Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagaikan terkejut dari mimpi dalam lena yang panjang setelah ‘bertambat’ beberapa waktu bahana pandemik COVID-19 yang melanda dunia baru-baru ini. Tahun 2022 TLDM tidak banyak membuang masa lagi dengan ‘let go all lines’ sebaik negara memasuki fasa endemik COVID-19.
Berbekalkan aset berbaki, kudrat dan semangat yang ada pada navy people menjadikan TLDM ‘move on’ pada tahun 2022 ini dengan menjadikan pelbagai eksesais sebagai pembakar ‘lemak’ yang terkumpul sepanjang pandemik yang lalu. Selari dengan empat Teras Utama Hala Tuju Kepimpinan TLDM untuk Memperkasa Integrasi dan Sokongan kepada Aspek Kebersamaan dan dipertingkatkan melalui pelbagai kaedah seperti mempertingkatkan pelaksanaan eksesais.
Ketika penulis diminta untuk menyebarkan berita acara terbaharu iaitu Eksesais Kerismas 27/22, sebenarnya armada TLDM sudah melaksanakan pelbagai eksesais sebelum ini di dalam dan luar negara samada secara bilateral dan multilateral.
Rim of the Pacific (RIMPAC) edisi ke-28 di Hawaii USA, Eksesais Malaysia-Pakistan (MALPAK), Sea Exercise Thailand-Malaysia (SEAEX THAMAL), Eksesais South East Asia Cooperation and Training 2022 (SEACAT22), Eksesais MALINDO JAYA 26/22 bersama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL), Eksesais KAKADU 2022 di Darwin Australia, Eksesais MALAPURA 30/22 bersama Tentera Laut Singapura.
Tidak cukup dengan itu, eksesais rutin mingguan, bulanan dan tahunan oleh Armada Barat dan Armada Timur seperti Pangkor War, Thursday War, Borneo War, Operational, Eksesais Samudera Perkasa Barat,Sea Training Exercise (OSTEX) East dan West silih berganti bagi menilai kompetensi warga armada dan keupayaan aset yang rata-rata telah usang mengikut pertimbangan umur.
Jika dihitung kesemuanya, aset armada TLDM berada di lapangan untuk menjalani pelbagai latihan dengan kadar yang sangat kerap. Ini tidak termasuk operasi-operasi dan rondaan rutin di laut yang menjadi penanda aras bahawa kapal-kapal TLDM sentiasa berada di laut pada sebilang masa.
Namun harus diingat, kekerapan dalam keadaan kekurangan aset yang berstatus operasi pada satu-satu masa adalah merupakan ‘beban’ yang tertanggung ke atas bahu anak-anak kapal malah juga beban kepada platform yang sedia usang yang dipaksa untuk float and move bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara.
Isu Keusangan Aset
Eksesais Kerismas 27/22 kembali menguji kesiagaan aset Armada Barat dan Armada Timur TLDM bersama aset-aset sokongan yang lain. Eksesais skala mega dalam konteks Armada TLDM ini telah melibatkan 23 buah kapal permukaan, sebuah kapal selam serta 2,073 personel warga Armada TLDM termasuk elemen Pasukan Khas Laut (PASKAL) telah bermula pada 3 Oktober lalu dengan fasa pelabuhan.
Suasana kekurangan aset berbisa dalam inventori armada TLDM sedikit pun tidak melemahkan semangat Navy People yang sentiasa berusaha memberikan komitmen yang tinggi dalam menjaga kedaulatan dan kepentingan maritim negara melalui show of force dengan memperagakan aset-aset sedia ada di Zon Maritim Malaysia.
Turut mengambil bahagian di dalam eksesais ini adalah Fast Combat Boat, pesawat Super Lynx, Fennec dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) TLDM serta 6 pesawat dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai aset sokongan.
Memetik kenyataan dari sumber Armada Barat berkata, “Cabaran terbesar yang dijangka dihadapi oleh Armada Barat dalam Eksesais ini nanti tentunya kesukaran mengoperasikan aset-aset yang semakin berusia. Jika pada sekitar 3 dekad dahulu, Armada TLDM berbangga memiliki sebanyak 16 buah kapal kombatan berkeupayaan tempur (misil), tetapi jumlah ini telah berkurangan dengan drastik pada hari ini akibat faktor keusangan sistem persenjataan dan juga sistem sokongan yang lain”.
Katanya lagi, “Sementara perolehan terakhir kapal kombatan bagi Armada TLDM dibuat pada 25 tahun lepas (1997) iaitu Korvet Kelas Laksamana. Pengurusan kapal-kapal yang usang ini selain meningkatkan kos operasi dan selenggaraan yang tinggi, ia juga secara langsung menjejaskan keupayaan cegah rintang Armada Barat memantau secara efektif keselamatan serta kedaulatan perairan negara seluas 187,587 km persegi di Selat Melaka dan Perairan Timur Laut China Selatan”.
“Tidak dinafikan bahawa kami amat berbangga dengan keupayaan kapal-kapal kombatan Armada Barat mengekalkan keupayaan pengoperasian peralatan tempur setanding dengan tentera laut negara sahabat yang lebih maju, seperti kejayaan KD LEKIR yang berusia 38 tahun melancarkan misil Exocet MM40 tepat mengenai sasaran di perairan Hawaii sewaktu Eksesais RIMPAC 2022 baru-baru ini”.Tegas beliau.
Kata sumber itu lagi, ketandusan kapal kombatan di Armada TLDM, seperti LCS dan Littoral Mission Ship Batch 2 (LMS B2), mengakibatkan kapal kombatan sedia ada seperti KD LEKIR, KD LEKIU dan KD JEBAT terpaksa dioperasikan melebihi dari tempoh kitaran operasi mereka. Armada TLDM bukan sahaja menghadapi cabaran mengoperasikan aset yang usang tetapi juga kekurangan aset kombatan yang bersesuaian bagi mempertahankan kedaulatan negara. Pembangunan keupayaan pula tidak berlaku dalam sekelip mata sahaja.
“Justeru, TLDM umumnya dan Armada Barat khasnya amat memerlukan peningkatan keupayaan kombatan ketika ini. Perolehan aset-aset baharu seperti LMS B2 seperti yang diwar-warkan oleh KEMENTAH amatlah diperlukan segera bagi menampung peningkatan keperluan pengoperasian yang semakin mendesak serta mendepani lanskap keselamatan serantau yang telah jauh berubah. Cabaran dan tanggungjawab yang semakin besar dan mencabar ini tidak terdaya ditampung sekiranya jumlah aset yang ada masih kekal seperti 25 tahun lepas”. Sambungnya lagi.
Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany ketika ditanya dalam wawancara yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia, tentang apa perkara atau isu yang sentiasa menjadi kerisauan Tan Sri sewaktu menerajui TLDM?.
“Ada banyak perkara yang merisaukan saya sebagai PTL tetapi yang paling utama adalah tahap kesediaan untuk mempertahankan kedaulatan negara. Secara umumnya, keusangan aset ATM sentiasa mendahului pembangunan/ perolehan aset baharu. Di samping itu, bajet untuk selenggaraan aset sedia ada sentiasa terhad. Dengan keadaan sedemikian, amat sukar untuk ATM/TLDM mempertahankan kedaulatan negara”. Ujar PTL. Beliau amat berharap peningkatan bajet pertahanan daripada satu peratus ke 1.5 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sebagaimana dihasratkan oleh Panglima ATM akan menjadi kenyataan mulai tahun hadapan.
Teruskan Usaha Meminta
“Pelbagai usaha dalaman dilaksanakan bagi mencapai aspirasi pengurusan tertinggi TLDM, antaranya program repowering kapal-kapal pembinasa laju dan kapal ronda yang melibatkan hampir keseluruhan sistem kuasa gerak kapal ditukar baharu, melaksanakan proof of concept combat management system yang dibangunkan di dalam negara, perolehan aset-aset baharu seperti kapal misi pesisir (LMS), bot pemintas laju, helikopter operasi maritim AW139 dan sistem pemantauan tanpa pemandu Scaneagle”. Kata Laksma Dr. Najhan Md Said, Pengarah Eksesais Kerismas 27/2022 dalam rencana beliau yang diterbitkan dalam Utusan Malaysia 5 Oktober.
Katanya lagi, Jurang keupayaan peperangan TLDM yang kurang setaraf berbanding angkatan negara serantau pasti dapat diubah dengan jaminan kerajaan bahawa program kapal LCS akan diteruskan selain perolehan LMS edisi kedua dapat dinyatakan dalam masa terdekat. Dengan penambahbaikan ke atas sistem persenjataan dan penderia terbaharu, LMS edisi kedua ini dijangka lebih tangkas dan berkeupayaan berbanding LMS sedia ada.
“Justeru, Eks Kerismas 27/22 dan CINSPEC 2022 (Chief Of Navy Inspection) akan menjadi medan bagi pengurusan tertinggi melihat di tahap manakah armada TLDM berada sekarang”. Tambah beliau.
Seperti yang pernah digambarkan dalam perutusan PTL sebelum ini , selepas tahun 2025 TLDM dijangka akan menerima penambahan aset-aset strategik ke dalam inventori armada TLDM bila mana perancangan perolehan melalui peruntukan RMK-12 yang bermula 2021 hingga 2025 akan menjadi kenyataan. Di antara aset strategik yang termasuk dalam plan perolehan RMK-12 ialah Multi Roles Support Ship (MRSS), Special Force Boat (SFB), Anti-Submarine Warfare (ASW) Helicopter dan Littoral Combat Ship (LCS) yang sedang dalam pembinaan.
No comments:
Post a Comment