About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, January 19, 2009

Misi Teluk Aden matangkan anggota TLDM

Sumber: Utusan online

Oleh:NORSHARUDDIN SAPIAN
utusanperak@utusan.com.my

LUMUT 18 Jan. - Berdepan dengan pelbagai masalah termasuk meninggalkan keluarga selama 100 hari dan terpaksa solat dalam keadaan duduk sepanjang Ramadan lalu merupakan antara pengalaman anggota Misi Operasi Fajar di Teluk Aden, Somalia pada 7 September hingga 17 Disember lalu.

Pengalaman itu walaupun pahit untuk dikenang, ia mendewasakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditugaskan dalam misi menyelamat dan mengiringi kapal dagang daripada serangan lanun di teluk tersebut.

Pegawai Memerintah KD Mahawangsa TLDM, Kapten Khalid Jaafar berkata, perjalanan selama 11 hari dari sini ke Teluk Aden turut memberi pengalaman baru kepada anggota.
''Kita diberikan masa selama empat hari sahaja untuk membuat persiapan sebelum belayar dan terpaksa meninggalkan keluarga selama kira-kira 100 hari.

''Ia memberikan pengalaman berharga dan sukar dilupakan kepada setiap anggota," katanya pada Sesi Perkongsian Pengalaman Bersama Anggota Misi Operasi Fajar di Mes Pegawai KD Mahawangsa di Jeti Laut Dalam Pangkalan TLDM di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai 11 anggota TLDM termasuk Tentera Darat yang mengikuti misi berkenaan dikumpulkan bagi menceritakan kembali pengalaman masing-masing.
Turut hadir Pegawai Perhubungan Awam Markas Armada Lumut, Leftenan Komander Norlida Rahaman.

Sementara itu, Bintara Penyelia Stor Logistik, Azley Abdullah, 35, berkata, dia terpaksa meninggalkan tiga anaknya termasuk seorang anak istimewa berusia 10 tahun yang mengalami masalah pertuturan dan pendengaran sepanjang terlibat dengan misi tersebut.
Selama ini, katanya, dia sentiasa menguruskan anak istimewanya itu dengan menghantarnya ke sekolah khas di Batu 7, Lekir pada setiap hari.
''Sepanjang peninggalan saya, isteri terpaksa mengambil tugas berkenaan termasuk membawanya ke Hospital Angkatan Tentera di Lumut dan Hospital Permaisuri Bainun di Ipoh.
''Pada masa sama, rumah saya di Batu 7, Lekir turut dilanda banjir sehingga menyebabkan banyak barang rosak pada Disember lalu.
''Namun saya tetap tabah meneruskan tugas dan bersyukur apabila semuanya telah selesai serta selamat," katanya.

Laskar Kanan Pasukan Khas Laut (Paskal) Mohd. Fadzil Sulaiman, 35, berkata, pengalaman menunaikan solat fardu dan tarawih dalam keadaan duduk selama kira-kira dua minggu di atas kapal merupakan pengalaman menarik baginya.
''Bagi menghilangkan rasa takut, saya sentiasa berdoa dan membaca ayat suci al-Quran setiap kali menjalankan misi yang ditetapkan.
''Nyawa kami ibarat telur di hujung tanduk dan pesawat yang dinaiki boleh ditembak lanun pada bila-bila masa sahaja," katanya yang bertugas sebagai penembak tepat di atas helikopter Super Lynx.

Sementara itu, anggota wanita tunggal dalam misi tersebut, Leftenan Fazilah Makun, 23, yang ditugaskan sebagai Pembantu Pegawai Bekalan berkata, pada awalnya dia agak janggal berada di atas kapal yang dipenuhi anggota lelaki.
''Cuba bayangkan daripada 236 anggota misi itu, saya merupakan satu-satunya anggota wanita di atas kapal.
''Bagaimanapun saya anggap itu satu cabaran dan bersyukur kerana berjaya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan," katanya.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini