About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, May 30, 2022

EX RIMPAC HAWAII MENGUJI KEMAMPUAN KD LEKIR



LUMUT 30 Mei - Eksesais Rim of The Pacific (RIMPAC) 2022 yang akan dilaksanakan di Kepulauan Hawaii, Amerika Syarikat  mulai 29 Jun hingga 4 Ogos 2022 ini adalah Eksesais multilateral maritim terbesar dunia yang dianjurkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat (TLAS).

KD LEKIR dari Skuadron Corvette Ke-22 Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah diberi penghargaan menyertai eksesais yang berprestij ini telah memulakan pelayaran dari Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) pada 30 Mei 2022. Tempoh keseluruhan pelayaran sepanjang penyertaan eksesais ini akan mengambil masa selama 99 hari di laut dan dijadualkan tiba semula ke TPL pada 6 Sep 2022 setelah selesai menjalani eksesais.

KD LEKIR yang diketuai Pegawai Memerintah, Kdr Mohd Asri bin Dasman TLDM bersama 140 orang pegawai dan anggota yang terlibat telah diberi lambaian terakhir dalam satu majlis pelepasan tali yang diadakan di TPL pagi tadi yang turut dihadiri oleh keluarga krew yang terlibat.

Eksesais kali ini adalah merupakan penglibatan kali kedua buat kapal TLDM setelah kejayaan penyertaan kali pertama pada tahun 2018 menerusi KD LEKIU dari Skuadron Frigat Ke-23.

Penyertaan

RIMPAC 2022 akan memperlihatkan penyertaan angkatan tentera laut dari 28 buah negara dari seluruh dunia dengan penglibatan aset sebanyak 41 buah kapal permukaan, 5 buah kapal selam, 150 buah pesawat udara dan hampir 25,000 peserta eksesais. Objektif eksesais pada kali ini menggariskan tumpuan kepada kepentingan meningkatkan kebolehoperasian gabungan pasukan RIMPAC merentasi spektrum penuh operasi ketenteraan bertemakan ‘Capable, Adaptives, Partners’.

Penganjuran eksesais yang dianjurkan secara dwi tahunan bermula sejak tahun 1971 oleh Commander 3rd Fleet yang berpangkalan di Honolulu, Hawaii ini terus mendapat sokongan baik dalam kalangan angkatan tentera laut dari negara seluruh dunia yang mengambil bahagian, bagi menyatakan pandangan masing-masing dalam konteks keselamatan maritim.

KD LEKIR turut diberi penghormatan untuk melaksanakan penembakan misil EXOCET MM40 semasa berlangsungnya eksesais itu nanti. Penghormatan ini adalah merupakan detik bersejarah buat TLDM yang mana buat pertama kalinya kapal TLDM akan melaksanakan penembakan misil di luar perairan Malaysia. Selain itu juga, KD LEKIR dipilih untuk menyertai Carrier Strike Group bersama-sama kapal pembinasa dari negara Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan di samping beberapa siri latihan peperangan maritim yang telah direncana akan turut dilaksanakan bersama angkatan tentera laut yang terlibat.

Penyertaan TLDM bagi siri eksesais pada kali ini membuktikan ketersediaan dan komitmen TLDM ke arah memperkasakan diplomasi pertahanan di peringkat antarabangsa selain meningkatkan kebolehoperasian aset pertahanan maritim negara serta profesionalisme warga ke tahap yang tertinggi seiring angkatan tentera laut di peringkat antarabangsa.

Pelepasan

Majlis Pelepasan Tali KD LEKIR telah disempurnakan oleh Panglima Armada (MPA) Barat, YBhg Laksamana Madya Datuk Abu Bakar bin Md Ajis. Dalam ucapannya beliau telah merumuskan terdapat beberapa fakta menarik mengenai eksesais RIMPAC 2022 iaitu ianya dilaksanakan di Lautan Pasifik iaitu kira-kira 6,628 batu nautika atau pun lebih kurang 12,275 kilometer dari Pangkalan TLDM Lumut.

Eksesais RIMPAC 2022 ini merupakan eksesais maritim terbesar yang mempunyai durasi paling lama, iaitu bagi fasa pelabuhan di Pearl Harbour mengambil masa selama 15 hari dan fasa laut di Lautan Pasifik selama 23 hari dan fasa penutup di Pearl Harbour selama 3 hari. Keseluruhan fasa eksesais ini adalah selama 14 hari.

Merupakan pelayaran paling lama bagi sebuah kapal dari armada TLDM untuk menyertai eksesais iaitu selama 29 hari bagi pelayaran pergi dan 30 hari bagi pelayaran pulang. Secara keseluruhan mulai hari ini, KD LEKIR akan mengambil masa selama 100 hari untuk pelayaran terulung ini yang akan menguji kesiagaan, ketahanan, profesionalisme krew KD LEKIR sekali gus menguji kecekapan TLDM beroperasi di dalam ketumbukan pelbagai negara.

Persiapan

Sebelum itu, bagi memastikan perancangan eksesais ini dilaksanakan dengan teliti, MPA Barat telah menyertai 4 Exercise Planning Conference yang dianjurkan oleh TLAS secara virtual mahupun bersemuka selain daripada 8 siri Mesyuarat Koordinasi di peringkat MPA Barat dan Mk-TL. Pada sudut predeployment preparation dalam memastikan kejayaan penugasan KD LEKIR, pelbagai pihak telah terlibat di antaranya Markas Logistik Barat yang sentiasa menghulurkan sokongan dalam aspek bantuan kepakaran, staf dan teknikal bagi memastikan kesiagaan KD LEKIR sentiasa berada di tahap yang tertinggi.

Malah, KD LEKIR juga telah terlibat dengan beberapa siri latihan Perang Pangkor, OSTEX WEST 1/22 dan Eksesais TAMING SARI 21/22 dalam memastikan tahap kompetensi warga dan kesiagaan peralatan sentiasa berada ditahap yang terbaik sebelum menyertai eksesais yang berprestij ini.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini