About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, July 2, 2022

SUKK DAN SKN 503 MEMPERKASA PENGAWASAN UDARA WILAYAH LAUT 2


Kota Kinabalu, 1 Jul  -  Perasmian Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) dan penubuhan Skuadron 503 (Skn 503) hari ini sekali lagi melakar sejarah baharu bagi Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu Sabah.  Penubuhan Stesen Udara dan Skuadron 503 Helikopter AW 139 telah mencipta sinergi mapan, pelengkap kepada pengoperasian pertahanan maritim di Wilayah Laut 2 selepas pelancaran Skuadron 601 iaitu Skuadron Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (Unmanned Aerial System) atau UAS di Stesen Udara TLDM Kota Kinabalu tahun lalu.


SUKK merupakan unit pentadbiran, pengurusan logistik dan penguasa operasi penerbangan di Armada Timur. Stesen ini menguruskan aerodrome di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan memainkan fungsi utama dalam pengoperasian pesawat helikopter TLDM serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini agar kekal efisien dan selamat. Dua  skuadron di bawah perintah operasinya ialah SKN 503 (HOM) dan SKN 601 (UAS). 


Skuadron Baharu Udara


SKN 503 pula berperanan sebagai unit barisan hadapan yang mengoperasikan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 buatan Leonardo, Itali. Dua helikopter pertama telah diterima sekitar April 2022 dan yang ketiga dijangka akan tiba menjelang September 2022. Helikopter ini dibekalkan oleh Galaxy Aerospace Malaysia (GAM Sdn Bhd) melalui kontrak yang telah ditandatangani pada 20 September 2020. HOM yang bernaung di bawah Markas Pemerintahan Armada Timur akan dilihat akan memperkukuhkan lagi kekuatan TLDM di Armada Timur serta bakal memperkasa pengawasan udara di perairan maritim Sabah dan Sarawak. 


Selain pengoperasian maritim, HOM mampu melaksanakan penguatkuasaan udara Zon Eksklusif Ekonomi Malaysia Timur selain menjalankan tugasan Maritime Domain Awareness, Pengesanan Sasaran, Operasi Pasukan Khas serta bantuan dalam operasi Mencari dan Menyelamat.


Perasmian


Perasmian SUKK dan SKN 503 telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan Yang Berhormat Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein serta menyaksikan pemakaian insignia Pegawai Memerintah kepada Kepten Mohamad Zamri bin Ismail TLDM dan Komander Hairul Afikin bin Tukimin TLDM selaku Komander Udara SUKK serta Pegawai Memerintah SKN 503 pertama, yang telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany. 


No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini