About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, July 28, 2009

Malcon West 1 UNIFIL bertaraf batalion

Sumber: Utusan online

TYRE 27 Julai - Setelah berkhidmat selama tiga tahun dalam misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL), kontinjen Malaysia kini dinaik taraf ke tahap batalion.
Pertukaran status itu bermakna peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semakin penting di sini dengan penambahan bilangan anggota terlibat dan keluasan kawasan tanggungjawab yang semakin besar.

Timbalan Komander UNIFIL bagi sektor barat di selatan Lebanon, Kolonel Philip Chorron berkata, penambahan anggota dan kawasan tanggungjawab itu menandakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semakin meyakini peranan Malaysia.
Menurutnya, pengalaman bekerja dengan para pegawai dan anggota ATM merupakan satu penghormatan kerana mereka sentiasa mempamerkan tahap profesionalisme yang tinggi.

''Mereka ternyata berupaya memenangi hati dan minda masyarakat tempatan di selatan Lebanon sekali gus memudahkan penugasan semua kontinjen dan batalion negara terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada sekumpulan wartawan Malaysia selepas menyempurnakan Majlis Serah Tugas di antara Komander Malcon West 1, Leftenan Kolonel Adi Ridzwan Abdullah kepada Komander Malcon East 4, Kolonel Hashim Aman Shah di Kem At-Tiri di sini semalam.
Sementara itu, Hashim berkata, cabaran paling utama dihadapinya kini adalah untuk memastikan anggota ATM dapat meneruskan kecemerlangan kontinjen Malaysia yang terdahulu.

''Selain itu, faktor keselamatan anggota juga menjadi fokus utama saya kerana di kawasan ini sering berlaku pergolakan yang tidak menentu," ujarnya.

Katanya, pengiktirafan Malcon West 1 UNIFIL menandakan Malaysia kini bertanggungjawab ke atas keamanan kawasan di sekitar At-Tiri dengan keluasan 80 kilometer persegi berbanding 40 kilometer persegi sebelumnya.

Penambahan keluasan kawasan tanggungjawab itu, jelas beliau, adalah bagi menampung operasi kontinjen Itali dan Ghana selepas kedua-duanya menarik diri dari sektor berkenaan.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas sebab penarikan diri kedua-dua kontinjen tersebut.

Selain itu jelasnya, penambahan bilangan anggota ATM di sektor barat selatan negara ini daripada 230 orang kepada 440 juga menepati status batalion mengikut ketetapan PBB.

Dalam pada itu, penugasan operasi ATM di sektor timur negara ini iaitu Hasbaiya masih kekal di tahap kontinjen dengan kekuatan anggota seramai 300 orang.

Sektor barat UNIFIL terletak di bawah pemerintahan tentera Perancis sementara sektor timur UNIFIL pula dinaungi pasukan tentera dari Sepanyol. - Utusan

1 comment:

Anonymous said...

MALCON West! Hoo! Yaa!..

Tinggalkan pesanan anda di sini