About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, August 29, 2022

EX SEACAT- KOLABORASI TENTERA LAUT DAN AGENSI KESELAMATAN MARITIM


Pusat Operasi Armada Barat (POA Barat) melalui Sistem Sea Vision menerima maklumat berkaitan sebuah kapal yang berdaftar di luar negara iaitu MV SUNNY QUEEN sedang berada di dalam perairan Malaysia dan disyaki sedang melaksanakan aktiviti penyeludupan dadah dan kegiatan jenayah rentas sempadan. 


POA Barat seterusnya telah mengatur gerak KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL (LTAJ) yang sedang melakukan tugas rutin  di lapangan untuk memintas dan melaksanakan pemeriksaan ke atas kapal tersebut..


Bertindak atas penyaluran maklumat tersebut, LTAJ telah berjaya mengesan lokasi MV SUNNY QUEEN di posisi 12 Bn Tenggara Pulau Perak berpandukan kepada Sistem Sea Vision dan Automatic Identification System (AIS). 


LTAJ  seterusnya melancarkan bot dan mengatur gerak tim menggeledah untuk merapat ke kapal MV SUNNY QUEEN bagi melaksanakan Visit, Board, Search and Seizure (VBSS) yang dibantu oleh United States Coast Guard sebagai Sea Rider di atas MV SUNNY QUEEN. 


EX SEACAT 22


Kejayaan latihan VBSS oleh LTAJ membuktikan objektif pelaksanaan eksesais Eksesais South East Asia Cooperation and Training 2022 (SEACAT 22) iaitu bagi memperkasakan kerjasama serta latihan di antara Tentera Laut Amerika Syarikat (TLAS) dengan pasukan pertahanan dan agensi penguatkuasaan maritim negara serantau telah tercapai. Eksesais pada kali ini turut memfokuskan kepada penyaluran serta perkongsian maklumat bagi menangani aktiviti jenayah rentas sempadan.


 EX SEACAT 22 adalah kolaborasi multilateral yang diterajui oleh pihak TLAS bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Keselamatan Maritim dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Brunei dan Filipina di sekitar perairan Selat Melaka. 


Menurut sumber dari Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, Eksesais South East Asia Cooperation and Training 2022 (SEACAT 22) berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) telah dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pelabuhan dan fasa laut bermula pada 16  hingga 26 Ogos 2022 yang lalu. 


Fasa pelabuhan telah dilaksanakan mulai 16 Ogos hingga 21 Ogos 2022 melalui pelaksanaan seminar dan bengkel di Changi Naval Base, Singapura. Fasa ini berbentuk sesi persidangan di kalangan Subject Matter Expert (SME) bagi Maritime Domain Awareness Seminar, Bengkel Visit, Board, Search and Seizure (VBSS) dan Bengkel Unmanned Aircraft System (UAS) yang melibatkan Pasukan Menggeledah KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL, Pegawai Operasi Markas Pemerintahan Armada Barat dan pegawai Skuadron 601 dari TLDM.


Pelaksanaan fasa laut pula telah dilaksanakan pada 22 Ogos hingga 26 Ogos 2022 yang mana LTAJ telah mewakili TLDM bagi pelaksanaan VBSS ke atas Vessel of Interest (VOI) iaitu MV SUNNY QUEEN. 


Menurut sumber itu lagi, penglibatan aset TLDM dalam Eksesais SEACAT 22 ini amatlah penting berikutan peningkatan ancaman bukan tradisional dan jenayah rentas sempadan yang bersifat asimetrik di rantau ini. Ancaman-ancaman ini dapat dimitigasi kan melalui pengumpulan maklumat yang cekap dengan kerjasama bersepadu daripada pelbagai agensi dan angkatan laut negara sahabat. 


Selain itu, eksesais ini dapat meningkatkan tahap kebolehoperasian antara negara dan agensi keselamatan maritim yang terlibat di samping sebagai instrumen bagi menguji dan membuktikan kesiagaan dan ketersediaan aset maritim negara dalam menjaga keselamatan perairan Zon Maritim Malaysia


No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini