Oleh ANDIKA WAHAB
Mohammed Noordin Ali (tengah) bersama Bashir Abu Bakar (kanan) pada sidang media selepas majlis pelancaran Eksesais Bersama TLDM, TUDM Angsa 4/2009 di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 4 Ogos - Perang siber menjadi elemen terbaru yang diperkenalkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam siri latihan bersama Angkasa Samudera atau Angsa 4 bagi sesi 2009.
Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali berkata, pelaksanaan elemen yang melibatkan aspek keselamatan data maklumat dan pertahanan sistem komputer tersebut adalah reaksi awal kedua-dua cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap kepentingan perang siber.
Katanya, penekanan elemen perang siber dalam latihan kali ini juga bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan para anggota berhadapan dengan sebarang ancaman pada bila-bila masa.
"Bagaimanapun, aplikasi fizikal elemen perang siber dalam operasi bersama ini bergantung kepada senario semasa sepanjang latihan dijalankan.
"Jika mana-mana pihak diancam serangan tersebut, barulah mereka (peserta) semasa operasi bersama tersebut akan menggunakan segala inventori dan kelengkapan untuk memberikan reaksi balas," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Eksesais Bersama TLDM, TUDM Angsa 4/2009 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Bashir Abu Bakar.
Seramai 220 anggota termasuk daripada Tentera Darat sebagai pasukan sokongan terlibat dalam operasi tersebut.
Operasi bersama yang bermula pada 2 Ogos lalu dan berakhir 15 Ogos ini dilaksanakan sepenuhnya di Markas Wilayah Laut 3, Langkawi.
Menurut Mohammed, operasi bersama yang menggunakan konsep Pos Pemerintah (Postah) itu antara lain bertujuan meningkatkan keserasian dalam operasi ketenteraan serta tahap kerjasama profesional para anggota.
"Kerjasama ini diharap menjadi landasan terbaik kepada ATM mengukur tahap keberkesanan melancarkan sebarang operasi maritim dan udara dalam keadaan sebenar.
"Latihan ini juga penting bagi menilai kesiapsiagaan dan menguji tahap keberkesanan sistem P4 iaitu Pemerintahan, Pengawalan, Perhubungan dan Pengkomputeran dalam ATM," katanya.
Mohammed menambah, terdapat beberapa elemen lain yang ditekankan sepanjang operasi bersama seperti latihan serangan dan pertahanan menerusi ruang udara dan maritim, latihan antikeganasan dan operasi mencari serta menyelamat dalam situasi tempur.
Latihan bersama Angsa 4 adalah gabungan dua operasi awal TLDM dan TUDM iaitu Keris Mas dan Angkasa Raya.
No comments:
Post a Comment