About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, February 2, 2009

PSSTLDM - VISI DAN PENCAPAIAN

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Jan 2009
Oleh: Hamzah Hd.

Kesiapsiagaan yang direncanakan di dalam perkhidmatan pertahanan negara sebenarnya telah mengambil kira semua suasana samada masa aman maupun masa gawat. Peranan masa aman dan masa perang telah digariskan dengan jelas dan terperinci di atas kertas serta diterjemahkan dengan jelas dengan penglibatan ATM dalam menangani peperangan dalam negara sejak belum merdeka, era konfrontasi, insugensi, pemerhati dan pengaman PBB dan bantuan kemanusiaan dalam negara dan luar negara yang sememamngnya sangat dibanggakan oleh seluruh rakyat jelata dan penghormatan dari negara-negara luar.

Pada 27 Apr 2009 merupakan tarikh genap TLDM berusia 75 tahun yang mana tarikh Jubli Intan ini sangat bermakna untuk dijadikan kayu pengukur kepada kejayaan TLDM mengawal perairan negara dari segala bentuk ancaman yang bersifat provokatif ketenteraan dan juga mengawal hasil mahsul dari sumber maritim bersama agensi-agensi penguatkuasaan yang lain dari dicerobohi oleh anasir-anasir yang ingin sama mengaut keuntungan ekonomi dan kekayaan negara.

Rakyat sebenarnya perlu berterima kasih kepada TLDM kerana telah berjaya mengekang segala bentuk ancaman yang datang dari laut yang mana telah menyelamatkan billion ringgit sumber ekonomi negara sepanjang usia TLDM. Khalayak tentu maklum bahawa Selat Melaka merupakan laluan dagangan yang sangat penting dan tersibuk di dunia.

Memberi keyakinan dan perlindungan keselamatan kepada kapal-kapal yang melalui Selat ini telah menjadi tanggungjawab dan ternyata TLDM telah berjaya melakukannya walaupun TLDM agak ketinggalan dari segi pemilikan aset-aset strategik satu ketika dahulu. Dengan kekangan keanggotaan yang tidak mencukupi TLDM tidak mudah menyerah dan sentiasa mendukung misi yang diamanahkan.

Menjelang sambutan Jubli Intan penubuhan, TLDM sudah boleh tersenyum kerana perolehan aset pemukul permukaan dan bawah permukaan sudah berada dalam genggaman. Sementara bac kedua New Generation Patrol Vessel (NGPV) dan kelengkapan sebenar NGPV di instalasikan secara maksima di masa akan datang usaha memburu beberapa lagi aset yang sangat penting seperti Multy Role Support Ship (MRSS), frigat/frigat bac kedua dan helikopter Anti Submarine Warfare (ASW) yang masih lagi diselubungi tanda tanya bila akan diumum perolehannya.

Mencukupkan sekurang-kurangnya enam buah kapal bagi setiap skuadron kombatan menjadikan angka yang ideal untuk TLDM menjaga keluasan perairan negara dengan lebih tenang dan terkawal. Disokong oleh dua buah kapal selam Scorpene yang menjadi pengintip dan pemukul bawah permukaan dan Airborne Early Warning And Control (AEW&C) yang menjadi pengintip dan pelapor musuh di ruang udara akan menjadikan pertahanan negara mapan dan dinamik.

Ketumbukan Bantuan - Pasukan Simpanan Sukarela

Kesempatan kali ini penulis ingin fokuskan kepada ketumbukan barisan kedua TLDM yang mana penubuhannya sangat signifikan dan diyakini akan dapat membantu menjayakan misi dan visi TLDM dan negara jika berlaku kegawatan keselamatan dalam negara terutamanya untuk keutuhan pertahanan pangkalan dan lokasi-lokasi strategik.

Sejarah penubuhan Pasukan Simpanan Sukarela (PSSTLDM) bermula pada 1934 dengan nama Straits Settlement Naval Volunteer Reserve (SSNVR) di Singapura oleh kerajaan British bagi membantu mengatasi pergolakan di dalam wilayah perairan Semenanjong Malaysia semasa Perang Dunia Kedua meletus. Sejarah ini juga adalah merupakan tarikh permulaan bagi penubuhan TLDM yang sudah menjangkau usia 75 tahun kini.

PSSTLDM terkini telah dibangun dengan keanggotaan terdiri dari dua komponen utama iaitu Simpanan Sukarela (SS) dan Simpanan Angkatan Tetap (SAT). Keanggotaan SAT terdiri dari pegawai dan anggota TLDM yang diwajibkan memasuki pasukan simpanan setelah tamat perkhidmatan. Walaubagaimanapun komponen ini belum ditubuhkan dan perlembagaan masih menunggu kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara. Komponen Simpanan Sukarela terbahagi kepada 4 kategori yang mana semua penyertaannya adalah secara sukarela iaitu:

Kategori Pilihan. Penyertaan dari penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebagai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES-Laut) manakala penuntut Pusat Latihan Kemahiran sebagai Pasukan Latihan Anggota Simpanan (PLAS).

Kategori Pakar. Mereka yang terdiri daripada individu awam yang berkepakaran serta berkemahiran di dalam bidang limbungan, pelabuhan dan perkapalan yang mana diserap kepada pangkat pegawai atau LLP mengikut kelayakan masing-masing.

Kategori Khusus. Mereka yang terdiri daripada individu awam yang mempunyai kepakaran khusus seperti psikiatri, psikologi, perubatan bawah air, anggota marin laut perikanan dan kepakaran lain yang berkaitan yang juga ditawarkan mengisi perjawatan pegawai atau LLP yang sesuai dengan kelayakan.

Kategori Sukarela Biasa. Terdiri daripada individu awam sama ada golongan profesional dan bukan profesional.
Setiap komitmen pegawai/anggota PSS akan diberi imbuhan mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh kerajaan seperti elaun latihan, tempatan, elaun latihan lanjutan, elaun latihan khemah tahunan, elaun sagu hati (bounty), elaun pakaian seragam apabila ditauliahkan, elaun pakaian istiadat sekiranya memohon, pakaian dan peralatan asas ketenteraan secara percuma, pengangkutan, sajian dan penginapan percuma semasa menghadiri latihan.
Mereka yang aktif juga berpeluang mengikuti lawatan operasi ke luar negara dengan kapal-kapal TLDM dan menikmati semua keistimewaan yang diterima oleh anggota tetap seperti ransum percuma, elaun pakaian panas dan elaun pelabuhan. Peluang ini telah memberi pengetahuan dan pengalaman tambahan yang tidak mudah diperolehi sekiranya seseorang itu bukan seorang pegawai atau lasykar tetap. Secara automatik mereka mempunyai kelayakan profesional tambahan yang diiktiraf oleh kerajaan.
Setakat ini negara sudah cukup gah dengan pencapaian penubuhan unit-unit
Simpanan Sukarela yang terdiri daripada 4 unit PSSTLDM bertauliah iaitu KD SRI MANJUNG, KD SRI MEDINI, KD SRI KLANG, KD SRI PINANG.

6 unit Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSTL) iaitu PSTL Chendering, PSTL Kuantan, PSTL Kuching, PSTL Labuan, PSTL Sandakan, PSTL Tawau.

7 unit PALAPES-Laut iaitu Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu.

4 unit PLAS iaitu Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah, Politeknik Johor Bharu, Institut Kemahiran MARA Manjung, Politeknik Matang, Kuching dan satu unit Pakar (Limbungan).

Jika dikira dengan jumlah unit yang telah tertubuh dan jumlah keanggotaan yang ada, sasaran TLDM untuk menjadikan nisbah satu anggota PSS bersamaan 3 anggota tetap (1:3) yang mana 75 peratus dari SS dan 25 peratus dari SAT (bila diimplemen) sehingga tahun 2010 boleh dikira telah mencapai sasaran untuk membantu TLDM dalam mencapai misi PSSTLDM iaitu menyedia sumber manusia simpanan yang kuat semangat juang, berkemahiran dan mempunyai kecekapan menepati kehendak TLDM.

Walau bagaimanapun memandangkan sambutan untuk menjadi sukarelawan ini mendapat sambutan, dan peningkatan ancaman glokal, maka nisbah yang ada perlu ditambah dari masa ke semasa dalam usaha mendedahkan rakyat kepada kemahiran ketenteraan yang akan kembali memberi pulangan dalam bentuk keupayaan pertahanan menyeluruh (HANRUH).

Keperluan penugasan PSSTLDM sebenarnya tidak boleh dipandang ringan kerana dengan kekuatan anggota tetap yang ada pada sesuatu masa, hanya boleh menampung keperluan di kapal-kapal yang mana bila-bila masa sahaja akan mengalami pengurangan dan memerlukan penggantian segera komplimen yang kompeten. Dalam suasana ketegangan yang berlarutan, kitaran anggota yang bertugas di kawasan-kawasan operasi perlu dibuat pertukaran yang kerap di atas faktor-faktor moral.

Dalam keadaan ini pertahanan pangkalan tidak lagi sesuai untuk dibebankan kepada anggota tetap yang mempunyai kepakaran khusus di kapal-kapal. Sementara di pangkalan mereka yang berkepakaran taktikal mesti menumpukan kepada penajaman taktikal untuk menghadapi manipulasi peperangan maritim dalam kitaran berikutnya. Sementara kepakaran teknikal dapat memberi bantuan teknikal kepada kapal-kapal yang memerlukan pembaikan segera makanikal dan ekuipmen. Dengan cara ini krew yang sudah beberapa ketika agak ‘lemas’ di lautan dapat dikurangkan bebanan dan tekanan semasa stand off dan tumpuan boleh diberikan kepada kebajikan anggota keluarga.

Peranan dan tugas

Peranan yang digariskan untuk pasukan ini sangat jelas yang mana menyamai peranan yang dimainkan oleh TLDM sendiri semasa perang/darurat iaitu membantu angkatan tetap TLDM dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab mempertahankan kepentingan strategik negara di samping membantu TLDM dalam tugas-tugas operasi keselamatan dalam negeri dan juga bersama TLDM membantu pihak berkuasa awam semasa bencana alam dan kecemasan awam lain.

Kemungkinan yang boleh diambil iktibar ialah suasana kecelaruan politik hari ini yang bila-bila masa sahaja boleh berlaku ketidakpuasan hati sektor-sektor perkhidmatan yang memangkin kepada berlaku mogok oleh pekerja-pekerja yang mengendali sesuatu perkhidmatan seumpama pelabuhan, feri, bas, keretapi dan lain-lain.

Jika ini berlaku akan memudaratkan kehidupan rakyat lain yang tidak bersalah dan secara langsung akan mencetus pergolakan yang lebih besar. Justeru itu ketumbukan bantuan ini sangat penting untuk menentukan jentera-jentera utama yang menjadi nadi kehidupan negara tidak terjejas perkhidmatan dengan cara pengambialihan operasi oleh pasukan ini yang telah sedia terlatih .

Secara khususnya di antara tugas Pasukan Simpanan TLDM ialah:
* Sebagai anggota tambahan di laut dan pangkalan TLDM dalam perjawatan dan kepakaran tertentu.

* Pengintipan tempat strategik maritim yang dijangka akan dikhianati musuh dengan memasang ranjau dan periuk api serta mengawasi kawasan pelabuhan dan dermaga, termasuk meronda laluan keluar/masuk laut (sea approaches).

* Mereka dikehendaki bertindak sebagai pengawal pos keselamatan di pangkalan TLDM. Menyediakan beberapa Pasukan Penyapu Periuk Api Bot Keselamatan (PPBK – Minesweeping teams of opportunity vessels) bagi pembersihan kawasan laluan keluar/masuk laut (sea approaches).

* Mengawal dan mengurus perkhidmatan pelabuhan di pelabuhan strategik. Tugas ini akan dipertangggungjawabkan kepada Simpanan Sukarela Pakar Pelabuhan. Mengawal dan mengurus perkhidmatan pelabuhan di pangkalan TLDM.

* Mengendalikan rumah api. Tugas ini akan dipertanggungjawabkan kepada Simpanan Sukarela Khusus – Jabatan Laut.

Namun apa yang pasti latihan familiarisasi kepada tugas hakiki yang dibuat oleh pasukan ini mungkin belum menyeluruh dan mungkin bentuk latihan seperti ini belum ada keperluan mendesak untuk dilaksanakan memandangkan kestabilan negara yang kita nikmati.

Walau bagaimana pun penulis yakin bahawa kontijensi plan ke arah itu sudah tersedia sebaiknya. Jika dinilai kepada kepelbagaian pendedahan yang perlu diisi untuk memberi kepuasan moral kepada anggota PSS adalah lebih molek jika Cawangan Pasukan Simpanan TLDM mula memberi perhatian ke arah itu.

Polemik semasa

Polemik semasa adalah timbul rasa ketidakpuasan hati dari kalangan PSS kerana mereka merasakan kehadiran mereka tidak diterima sepenuhnya oleh anggota tetap. Ini dapat dilihat daripada akronim PSS yang banyak diterjemahkan secara sinikal seperti `Pasukan Suka Suka`, `Pasukan Submarine’ dan juga boleh dinilai daripada kejujuran mark of respec dari anggota lain-lain pangkat (LLP) regular kepada pegawai simpanan tidak berlangsung sewajarnya.

Tiada siapa yang boleh memberi jawapan yang tepat dalam persoalan ini kerana ‘pernghormatan’ biasanya lahir dari dalaman yang ikhlas dari mana-mana anggota bawahan kepada seseorang anggota terkanan di dalam perkhidmatan ATM berdasarkan kematangan dan kewibawaan seseorang anggota/pegawai itu sendiri. Selebihnya dalam sesuatu keadaan, ‘penghormatan’ memerlukan paksaan melalui latihan dan amalan penguatkuasaan disiplin oleh anggota/pegawai itu sendiri terhadap anggota bawahannya dengan berpandukan peraturan yang telah digazetkan di dalam akta ATM (1972).

Suasana ini juga berlaku kemungkinan ada kaitan dengan ketaatan atau konsistensi anggota dan pegawai yang pernah berdaftar dengan PSSTLDM mengikuti segala aktiviti yang dianjurkan dari mula sehingga tempoh persaraan mereka.

Komitmen dan kehadiran sebahagian daripada anggota/pegawai PSS yang tidak konsisten telah banyak mengganggu kelancaran perencanaan untuk peningkatan skil individu PSS oleh pasukan yang terbabit dan pengurusan pembangunan keseluruhan oleh Cawangan Pasukan Simpanan Markas Tentera Laut (MkTL).

Lebih malang lagi ada sebahagian daripada anggota PSS yang sudah langsung tidak menjenguk atau mempedulikan pasukan lagi. Masalah kekangan daripada majikan menjadi faktor utama permasalahan komitmen anggota PSS terhadap aktiviti.

Bagi mereka yang bekerja sendiri atau jabatan kerajaan yang memahami tidak banyak memberi masalah dalam polemik ini tetapi bagi jabatan swasta, kekangan demi kekangan sangat mencabar kesabaran mereka untuk membuat sesuatu keputusan positif.

Meskipun ada akta yang digubal khusus kepada majikan yang gagal melepaskan pekerjanya mengikuti latihan atau aktiviti berkala PSS namun kedua-dua belah pihak tidak mengguna pakai akta ini dengan sebaik-baiknya.

Namun benar juga pendapat sesetengah pihak yang mengatakan dalam masa aman, penguatkuasaan tanpa diplomasi di antara dua pihak akan menjejaskan kebajikan pekerja itu sendiri seperti kenaikan pangkat, gaji, bonus dan suasana kerja yang kondusif. Faktor-faktor sebeginilah yang menjadi dilema yang melunturkan minat anggota.

Alasan kelunturan semangat dan konsistensi mereka juga mempunyai kaitan dengan modiul latihan dan silibus yang diajar. Tambah memburukkan lagi keadaan ialah `layanan’ atau dengan kata yang lebih tepat lagi ialah kekurangan jurulatih-jurulatih yang sepatutnya menjadi tenaga pengajar dan ketiadaan tenaga pengajar yang betul-betul berkaliber untuk mengajar dan mengisi keperluan yang mereka ingin pelajari terutamanya di kalangan pegawai-pegawai PSS.

Mereka mengharapkan pegawai-pegawai regular yang mempunyai kepakaran khusus untuk membimbing mereka tetapi hasrat itu tidak tercapai. Mereka banyak belajar dari senior-senior PSS yang mana juga tidak begitu mahir selok belok navigasi dan seumpamanya.

Bila sesekali mereka turun ke kapal, mereka agak kekok untuk sama-sama bertugas mengendalikan kapal kerana perasaan rendah diri masih menguasai dan ini menzahirkan jurang pemisah antara pegawai PSS dan pegawai regular yang agak ketara.

Anggota-anggota SAT yang ada sepatutnya boleh mengisi kekosongan tenaga pengajar bagi sesetengah kepakaran juga dilihat gagal berperanan yang mana kemungkinan tidak mempunyai kemahiran yang maksima seperti mana yang diperlukan. Maka kehadiran mereka juga dilihat sekadar ingin memenuhi tuntutan (jika hadir) dengan mewujudkan `warung` yang melekakan dari tujuan sebenar.

Akhirnya polemik dingin antara pasukan dan anggota seperti `ayam dengan telor` yang masing-masing menunding siapa yang menjadi punca kelemahan yang berlaku dalam PSS. Kata mereka, walaupun banyak program-program pembangunan latihan di lakukan sepanjang tahun bagi memenuhi kalendar aktiviti PSS tetapi program-program yang direncanakan dilihat sebagai melepas batuk ditangga oleh pihak pengendali program.

Banyak lagi ruang yang diperuntukan untuk latihan telah disia-siakan dengan alasan dan faktor-faktor di atas di samping kurang penekanan dan pengawalan di lokasi latihan. Kehadiran anggota di latihan mingguan tidak diisi sempurna dengan aktiviti bermanfaat.

Selain dari minat yang mendalam, anggota dan pegawai PSS yang terpilih sebenarnya mempunyai kualifikasi akademik yang setanding malah ramai pegawai-pegawainya adalah dari golongan profesional dalam bidang-bidang tertentu.

Adakalanya mereka merasakan kumpulan mereka tidak diberi pendedahan yang sesuai dengan pemikiran mereka yang mana mereka memerlukan pendedahan yang lebih. Perkongsian idea dari dalam dan luar kotak regimental perkhidmatan mungkin boleh mencetus sesuatu evolusi pembangunan TLDM itu sendiri jika diberi ruang, peluang dan dorongan yang betul.

Kesimpulan/cadangan

Natijah kepada kewujudan pasukan simpanan ini bukan sahaja dilihat dari segi pengeluaran sumber manusia di kala terdesak (perang dan sebagainya), tetapi ianya juga meliputi sebagai satu langkah, cara dan platfom bagi negara memupuk semangat rakyatnya cintakan negara.

Realitinya anggota PSS ini sangat bangga menjadi sebahagian daripada warga TLDM. Mereka menyertai PSS kerana ingin turut sama bertanggungjawab mempertahankan negara walaupun diberi peranan skunder.

Pemantapan seseorang PSS untuk setanding dengan anggota tetap, memerlukan ilmu dan pendedahan yang semestinya menuntut komitmen yang tidak berbelah bagi kepada anggota itu sendiri, pasukan yang menaungi dan cawangan yang menggubal dasar, mengawal selia untuk latihan, sukatan pelajaran dengan menganalisis keberkesanan doktrin, konsep dan teknik latihan anggota PSS sesuai dengan perolehan semasa aset dan kelengkapan TLDM.

Untuk menentukan pasukan ini setara, persediaan intensif perlu digerakkan dengan penambahbaikan pembangunan prasarana dan tempat latihan yang lebih sistematik kemudian disusuli dengan latihan di pangkalan dan di kapal perang sebenar sekerap mungkin untuk familiarisasi khusus sesuatu kepakaran yang menjurus kepada matlamat dan tugas PSS. Dengan harapan, suatu masa yang diperlukan kelak pasukan ini boleh berdikari dan boleh digerakkan bersama angkatan tetap.

Bagi pengambilan anggota baru sebaiknya kriteria yang mesti diambil kira oleh sel pengambilan ialah berdasarkan kemudahan seseorang calun untuk menghadirkan diri di dalam latihan dan setiap aktiviti yang dianjurkan sepanjang tahun dengan mewajibkan setiap calun membawa dokumen pelepasan dari majikan yang membenarkan beliau untuk aktif dalam latihan.

Selain daripada itu mewujudkan aktiviti dua hala antara unit PSS dan majikan anggota dengan mengadakan aktiviti pelayaran, menembak dan sebagainya di samping memberi kredit kepada majikan/firma yang banyak memberi pelepasan untuk aktiviti pekerjanya.

Hakikatnya, di samping menuntut perubahan ke arah penambahbaikan, semua lapisan anggota PSS terlebih dahulu mesti bersedia dan menyediakan diri sendiri ke arah yang lebih positif untuk kecermerlangan diri dengan memberi komitmen proaktif kepada pasukan. Slogan SEDIA BERKORBAN tidak semudah diucap dan bukan hiasan untuk disemat, tetapi menuntut anggotanya berkorban apa saja demi ugama dan tanahair. PERAJURIT

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini