About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, December 5, 2009

Skuadron Maritim pamer ketangkasan


sumber utusan
Oleh HELMI MOHD. FOAD

SUASANA tenang di Putrajaya pada pagi Jumaat baru-baru ini, tiba-tiba 'digemparkan' dengan deruan bunyi helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlegar-legar di sekitar Tasik Putrajaya.

Kemudian disusuli letupan kuat dari arah tasik dan tembakan bertalu-talu berhampiran Pusat Maritim Putrajaya di Presint 5.

Tidak lama kemudian barulah diketahui bahawa satu 'serangan mengejut' telah dilakukan oleh anggota Skuadron Maritim 21 Gerup Gerak Khas (GGK) dalam misi membebaskan seorang kenamaan yang telah diculik kumpulan pengganas.

Sebelum itu, sebuah bot yang dinaiki oleh sepasukan anggota komando meluncur laju membelah tasik sambil diekori oleh helikopter yang membuat penyusupan dua anggota dari udara.

Anggota-anggota perenang tempur berjaya menyusup masuk ke kawasan pengganas dengan berenang di permukaan air.

Masing-masing lengkap dengan senjata Carbine M4, sniper, pistol serta Automatic Granade Launcher selain M203.

Apa yang menarik perhatian, Skuadron Maritim yang terkenal dengan ketangkasan muncul dengan bot amfibia yang boleh 'berjalan' di daratan.

Serangan dilakukan ke atas kubu pengganas dan akhirnya mangsa penculikan berjaya dibawa keluar menaiki bot tersebut yang dari daratan terus meluncur ke tasik lalu meninggalkan kawasan musuh.

Babak misi Skuadrom Maritim bersama bot Amphibious Sealegs itu dipamerkan dalam demonstrasi yang diadakan baru-baru ini.

Dalam demonstrasi itu, anggota skuadron tersebut mempamerkan beberapa gerak atur yang cukup kemas iaitu membabitkan; Fast Roping (penyusupan melalui udara) - dua anggota membuat penyusupan dengan menggunakan pesawat udara dan membuat pendaratan pantas dengan turun menggunakan kaedah fast roping

Close Circuit Breathing Apparatus (CCBA) - penyusupan melalui air dengan CCBA dan Diver Propulsion Vehicle (DPV)yang tidak dapat dikesan musuh.

Surface Swim - anggota perenang tempur menyusup masuk ke kawasan musuh dengan berenang ke permukaan air di jarak jauh supaya tidak dikesan oleh musuh.

Raid - serangan mengejut ke sasaran musuh di pesisiran pantai dengan cara pantas, berkesan dan teratur serta melakukan pengunduran melalui jalan yang telah dirancang.

Fast Recovery - satu teknik pengunduran yang dirancang dengan menggunakan bot.

Hostrack - teknik membawa keluar anggota menggunakan pesawat udara.

Demonstrasi di Pusat Maritim Putrajaya itu turut disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima 21 Gerup Gerak Khas (GGK), Brigedier Jeneral Datuk Abdul Samad Yaakob.

Ia sempena pelancaran Ekspedisi Le Tour 1Malaysia bersama bot Amphibious Sealegs sejauh kira-kira 1,600 kilometer yang berlangsung pada 28 November hingga 1 Disember 2009.

Ia adalah dalam usaha skuadron itu menguji aset baru, Amphibious Sealegs keluaran Sealegs International Limited yang berpangkalan di New Zealand.

Jika pembeliannya diluluskan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ia menyaksikan Malaysia adalah negara pertama yang memiliki aset berkenaan.

Menurut Abdul Samad, bot amfibia itu memenuhi ciri-ciri yang diperlukan oleh skuadron berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Skuadron Perahu Khas.

"Ini kerana ada ketikanya dalam misi, kita terpaksa naik ke daratan, cuma sekarang kita menguji kemampuannya dalam peringkat jarak jauh.

"Ia termasuk melalui ujian di laut, seboleh-bolehnya sampai ke tahap tujuh hingga sembilan bagi membolehkan kita melakukan penyusupan ke kawasan musuh dalam keadaan laut bergelora," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengimbas penubuhan Skuadron Maritim, Abdul Samad berkata, sebelum ini ia dikenali sebagai Skuadron Perahu Khas yang berkuatkuasa pada 1 Mac 1990.

Secara ad hoc, ia menggunakan perjawatan terup perahu tempur di bawah Pasukan Rejimen 21 dan 22 Komando dengan operasi dan latihan di bawah pentadbiran Markas 21 GGK.

Katanya, selaras dengan penstrukturan 21 GGK untuk menghadapi saingan serta ancaman globalisasi peperangan masa kini, skuadron perahu khas turut mengalami perubahan.

Kini dengan nama Skuadron Maritim, ia boleh diaturgerak bagi menghadapi ancaman peperangan konvensional dan keganasan melalui tiga dimensi iaitu penyusupan, penarikan keluar melalui udara dan permukaan air serta bawah air.

Kata Abdul Samad, tujuan penubuhan skuadron maritim semasa perang adalah untuk menyalurkan maklumat awal yang terperinci kepada 21 GGK dan formasi atasan untuk membantu perancangan operasi susulan.

"Skuadron itu juga melaksanakan operasi ofensif di kawasan musuh seperti sabotaj, serangan mengejut amfibia skala kecil dan lain-lain tugasan dengan kaedah penyusupan melalui perairan dan mengumpulkan maklumat seperti tinjauan pantai.

"Ia juga boleh ditugaskan untuk menanda zon pendaratan manakala semasa aman, skuadron itu boleh digerakkan untuk menangani keganasan maritim dan membantu tugasan mencari serta menyelamat di air," katanya.

Skuadron Maritim dianggotai oleh mereka yang berkelayakan dalam mengendalikan bot khas di samping mempunyai kepakaran menyelam, perenang tempur menggunakan CCBA, tinjauan pantai dan menyelamatkan tebusan atas kapal.

Rata-rata anggota skuadron itu mempunyai kepakaran navigasi bawah air semasa melaksanakan latihan dan operasi.

Selepas lulus asas komando, anggota perlu menghadiri kursus pemandu perahu, kursus asas menyelam, perenang tempur (kelas satu hingga tiga) di samping kursus payung terjun membabitkan penerjunan statik dan bebas.

"Anggota yang lulus sebagai perenang tempur kelas satu layak menjadi jurulatih perancang operasi amfibia skala kecil dan penyelia menyelam.

"Secara umumnya mereka yang menganggotai skuadron itu perlu mempunyai kecekalan, kesabaran dan keupayaan fizikal yang tinggi, mereka dipanggil Super Komando, ini kerana hendak menjadi penyelam bukan suatu perkara yang mudah," kata Abdul Samad.

Menceritakan lebih lanjut pengalaman Skuadron Maritim, Abdul Samad berkata, pasukan tersebut pernah terlibat dalam beberapa operasi seperti melawan insurgensi kedua konfrantasi dan mengawal pulau-pulau tuntutan bertindih pada peringkat awal sekitar tahun 80-an.

"Ketika itu, anggota-anggota skuadron ditempatkan di Pulau Layang-Layang dan Laut China Selatan.

"Dalam Operasi Pasir di perairan Sabah, pada peringkat awal Skuadron Maritim membantu mengendalikan bot tempur hingga wujudnya Kompeni Bot Tempur sehingga hari ini," kata Abdul Samad.

Dalam pada itu katanya, melalui Ekspedisi Tour 1Malaysia Sealegs 2009 bersama bot Amphibious Sealegs dari Pantai Timur ke Pantai Barat Semenanjung benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal anggota skuadron tersebut.

Ekspedisi yang disertai 12 komando dari skuadron itu melakar sejarah negara apabila berjaya dicatat dalam World Guinness Book of Records iaitu penjelajahan paling jauh menggunakan bot amfibia.

Ekspedisi tersebut disertai oleh pegawai dan anggota komando pelbagai kaum yang melambangkan gagasan 1Malaysia. Kejayaan itu merupakan kesinambungan daripada ketangkasan yang ditunjukkan oleh anggota Gerak Khas melalui ekspedisi sebelum ini seperti ekspedisi pertama dan merintis jalan pendakian Gunung Everest pada 1997.

Selain itu, anggota Gerak Khas juga terbabit dalam ekspedisi pertama penerjunan menawan Kutub Utara 1998 dan ekspedisi pertama berkenu merentasi Laut China Selatan dari Tanjung Sedeli, Johor ke Kuching, Sarawak pada 2007 membabitkan perjalanan sejauh 760 batu nautika dalam tempoh 17 hari.

1 comment:

Anonymous said...

Info yg sangat menarik!

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini