About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, June 2, 2009

Khidmat pesawat MIG-29N akan ditamatkan - Zahid

Sumber: Utusan online

BAGAN DATOH 1 Jun - Pesawat MIG-29N milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan digantikan dengan pesawat pemintas yang lain bagi memperkuatkan pasukan itu, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara ini telah dibincangkan dengan Panglima TUDM, Jen. Tan Sri Azizan Ariffin dan pesawat ini akan digantikan dalam masa terdekat, katanya.

"Pesawat MIG ini akan dilupuskan dengan menjual kepada syarikat-syarikat tertentu atau ke negara-negara yang dibenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Mulai bulan depan, saya telah mengambil keputusan supaya Skuadron MIG dapat digantikan dengan pesawat udara yang lain dan mencari jalan agar MIG ini dapat dilupuskan," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa ribut di kawasan Rungkup di sini hari ini.

Mengenai pesawat Sukhoi yang baru diterima, beliau berkata, kesiapsiagaan pesawat yang ditempatkan di Gong Kedak, Kelantan itu telah terbukti.

Beliau berkata, kumpulan juruterbang pesawat itu telah mendapat latihan yang secukupnya melalui latihan simulator dan latihan-latihan yang dijalankan setiap masa.

Sementara itu, mengenai konsep 1Malaysia dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau berkata, pihaknya telah menjalankan kempen 1Malaysia 1Angkatan melalui konsep pertahanan menyeluruh dengan mengajak pelbagai kaum menyertai Askar Wataniah.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan bantuan kepada mangsa ribut di kawasan Parlimen Bagan Datoh menerusi pembabitan pegawai dan anggota tentera dari Markas 2 Divisyen.

Beliau berkata, kerja-kerja akan dikendalikan Kor Jurutera dan Infantri yang akan melaksanakan kerja baik pulih dan membina semula rumah yang rosak teruk dilanda ribut awal pagi Sabtu lalu. - BERNAMA

Monday, June 1, 2009

Operasi TUDM makin mantap

Sumber: Utusan Online

KUALA LUMPUR 31 Mei – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang akan menyambut ulang tahun ke-51 esok, semakin giat mengukuhkan struktur angkatannya sejajar dengan perkembangan semasa dalam era penggunaan peralatan berteknologi tinggi bagi menjamin keselamatan maksimum ruang angkasa negara.

Perolehan 18 buah jet pejuang Sukhoi SU-30MKM dari Rusia dalam inventori TUDM dan empat buah pesawat Airbus A400M yang akan diterima secara berperingkat, pasukan itu terus mengorak langkah ke arah permodenan pertahanan nasional.

TUDM baru-baru ini turut menerima lapan buah pesawat latihan jenis Aemarchi MB-339C Lead-In Fighter Training atau LIFT bagi membantu juruterbang muda TUDM, menjadikan pasukan ini semakin gah di mata dunia.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berkata, perolehan aset terbabit selaras dengan hasrat TUDM menjadi satu organisasi cekap dan siap siaga.

Kesiapsiagaan tentera udara amatlah penting kerana dunia kini bukan sahaja berhadapan dengan peperangan konvensional malahan turut berdepan dengan pelbagai ancaman jenayah semakin kompleks.

“Walaupun TUDM berpengalaman dan bersedia untuk menempuhi peperangan seperti counter-insurgency warfare dan convensional warfare, TUDM kini berhadapan dengan ancaman pengganas, aktiviti lanun, penyeludupan manusia dan bermacam lagi.

“Kita sedang dan akan terus mengharungi segala cabaran mendatang baik di peringkat strategik, operasi mahupun taktikal di mana kita mahu perubahan seimbang dan dinamik digarap secara holistik bagi menangkis anasir berbahaya masuk ke dalam negara,” katanya dalam temu bual khas sempena ulang tahun TUDM.

Beliau berkata, dengan keadaan geografi Malaysia, yang terbahagi kepada dua wilayah darat, menyumbang kepada perlunya lebih banyak pesawat pejuang diguna pakai dalam mempertahankan ruang angkasa negara.

Azizan berkata, TUDM menumpukan sepenuhnya kepada menguatkan ’taring’ dan meluaskan pandangan mata serta telinga pengawasan bagi merangkumi semua profil ruang angkasa.

“Penambahbaikan dan menaik taraf sistem pertahanan udara merupakan program berterusan di dalam memastikan aset-aset TUDM setara dengan teknologi terkini.

Perancangan dan pembangunan aset TUDM melibatkan satu proses jangka panjang sebelum ia dapat membentuk sebuah angkatan udara yang berkaliber dan disegani.

“Selain itu, strategi pembangunan aset TUDM adalah secara berperingkat dan mengikut keutamaan memandangkan peruntukan agak terhad. Sistem-sistem pertahanan udara sedia ada akan terus dinaik taraf mengikut keperluan dan perolehan aset baru dibuat secara berperingkat di bawah peruntukan setiap Rancangan Malaysia,” katanya.

Beliau menafikan ura-ura bahawa khidmat pesawat pemintas MIG-29N akan ditamatkan dengan pembelian Sukhoi sebaliknya operasi pesawat pejuang akan diteruskan seperti biasa dalam tugas pemintasan udara.

“Sepanjang perkhidmatan, MiG-29 diperakui sesuai dalam melaksanakan peranan dan tugasnya. Kajian separuh hayat sedang dilaksanakan dan status operasi pesawat ini akan berterusan sehingga kita mengetahui hasil impak dan implikasi kajian,” katanya.

Beliau berkata, perancangan TUDM juga untuk memperoleh enam pesawat jenis jet pejuang pelbagai fungsi (MRCA) bagi mempertingkatkan keupayaan sistem peperangan yang sedia ada memandangkan MIG-29N berfungsi sebagai ’air interdiction aircraft’.

Azizan berkata, TUDM tidak pernah merancang untuk menamatkan perkhidmatan pesawat Charlie C-130 yang selama ini menjadi tulang belakang pengangkutan TUDM dengan perolehan Airbus A-400M dalam perkhidmatan TUDM selepas tahun 2013. – BERNAMA

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini