Di antara empat Teras Utama Hala Tuju Kepimpinan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ialah Memperkasa Integrasi dan Sokongan kepada Aspek Kebersamaan. Dipertingkatkan melalui pelbagai kaedah seperti mempertingkatkan pelaksanaan eksesais.
Kelmarin, 23 Ogos 2022, di Tambatan Pangkalan Lumut (TPL), menyaksikan upacara pelepasan tali tambatan KD LEKIU bagi memulakan misi pelayaran selama 86 hari mulai 23 Ogos 2022 sehingga 17 November 2022 untuk menyertai empat eksesais secara berterusan iaitu Regional Partnership Exercise 2022 (RPEX/22).
KD LEKIU yang diketuai Pegawai Memerintah, Kepten Mohd Reduan bin Ayob TLDM diberi lambaian terakhir oleh Timbalan Panglima Armada Barat, YBhg Laksamana Pertama Farizal Myeor serta kaum keluarga anak-anak kapal yang turut hadir dalam majlis tersebut.
Eks MALINDO JAYA 26/22
Eksesais pertama yang akan disertai dalam pelayaran ini adalah Eks MALINDO JAYA 26/22 bersama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) di Surabaya, Indonesia yang merupakan eksesais bilateral bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama serantau Malaysia-Indonesia dalam melaksanakan operasi bersama. Sebanyak 2 buah aset utama TLDM yang akan terlibat iaitu KD LEKIU dan KD SRI INDERA SAKTI di samping aset sokongan yang lain. Kapal TLDM yang terlibat buat julung kalinya dijangka akan memasuki pelabuhan Dermada Madura, KOARMADA II, Pangkalan Tentera Laut TNI-AL di Surabaya, Indonesia.
Eks KAKADU 2022
RPEX/22 yang mengandungi satu eksesais multilateral iaitu Eks KAKADU 2022 di Darwin, Australia yang melibatkan angkatan laut dari pelbagai negara dengan pembabitan aset yang besar. Ianya merupakan latihan dwitahunan perdana antarabangsa serantau yang dianjurkan oleh Tentera Laut Diraja Australia. Eksesais ini menyediakan peluang penglibatan kepada semua negara sahabat untuk melaksanakan aktiviti maritim secara multinasional meliputi operasi dan peperangan tahap tinggi.
Buat pertama kali dalam eksesais yang berprestasi tinggi ini, kapal TLDM ditugaskan sebagai Commander Task Unit 628.2.2 (CTU 628.2.2) kepada kapal dari United State Navy (USN) dan Her Thai Majesty Ship (HTMS).
Latihan KAKADU tahun ini dijangka menjadi aktiviti maritim antarabangsa terbesar yang dianjurkan oleh Tentera Laut Diraja Australia (RAN) dalam sejarahnya.
Eks KAKADU telah dikonsepkan pada awal tahun 1993, apabila geopolitik dan bencana alam memberikan cabaran yang kompleks. Eks KAKADU dikonseptualisasikan dalam semangat diplomasi yang membina, dengan keperluan tulen untuk membangunkan pasukan tentera laut yang mampu bekerjasama dan bertindak balas terhadap keperluan negara masing-masing.
Eks KERISMAS 2022
Dari Darwin, seterusnya KD LEKIU akan meneruskan pelayaran ke perairan Laut China Selatan bagi menyertai Eks KERISMAS 2022 yang mana ianya merupakan eksesais berskala besar Intra-TLDM yang dianjurkan secara tahunan. Eksesais ini akan melibatkan sebanyak 27 buah aset TLDM. Dengan jumlah penglibatan aset armada yang besar dari Armada Barat dan Armada Timur ini telah membuktikan TLDM sentiasa konsisten dan berupaya menjaga dan memulihara aset dengan baik.
Suasana ‘kekurangan’ aset berbisa dalam inventori armada TLDM tidak melemahkan semangat Navy People dan sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam menjaga kedaulatan dan kepentingan maritim negara melalui show of force dengan memperagakan aset-aset sedia ada di Zon Maritim Malaysia. Turut terlibat semasa eksesais ini adalah Fast Combat Boat, pesawat Super Lynx, Fennec dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) TLDM serta 6 pesawat dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai aset sokongan.
Selepas tahun 2025 Eks KERISMAS dijangka akan lebih ‘meriah’ dengan penambahan aset-aset strategik ke dalam inventori armada TLDM bila mana perancangan perolehan melalui peruntukan RMK-12 yang bermula 2021 hingga 2025 akan menjadi kenyataan. Di antara aset strategik yang termasuk dalam plan perolehan RMK-12 ialah Multi Roles Support Ship (MRSS), Special Force Boat (SFB), Anti-Submarine Warfare (ASW) Helicopter dan Littoral Combat Ship (LCS) yang sedang dalam pembinaan.
Eks MALAPURA 30/22
Pada penghujung pelayaran, KD LEKIU akan menyertai satu lagi eksesais bilateral bersama Tentera Laut Republik Singapura (TLRS) iaitu Eks MALAPURA 30/22 di Changi Naval Base, Singapura. Eksesais ini bertujuan memperkukuhkan kesefahaman antara TLDM dan TLRS dalam meningkatkan kebolehoperasian bersama di samping memperkasakan kerjasama antara kedua-dua negara melalui interaksi bilateral.
Bon Voyage
Objektif penglibatan TLDM dalam pelbagai eksesais seperti ini adalah bagi membina persefahaman dan meningkatkan keupayaan kebolehoperasian bersama angkatan laut sahabat serta memperkuatkan keselamatan dan kapasiti pertahanan negara melalui perkongsian berwibawa dengan kerjasama bilateral dan multilateral bagi memupuk kestabilan serantau. Selain itu, penglibatan ini dapat mengekalkan imej dan penghormatan TLDM di pentas antarabangsa di samping meningkatkan keyakinan komuniti maritim terhadap kemampuan dan komitmen TLDM. KD LEKIU dijadualkan kembali ke TPL pada 17 November 2022.
No comments:
Post a Comment