About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, November 19, 2022

TUDM DAN RAAF PERKUKUHKAN KERJASAMA BILATERAL

 

BUTTERWORTH, 18 November 2022 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Diraja Australia (Royal Australian Air Force (RAAF)) hari ini secara rasmi telah menutup Eksesais ELANGAROO 22 dan Eksesais PARADISE (Paradrop, Air Defence, Insertion, Strike, Search and Rescue and Extraction) Siri 9/22. 

Eksesais yang bermula pada 7 hingga 18 Nov 2022 iaitu selama 12 hari telah melibatkan seramai 1,150 anggota yang terdiri daripada pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat TUDM, TDM, TLDM dan RAAF. 


Eksesais ini turut melibatkan 30 buah pesawat dan elemen sokongan yang telah digerakkan bagi mencapai objektif utama eksesais ini. Aset-aset TUDM yang terlibat merangkumi aset udara ialah Su30MKM, F/A-18D, Hawk, A400M, C-130H, CN-235, EC-725 AP dan AW-139 serta Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dan Pasukan Pertahanan Darat TUDM (HANDAU). Manakala aset elemen sokongan TUDM yang terlibat adalah radar pertahanan udara dan sistem Ground-Based Air Defence System (GBAD) serta Seksyen Hantaran Udara (SHU). 


Penyertaan RAAF

Eksesais PARADISE 9/22 dan ELANGAROO 22, buat  julung kalinya disertai oleh Royal Australian Air Force (RAAF) dengan menghadirkan enam buah pesawat pejuang tercanggih di dunia iaitu pesawat F-35A dari No 75 Skuadron ke Pangkalan Udara Butterworth. Eksesais gabungan ini juga turut dibantu oleh aset-aset TDM dan TLDM .  

Air Commander Royal Australian Air Force, Air Vice Marshall Darren Goldie di dalam ucapannya turut menzahirkan rasa bangga dengan peranan RAAF di dalam keselamatan Malaysia dan rantau ini berdasarkan rekod sejarah penglibatan RAAF sejak Perang Dunia Kedua dan hubungan kerjasama bilateral yang terjalin sekian lama khususnya di Pangkalan Udara Butterworth. Menurut beliau, eksesais kali ini merupakan peluang yang sangat baik untuk berlatih bersama dan mempelajari kemahiran baharu dengan suasana persekitaran yang sangat berbeza dengan Australia. 

Pencapaian

Buat pertama kalinya juga TUDM telah menjayakan latihan utamanya iaitu FTX PARADISE bersama ELANGAROO yang mana eksesais ini merupakan pencapaian besar yang signifikan bagi TUDM pada tahun ini. FTX PARADISE 9/22 adalah untuk memastikan keupayaan dan kesiagaan TUDM sentiasa berada di tahap yang terbaik khususnya bagi melindungi kedaulatan ruang udara negara. Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM di dalam ucapannya telah menzahirkan rasa syukur dan bangga kerana TUDM menjadi tuan rumah bagi eksesais bilateral pada tahun ini. 

Tambah beliau, TUDM telah menjalin dan mengekalkan hubungan kukuh dengan RAAF sejak beberapa dekad lalu melalui kerjasama pertahanan yang komprehensif dan kekerapan pelaksanaan latihan termasuk eksesais bilateral. 

Menurutnya, komitmen dan dedikasi bersama yang dipamerkan oleh semua peserta dari kedua-dua tentera udara sepanjang eksesais ini telah mengukuhkan perkongsian berwibawa yang telah dibina. Justeru, selagi itulah TUDM akan terus memastikan persahabatan yang sekian lama terjalin akan kekal untuk generasi akan datang. Di samping meningkatkan aspek pengukuhan kerjasama pertahanan di peringkat serantau serta meningkatkan kebolehoperasian (interoperability) keupayaan udara di antara TUDM dan RAAF, memaksimumkan keupayaan pertempuran bersama dan melaksanakan misi bersama secara berkesan terutamanya dalam latihan pertempuran udara.

Dengan aktiviti eksesais yang telah dirancang digabungkan dengan eksesais bilateral ELANGAROO 22, secara tidak langsung akan meningkatkan kredibiliti dan keyakinan rakyat dan negara kepada TUDM dalam menangani isu-isu keselamatan negara. 

Majlis Penutup

Perbarisan Penutup Eksesais telah disempurnakan oleh Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM dan Air Commander Royal Australian Air Force, Air Vice Marshall Darren Goldie yang menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan yang terdiri daripada 45 Pegawai dan anggota Lain-lain Pangkat (LLP) daripada daripada kontinjen TUDM dan RAAF serta diiringi Pancaragam Akademi Tentera Udara yang dipimpin oleh Leftenan Muhamad Haniff bin Che Razak TUDM.

Turut hadir ke perbarisan penutup ialah Panglima Wilayah Udara 1, Mejar Jeneral Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM; Panglima Wilayah Udara 2, Mejar Jeneral Dato’ Hj Shamsudin bin Kassim TUDM, delegasi RAAF dan Kedutaan Australia serta pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia. 





No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini