About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Friday, March 1, 2013

TTS ASAS BELA DIRI INDIVIDU TENTERA




Sumber Majalah Perajurit Edisi Mac 2013
Oleh Hamzah hd.

Pada 28 Dis 2012 yang lalu, satu Majlis Penutupan Kursus Asas Tempur Tanpa Senjata (TTS) Peringkat Briged Sempadan  Siri 2/2012 bertempat di Kem Bataliaon ke 5 Rejimen Sempadan (Bn.5 RS) Bukit Kayu Hitam Kedah. 

Seramai 58 orang penuntut telah mengambil bahagian dan lulus dengan jayanya setelah bertungkus lumus selama dua bulan setengah bermula dari 21 Oktober hingga 28 Dis 2012.  Mereka terdiri dari Bn.2 RS seramai 2 orang, Bn.4 RS seramai 2 orang dan selebihnya adalah peserta dari Bn.5 RS.

Persembahan dimulakan dengan gimik pertempuran dengan musuh di hutan berhampiran dan melakukan method of entry (MOE) secara beramai-ramai ke medan pertempuran secara agresif. Penuntut-penuntut kursus meneruskan persembahan dengan beberapa aktiviti lasak seperti Latihan Jasmani sebagai pemanasan disusuli dengan gerak Tumbukan dan Tangkisan, Lawan Gabungan, Rebahan, Bertarung dengan menggunakan pelbagai senjata, Lakonan dan diakhiri dengan Lompatan Dan Pemusnahan.


Legasi Taekwondo

Dalam peperangan atau pertempuran daratan yang khususnya tentera darat menjadi pemain utama, elemen kesiagaan bukan sahaja tertumpu kepada kesaktian kelengkapan infantri dan unit sokongan atau pemilikan repal peribadi dan keupayaan anggota membidik sasaran dengan tepat tetapi keupayaan mempertahankan diri dan mampu membunuh hanya dengan menggunakan anggota badan seperti tangan adalah keupayaan yang perlu ada.

Keadaan ini memerlukan satu kaedah seni bela diri yang ampuh di mana dengan hanya kemahiran mengelak, menangkis, mengunci, menumbuk dan beberapa kaedah lagi gerakan pertahanan diri mampu menundukan lawan di masa terdesak atau kecemasan.  Suasana terdesak selalunya sering berlaku dalam pertempuran senjata kecil dan berakhir dengan pertembungan dalam keadaaan kehabisan peluru atau sedang mengaplikasikan taktik senyap. 

Dalam operasi-operasi Close Quater Battle (CQB) Pasukan Khusus tentera atau polis sering berhadapan dengan suasana terdesak yang sangat memerlukan sentuhan fizikal bagi menamatkan riwayat atau menawan musuh dalam keadaan kecederaan yang minima.

Justeru, kepelbagaian pendekatan telah diambil samada secara perseorangan atau berkumpulan mempelajari ilmu mempertahankan diri (martial of art) dari pelbagai pertubuhan yang berasaskan seni silat nusantara maupun seni mempertahankan diri antarabangsa seperti Taekwondo dan sebagainya.


Taekwondo ialah salah satu seni mempertahankan diri dengan  menggunakan anggota tangan dan kaki yang tercipta dalam sejarah Korea dan di dokumentasikan sebagai teknik mempertahankan diri. Di Malaysia Taekwondo mula bertapak pada tahun 1962 setelah diperkenalkan oleh Jeneral Choi Hong Hi semasa beliau bertugas sebagai Duta Korea ke Malaysia dan kesinambungannya pada tahun 1963 Persatuan Taekwondo Malaysia pun ditubuhkan dan ianya mula tersebar ke seluruh tanahair dan dari tarikh itu juga sejarah TTS bermula.

Namun begitu ATM mengambil pendekatannya yang lebih dinamik dan tersendiri dengan memperkenalkan seni mempertahankan diri dan dipopularkan dengan nama Tempur Tanpa Senjata (TTS) yang menggabungkan pelbagai elemen seni mempertahankan diri dan dilatih secara intensif.  Bagi TD khususnya, Cawangan Seni Mempertahankan Diri ATM yang berpusat di Pusat Latihan Polis Tentera (PULAPOT) menjadi pusat  latihan lanjutan serta pusat pembentukan individu-individu yang akan menjadi Jurulatih dan peningkatan diri dalam gerakan TTS ini.

Jika sebelum ini TTS menjadi aktiviti yang digalakkan kepada unit-unit ATM tetapi mutakhir TD mengambil pendekatan dengan menjadikan kursus asas TTS  sebagai kurikulum asas kepada setiap anggota baharu dan dikehendaki menamatkan kursus asas ini selama lebih kurang dua bulan setengah di unit masing-masing sebelum dibenarkan untuk menjalani kursus-kursus peningkatan kerjaya yang lain.  Namun begitu kurikulum ini menjadi wajib kepada anggota-anggota dari Kor Polis Tentera kerana core business pasukan ini yang sangat memerlukan kemahiran seni mempertahankan diri kepada semua individu.

TTS yang biasa juga disebut unarmed combat merupakan teknik pertahanan diri jarak dekat dengan beradu tenaga tanpa menggunakan sebarang senjata pendek seperti kayu, pisau dan seumpamanya.  Namun begitu dalam kurikulum lanjutan TTS  atau juga dikenali sebagai Tempur Wira, penggunaan benet, cotar dan seumpamanya turut diajar dengan gerakan-gerakan yang lebih extreme bagi memberi impak maksima dan pantas bagi menewaskan musuh terutamanya kepada Pasukan Khusus sesuai dengan misi atur gerak cepat yang memerlukan kemahiran unggul dalam konteks bidang tugas mereka.

Dalam fikiran penulis, sesuatu yang agak baru dan jarang sekali diberi pendedahan dalam acara-acara rejimental ketenteraan ialah penglibatan pemimpin masyarakat tempatan untuk diberi ruang khusus bagi memyempurnakan sesuatu acara.

Penglibatan Pemimpin Rakyat setempat adalah atas dasar keakraban tentera dengan  rakyat

Sesuai dengan perlebaran konsep perlaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), bukan hanya kerjasama tugas di antara Kementerian Pertahanan dengan Kementerian yang bersangkutan dengan penguatkuasaan sahaja malah boleh diterjemahkan secara meluas dalam bentuk kerjasama dengan penduduk-penduduk setempat melalui pemimpin-pemimpin masyarakat dengan komuniti di dalam kem yang juga adalah sebahagian daripada masyarakat umum. Perajurit

Monday, January 21, 2013

Kanang dalam kenangan

Sumber utusan
Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my

SELURUH negara bersedih dengan pemergian Kanang sambil menyifatkannya
sebagai satu kehilangan besar kepada negara dan ATM.

TIADA perkataan yang mampu menggambarkan pengorbanan yang dicurahkan pahlawan tersohor ini.
Namanya sahaja sudah cukup menaikkan bulu roma rakyat terutama anggota tentera untuk bangun mempertahankan kedaulatan negara daripada diancam anasir-anasir luar.

Wirawan semasa zaman kebangkitan pengganas komunis dalam tahun 70-an hingga 80-an yang dimaksudkan ialah Pegawai Waran I (B) Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau.

Pemergian penerima pingat Sri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) itu baru-baru ini di Hospital Umum Sarawak setelah pengsan di rumah akibat sesak nafas meninggalkan kekosongan yang signifikan di jiwa rakyat.
Seluruh negara bersedih dengan pemergian Kanang sambil menyifatkannya sebagai sebuah kehilangan besar kepada negara dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Penulis novel Kanang; Cerita Seorang Pahlawan, Mejar (B) Prof. Dr. Maznan Noordin yang menulis riwayat hidup mendiang menyifatkan Kanang sebagai wirawan contoh yang mengukir namanya dengan darah dan air mata.

"Tidak ada lagi Kanang sesudah ini kecuali berlaku lagi perang di negara ini," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Jelas beliau, ketika menyertai Operasi Pukat, di Hutan Tanah Hitam Perak, Kanang telah cedera parah ketika bertempur dengan pengganas komunis yang mengakibatkannya tidak sedarkan diri dan terlantar di wad selama setahun.

Katanya, banyak orang yang menyangka Kanang tidak akan hidup lama tetapi umurnya masih panjang dan pada tahun 1980, Kanang telah dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) sebagai mengenang jasa dan keberaniannya menentang pengganas komunis.

"Kanang bersara pada 30 Mei 1986 dan selepas bersara beliau dianugerahkan 'Bintara Bintang Sarawak' oleh kerajaan negeri Sarawak bagi mengenang jasa-jasanya sebagai anak Sarawak yang telah banyak berbakti mengharumkan bumi kelahirannya.

"Kanang dan rakan-rakannya yang berjuang mempertahankan tanah air daripada ancaman pengganas komunis sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkan maruah dan kedaulatan negara.

"Kanang dan anggota tentera lain begitu berani dan bersemangat apabila berdepan dengan musuh dan ini digambarkan dalam Operasi Pukat dan Kanang berjuang habis-habisan menentang pengganas komunis.
"Kanang telah mendapat cedera parah ketika bertempur dengan pengganas komunis, namun beliau meminta rakan-rakan dalam pasukannya meneruskan perjuangan menentang pengganas komunis," ujarnya.

Tambah beliau, walaupun kehidupan Kanang agak perit selepas bersara, namun beliau bersyukur kerana semua pihak menghargai setiap pengorbanan dan jasa yang telah dicurahkan kepada negara untuk menjadikan rakyat berada dalam keadaan aman sejahtera.

Katanya, Kanang adalah manusia contoh yang boleh dijadi ikon patriotisme rasa tanggungjawab, berani, keyakinan kepada diri sendiri, mengambil berat kepada orang lain terutama rakan seperjuangannya ketika di daerah operasi.

"Rejimen Renjer Diraja yang mempunyai slogan 'Agi Idup Agi Ngelaban' iaitu ungkapan daripada bahasa Iban yang bermaksud 'selagi hidup selagi berjuang' menepati komitmen perjuangan pasukan infantri yang menjadi kebanggaan ATM selepas Rejimen Askar Melayu Diraja," katanya.

Beliau berkata, meskipun Kanang telah menghembuskan nafas terakhirnya, gema laungan 'Agi Hidup Agi Ngelaban' masih kuat didengari dalam jiwa anggota ATM tidak kira di mana jua.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani turut menyeru golongan bekas tentera di Malaysia bertafakur atas pemergian pahlawan tersohor berkenaan dan meminta mereka mencontohi perjuangan sepanjang hayat Kanang.

Kata beliau, komitmen bekas tentera itu untuk berkorban demi kedaulatan negara membawa semangat yang signifikan dalam perjuangan PBTM.

"Oleh itu, kami mengucapkan takziah kepada balu Kanang, Datin Brawang Chunggat dan keluarganya atas pemergian mendiang. Tokoh ini akan harus dikenang dan abadi di jiwa rakyat Malaysia," kata beliau.
Sementara itu, Profesor di Pusat Teknologi Komunikasi & Pembangunan Insan (PTKPI) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Dr. Ramlah Adam melihat Kanang sebagai ikon dalam episod pergelutan negara menentang komunisme.

''Kanang percaya kepada penolakan komunis, dia yakin perjuangannya, kalau tak dia tidak akan menyabung nyawa untuk negara dan dia terselamat dalam pertempuran yang dahsyat
''Kanang mewakili perjuangan menentang komunisme. Beliau membawa semangat perjuangan menjamin survival bangsa Malaysia dalam menolak anasir asing demi negara Malaysia yang aman sekarang ini," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Polis_&_Tentera/20130109/te_01/Kanang-dalam-kenangan#ixzz2IcfE9i1a
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini