About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, October 29, 2022

BERITA BAIK UNTUK TLDM

Lumut, 26 Okt - Lawatan kerja YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kanan Pertahanan ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut hari ini membawa khabar gembira kepada warga The Navy People secara amnya dan kepada pemerhati-pemerhati pertahanan Malaysia umumnya.


Dalam lawatan tersebut, Hishamuddin turut meninjau tahap kesiapsiagaan TLDM khususnya Pasukan Khas Laut (PASKAL).  Menurut beliau, hasil perbincangan beliau dengan kepimpinan MINDEF serta TLDM telah bersetuju untuk melaksanakan perolehan aset baharu pelbagai jenis kepada unit PASKAL dalam masa terdekat.


Perolehan aset baharu ini dibuat dengan mengambil kira kehendak serta keperluan end user sendiri iaitu TLDM yang merangkumi aset-aset seperti  Close Circuit Breathing Apparatus, Submachine Gun, Static Parachute, Freefall Parachute, Thermal Binocular dan Pembinaan Sniper Shooting Tower di Lapang Sasar Sniper.


Menurutnya lagi, menerusi kerjasama pertahanan erat antara Malaysia-Amerika Syarikat (AS) khususnya melalui program Building Partnership Capacity serta hasil hubungan akrab beliau dengan Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd J. Austin III, PASKAL turut bakal menerima lebih 900 aset pelbagai jenis yang disumbangkan oleh AS. Ia merangkumi Glock 17 Gen 4; M4 Carbine; Bullet Proof Vest; Spotter Scope; dan Radio Hand Held Thales.


Perolehan LCS Dan LMS Batch 2


Selain kesiapsiagaan PASKAL, antara fokus utama Hishamuddin sejak kembali menerajui MINDEF ialah berusaha memenuhi permintaan Panglima Tentera Laut yang mahu beliau menerajui usaha memastikan projek Littoral Combat Ship (LCS) diteruskan serta memberi penekanan terhadap perolehan Littoral Mission Ship (LMS) batch kedua. 


Menurut beliau, fasa mobilisasi projek LCS selama enam (6) bulan yang akan berakhir hujung Disember ini menunjukkan perkembangan yang sangat positif. Rundingan dengan OEM dan vendor telah selesai; rundingan dengan pihak bank berjalan lancar serta Kerajaan Perancis juga telah menyerahkan komitmen bertulis kepada beliau sendiri menyatakan mereka menyokong penuh projek LCS diteruskan.


Hishamuddin juga telah mengarahkan supaya pasukan dari MINDEF, TLDM dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melakukan rundingan secara bersemuka dengan pihak berkepentingan di Eropah. 


Katanya lagi, lawatan kerja Ketua Setiausaha MINDEF, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman bin Haji Ayob; Ketua Eksekutif LTAT, Dato’ Nazim Rahman; serta beberapa lagi pegawai tertinggi MINDEF, TLDM dan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) ke Euronaval di Perancis berjalan lancar dan membawa hasil memberangsangkan. 


Pihak Naval Group telah menyatakan persetujuan dan menyokong penuh usaha Kerajaan  untuk meneruskan projek LCS serta berjanji memberikan komitmen dalam usaha memastikan LCS siap sepenuhnya dalam tempoh masa yang ditetapkan Kerajaan Malaysia. Lebih penting, Naval Group juga menyatakan persetujuan untuk meneruskan rundingan dengan pihak BNSSB berhubung harga. 


Berhubung LMS batch 2, bukan sahaja perbincangan serta kerja-kerja di peringkat groundwork telah dilaksanakan, malah lebih daripada itu, pihak Kementerian sudah pun membuat permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri untuk melaksanakan perolehan ini. 


Tegasnya lagi, Kepimpinan MINDEF akan terus berkomunikasi dan bekerjasama rapat dengan pihak EPU bagi memastikan permohonan ini diluluskan. Lebih bermakna, kapal-kapal LMS batch 2 akan dilengkapi persenjataan lebih menyeluruh selari dengan kehendak dan keperluan end user iaitu TLDM untuk meningkatkan keupayaan pasukan armada dalam usaha mempertahankan kedaulatan maritim tanah air. 


Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut Dinaiktaraf


Bertujuan meningkatkan tahap keselamatan warga kapal Pangkalan TLDM Lumut serta menyediakan tempat kerja yang lebih kondusif, Hishammuddin  memaklumkan bahawa kerja-kerja menaik taraf jeti operasi Lumut di pangkalan ini sedang giat dilaksanakan. 


Ia merangkumi pembinaan jeti sepanjang 200m x 20m termasuk kelengkapan seperti mooring dolphin, bollard, fender, pontoon dan jalan penghubung. Kerja-kerja mekanikal dan elektrikal, kerja pengerukan (dredging), pembinaan bangunan sampingan seperti subs station, rumah pam dan tandas, tempat letak kenderaan, serta pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung. Kerja naik taraf dengan kos kira-kira RM64 juta ini dijangka siap tahun 2024. 


Kebajikan


Dalam konteks kebajikan, bagi memelihara moral dan semangat lebih 20,000 warga pertahanan termasuk keluarga di pangkalan ini, Dato Seri Hishammuddin turut mengadakan tinjauan ke sekolah-sekolah dalam pangkalan ini untuk bertemu pelajar, guru dan kakitangan sekolah. 


Beliau juga mengambil peluang memantau sendiri pelaksanaan kerja-kerja senggaraan tiga buah sekolah dalam Pangkalan TLDM Lumut yang beliau telah arahkan sejak awal tahun ini dengan jumlah peruntukan RM1,362,736.30. Bagi kerja-kerja mengecat bangunan, menukar bumbung, memasang jubin, pembaikan tandas, penukaran pagar, menaiktaraf gelanggang sukan, menurap parkir kenderaan, penyelenggaraan bengkel kemahiran hidup, menurap padang kawad dan menaiktaraf kantin.

Diakhir lawatan Dato’ Seri Hishammuddin kemudiannya menemui warga TLDM Lumut dalam satu majlis ramah mesra. serta menyampaikan sumbangan kebajikan daripada Yayasan LTAT kepada beberapa anggota memerlukan.




Friday, October 28, 2022

BATTALION MALAYSIA TERUS DIIKTIRAF


Suatu detik yang sangat bermakna dan membanggakan negara ialah apabila  peranan dan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi Interim Force in Lebanon (UNIFIL) terus diiktiraf dan kini sudah menjangkau 16 tahun penglibatannya yang bermula pada tahun 2007 menerusi penghantaran Kontinjen Malaysia Pertama (MALCON I).


Pada 27 Oktober yang lalu, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kanan Pertahanan telah menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malaysian Battalion 850-10 (MALBATT 850-10) ke Lubnan di bawah misi UNIFIL di Pangkalan Udara TUDM Subang.


Dato’ Seri Hishammuddin dalam ucapannya berkata, penglibatan berterusan ini bukan sahaja membuktikan ATM sentiasa bersedia dan bersiap siaga untuk mengatur gerak pasukannya bagi memenuhi keperluan penugasan di luar tanah air, malah mencerminkan pengiktirafan dunia terhadap keupayaan serta kepakaran ATM dalam melaksanakan misi-misi pengaman.


Penglibatan Anggota Wanita Terbesar Dan Anggota ABDB


MALBATT 850-10 menampilkan kekuatan keseluruhan seramai 854 orang iaitu 84 pegawai dan 770 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) termasuk seorang pegawai awam Kementerian Pertahanan (MINDEF)yang diketuai oleh Kolonel Mohd Rizman bin Hj Ramli selaku Komander.


Daripada jumlah tersebut, 11 pegawai dan 74 LLP ialah anggota wanita yang mana buat kali kedua penglibatan mereka selepas MALBATT 850-9. Mereka akan melaksanakan misi secara berterusan selama setahun seperti anggota lelaki. Ia sekaligus memenuhi keperluan UNIFIL yang sememangnya memerlukan lebih ramai penglibatan anggota wanita bagi melaksanakan tugasan berkaitan kemasyarakatan melibatkan wanita-wanita tempatan.


“Bagi Menyerlahkan lagi semangat kebersamaan ASEAN dan hubungan erat Malaysia-Brunei Darussalam, MALBATT 850-10 turut disertai 30 pegawai dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang mana buat pertama kali ABDB menampilkan dua anggota wanita. Bagi pihak Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Brunei Darussalam khususnya KDYMM Sultan Brunei kerana sentiasa bersama Malaysia dalam menjayakan misi UNIFIL”.  Kata Hishammuddin.


Penempatan


MALBATT 850-10 diatur gerak secara berperingkat bermula 27 Okt 2022 bagi melaksanakan misi secara rasmi selama 12 bulan mulai 13 November 2022 hingga 13 November 2023. MALBATT 850-10 akan ditempatkan di dua penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin seterusnya akan melaksanakan tugas-tugas di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat UNIFIL. Manakala, perintah dan kawalan pentadbiran serta hal-hal disiplin pula diletakkan di bawah Markas Angkatan Bersama (MK AB).


Sebelum itu semua anggota MALBATT 850-10, telah menjalani Force Integration Training (FIT) di Perkampungan MALBATT, Port Dickson, Negeri Sembilan mulai 18 Julai 2022 hingga 9 September 2022  yang di kawal selia oleh MK AB bagi mempersiapkan mental dan fizikal mereka yang terlibat.


Turut hadir dalam majlis tersebut ialah ahli keluarga pasukan MALBATT 850-10 yang hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada suami, isteri dan anak masing-masing. Peluang  yang sangat bermakna kepada ahli keluarga selepas dua tahun majlis ini tidak boleh dihadiri ahli keluarga ekoran pandemik COVID-19.


Monday, October 10, 2022

MELAMUN DI AMBANG BAJET PERTAHANAN 2023


Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagaikan terkejut dari mimpi dalam lena yang panjang setelah ‘bertambat’ beberapa waktu bahana pandemik COVID-19 yang melanda dunia baru-baru ini. Tahun 2022 TLDM tidak banyak membuang masa lagi dengan ‘let go all lines’ sebaik negara memasuki fasa endemik COVID-19. 


Berbekalkan aset berbaki, kudrat dan semangat yang ada pada navy people menjadikan TLDM ‘move on’ pada tahun 2022 ini dengan menjadikan pelbagai eksesais sebagai pembakar ‘lemak’ yang terkumpul sepanjang pandemik yang lalu.  Selari dengan empat Teras Utama Hala Tuju Kepimpinan TLDM untuk Memperkasa Integrasi dan Sokongan kepada Aspek Kebersamaan dan  dipertingkatkan melalui pelbagai kaedah seperti mempertingkatkan pelaksanaan eksesais.


Ketika penulis diminta untuk menyebarkan berita acara terbaharu iaitu Eksesais Kerismas 27/22, sebenarnya armada TLDM sudah melaksanakan pelbagai eksesais sebelum ini di dalam dan luar negara samada secara bilateral dan multilateral. 


Rim of the Pacific (RIMPAC) edisi ke-28 di Hawaii USA, Eksesais Malaysia-Pakistan (MALPAK), Sea Exercise Thailand-Malaysia (SEAEX THAMAL), Eksesais South East Asia Cooperation and Training 2022 (SEACAT22), Eksesais MALINDO JAYA 26/22 bersama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL), Eksesais KAKADU 2022 di Darwin Australia, Eksesais MALAPURA 30/22 bersama Tentera Laut Singapura.


Tidak cukup dengan itu, eksesais rutin mingguan, bulanan dan tahunan oleh Armada Barat dan Armada Timur seperti Pangkor War, Thursday War, Borneo War, Operational,  Eksesais Samudera Perkasa Barat,Sea Training Exercise (OSTEX) East dan West silih berganti bagi menilai kompetensi warga armada dan keupayaan aset yang rata-rata telah usang mengikut pertimbangan umur. 


Jika dihitung kesemuanya, aset armada TLDM berada di lapangan untuk menjalani pelbagai latihan dengan kadar yang sangat kerap.  Ini tidak termasuk operasi-operasi dan rondaan rutin di laut yang menjadi penanda aras bahawa  kapal-kapal TLDM sentiasa berada di laut pada sebilang masa.


Namun harus diingat, kekerapan dalam keadaan kekurangan aset yang berstatus operasi pada satu-satu masa adalah merupakan ‘beban’ yang tertanggung ke atas bahu anak-anak kapal malah juga beban kepada platform yang sedia usang yang dipaksa untuk float and move bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara.


Isu Keusangan Aset


Eksesais Kerismas 27/22 kembali menguji kesiagaan aset Armada Barat dan Armada Timur TLDM bersama aset-aset sokongan yang lain. Eksesais skala mega dalam konteks Armada TLDM ini telah melibatkan 23 buah kapal permukaan, sebuah kapal selam serta 2,073 personel warga Armada TLDM termasuk elemen Pasukan Khas Laut (PASKAL) telah bermula pada 3 Oktober lalu dengan fasa pelabuhan.


Suasana kekurangan aset berbisa dalam inventori armada TLDM sedikit pun tidak melemahkan  semangat Navy People yang  sentiasa berusaha memberikan komitmen yang tinggi dalam menjaga kedaulatan dan kepentingan maritim negara melalui show of force dengan memperagakan aset-aset sedia ada di Zon Maritim Malaysia. 


Turut mengambil bahagian di dalam eksesais ini adalah Fast Combat Boat, pesawat Super Lynx, Fennec dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) TLDM serta 6 pesawat dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai aset sokongan. 


Memetik kenyataan dari sumber Armada Barat berkata, “Cabaran terbesar yang dijangka dihadapi oleh Armada Barat dalam Eksesais ini nanti tentunya kesukaran mengoperasikan aset-aset yang semakin berusia. Jika pada sekitar 3 dekad dahulu, Armada TLDM berbangga memiliki sebanyak 16 buah kapal kombatan berkeupayaan tempur (misil), tetapi jumlah ini telah berkurangan dengan drastik pada hari ini akibat faktor keusangan sistem persenjataan dan juga sistem sokongan yang lain”. 


Katanya lagi, “Sementara perolehan terakhir kapal kombatan bagi Armada TLDM dibuat pada 25 tahun lepas (1997) iaitu Korvet Kelas Laksamana. Pengurusan kapal-kapal yang usang ini selain meningkatkan kos operasi dan selenggaraan yang tinggi, ia juga secara langsung menjejaskan keupayaan cegah rintang Armada Barat memantau secara efektif keselamatan serta kedaulatan perairan negara seluas 187,587 km persegi di Selat Melaka dan Perairan Timur Laut China Selatan”. 


“Tidak dinafikan bahawa kami amat berbangga dengan keupayaan kapal-kapal kombatan Armada Barat mengekalkan keupayaan pengoperasian peralatan tempur setanding dengan tentera laut negara sahabat yang lebih maju, seperti kejayaan KD LEKIR yang berusia 38 tahun melancarkan misil Exocet MM40 tepat mengenai sasaran di perairan Hawaii sewaktu Eksesais RIMPAC 2022 baru-baru ini”.Tegas beliau. 


Kata sumber itu lagi, ketandusan kapal kombatan di Armada TLDM, seperti LCS dan Littoral Mission Ship Batch 2 (LMS B2), mengakibatkan kapal kombatan sedia ada seperti KD LEKIR, KD LEKIU dan KD JEBAT terpaksa dioperasikan melebihi dari tempoh kitaran operasi mereka. Armada TLDM bukan sahaja menghadapi cabaran mengoperasikan aset yang usang tetapi juga kekurangan aset kombatan yang bersesuaian bagi mempertahankan kedaulatan negara. Pembangunan keupayaan pula tidak berlaku dalam sekelip mata sahaja.


“Justeru, TLDM umumnya dan Armada Barat khasnya amat memerlukan peningkatan keupayaan kombatan ketika ini. Perolehan aset-aset baharu seperti LMS B2 seperti yang diwar-warkan oleh KEMENTAH amatlah diperlukan segera bagi menampung peningkatan keperluan pengoperasian yang semakin mendesak serta mendepani lanskap keselamatan serantau yang telah jauh berubah. Cabaran dan tanggungjawab yang semakin besar dan mencabar ini tidak terdaya ditampung sekiranya jumlah aset yang ada masih kekal seperti 25 tahun lepas”. Sambungnya lagi.


Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany ketika ditanya dalam wawancara yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia, tentang apa perkara atau isu yang sentiasa menjadi kerisauan Tan Sri sewaktu menerajui TLDM?.  


“Ada banyak perkara yang merisaukan saya sebagai PTL tetapi yang paling utama adalah tahap kesediaan untuk mempertahankan kedaulatan negara. Secara umumnya, keusangan aset ATM sentiasa mendahului pembangunan/ perolehan aset baharu. Di samping itu, bajet untuk selenggaraan aset sedia ada sentiasa terhad. Dengan keadaan sedemikian, amat sukar untuk ATM/TLDM mempertahankan kedaulatan negara”. Ujar PTL. Beliau  amat berharap peningkatan bajet pertahanan daripada satu peratus ke 1.5 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sebagaimana dihasratkan oleh Panglima ATM akan menjadi kenyataan mulai tahun hadapan.


Teruskan Usaha Meminta


“Pelbagai usaha dalaman dilaksanakan bagi mencapai aspirasi pengurusan tertinggi TLDM, antaranya program repowering kapal-kapal pembinasa laju dan kapal ronda yang melibatkan hampir keseluruhan sistem kuasa gerak kapal ditukar baharu, melaksanakan proof of concept combat management system yang dibangunkan di dalam negara, perolehan aset-aset baharu seperti kapal misi pesisir (LMS), bot pemintas laju, helikopter operasi maritim AW139 dan sistem pemantauan tanpa pemandu Scaneagle”. Kata Laksma Dr. Najhan Md Said, Pengarah Eksesais Kerismas 27/2022 dalam rencana beliau yang diterbitkan dalam Utusan Malaysia 5 Oktober.


Katanya lagi, Jurang keupayaan peperangan TLDM yang kurang setaraf berbanding angkatan negara serantau pasti dapat diubah dengan jaminan kerajaan bahawa program kapal LCS akan diteruskan selain perolehan LMS edisi kedua dapat dinyatakan dalam masa terdekat.  Dengan penambahbaikan ke atas sistem persenjataan dan penderia terbaharu, LMS edisi kedua ini dijangka lebih tangkas dan berkeupayaan berbanding LMS sedia ada.


“Justeru, Eks Kerismas 27/22 dan CINSPEC 2022 (Chief Of Navy Inspection) akan menjadi medan bagi pengurusan tertinggi melihat di tahap manakah armada TLDM berada sekarang”. Tambah beliau.


Seperti yang pernah digambarkan dalam perutusan PTL sebelum ini , selepas tahun 2025 TLDM dijangka akan menerima penambahan aset-aset strategik ke dalam inventori armada TLDM bila mana perancangan perolehan melalui peruntukan RMK-12 yang bermula 2021 hingga 2025 akan menjadi kenyataan.  Di antara aset strategik yang termasuk dalam plan perolehan RMK-12 ialah Multi Roles Support Ship (MRSS), Special Force Boat (SFB), Anti-Submarine Warfare (ASW) Helicopter dan Littoral  Combat Ship (LCS) yang sedang dalam pembinaan.


Bukan itu sahaja, pada hemat penulis, jika  6 buah Kapal Ronda Generasi Baharu (NGPV) jenis MEKO 100 dari Skuadron Kapal Ronda Ke-17 itu ‘dibebaskan’ dari konsep fitted for but not with (FFBNW) dengan memberi persalinan seperti seorang pendekar dan berdiri sebaris dalam kalangan anggota flotilla serang yang sedia ada tentunya sedikit sebanyak dapat mengubati gundah gulana dihati sementara menunggu kehadiran LCS dan lain-lain.  Sebaiknya Bajet Pertahanan 2023 menjadi ruang dan harapan kepada peningkatan skuadron ini.





Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini