About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, February 28, 2009

Tambah baik integriti anggota Tentera Darat

Sumber: Utusan online
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

ESOK, Tentera Darat Malaysia (TD) menyambut ulang tahun ke-76. Sebagai ketumbukan paling senior dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), TD telah terlibat dalam pelbagai peristiwa penting dan bersejarah negara.

Pengalaman-pengalaman inilah seharusnya menjadi pemangkin ke arah kelasakan, ketahanan dan maruah ketumbukan itu, selari dengan peranan utamanya bagi mengawal keselamatan dan kedaulatan sempadan darat tanah air.

Menyedari hakikat itu, TD sejak penubuhannya pada 1 Mac 1933 sentiasa melakukan penambahbaikan moral dan integriti para pegawai dan anggotanya.

Kadangkala, disiplin anggota tentera menjadi perbualan utama masyarakat awam yang mengikuti perkembangan pertahanan negara.

Agak klise tetapi relevan apabila khidmat anggota TD sewaktu menjalankan operasi menyelamat mangsa-mangsa runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang pada Disember lalu dipersoalkan.

"Sering makan dan kerap tidur" merupakan antara kritikan yang dilemparkan ke atas anggota-anggota TD yang terlibat. Kenyataan itu nyata bercanggah dengan hasrat pasukan, selain menggambarkan anggota TD tidak memelihara kemudahan dan insentif yang diberikan kerajaan kepada mereka.

Namun, apa sebenarnya berlaku di lokasi adalah sebaliknya. Menyentuh hal itu, operasi menyelamatkan dan mengeluarkan mangsa-mangsa bencana alam sebenarnya merupakan tugas sekunder TD dan ATM.

Dalam sesi wawancara khas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin bersama media sempena sambutan ulang tahun itu baru-baru ini, beliau menjelaskan betapa TD sentiasa berhasrat memodenkan perkhidmatannya.

Beliau menegaskan, program utama yang sedang dirancang ketumbukan itu adalah bagi perolehan kenderaan perisai beroda 8X8 bagi menggantikan kenderaan perisai Condor 4X4 dan Sibmas 6X6.

"Namun kita terpaksa menangguhkannya (pembelian 8X8) kepada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) kerana keadaan ekonomi yang tidak menggalakkan. Sekarang, kita sedang menjalankan program retrofit (pembaikan) ke atas Condor dan Sibmas," jelas beliau.

Penggantian kedua-dua kereta perisai beroda itu dilihat amat penting kerana kedua-duanya diperoleh semasa program Pembangunan Istimewa Angkatan Tentera (Perista) iaitu sekitar pertengahan 1980-an. Dengan usia melebihi 20 tahun sekarang, tidak keterlaluan jika dikatakan kedua-dua varian aset berkenaan telah mencapai tahap 'usang.'

Penggantian mereka juga amat penting kerana keterlibatan Malaysia dalam misi-misi pengaman dan pemerhati di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sering membawa bersama Condor dan Sibmas.

Ini kerana pergerakan kenderaan perisai beroda yang senyap lebih sesuai dibawa dalam misi sedemikian berbanding 'ngauman' kereta perisai berunut atau trek seperti Adnan (ACV) serta kereta kebal Pendekar (PT-91M).

Perlukah kita menunggu sehingga RMK-10 bagi mendapatkan aset strategik tersebut berbanding Singapura yang telah pun memperolehi Terex 8X8 sementara Australia dengan Aslav-nya?

Tugasan dengan PBB harus mencerminkan pemodenan TD dan ATM pada tahap tertinggi. Ini supaya keyakinan PBB dan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia dapat diteruskan.

Friday, February 27, 2009

PERBARISAN DIRAJA DAN PENGURNIAAN WATIKAH TAULIAH UPNM

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Feb 2009.
Oleh: Hamzah Hd

Pada 4 Disember 2008, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sekali lagi telah berjaya merakam detik-detik yang akan di kenang sebagai sejarah di suatu hari nanti dengan melaksanakan suatu tradisi Perbarisan Diraja Dan Pengurniaan Watikah Tauliah kepada Siswa Kelas 2003/2004.

Majlis gemilang ini telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke 13, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Dalam titah ucapan, baginda telah merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang telah bekerjasama rapat dalam merealisasikan penubuhan universiti ini.

Selain ucapan tahniah kepada pegawai-pegawai kadet yang telah berjaya menamatkan pengajian dalam latihan ketenteraan di UPNM, baginda yakin semangat keperwiraan dan ilmu pengetahuan yang dibekalkan telah menyediakan bakal-bakal pegawai sebagai pelapis pemimpin ATM yang berdidikasi dan cemerlang.

Baginda memahami bahawa usaha melahirkan pegawai berwibawa serta berbudaya tinggi menuntut pengorbanan luar biasa dan kesungguhan yang tidak berbelah bagi dari pelbagai pihak.

Baginda yakin UPNM mempunyai kepentingan strategik kepada negara. UPNM bukan sahaja melahirkan the thinking soldiers tetapi juga sebagai institusi untuk melahirkan pemimpin yang akan mengetuai kepentingan pertahanan negara dan juga antarabangsa.

Istiadat ketenteraan ini turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Wira Abu Seman Yusop, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Panglima-panglima dari ketiga-tiga perkhidmatan ATM.

Susunan acara pada hari tersebut ialah pemeriksaan perbarisan oleh DYMM Tuanku, Perbarisan Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan Dan Cepat, Perbarisan Mara Mengadap, Penyampaian Hadiah dan Titah Ucapan. Selesai acara perbarisan di Padang Kawad, Istiadat Pengurniaan Watikah di langsungkan di Dewan Tun Templer.

Anugerah Kecemerlangan

Area Putra bin Ismail telah dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Siswa terbaik keseluruhan bagi pengambilan 2003/20004 dan dianugerahkan Sebilah Pedang dan Piala Seri Perkasa. Beliau anak ke 4 dari 9 adik beradik yang berasal dari Melaka merupakan anak kepada seorang pesara Jabatan Perkhidmatan Awam. Cemerlang dalam pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Makanikal Automotif. Beliau diserap ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dengan berpangkat Kapten.

Pegawai Kadet Siswa Terbaik Tentera Darat, Mohd Fazlisyaah bin Mohd Hasim yang berasal dari Kedah adalah anak ke 3 daripada 10 orang adik beradik telah dianugerahkan Piala Seri Gagah Setia di atas kecemerlangan beliau. Mengikuti pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia. Beliau diserap ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dengan berpangkat Kapten.

Mohd Rozaimi bin Mahmod, Pegawai Kadet Siswa Terbaik Tentera Laut mendalami pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains Nautika. Menyandang pangkat Leftenan TLDM dalam Cawangan Eksekutif telah dianugerahkan Piala Seri Samudera. Berasal dari Padang Serai Kedah merupakan anak pertama dari 3 orang adik beradik.

Piala Seri Angkasa telah dianugerahkan kepada Ahmad Firdaus bin Abdullah sebagai Pegawai Kadet Siswa Terbaik Tentera Udara. Cahaya mata ke 2 dari 5 orang adik beradik merupakan anak kepada pesara Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Menamatkan pengajian akademik dalam bidang Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik/Elektronik dengan menyadang pangkat permulaan Kapten TUDM di Cawangan Kejuruteraan TUDM.

Sejarah Ringkas UPNM Dan Latar Belakang Ringkas Pegawai Kadet Siswa

Misi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), “beriltizam menjadi universiti pertahanan ulung negara yang melahirkan pemimpin dan golongan profesional melalui penyebaran dan penciptaan ilmu yang bersandarkan aplikasi sains dan teknologi pertahanan.”

UPNM ditubuhkan bagi memenuhi keperluan pertahanan negara melalui program kerjasama antara Kementerian Pertahanan dengan Universiti Teknologi Malaysia. Memulakan kombinasi program pengajian di peringkat Sarjana Muda bersama modul latihan ketenteraan dengan pengambilan pertama Akademi Tentera Malaysia (ATMA) pada 1 Jun 1995.

Perluasan peranan mencetus kepada penubuhan UPNM pada 10 November 2006 dengan kumpulan pertama pengambilan pelajar pada sesi 2007/2008.

Pegawai Kadet Kelas 2003, adalah pengambilan yang ke 9 ATMA yang memulakan pengajian pada Mac 2003 dengan jumlah pelajar seramai 297 orang. Kesemua mereka adalah dari jurusan Sains dan Pengurusan. Manakala seramai 109 orang pula adalah daripada jurusan Kejuruteraan yang akan ditauliahkan pada tahun ini. Walaubagaimanapun seramai 52 orang Pegawai Kadet daripada pelbagai jurusan telah pun diberhentikan atas sebab gagal dalam pengajian akademik dan kesalahan tatatertib. Sementara 12 orang lagi masih menyambung pengajian. Seorang Pegawai Kadet telah meninggal dunia dan seorang lagi sedang mengikuti pengajian di Australia Defence Forces Akademi, Canberra di bawah Program Kerjasama Pertahanan (DCP).

Pegawai Kadet Kelas 2004 pula merupakan Pegawai Kadet Pengambilan ke 10 ATMA. Bermula dengan 402 orang Pegawai Kadet telah memulakan pengajian pada 20 Apr 2004, 57 orang telah pun gagal dalam pengajian dan diberhentikan. Mereka terdiri daripada 146 orang Pegawai Kadet dalam jurusan Sains dan Pengurusan manakala 201 orang daripada jurusan Kejuruteraan. Seramai 139 orang dalam jurusan Sains dan Pengurusan telah berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2008 manakala seramai 6 orang lagi akan menyambung pengajian bagi tempoh setahun lagi. Kesemua 201 orang Pegawai Kadet Kelas 2004 dalam jurusan Kejuruteraan pula mengambil tempoh pengajian selama 5 tahun sebelum menamatkan pengajian mereka.

Sepanjang tempoh pengajian di UPNM, mereka telah menjalani Latihan Ketenteraan seperti Latihan Fasa Induksi (LFI) selama 12 minggu dan Latihan Ketenteraan Umum (LKU) pada setiap hari Jumaat dan Sabtu.

Latihan Ketenteraan Perkhidmatan Tunggal (LKPT) pula diadakan semasa cuti akhir semester kedua selama 8 minggu setiap tahun. LKPT ini bermula dengan pendedahan asas ketenteraan yang merangkumi latihan jasmani, kawad, senjata, pengetahuan am perkhidmatan, tugas staf, kepimpinan, akaun rejimen, etika tentera, taktik dan undang-undang tentera. Bagi program pengajian akademik pula mereka mengikuti program ijazah yang ditawarkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Bagi membina keperibadian unggul dan akhlak mulia, semua Pegawai Kadet Siswa dikehendaki mengamal dan mempraktikkan kod kehormatan bersandarkan motto universiti iaitu Duty, Honour and Intergrity sepanjang pengajian di UPNM. Di samping itu untuk melahirkan semangat setiakawan dan juga persaingan yang sihat di atara Pegawai Kadet, acara-acara ketenteraan dan sukan juga dipertandingkan di peringkat Task Force. Antara acara-acara tersebut ialah sukan bola sepak, ragby, merentas desa, merentas halangan, jalan laju, bola tampar. bola jaring renang dan lain-lain. PERAJURIT

Monday, February 23, 2009

Prebiu Majalah Perajurit Mac 2009

Sumber: forum gempurwira

Beret Kehormat GGK buat PM
Unit Lawan Keganasan - ULK
PASKAU CTT
Maritim Malaysia terima CL-145
MP Ekspo Kerjaya ATM
PUTD
TIGER FORCE
Merentas Samudera Bersama Maritim Malaysia
Kekuatan Pertahanan
KESBAN
Ancaman Alaf Baru
Poster Cun Giler!!!
Banyak lagi artikel lain akan berada dipasaran pada minggu pertama Mac ini

Sunday, February 22, 2009

Lebih percaya warga Nepal berbanding rakyat sendiri

Sumber:Utusan online

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Masyarakat negara ini lebih rela meletakkan keselamatan diri dan harta benda di tangan warga asing berbanding rakyat tempatan sendiri.

Itulah puncanya mengapa permintaan pengawal keselamatan warga Nepal jauh lebih tinggi berbanding pengawal keselamatan tempatan.

Menjadi satu persepsi pengawal warga Nepal lebih setia, amanah dan rajin. Pengawal tempatan pula dianggap tidak mempunyai komitmen kerja sebaik pengawal dari rantau Asia Selatan itu.

Presiden Persatuan Kawalan Keselamatan Malaysia, Shaheen Mirza Habib berkata, hampir setiap pelanggan mahukan pengawal Nepal dan lebih menarik, mereka bersedia membayar berapa sahaja harga yang ditetapkan.

Harga tidak menjadi isu, tetapi apa yang lebih penting bagi kebanyakan pelanggan, katanya, pengawal yang menjaga harta benda dan keselamatan mereka mestilah warga Nepal.

"Kalau kita katakan kita ada pengawal keselamatan warga tempatan bekas tentera pun, mereka (pelanggan) tetap mahukan pengawal Nepal," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Shaheen berkata, latar belakang ketenteraan di negara asal menyebabkan rakyat tempatan lebih yakin terhadap pengawal keselamatan dari Nepal.

Rakyat Nepal umumnya menjalani program khidmat negara yang melatih mereka menjadi tentera selama beberapa tahun.

Sementara itu, pengawal keselamatan yang diambil bekerja di negara ini pula disyaratkan memiliki minimum lima tahun pengalaman sebagai tentera di negara mereka.

Jumlah keseluruhan pengawal warga Nepal yang memiliki kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri kini adalah seramai 5,400 orang, tetapi jumlah itu belum mampu memenuhi permintaan rakyat tempatan.

"Kalau digandakan jumlah itu pun belum dapat menampung bilangan permintaan yang kami terima," katanya.

Pengawal warga tempatan adalah seramai hampir 85,000 orang.
Katanya, gaji yang diterima pengawal Nepal adakalanya mencecah hingga RM1,500 sebulan, melebihi pengawal tempatan.

Justeru, soal pembayaran gaji rendah atau tinggi dalam kalangan pengawal asing dan tempatan tidak wujud.

Siapa yang rajin bekerja akan membawa pulangan yang lebih.
Kehadiran pengawal warga Nepal lebih terarah kepada memenuhi permintaan rakyat tempatan dan memenuhi kekurangan pengawal keselamatan.

Jelas beliau, walaupun memiliki asas ketenteraan yang kukuh, tetapi pengawal keselamatan warga Nepal bukan satu ancaman di negara ini.

Katanya, ia adalah kerana bilangan mereka terlalu kecil dan mereka hanya bersikap datang kerja, kumpul duit dan pulang selepas beberapa tahun.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar kelmarin bimbang dengan kehadiran 300,000 warga Nepal di negara ini mampu menimbulkan masalah keselamatan.

Saturday, February 21, 2009

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

Sumber: Utusan online

Hakikat bahawa terdapat 300,000 pengawal keselamatan asing terutama dari Nepal di negara ini perlu dipandang serius sekurang-kurangnya dari aspek keselamatan dan suasana ekonomi semasa negara.

Angka itu yang melebihi jumlah anggota polis dan tentera kita, boleh mendatangkan kesan terhadap keselamatan. Apatah lagi apabila mengambil kira pengawal keselamatan dari Nepal itu mempunyai latar belakang pendidikan ketenteraan.

Oleh itu, Awang amat bersetuju apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar mahu menimbang untuk membekukan pengambilan warganegara Nepal bagi tujuan berkenaan.
Amatlah wajar, dalam memenuhi permintaan guna tenaga pelbagai sektor, pertimbangan utama ialah memberi ruang kepada pekerja tempatan.

Formula perlu dicari bagi menarik minat penduduk tempatan menceburi bidang-bidang yang kurang digemari.

Awang percaya dalam keadaan ekonomi sekarang, yang menyaksikan pengurangan pekerja dalam sektor-sektor tertentu termasuk pembuatan dan elektronik, akan memudahkan usaha tersebut dilakukan yang akhirnya boleh memperbetulkan jumlah pekerja tempatan dan asing mengikut nisbah yang wajar.

Awang – Percaya kita boleh!

Saturday, February 14, 2009

Tingkatkan keupayaan ATM

Sumber: Utusan online

Oleh SAHBULAH DARWI
pengarang@utusan.com.my

MERSING 13 Feb. – Angkatan tentera perlu meningkatkan keupayaan perkhidmatan secara bersepadu dengan memberi fokus mengembangkan potensi serba boleh setiap anggotanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ia boleh dilakukan dengan memberi penekanan terhadap aspek integriti dan saling bekerjasama dalam perkhidmatan ketiga-tiga sayap angkatan itu.

“Sesuai dengan pendekatan ini, Grup Gerak Khas (GGK) terutamanya perlu melalui proses transformasi dengan perolehan aset mestilah berasaskan teknologi terkini di samping pembangunan modal insan yang berkualiti,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berucap semasa melawat Kem Iskandar sempena majlis penganugerahan Beret Hijau Kehormat kepadanya di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Panglima 21 GGK, Datuk Awie Suboh.

Abdullah berkata, pasukan tersebut perlu terus mengekalkan keupayaan untuk diatur gerak dengan tangkas, sentiasa bersedia dan profesional dalam mematahkan ancaman musuh.

‘‘Saya yakin semua ini telah dilatih untuk melaksanakan tugas. Pengalaman saudara dalam peperangan melawan pemberontakan perlu dikekal dan dipertajamkan,” katanya.

Selain itu, Abdullah mengingatkan anggota tentera supaya tidak mengabaikan tugas-tugas sampingan.

Beliau berkata, ia antaranya membantu polis dan pihak berkuasa awam dalam memelihara ketenteraman dan menjalankan operasi anti keganasan dari semasa ke semasa.

“Hubungan baik antara anggota dan pihak berkuasa awam serta agensi kerajaan perlu dikekalkan dan diperbaiki lagi,” katanya.

Abdullah memuji pasukan GGK yang mengharumkan nama Malaysia semasa bertugas di luar negara khususnya di Bosnia dan Somalia sewaktu beliau menjadi Menteri Luar, dulu.

Justeru, beliau menyeru agar pasukan tersebut mengekalkan kecemerlangan yang menjadi kebanggaan rakyat negara ini.

Saturday, February 7, 2009

Latihan komando bukan zalim

Sumber: Forum utusan online
Oleh: WARISAN 27643
Kota Bharu, Kelantan

KLIP video latihan keras unit komando yang tersiar dalam Buletin Utama TV3 pada 3 Februari lalu pasti menimbulkan banyak persepsi positif dan negatif. Umum sememangnya faham bahawa anggota komando adalah anggota tentera terbaik negara dan setanding dengan US Green Barret, British SAS, GIGN, Spetsnaz dan seumpamanya.

Negara memang memerlukan anggota komando yang berkualiti dan mampu melaksanakan misi-misi sulit yang mencabar.

Tidak adil sama sekali untuk mengatakan bahawa latihan-latihan ketenteraan yang diamalkan adalah satu kezaliman.

Malah bagi setiap anggota tentera,latihan semasa aman adalah satu kebajikan untuk mereka sebelum menghadapi peperangan yang sebenar. Tidak ada istilah human rights semudah takrifan umum dalam peperangan.

Dalam pertempuran, sekiranya seseorang tentera tidak membunuh atau menawan musuhnya, macam mana beliau akan mempertahankan kedaulatan negara tercinta?

Namun setiap anggota tentera Malaysia sememangnya telah diterapkan etika peperangan Islam yang memelihara hak awam sewaktu peperangan.

Latihan komando bukannya latihan ala permainan paintball. Penyertaan ke unit komando adalah secara sukarela dan mereka yang tidak sanggup mengharungi cabaran boleh menarik diri pada bila-bila masa sewaktu latihan asas komando.

Hasilnya hanya mereka yang layak sahaja akan bergelar komando. Seterusnya truper-truper ini akan dilatih secara berterusan dengan kepakaran tertentu dan soal kualiti serta komitmen tidak ada kompromi sama sekali.

Setelah kepakaran lanjutan lima hingga lapan tahun barulah anggota truper terbabit boleh dikatakan matang dalam dunia komando.
Angkatan Tentera Malaysia memang menitik beratkan keselamatan di tempat kerja dan latihan.
Pemeriksaan kesihatan holistik untuk setiap anggota ATM diadakan secara berkala setiap dua hingga empat tahun sekali mengikut peringkat umur.

Setiap anggota yang akan menyertai sebarang latihan khusus pula akan menjalani pemeriksaan kesihatan yang teliti terlebih dahulu oleh doktor.

Anggota yang tidak cergas akan dihalang menyertai latihan tersebut.
Seterusnya sepanjang sesi latihan komando anggota paramedik ATM akan mengawasi tahap kesihatan fizikal dan psikologi setiap pelatih sepanjang masa dan memberi rawatan segera jika berlaku kecederaan serta merujuk pesakit kepada doktor dengan segera.

Adalah tidak adil untuk mereka yang di luar organisasi ATM untuk mengecam latihan yang dijalankan setelah menonton video klip tersebut dan mengatakan ATM mengabaikan keselamatan dan kebajikan anggotanya.

Insiden ini harus dijadikan iktibar kepada kepimpinan dalam ATM agar aspek kerahsiaan dalam latihan dan operasi diperkemaskan.

Adalah dicadangkan pengharaman penggunaan telefon bimbit dan kamera digital sewaktu latihan dan operasi bagi mengelakkan sebarang pembocoran maklumat sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Polisi pengharaman mengambil gambar di kawasan tentera harus diperketatkan kerana banyak gambar berkaitan ATM tersebar di laman web seperti MilitaryPhotos.Net dan seumpamanya.
Ada di antara gambar tersebut memaparkan wajah anggota komando Malaysia dan ini pasti menafikan elemen kerahsiaan dan keselamatan anggota tersebut.

Justeru diharap pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan terhadap suara-suara yang cuba mengganggu-gugat pertahanan negara dengan berselindung di sebalik perjuangan membela hak asasi manusia.

Kita tidak mahu berlaku penyusupan agen-agen asing ke dalam NGO di negara ini untuk melemahkan pertahanan negara ini seperti yang telah berlaku di Amerika Latin dahulu.
Cawangan peperangan dan perisikan elektronik hendaklah sentiasa memantau blog-blog yang membincangkan isu-isu pertahanan negara agar tidak bercambah pemikiran negatif terhadap dasar pertahanan negara.

Kepada para warga ATM anda adalah wira negara tidak kira apa peranan anda. Tentera benteng pertahanan negara.

Monday, February 2, 2009

PSSTLDM - VISI DAN PENCAPAIAN

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Jan 2009
Oleh: Hamzah Hd.

Kesiapsiagaan yang direncanakan di dalam perkhidmatan pertahanan negara sebenarnya telah mengambil kira semua suasana samada masa aman maupun masa gawat. Peranan masa aman dan masa perang telah digariskan dengan jelas dan terperinci di atas kertas serta diterjemahkan dengan jelas dengan penglibatan ATM dalam menangani peperangan dalam negara sejak belum merdeka, era konfrontasi, insugensi, pemerhati dan pengaman PBB dan bantuan kemanusiaan dalam negara dan luar negara yang sememamngnya sangat dibanggakan oleh seluruh rakyat jelata dan penghormatan dari negara-negara luar.

Pada 27 Apr 2009 merupakan tarikh genap TLDM berusia 75 tahun yang mana tarikh Jubli Intan ini sangat bermakna untuk dijadikan kayu pengukur kepada kejayaan TLDM mengawal perairan negara dari segala bentuk ancaman yang bersifat provokatif ketenteraan dan juga mengawal hasil mahsul dari sumber maritim bersama agensi-agensi penguatkuasaan yang lain dari dicerobohi oleh anasir-anasir yang ingin sama mengaut keuntungan ekonomi dan kekayaan negara.

Rakyat sebenarnya perlu berterima kasih kepada TLDM kerana telah berjaya mengekang segala bentuk ancaman yang datang dari laut yang mana telah menyelamatkan billion ringgit sumber ekonomi negara sepanjang usia TLDM. Khalayak tentu maklum bahawa Selat Melaka merupakan laluan dagangan yang sangat penting dan tersibuk di dunia.

Memberi keyakinan dan perlindungan keselamatan kepada kapal-kapal yang melalui Selat ini telah menjadi tanggungjawab dan ternyata TLDM telah berjaya melakukannya walaupun TLDM agak ketinggalan dari segi pemilikan aset-aset strategik satu ketika dahulu. Dengan kekangan keanggotaan yang tidak mencukupi TLDM tidak mudah menyerah dan sentiasa mendukung misi yang diamanahkan.

Menjelang sambutan Jubli Intan penubuhan, TLDM sudah boleh tersenyum kerana perolehan aset pemukul permukaan dan bawah permukaan sudah berada dalam genggaman. Sementara bac kedua New Generation Patrol Vessel (NGPV) dan kelengkapan sebenar NGPV di instalasikan secara maksima di masa akan datang usaha memburu beberapa lagi aset yang sangat penting seperti Multy Role Support Ship (MRSS), frigat/frigat bac kedua dan helikopter Anti Submarine Warfare (ASW) yang masih lagi diselubungi tanda tanya bila akan diumum perolehannya.

Mencukupkan sekurang-kurangnya enam buah kapal bagi setiap skuadron kombatan menjadikan angka yang ideal untuk TLDM menjaga keluasan perairan negara dengan lebih tenang dan terkawal. Disokong oleh dua buah kapal selam Scorpene yang menjadi pengintip dan pemukul bawah permukaan dan Airborne Early Warning And Control (AEW&C) yang menjadi pengintip dan pelapor musuh di ruang udara akan menjadikan pertahanan negara mapan dan dinamik.

Ketumbukan Bantuan - Pasukan Simpanan Sukarela

Kesempatan kali ini penulis ingin fokuskan kepada ketumbukan barisan kedua TLDM yang mana penubuhannya sangat signifikan dan diyakini akan dapat membantu menjayakan misi dan visi TLDM dan negara jika berlaku kegawatan keselamatan dalam negara terutamanya untuk keutuhan pertahanan pangkalan dan lokasi-lokasi strategik.

Sejarah penubuhan Pasukan Simpanan Sukarela (PSSTLDM) bermula pada 1934 dengan nama Straits Settlement Naval Volunteer Reserve (SSNVR) di Singapura oleh kerajaan British bagi membantu mengatasi pergolakan di dalam wilayah perairan Semenanjong Malaysia semasa Perang Dunia Kedua meletus. Sejarah ini juga adalah merupakan tarikh permulaan bagi penubuhan TLDM yang sudah menjangkau usia 75 tahun kini.

PSSTLDM terkini telah dibangun dengan keanggotaan terdiri dari dua komponen utama iaitu Simpanan Sukarela (SS) dan Simpanan Angkatan Tetap (SAT). Keanggotaan SAT terdiri dari pegawai dan anggota TLDM yang diwajibkan memasuki pasukan simpanan setelah tamat perkhidmatan. Walaubagaimanapun komponen ini belum ditubuhkan dan perlembagaan masih menunggu kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara. Komponen Simpanan Sukarela terbahagi kepada 4 kategori yang mana semua penyertaannya adalah secara sukarela iaitu:

Kategori Pilihan. Penyertaan dari penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebagai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES-Laut) manakala penuntut Pusat Latihan Kemahiran sebagai Pasukan Latihan Anggota Simpanan (PLAS).

Kategori Pakar. Mereka yang terdiri daripada individu awam yang berkepakaran serta berkemahiran di dalam bidang limbungan, pelabuhan dan perkapalan yang mana diserap kepada pangkat pegawai atau LLP mengikut kelayakan masing-masing.

Kategori Khusus. Mereka yang terdiri daripada individu awam yang mempunyai kepakaran khusus seperti psikiatri, psikologi, perubatan bawah air, anggota marin laut perikanan dan kepakaran lain yang berkaitan yang juga ditawarkan mengisi perjawatan pegawai atau LLP yang sesuai dengan kelayakan.

Kategori Sukarela Biasa. Terdiri daripada individu awam sama ada golongan profesional dan bukan profesional.
Setiap komitmen pegawai/anggota PSS akan diberi imbuhan mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh kerajaan seperti elaun latihan, tempatan, elaun latihan lanjutan, elaun latihan khemah tahunan, elaun sagu hati (bounty), elaun pakaian seragam apabila ditauliahkan, elaun pakaian istiadat sekiranya memohon, pakaian dan peralatan asas ketenteraan secara percuma, pengangkutan, sajian dan penginapan percuma semasa menghadiri latihan.
Mereka yang aktif juga berpeluang mengikuti lawatan operasi ke luar negara dengan kapal-kapal TLDM dan menikmati semua keistimewaan yang diterima oleh anggota tetap seperti ransum percuma, elaun pakaian panas dan elaun pelabuhan. Peluang ini telah memberi pengetahuan dan pengalaman tambahan yang tidak mudah diperolehi sekiranya seseorang itu bukan seorang pegawai atau lasykar tetap. Secara automatik mereka mempunyai kelayakan profesional tambahan yang diiktiraf oleh kerajaan.
Setakat ini negara sudah cukup gah dengan pencapaian penubuhan unit-unit
Simpanan Sukarela yang terdiri daripada 4 unit PSSTLDM bertauliah iaitu KD SRI MANJUNG, KD SRI MEDINI, KD SRI KLANG, KD SRI PINANG.

6 unit Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSTL) iaitu PSTL Chendering, PSTL Kuantan, PSTL Kuching, PSTL Labuan, PSTL Sandakan, PSTL Tawau.

7 unit PALAPES-Laut iaitu Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu.

4 unit PLAS iaitu Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah, Politeknik Johor Bharu, Institut Kemahiran MARA Manjung, Politeknik Matang, Kuching dan satu unit Pakar (Limbungan).

Jika dikira dengan jumlah unit yang telah tertubuh dan jumlah keanggotaan yang ada, sasaran TLDM untuk menjadikan nisbah satu anggota PSS bersamaan 3 anggota tetap (1:3) yang mana 75 peratus dari SS dan 25 peratus dari SAT (bila diimplemen) sehingga tahun 2010 boleh dikira telah mencapai sasaran untuk membantu TLDM dalam mencapai misi PSSTLDM iaitu menyedia sumber manusia simpanan yang kuat semangat juang, berkemahiran dan mempunyai kecekapan menepati kehendak TLDM.

Walau bagaimanapun memandangkan sambutan untuk menjadi sukarelawan ini mendapat sambutan, dan peningkatan ancaman glokal, maka nisbah yang ada perlu ditambah dari masa ke semasa dalam usaha mendedahkan rakyat kepada kemahiran ketenteraan yang akan kembali memberi pulangan dalam bentuk keupayaan pertahanan menyeluruh (HANRUH).

Keperluan penugasan PSSTLDM sebenarnya tidak boleh dipandang ringan kerana dengan kekuatan anggota tetap yang ada pada sesuatu masa, hanya boleh menampung keperluan di kapal-kapal yang mana bila-bila masa sahaja akan mengalami pengurangan dan memerlukan penggantian segera komplimen yang kompeten. Dalam suasana ketegangan yang berlarutan, kitaran anggota yang bertugas di kawasan-kawasan operasi perlu dibuat pertukaran yang kerap di atas faktor-faktor moral.

Dalam keadaan ini pertahanan pangkalan tidak lagi sesuai untuk dibebankan kepada anggota tetap yang mempunyai kepakaran khusus di kapal-kapal. Sementara di pangkalan mereka yang berkepakaran taktikal mesti menumpukan kepada penajaman taktikal untuk menghadapi manipulasi peperangan maritim dalam kitaran berikutnya. Sementara kepakaran teknikal dapat memberi bantuan teknikal kepada kapal-kapal yang memerlukan pembaikan segera makanikal dan ekuipmen. Dengan cara ini krew yang sudah beberapa ketika agak ‘lemas’ di lautan dapat dikurangkan bebanan dan tekanan semasa stand off dan tumpuan boleh diberikan kepada kebajikan anggota keluarga.

Peranan dan tugas

Peranan yang digariskan untuk pasukan ini sangat jelas yang mana menyamai peranan yang dimainkan oleh TLDM sendiri semasa perang/darurat iaitu membantu angkatan tetap TLDM dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab mempertahankan kepentingan strategik negara di samping membantu TLDM dalam tugas-tugas operasi keselamatan dalam negeri dan juga bersama TLDM membantu pihak berkuasa awam semasa bencana alam dan kecemasan awam lain.

Kemungkinan yang boleh diambil iktibar ialah suasana kecelaruan politik hari ini yang bila-bila masa sahaja boleh berlaku ketidakpuasan hati sektor-sektor perkhidmatan yang memangkin kepada berlaku mogok oleh pekerja-pekerja yang mengendali sesuatu perkhidmatan seumpama pelabuhan, feri, bas, keretapi dan lain-lain.

Jika ini berlaku akan memudaratkan kehidupan rakyat lain yang tidak bersalah dan secara langsung akan mencetus pergolakan yang lebih besar. Justeru itu ketumbukan bantuan ini sangat penting untuk menentukan jentera-jentera utama yang menjadi nadi kehidupan negara tidak terjejas perkhidmatan dengan cara pengambialihan operasi oleh pasukan ini yang telah sedia terlatih .

Secara khususnya di antara tugas Pasukan Simpanan TLDM ialah:
* Sebagai anggota tambahan di laut dan pangkalan TLDM dalam perjawatan dan kepakaran tertentu.

* Pengintipan tempat strategik maritim yang dijangka akan dikhianati musuh dengan memasang ranjau dan periuk api serta mengawasi kawasan pelabuhan dan dermaga, termasuk meronda laluan keluar/masuk laut (sea approaches).

* Mereka dikehendaki bertindak sebagai pengawal pos keselamatan di pangkalan TLDM. Menyediakan beberapa Pasukan Penyapu Periuk Api Bot Keselamatan (PPBK – Minesweeping teams of opportunity vessels) bagi pembersihan kawasan laluan keluar/masuk laut (sea approaches).

* Mengawal dan mengurus perkhidmatan pelabuhan di pelabuhan strategik. Tugas ini akan dipertangggungjawabkan kepada Simpanan Sukarela Pakar Pelabuhan. Mengawal dan mengurus perkhidmatan pelabuhan di pangkalan TLDM.

* Mengendalikan rumah api. Tugas ini akan dipertanggungjawabkan kepada Simpanan Sukarela Khusus – Jabatan Laut.

Namun apa yang pasti latihan familiarisasi kepada tugas hakiki yang dibuat oleh pasukan ini mungkin belum menyeluruh dan mungkin bentuk latihan seperti ini belum ada keperluan mendesak untuk dilaksanakan memandangkan kestabilan negara yang kita nikmati.

Walau bagaimana pun penulis yakin bahawa kontijensi plan ke arah itu sudah tersedia sebaiknya. Jika dinilai kepada kepelbagaian pendedahan yang perlu diisi untuk memberi kepuasan moral kepada anggota PSS adalah lebih molek jika Cawangan Pasukan Simpanan TLDM mula memberi perhatian ke arah itu.

Polemik semasa

Polemik semasa adalah timbul rasa ketidakpuasan hati dari kalangan PSS kerana mereka merasakan kehadiran mereka tidak diterima sepenuhnya oleh anggota tetap. Ini dapat dilihat daripada akronim PSS yang banyak diterjemahkan secara sinikal seperti `Pasukan Suka Suka`, `Pasukan Submarine’ dan juga boleh dinilai daripada kejujuran mark of respec dari anggota lain-lain pangkat (LLP) regular kepada pegawai simpanan tidak berlangsung sewajarnya.

Tiada siapa yang boleh memberi jawapan yang tepat dalam persoalan ini kerana ‘pernghormatan’ biasanya lahir dari dalaman yang ikhlas dari mana-mana anggota bawahan kepada seseorang anggota terkanan di dalam perkhidmatan ATM berdasarkan kematangan dan kewibawaan seseorang anggota/pegawai itu sendiri. Selebihnya dalam sesuatu keadaan, ‘penghormatan’ memerlukan paksaan melalui latihan dan amalan penguatkuasaan disiplin oleh anggota/pegawai itu sendiri terhadap anggota bawahannya dengan berpandukan peraturan yang telah digazetkan di dalam akta ATM (1972).

Suasana ini juga berlaku kemungkinan ada kaitan dengan ketaatan atau konsistensi anggota dan pegawai yang pernah berdaftar dengan PSSTLDM mengikuti segala aktiviti yang dianjurkan dari mula sehingga tempoh persaraan mereka.

Komitmen dan kehadiran sebahagian daripada anggota/pegawai PSS yang tidak konsisten telah banyak mengganggu kelancaran perencanaan untuk peningkatan skil individu PSS oleh pasukan yang terbabit dan pengurusan pembangunan keseluruhan oleh Cawangan Pasukan Simpanan Markas Tentera Laut (MkTL).

Lebih malang lagi ada sebahagian daripada anggota PSS yang sudah langsung tidak menjenguk atau mempedulikan pasukan lagi. Masalah kekangan daripada majikan menjadi faktor utama permasalahan komitmen anggota PSS terhadap aktiviti.

Bagi mereka yang bekerja sendiri atau jabatan kerajaan yang memahami tidak banyak memberi masalah dalam polemik ini tetapi bagi jabatan swasta, kekangan demi kekangan sangat mencabar kesabaran mereka untuk membuat sesuatu keputusan positif.

Meskipun ada akta yang digubal khusus kepada majikan yang gagal melepaskan pekerjanya mengikuti latihan atau aktiviti berkala PSS namun kedua-dua belah pihak tidak mengguna pakai akta ini dengan sebaik-baiknya.

Namun benar juga pendapat sesetengah pihak yang mengatakan dalam masa aman, penguatkuasaan tanpa diplomasi di antara dua pihak akan menjejaskan kebajikan pekerja itu sendiri seperti kenaikan pangkat, gaji, bonus dan suasana kerja yang kondusif. Faktor-faktor sebeginilah yang menjadi dilema yang melunturkan minat anggota.

Alasan kelunturan semangat dan konsistensi mereka juga mempunyai kaitan dengan modiul latihan dan silibus yang diajar. Tambah memburukkan lagi keadaan ialah `layanan’ atau dengan kata yang lebih tepat lagi ialah kekurangan jurulatih-jurulatih yang sepatutnya menjadi tenaga pengajar dan ketiadaan tenaga pengajar yang betul-betul berkaliber untuk mengajar dan mengisi keperluan yang mereka ingin pelajari terutamanya di kalangan pegawai-pegawai PSS.

Mereka mengharapkan pegawai-pegawai regular yang mempunyai kepakaran khusus untuk membimbing mereka tetapi hasrat itu tidak tercapai. Mereka banyak belajar dari senior-senior PSS yang mana juga tidak begitu mahir selok belok navigasi dan seumpamanya.

Bila sesekali mereka turun ke kapal, mereka agak kekok untuk sama-sama bertugas mengendalikan kapal kerana perasaan rendah diri masih menguasai dan ini menzahirkan jurang pemisah antara pegawai PSS dan pegawai regular yang agak ketara.

Anggota-anggota SAT yang ada sepatutnya boleh mengisi kekosongan tenaga pengajar bagi sesetengah kepakaran juga dilihat gagal berperanan yang mana kemungkinan tidak mempunyai kemahiran yang maksima seperti mana yang diperlukan. Maka kehadiran mereka juga dilihat sekadar ingin memenuhi tuntutan (jika hadir) dengan mewujudkan `warung` yang melekakan dari tujuan sebenar.

Akhirnya polemik dingin antara pasukan dan anggota seperti `ayam dengan telor` yang masing-masing menunding siapa yang menjadi punca kelemahan yang berlaku dalam PSS. Kata mereka, walaupun banyak program-program pembangunan latihan di lakukan sepanjang tahun bagi memenuhi kalendar aktiviti PSS tetapi program-program yang direncanakan dilihat sebagai melepas batuk ditangga oleh pihak pengendali program.

Banyak lagi ruang yang diperuntukan untuk latihan telah disia-siakan dengan alasan dan faktor-faktor di atas di samping kurang penekanan dan pengawalan di lokasi latihan. Kehadiran anggota di latihan mingguan tidak diisi sempurna dengan aktiviti bermanfaat.

Selain dari minat yang mendalam, anggota dan pegawai PSS yang terpilih sebenarnya mempunyai kualifikasi akademik yang setanding malah ramai pegawai-pegawainya adalah dari golongan profesional dalam bidang-bidang tertentu.

Adakalanya mereka merasakan kumpulan mereka tidak diberi pendedahan yang sesuai dengan pemikiran mereka yang mana mereka memerlukan pendedahan yang lebih. Perkongsian idea dari dalam dan luar kotak regimental perkhidmatan mungkin boleh mencetus sesuatu evolusi pembangunan TLDM itu sendiri jika diberi ruang, peluang dan dorongan yang betul.

Kesimpulan/cadangan

Natijah kepada kewujudan pasukan simpanan ini bukan sahaja dilihat dari segi pengeluaran sumber manusia di kala terdesak (perang dan sebagainya), tetapi ianya juga meliputi sebagai satu langkah, cara dan platfom bagi negara memupuk semangat rakyatnya cintakan negara.

Realitinya anggota PSS ini sangat bangga menjadi sebahagian daripada warga TLDM. Mereka menyertai PSS kerana ingin turut sama bertanggungjawab mempertahankan negara walaupun diberi peranan skunder.

Pemantapan seseorang PSS untuk setanding dengan anggota tetap, memerlukan ilmu dan pendedahan yang semestinya menuntut komitmen yang tidak berbelah bagi kepada anggota itu sendiri, pasukan yang menaungi dan cawangan yang menggubal dasar, mengawal selia untuk latihan, sukatan pelajaran dengan menganalisis keberkesanan doktrin, konsep dan teknik latihan anggota PSS sesuai dengan perolehan semasa aset dan kelengkapan TLDM.

Untuk menentukan pasukan ini setara, persediaan intensif perlu digerakkan dengan penambahbaikan pembangunan prasarana dan tempat latihan yang lebih sistematik kemudian disusuli dengan latihan di pangkalan dan di kapal perang sebenar sekerap mungkin untuk familiarisasi khusus sesuatu kepakaran yang menjurus kepada matlamat dan tugas PSS. Dengan harapan, suatu masa yang diperlukan kelak pasukan ini boleh berdikari dan boleh digerakkan bersama angkatan tetap.

Bagi pengambilan anggota baru sebaiknya kriteria yang mesti diambil kira oleh sel pengambilan ialah berdasarkan kemudahan seseorang calun untuk menghadirkan diri di dalam latihan dan setiap aktiviti yang dianjurkan sepanjang tahun dengan mewajibkan setiap calun membawa dokumen pelepasan dari majikan yang membenarkan beliau untuk aktif dalam latihan.

Selain daripada itu mewujudkan aktiviti dua hala antara unit PSS dan majikan anggota dengan mengadakan aktiviti pelayaran, menembak dan sebagainya di samping memberi kredit kepada majikan/firma yang banyak memberi pelepasan untuk aktiviti pekerjanya.

Hakikatnya, di samping menuntut perubahan ke arah penambahbaikan, semua lapisan anggota PSS terlebih dahulu mesti bersedia dan menyediakan diri sendiri ke arah yang lebih positif untuk kecermerlangan diri dengan memberi komitmen proaktif kepada pasukan. Slogan SEDIA BERKORBAN tidak semudah diucap dan bukan hiasan untuk disemat, tetapi menuntut anggotanya berkorban apa saja demi ugama dan tanahair. PERAJURIT

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini