About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, November 30, 2009

Fikirkan keselamatan perairan

Sumber: Utusan
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
pengarang@utusan.com.my


Ahmad Zahid Hamidi berbual dengan peserta persidangan
selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Maritim
sempena Pameran Udara dan Maritim
Antarabangsa Langkawi (LIMA 09) di Langkawi, semalam.
Turut hadir, Abdul Aziz Jaafar (kiri), Azizan Arrifin (kanan)
dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan,
Datuk Seri Abu Bakar Abdullah. - BERNAMA


LANGKAWI 29 Nov. - Malaysia dan negara jiran tidak seharusnya memberi fokus terhadap masalah tuntutan bertindih melibatkan beberapa kawasan perairan di rantau ini sehingga menyebabkan kegiatan lanun bergerak aktif.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya semua negara terlibat perlu memikirkan cara untuk bekerjasama bagi memastikan kawasan perairan rantau ini selamat daripada ancaman lanun.

"Kerjasama erat penting bagi mengelakkan kegiatan lanun yang berlaku di perairan yang turut mengalami tuntutan bertindih antara beberapa negara jiran.

"Aktiviti lanun terutamanya di kawasan Laut China Selatan kini pada tahap tertinggi bukan lagi konvensional," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Maritim sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 09) di sini hari ini.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Pengerusi HW LIMA Sdn. Bhd., Tan Sri Abdul Wahab Nawi.

Dalam ucaptamanya, Ahmad Zahid mahu semua negara jiran memikirkan cara untuk bekerjasama mengelakkan kegiatan lanun yang berleluasa di Laut China Selatan dan juga di Teluk Aden, Somalia daripada terus bertelagah mengenai tuntutan beberapa kawasan perairan.

"Lanun di Teluk Aden telah bergerak 1,000 batu nautika dari kedudukan mereka. Jadi, negara perlu mengambil berat hal ini bagi memastikan mereka tidak sampai ke Malaysia terutamanya di perairan Selat Melaka yang menjadi laluan utama kapal-kapal dagang," katanya.

Menurutnya, sebelum ini, tuntutan bertindih di beberapa kawasan perairan telah berlaku antara lima negara sehingga menyebabkan tiada pengawasan di kawasan yang mengalami tuntutan itu.

"Jadi pihak lanun beranggapan tiada pihak yang bertanggungjawab untuk mengawasi kawasan tersebut dan memudahkan mereka melakukan aktiviti perlanunan di situ," katanya.

Menurutnya, cara terbaik bagi mengatasi masalah itu adalah dengan memberi perhatian terhadap semangat kejiranan lebih daripada tuntutan terhadap sesuatu kawasan.

Jelasnya, tahun ini sahaja, dua kes kecurian melibatkan kapal-kapal nelayan berlaku di perairan Laut China Selatan.

"Ia tidaklah dikelaskan sebagai perlanunan konvensional. Tetapi kita perlu memberi perhatian kerana aktiviti tidak konvensional seperti kecurian ini juga boleh bertukar menjadi kegiatan perlanunan sekiranya tidak dikawal segera.

"Musuh kita adalah pengganas dan lanun. Jadi, kita perlu bekerjasama mengatasinya bagi memastikan kesejahteraan masyarakat sejagat," katanya.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini