tidak menghairankan jika beliau telah dianugerahakan salah satu pingat keberanian negara, iaitu Pingat Tentera Udara (PTU).

Dilahirkan pada 9 April 1949 di Kuala Kangsar. Beliau mendapat pendidikan awal di Lumut, Perak dan meneruskan pengajian peringkat menengah di Sekolah King Edward VII, Taiping.

Selepas tamat pengajian di Maktab Tentera Diraja ( MTD), Sungai Besi selama dua tahun (1967-1969), beliau memasuki perkhidmatan TD pengambilan ke 11 Tauliah Tetap (regular) dan ditauliahkan sebagai second lieutenant pada 14 April 1969. Pada tahun 1973, beliau memulakan kerjaya sebagai juruterbang helikopter TUDM setelah mendapat pendedahan di sebuah syarikat penerbangan milik rakyat Amerika, iaitu SEA Helicopters (Malaysia), di Kuala Lumpur. Semasa latihan, beliau dilatih dengan pesawat Bell 47G, Bell Jet Ranger dan Allouette 111 selama setahun sebelum di tugaskan di No 10 Skuaderon, TUDM Kuantan.

Sepanjang menjalankan tugas sebagai juruterbang NURI, beliau banyak terlibat secara langsung dalam operasi menentang PK di Semenanjung Malaysia. Bukan sahaja kehilangan ramai rakan seperjuangan malah bergelumang darah dengan TD yang cedera parah dan terkorban. NURI turut menjadi sasaran PK dan beliau sendiri pernah ditembak oleh mereka. Atas dasar menentang segala usaha individu/kumpulan yang cuba untuk membawa pulang Chin Peng ke Malaysia, beliau rasa bertanggung jawab dan sedar betapa perlunya beliau tampil berkongsi pengalaman semasa menentang kekejaman PK untuk tatapan umum.

Pegawai Risik Terkorban Dalam Serangan Hendap

Semasa menjadi juruterbang kedua di awal 70'an, beliau dan krew ditugaskan untuk membuat penghantaran keluar/masuk trup (Troop lift) TD di Kem Gubir (KG). Sebelum terbang ke KG, mereka telah singgah di Kem Sungai Petani. Pegawai Risik(PR) yang juga rakan selatihan semasa di MTD telah menjemput mereka untuk bersarapan di Mes Pegawai 6 Briged dan memaklumkan yang beliau juga akan ke KG dan akan berjumpa di sana nanti.

Mereka seterusnya terbang ke KG dan melakukan beberapa sortie troop lift(TL). Sebelum berhenti lebih kurang jam 1100, tiba-tiba terdengar berbalas tembakan berhampiran KG. Diikuti sebuah Land Rover meluru masuk ke kem. Kenderaan tersebut ditembusi peluru. Pemandu memberitahu yang konvoi ke kawasan operasi telah diserang hendap dan Kapten Hardev Singh terkorban dalam serangan tersebut.

Sebuah lagi NURI yang turut membuat TL, telah ditugaskan untuk mengambil mayat mendiang setelah kawasan tersebut disahkan selamat. Oleh kerana krew NURI tersebut tidak pasti kawasan terbabit, Kapt (U) Nor Ibrahim telah diarahkan bersama mereka sebagai penunjuk arah. NURI terpaksa hover untuk winching mayat kerana tiada tempat untuk mendarat. Beliau sendiri telah menarik mayat ke dalam nuri. Mayat mendiang berlumuran darah dan flying suit beliau juga dibasahi darah rakan yang baru sama-sama bersarapan di Mes sebentar tadi.

NURI Ditembak Jatuh

Pada 27 April tahun 1976 negara telah dikejutkan dengan berita sebuah helikopter NURI ditembak jatuh oleh PK. Semua krew dan penumpang terkorban di kawasan operasi di Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir, Kedah. Helikopter tersebut dalam fasa penerbangan dari landing pad (LP) ke Kem Gubir semasa ditembak.

Semasa kejadian itu, Kapt (U) Nor Ibrahim sedang mengikuti kursus peralihan ‘Kapten’ helikopter NURI di No.10 Skuadron, TUDM Kuantan. Beliau menceritakan bahawa juruterbang-juruterbang yang terlibat merupakan rakan-rakan seperjuangan yang sangat dikenali. Beliau telah ditugaskan untuk mengiringi jenazah Lt. (U) Wan Munsif ke Kangar untuk dikebumikan dan membantu keluarga arwah mengurus perpindahan isterinya ke Kangar.

Juruterbang dan krew yang terkorban ialah:
1. Kapt (U) Choo (7 Skn) - Rakan di MTD dan rakan sepasukan di No 10 Skn.
2. Kapt (U) Mustafa Kamal (7 Skn) - Squad mate Regular Cadet intake 11.
3. Lt (U) Wan Munsif (10 Skn) - SSC intake 14.
4. Lt (U) MT Chung (10 Skn) - Kapten NURI semasa beliau masih co-pilot.
5. Sjn Leong - Kuarter Master Udara 10 Skn.
6. Mejar Haris Rejab RAMD - senior semasa di MTD.
7. Kapt Sulaiman – RAMD
8. Lt Ibrahim – RAMD
9. Sjn Kamis – RAMD
10. L/KPL Kamarulzaman – RGK
11. L/KPL Suandi – RGK

Pengganas Bermaharajalela

PK bertukar strategi. Dari laporan perisikan, PK 'kecewa' kerana hanya sebuah NURI sahaja yang berjaya mereka jatuhkan. Insiden NURI ditembak sudah menjadi rutin. Walaupun kena tembakan, NURI masih berterbangan di kawasan operasi.

Dalam satu insiden, sebuah NURI telah ditembak. Sebanyak 49 butir peluru telah mengenai tangki minyak. Laluan penerbangan NURI dihujani dengan bahan api avtur. Dalam masa 30 minit sahaja tangki minyak kosong. Walaubagaimanapun, NURI sempat mendarat di kem Gubir. Bayangkan apa akan terjadi sekira tiada kawasan untuk mendarat!

Strategi baru PK ialah menjadikan juruterbang sebagai sasaran. Fasa penerbangan yang kritikal untuk NURI ialah semasa approach, hovering dan take-off dan situasi yang paling mudah ialah semasa NURI berada di LP. Ini terbukti apabila banyak insiden tembakan berlaku semasa NURI dalam fasa penerbangan tersebut.

Beliau sendiri telah ditembak dengan grenade launcher semasa berada di LP kawasan operasi Klian Intan (sempadan Malaysia-Thai dalam negeri Perak). Semasa memunggah muatan, terdengar letupan kuat dan anggota keselamatan take cover. Beliau dengan pantas menerbangkan NURI dan baru saja melepasi ketinggian pokok-pokok, satu lagi tembakan dilepaskan. Walaupun tembakan itu tidak menepati sasaran, namun terasa gegarannya. Sepuluh minit penerbangan ke Kem Klian Intan (KKI) sungguh memeritkan dan beliau selamat mendaratkan NURI di KKI tanpa sebarang kerosakan.

Arahan berikutnya adalah bukan terbang balik ke Pangkalan tetapi sebaliknya dikehendaki membuat penerbangan casevac di kawasan operasi di Kedah. Seorang anggota TD cedera parah ditembak PK.

Dalam satu insiden lain pula, beliau berada di LP untuk membawa balik TD ke Kroh (nama lama Pengkalan Hulu). Kuarter Master Udara (KU), Sjn Mohsin memberitahu yang dia terkena tembakan. Nasib beliau memang baik kerana kecedaraan di kakinya tidak serius.

Operasi Selamat Sawadee

Keghairahan PK menjadikan juruterbang NURI sebagai sasaran utama mereka terus memuncak. Markas Udara (MU) mengarahkan NURI mesti diiring dengan 2 buah Alouette Gunship (GS) ke kawasan operasi tertentu dan sekurang-kurang sebuah GS di kawasan lain. Kawasan Operasi Selamat Sawadee merangkumi negeri Perak, Kedah dan menyeberangi sempadan Thailand. Sebelum mendarat di LP, GS akan membuat penembakan ke kawasan berhampiran setelah mengambil kira kedudukan anggota keselamatan (AK). GS akan berlegar di udara semasa NURI berada di LP. Pesawat F5E dan Tebuan turut digunakan untuk mengebom kawasan yang telah dikenal pasti. Seorang anggota penembak tepat Rejimen Gerak Khas (RGK) juga ditugaskan bersama NURI untuk menembak PK sekiranya NURI ditembak.

Setiap krew pula dikehendaki memakai fragmentation vest dan membawa pistol sarung bahu selain Colt M16. Waktu itu, vest kalis peluru masih tiada dalam inventori TUDM, jadi pemakaian fragmentation vest adalah terpaksa walaupun ianya sungguh tidak selesa, panas, berat dan berbau.

Dalam konteks intra ATM, arahan dan budi bicara adalah seiring diguna pakai. Walaupun ketiadaan GS untuk penerbangan malam, jika NURI diperlukan untuk penerbangan casevac maupun ulang bekal (resupply) yang melibatkan hidup mati anggota di perbatasan akan menjadi keutamaan kepada beliau. Prinsip tidak mementingkan diri sendiri dan tidak prejudis di antara perkhidmatan menjadi pegangan Kapt (U) Nor Ibrahim.

Di suatu senja semasa detachment di Kroh, Pegawai Risek (PR) 6 RAMD telah memohon kepada Brigade Air Support Officer (BASO) bagi pihak Markas Udara, supaya NURI mengambil satu casevac di LP. Anggota tersebut telah ditembak di kepala dan masih hidup. Pada dasarnya BASO meluluskan permohonan tersebut tetapi konsiderasi terpulang kepada juruterbang samada bersetuju atau tidak untuk membuat penerbangan memandangkan hari sudah beransur gelap.

BASO sedia maklum NURI tidak dilengkapi dengan peralatan untuk penerbangan malam. Semata-mata mengharapkan kebolehan pancaindera sahaja. Kapt (U) Nor Ibrahim sememangnya pernah membuat penerbangan malam tetapi melibatkan penerbangan dari ‘airfield to airfield’ sahaja kerana banyak objek-objek yang boleh dijadikan panduan. Terbang malam ke LP ‘kawasan panas’ mengundang kecelakaan walaupun diiringi oleh GS.

Dalam keadaan serba salah setelah PR merayu dan BASO menyerahkan tanggungjawab kepada juruterbang untuk membuat keputusan, Kapt (U) Nor Ibrahim akhirnya bersetuju untuk mengambil anggota yang sedang bertarung dengan maut setelah juruterbang Alouette Gunship bersedia untuk mengiringi.

Sebenarnya apa yang sedang digambarkan oleh beliau pada masa itu ialah ketika sebuah NURI terapung (hover) untuk menaikkan casevac dengan limpahan lampu yang terang benderang yang terpaksa dinyalakan untuk membantu Kuarter Master menaikkan casevac adalah kemungkinan boleh menarik perhatian PK yang berada di sekitar lokasi yang menjadikan NURI sebagai sasaran latihan penembakan malam.

Malangnya anggota tersebut telah meninggal dunia semasa di dalam helikopter.
Untuk mendarat di Kroh, beliau dan GS dipandu oleh lampu Land Rover. Beberapa buah Land Rover digunakan sebagai marker di 'grass strip'. Misi berjaya. TUDM tidak menghampakan TDM. Sebagai penghargaan, keesokan petang, Pegawai Memerintah 6 RAMD telah menjemput mereka untuk minum teh di Mes pegawai beliau (khemah kanvas).

Penerbangan tersebut telah diketahui oleh Ketua Skuadron (KS). Sekembali dari detachment, resepsi yang beliau terima ialah KS mempersoalkan tindakan beliau yang tidak mengambil kira risiko ke atas kedua-dua buah pesawat dan krew seandainya PK mengambil tindakan menembak mereka pada malam itu.

Alasan beliau ialah jika sekiranya beliau tidak melakukan penerbangan tersebut, anggota itu akan terkorban dan kemungkinan anggota-anggota keselamatan akan hilang kepercayaan terhadap TUDM kerana keadaan anggota pada masa itu sebenarnya masih hidup. Sekiranya diberitahu anggota tersebut telah terkorban, sudah pasti beliau tidak akan mengambil risiko kerana bodevac boleh dilakukan ke esokan hari. Sebagai kapten pesawat, beliau bertanggungjawab ke atas sebarang keputusan yang beliau telah buat. Sekurang-kurangnya beliau telah cuba untuk menyelamatkan satu nyawa tetapi ketentuan Ilahi mengatasi segalanya.

Flight Leader

Semasa bertugas di No. 3 Squardron, Butterworth, 3 buah NURI ditugaskan untuk mengangkut trup/muatan dari Kroh ke beberapa LP. Kapt (U) Nor Ibrahim (callsign Alpha) sebagai flight leader, callsign dua lagi pesawat ialah Bravo dan Charlie. Kapten NURI Bravo dan Charlie adalah D Cat Captain. Mereka hanya boleh membawa barang muatan sahaja. Penerbangan ke LP memerlukan sebuah GS sebagai pengiring.

Bagi menjimatkan masa dan keselamatan, pengangkutan seperti peluru dan lain-lain dilakukan mengguna kaedah underslung. LP pertama ialah di dalam kawasan Thailand. Beberapa penerbangan ke LP tiada menghadapi sebarang insiden.

Semasa trup sedang menaiki NURI Alpha di Kroh, kapten NURI Charlie dalam penerbangan balik ke Kroh dari LP, telah memberitahu bahawa NURI Bravo telah ditembak oleh PK semasa hovering. Selepas melepaskan beban (underslung load), Kapten NURI tersebut terus took off. Kapt (U) Nor Ibrahim telah mengarahkan Charlie mengiringi Bravo untuk mendarat di landing strip (LS) di Banchatharat. GS juga diarah berlegar di ruang udara LS sementara menunggu ketibaan beliau.

Setiba di LS, trup ditugaskan untuk memberi perlindungan keselamatan. Bravo diarah untuk shutdown dan beliau mengarahkan krew Bravo mengambilalih NURI Alpha tanpa mematikan enjin sementara beliau sendiri memeriksa keseluruhan NURI Bravo. Selain fuselage berlubang-lubang, satu generator tidak berfungsi akibat terkena tembakan. Seterusnya trup diarahkan menaiki semula NURI Alpha dan mengarah kapten Bravo membawa balik trup ke Kroh. Kapt (U) Nor Ibrahim pula mengambilalih NURI Bravo dan mengarahkan kapten Charlie mengekorinya dengan diiringi oleh GS dengan pesanan kepada kapten Charlie supaya mengambil beliau dan krew sekiranya beliau terpaksa membuat pendaratan kecemasan.

Beliau selamat mendarat di Kroh. KS di Butterworth bertanyakan tindakan beliau selanjutnya, samada beliau memerlukan recovery team atau tidak. Kapt (U) Nor Ibrahim memaklum kepada KS yang dia akan terbang balik ke PangkalanTUDM Butterworth dan memerlukan sebuah NURI lain untuk dia meneruskan tugas. Sebuah NURI tersedia untuknya dan beliau terbang semula ke Kroh, dan menyelesaikan misi dengan jayanya.

Trup di LP memberitahu apa yang berlaku semasa Bravo hovering di LP. Mereka ternampak varey light di udara. Tiba-tiba, PK telah menembak Bravo dari semua arah. PK telah mengelilingi LP dan hanya menunggu waktu untuk menembak NURI Bravo.

Pada PK, helikopter adalah di antara elemen kapabiliti kritikal yang merupakan kunci utama kepada pasukan yang mana jika dimusnahkan atau ditawan ia akan melemahkan keupayaan tempur sesuatu pasukan. Tanpa helikopter akan menjejaskan mobiliti operasi TD di hutan belantara. Ini bermakna peranan juruterbang NURI juga kritikal dan nyawa mereka seperti telur di hujung tanduk kerana mereka juga menjadi sasaran utama PK. Tidak hairanlah jika nyawa juruterbang-juruterbang NURI sebenarnya turut menjadi ‘idaman’ PK sehinggakan mereka menyebarkan risalah dengan menawarkan RM 3000.00 untuk satu nyawa mereka. Anggota perisikan pernah menjumpai lakaran taktikal PK supaya menjadikan juruterbang sebagai sasaran utama untuk ditembak dalam usaha mereka melumpuhkan mobiliti TD di belantara.

Winching Sortie Yang Mencemaskan

Trup TD sedang memburu PK. Sebarang casevac hanya boleh dilakukan dengan winching. Bermakna helikopter akan terapung di atas pokok-pokok yang tinggi kerana trup tidak mempunyai masa untuk membina LP untuk membolehkan NURI mendarat. Apa yang boleh digambarkan bagaimana juruterbang-juruterbang NURI akan menanggung risiko sewaktu melaksanakan tugas seperti ini. Secara tidak langsung NURI turut menjadi sasaran PK dengan mudah.

Suatu petang di Hutan Kroh Perak, Kapt (U) Nor Ibrahim ditugaskan untuk mengambil casevac di satu LP untuk dibawa ke General Hospital Pulau Pinang. Kawasan ini tidak memerlukan GS sebagai pengiring tetapi masih memerlukan komando untuk keselamatan. Setelah tiba di kawasan yang dijangka, perhubungan dengan ground troop (GT) melalui high frequency radio dilakukan. GT telah mendengar bunyi enjin NURI tetapi tidak nampak kelibatnya. Beliau berligar-ligar di atas udara sehingga GT memberitahu yang NURI sudah berada di atas kepala mereka.

Walaubagaimanapun, Kuarter Master dan anggota komando tidak nampak di mana GT berada walaupun sudah membuat tembakan flare dan asap. Ini menunjukkan betapa tebalnya hutan tersebut sehinggakan sukar untuk ditembusi cahaya mahu pun asap. Setelah mencuba pelbagai cara akhirnya beliau dapat mengesan kedudukan lokasi GT.

Beliau tidak terkejut bila membaca berita yang pasukan menyelamat mengambil masa berhari-hari untuk mengesan sebuah pesawat yang terhempas di hutan dara negara kita. Rasionalnya dengan ketinggian belantara lebih daripada 150 kaki, untuk melaksanakan misi menyelamat adalah amat sukar. Lebih memburukkan keadaan ialah dalam keadaan hujan lebat dan angin kencang.

Komando dan usungan telah diturunkan tanpa sebarang masalah. Mangsa yang tercedera dinaikkan dahulu diikuti oleh komando. Tiba-tiba Kuarter Master memberitahu usungan yang membawa mangsa telah tersangkut di dahan pokok. Beliau mengarahkan Kuarter Master mencuba sedaya upaya untuk melepaskan usungan sementara beliau sendiri mengawal helikopter terapung setinggi 200 kaki berhadapan dengan angin dan hujan lebat serta dikuatiri menjadi sasaran penembakkan PK. Kerana terlalu lama terapung, bacaan suhu dan tekanan kotak gear utama (MGB) kian meningkat dan ini juga boleh menyumbang kecelakaan. Peluh menyimbah ibarat sedang dipam keluar dari badan semasa menghadapi situasi yang sangat mencemaskan.

Dalam kes-kes sebegini, kapten pesawat mempunyai pilihan untuk memotong kabel untuk mengelakkan petaka yang lebih besar. Tetapi jika keputusan itu yang dibuat, maka casevac akan bertukar menjadi bodevac dan beliau akan diburu penyesalan sehingga ke akhir hayat. Setelah berhempas pulas akhirnya Kuarter Master berjaya melepaskan usungan yang tersangkut dan mangsa yang tercedera berjaya ditarik masuk ke dalam NURI. Sementara anggota komando ditinggalkan bersama GT dan akan di ambil kemudian. Hari berikutnya anggota komando di ambil keluar di suatu lokasi lain yang lebih selamat.

Bersuara Bukan Bermakna Meminta

Pertemuan singkat penulis dengan beliau bukan sahaja berjaya menyingkap pengalaman suka dan duka 25 tahun perkhidmatan beliau dalam TUDM. Apa yang tersirat juga sempat diluahkan sebagai keluhan. Beliau bersuara bukan bermakna untuk menagih simpati atau merendah-rendah unit yang beliau bernaung tetapi demi kelangsungan generasi adik-adik yang masih di dalam perkhidmatan. Walaupun sudah banyak perubahan yang dikecapi untuk generasi hari ini namun kadangkala pengorbanan generasi terdahulu tidak dirakam sebaiknya walaupun ia mempunyai nilai sejarah yang patut dikenang oleh generasi terkemudian.

Sebagai contoh wira-wira TUDM yang terkorban langsung tidak diabadikan nama mereka di mana-mana sebagai tanda ingatan waima di muzium TUDM sendiri, padahal mereka terkorban dalam kategori Killed In Action (KIA). Dalam sejarah TUDM, hanya mereka sahaja yang KIA, anggota TUDM yang lain kebanyakannya terkorban kerana nahas/kemalangan pesawat.

Buku Tentera Darat 1933 – 2008 merakamkan kisah ini tetapi tiada sebaris ayat pun tercatat tentang pengorbanan mereka di dalam RMAF - 50 Glorious Years Of Safeguarding The Nation, buku yang diterbitkan sempena 50 tahun penubuhan TUDM.

Kerajaan telah mengiktirafkan 5 pingat keberanian, iaitu, Seri Pahlawan (SP), Pingat Gagah Berani (PGB), Jasa Perkasa Persekutuan (JPP), Pingat Tentera Udara (PTU), dan Kepujian Perutusan Keberanian (KPK) sebagai perhargaan kepada rakyat yang memberi pengorbanan besar kepada negara. Warga TUDM sendiri mempunyai 2 orang penyandang PGB dan mungkin tidak melebihi 30 orang penyandang PTU. Sepatutnya TUDM berbangga dengan penghormatan ini, tetapi senarai penerima PTU tidak diabadikan di mana-mana pun setakat ini, walaupun di Muzium TUDM sendiri. Di antara ke lima-lima senarai pingat keberanian Persekutuan, cuma SP dan PGB sahaja yang diberi elaun berdasarkan ‘nilai prestij dan martabatnya yang tersendiri’. Sekadar perbandingan, penyandang PTU, JPP dan KPK masih belum dapat menyamai martabat penerima pingat Emas/Perak/Gangsa di Sukan Olimpik untuk diberi elaun bulanan.

Saban tahun TUDM merayakan hari kebesaran, namun agak terkilan juga bagi beliau sebagai pemegang PTU yang tidak pernah sekalipun dijemput untuk sama-sama berada dalam majlis-majlis rasmi sekurang-kurangnya untuk sama-sama merasai nilai ikatan silaturrahim antara warga TUDM dengan veteran. Akhirnya beliau mengakui dan menerima hakikat bahawa TUDM sudah melupai orang-orang sepertinya namun semangat patriotisme beliau masih seperti dulu dan tidak akan terhakis sampai bila-bila. Pada beliau, semua ini adalah sumbangan kecil beliau dan rakan-rakan kepada negara tetapi sebenarnya, rakyat Malaysia khususnya, memandang tinggi pengorbanan beliau dan rakan yang telah mewarnai kegemilangan Malaysia hari ini.

Apapun, beliau sudah menemui medium baru untuk berkongsi pengalaman dengan masyarakat umum menerusi media baru seperti blog dan ruang-ruang forum di samping bermain golf sebagai pengisi masa lapang. Untuk berintraksi dengan beliau, anda boleh layari blog beliau di http://xnuripilot.blogspot.com/
PERAJURIT

1 comment:

Anonymous said...

terima kasih atas segala jasamu.....

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini