About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, May 30, 2022

EX RIMPAC HAWAII MENGUJI KEMAMPUAN KD LEKIR



LUMUT 30 Mei - Eksesais Rim of The Pacific (RIMPAC) 2022 yang akan dilaksanakan di Kepulauan Hawaii, Amerika Syarikat  mulai 29 Jun hingga 4 Ogos 2022 ini adalah Eksesais multilateral maritim terbesar dunia yang dianjurkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat (TLAS).

KD LEKIR dari Skuadron Corvette Ke-22 Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah diberi penghargaan menyertai eksesais yang berprestij ini telah memulakan pelayaran dari Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) pada 30 Mei 2022. Tempoh keseluruhan pelayaran sepanjang penyertaan eksesais ini akan mengambil masa selama 99 hari di laut dan dijadualkan tiba semula ke TPL pada 6 Sep 2022 setelah selesai menjalani eksesais.

KD LEKIR yang diketuai Pegawai Memerintah, Kdr Mohd Asri bin Dasman TLDM bersama 140 orang pegawai dan anggota yang terlibat telah diberi lambaian terakhir dalam satu majlis pelepasan tali yang diadakan di TPL pagi tadi yang turut dihadiri oleh keluarga krew yang terlibat.

Eksesais kali ini adalah merupakan penglibatan kali kedua buat kapal TLDM setelah kejayaan penyertaan kali pertama pada tahun 2018 menerusi KD LEKIU dari Skuadron Frigat Ke-23.

Penyertaan

RIMPAC 2022 akan memperlihatkan penyertaan angkatan tentera laut dari 28 buah negara dari seluruh dunia dengan penglibatan aset sebanyak 41 buah kapal permukaan, 5 buah kapal selam, 150 buah pesawat udara dan hampir 25,000 peserta eksesais. Objektif eksesais pada kali ini menggariskan tumpuan kepada kepentingan meningkatkan kebolehoperasian gabungan pasukan RIMPAC merentasi spektrum penuh operasi ketenteraan bertemakan ‘Capable, Adaptives, Partners’.

Penganjuran eksesais yang dianjurkan secara dwi tahunan bermula sejak tahun 1971 oleh Commander 3rd Fleet yang berpangkalan di Honolulu, Hawaii ini terus mendapat sokongan baik dalam kalangan angkatan tentera laut dari negara seluruh dunia yang mengambil bahagian, bagi menyatakan pandangan masing-masing dalam konteks keselamatan maritim.

KD LEKIR turut diberi penghormatan untuk melaksanakan penembakan misil EXOCET MM40 semasa berlangsungnya eksesais itu nanti. Penghormatan ini adalah merupakan detik bersejarah buat TLDM yang mana buat pertama kalinya kapal TLDM akan melaksanakan penembakan misil di luar perairan Malaysia. Selain itu juga, KD LEKIR dipilih untuk menyertai Carrier Strike Group bersama-sama kapal pembinasa dari negara Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan di samping beberapa siri latihan peperangan maritim yang telah direncana akan turut dilaksanakan bersama angkatan tentera laut yang terlibat.

Penyertaan TLDM bagi siri eksesais pada kali ini membuktikan ketersediaan dan komitmen TLDM ke arah memperkasakan diplomasi pertahanan di peringkat antarabangsa selain meningkatkan kebolehoperasian aset pertahanan maritim negara serta profesionalisme warga ke tahap yang tertinggi seiring angkatan tentera laut di peringkat antarabangsa.

Pelepasan

Majlis Pelepasan Tali KD LEKIR telah disempurnakan oleh Panglima Armada (MPA) Barat, YBhg Laksamana Madya Datuk Abu Bakar bin Md Ajis. Dalam ucapannya beliau telah merumuskan terdapat beberapa fakta menarik mengenai eksesais RIMPAC 2022 iaitu ianya dilaksanakan di Lautan Pasifik iaitu kira-kira 6,628 batu nautika atau pun lebih kurang 12,275 kilometer dari Pangkalan TLDM Lumut.

Eksesais RIMPAC 2022 ini merupakan eksesais maritim terbesar yang mempunyai durasi paling lama, iaitu bagi fasa pelabuhan di Pearl Harbour mengambil masa selama 15 hari dan fasa laut di Lautan Pasifik selama 23 hari dan fasa penutup di Pearl Harbour selama 3 hari. Keseluruhan fasa eksesais ini adalah selama 14 hari.

Merupakan pelayaran paling lama bagi sebuah kapal dari armada TLDM untuk menyertai eksesais iaitu selama 29 hari bagi pelayaran pergi dan 30 hari bagi pelayaran pulang. Secara keseluruhan mulai hari ini, KD LEKIR akan mengambil masa selama 100 hari untuk pelayaran terulung ini yang akan menguji kesiagaan, ketahanan, profesionalisme krew KD LEKIR sekali gus menguji kecekapan TLDM beroperasi di dalam ketumbukan pelbagai negara.

Persiapan

Sebelum itu, bagi memastikan perancangan eksesais ini dilaksanakan dengan teliti, MPA Barat telah menyertai 4 Exercise Planning Conference yang dianjurkan oleh TLAS secara virtual mahupun bersemuka selain daripada 8 siri Mesyuarat Koordinasi di peringkat MPA Barat dan Mk-TL. Pada sudut predeployment preparation dalam memastikan kejayaan penugasan KD LEKIR, pelbagai pihak telah terlibat di antaranya Markas Logistik Barat yang sentiasa menghulurkan sokongan dalam aspek bantuan kepakaran, staf dan teknikal bagi memastikan kesiagaan KD LEKIR sentiasa berada di tahap yang tertinggi.

Malah, KD LEKIR juga telah terlibat dengan beberapa siri latihan Perang Pangkor, OSTEX WEST 1/22 dan Eksesais TAMING SARI 21/22 dalam memastikan tahap kompetensi warga dan kesiagaan peralatan sentiasa berada ditahap yang terbaik sebelum menyertai eksesais yang berprestij ini.

Wednesday, May 18, 2022

TUDM TUNAIKAN IMPIAN SEORANG 'PEJUANG MUDA'

BUTTERWORTH, 18 Mei 2022 - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menunaikan impian adik Muhammad Irfan Mikail bin Mohd Shukri, berusia 15 tahun yang menanam cita-cita untuk menjadi seorang juruterbang pesawat pejuang TUDM. 

Impiannya itu telah dizahirkan oleh pihak Friend of Childhood-Cancer Northern (FOCCAN) yang menyampaikan hasrat ibu bapanya untuk memenuhi impian anak keempat mereka yang disahkan oleh pegawai perubatan mengidap kanser leukemia ALL (Acute Lymphoblastic Leukemia). 

Atas dasar keprihatinan dan empati, TUDM melalui No 15 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth dan bantuan Kolej Tentera Udara telah mengkoordinasi bersama pihak FOCCAN melaksanakan tanggungjawab sosialnya bagi membantu menyampaikan hasrat dan impian seorang ‘pejuang muda’ yang berjuang melawan sakit kanser. Adik Irfan yang diiringi ibu dan bapanya, Puan Mazatul Rohana binti Saleh dan Encik Mohd Shukri bin Talib didatangkan dari kediaman mereka yang tinggal di Lorong Haji Talib, Kampung Guar Syed Alwi, Kangar Perlis ke Pangkalan Udara Butterworth. 

Ketibaan adik Irfan dan keluarga disambut oleh Pegawai Laksana Pangkalan, Kolonel Engku Faizal bin Engku Mustafa TUDM; Pegawai Memerintah No 15 Skuadron, Leftenan Kolonel Mohd Hafiz bin Hj Abu Bakar TUDM; Pegawai Perubatan Rumah Sakit Angkatan Tentera Pangkalan Udara Butterworth, Leftenan Kolonel Dr Zarina Zakiah binti Zainuddin; Pegawai Jiwa Murni Skuadron, Kapten Mohd Faiz bin Hazmi TUDM serta warga Skuadron. Turut serta hadir ialah empat (4) pegawai dari Badan Bukan Kerajaan, FOCCAN bersama seorang lagi 'pejuang kanser' yang diketuai oleh Puan Hajah Siti Salmah Salleh. 

Adik Irfan kemudiannya dibawa ke bilik persalinan dan disarungkan dengan “flying suit”. Setelah itu, taklimat lawatan dan pengenalan ringkas tentang skuadron yang mengoperasikan pesawat pejuang disampaikan oleh Pegawai Memerintah No 15 Skuadron, Leftenan Kolonel Hafiz TUDM yang mengiringi sepanjang lawatan. Sesi lawatan bermula dengan lawatan ke Hangar No 15 skuadron untuk melihat lebih dekat di samping bergambar bersama pesawat pejuang Hawk 108 dari No 15 Skuadron dan F/A18D dari No 18 Skuadron serta juruterbang dan kru pesawat. 

Sebagai meraikan tetamu istimewa TUDM ini, Adik Irfan dan keluarga turut dipersembahkan dengan pengoperasian pesawat pejuang Hawk bermula dari pemeriksaan awal pesawat sebelum terbang, melihat pesawat berlepas dan kembali mendarat. Adik Irfan kemudiannya dibawa melawat ke Pusat Simulator Pejuang dan merasai pengalaman mengendalikan simulator F/A-18D. Lawatan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kenangan serta sumbangan kepada adik Irfan dan keluarga. 

Melihat insan kerdil yang diuji dengan masalah kesihatan yang kronik, ternyata Adik Irfan adalah seorang 'pejuang muda' dengan semangat juangnya melawan sakit kanser. Semoga tangungjawab sosial TUDM menunaikan impian adik Irfan dapat menggembirakan hatinya serta kedua ibu bapanya. Seluruh warga TUDM mendoakan agar adik Muhammad Irfan Mikail bin Mohd Shukri beroleh kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan dan meminta agar semua turut mendoakannya. 


Saturday, May 14, 2022

49 ORANG LAGI PATI DISERKAP BRIGED KEENAM

 

Foto: 6 Bgd

Tim Serang dan Tangkap (SERKAP) 6 Bgd telah menahan 49 orang lagi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) setelah cubaan masuk ke Malaysia melalui sempadan negara Malaysia/Thailand dengan menggunakan laluan yang tidak sah di daerah Padang Terap Kedah .

Kejadian pada 14 Mei jam 0930 pagi itu  berlaku di kawasan Ladang Getah sektor OP BENTENG Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya adalah warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan berumur di antara 15 hingga 48 tahun terdiri daripada 37 lelaki dan 12 perempuan.

Turut dirampas adalah 37 buah telefon bimbit, wang tunai dalam matawang Malaysia, Thailand dan Myanmar dan 2 beg pakaian dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM 15,878.00. Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam.

PERAJURIT MUDA TUNJANG KEUPAYAAN TUDM HARI INI

 

PTU membalas Tabik Hormat PjM (U) semasa acara berjalan lalu

“Selama hampir 64 tahun latihan asas Perajurit Muda (PjM) telah dilaksanakan dan berjaya mewujudkan lapisan warga udara yang menjadi tunjang kepada keupayaan TUDM hingga ke hari ini” kata Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dalam ucapannya semasa Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Udara Siri 64/2021.

Mengimbau kembali sejarah latihan Asas PjM TUDM sejak tahun 1959 di Seletar Singapura dan seramai 12 anggota yang pertama telah berjaya menamatkan latihan.  Dari permulaan itulah TUDM terus mengorak langkah memperkasa Pusat Latihan PjM di Akademi TUDM Ipoh dengan sentuhan moden sesuai dengan perkembangan semasa.

Katanya lagi, dalam tempoh itu juga pihak pengurusan latihan banyak melakukan penambahbaikan untuk mempertingkatkan keupayaan institusi ini bagi melahirkan perajurit udara yang berkemahiran dan kompeten selari dengan teknologi dan keadaan semasa.  Evolusi pemerkasaan latihan perajurit muda adalah dirangka dan memfokuskan pembangunan kapasiti warga udara agar dapat memenuhi keperluan keupayaan TUDM masa kini dan yang akan datang.

Sebagai seorang warga TUDM yang baharu melangkah ke gerbang perkhidmatan, beliau mengingatkan yang perkhidmatan ini tidak menjanjikan perjalanan yang mudah yang mana setiap individu tidak akan terlepas dari mendepani pelbagai jenis cabaran.

“Always keep and open mind and see things positively” pesan PTU kepada 365 peserta PjM udara yang menjalani perbarisan tamat latihan di Padang Kawad, Akademi Tentera Udara (ATU) Ipoh, Perak pagi tadi.

Pesannya lagi, realiti alam pekerjaan sebenar adalah berbeza daripada apa yang dipelajari di Pusat Latihan.  Prinsip growth mindset iaitu sentiasa berusaha untuk menambah baik kemahiran sedia ada dengan mempelajari perkara baharu dan menyambut baik perubahan positif.

Beliau menyeru agar PjM Udara supaya sentiasa berusaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kepakaran agar TUDM terus disegani dan dihormati oleh negara-negara serantau dan antarabangsa.

Turut hadir dalam Istiadat Perbarisan Tamat Latihan ini ialah Panglima Pendidikan dan Latihan Udara YBhg Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Shahada  bin Ismail dan Komandan Akademi TUDM Kolonel Junairi bin Baharom

Istiadat Perbarisan kali ini juga turut dihadiri oleh ibu bapa serta keluarga PjM setelah negara beralih kepada fasa endemik Covid-19.

PjM U siri 64/2021


Friday, May 13, 2022

6 BRIGED SERKAP 10 PATI DI DURIAN BURUNG

 

Foto: 6 Bgd

Awal pagi 13 Mei 2022, 10 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Thailand dan Myanmar telah ditahan  di sektor OP BENTENG Durian Burung Daerah Padang Terap Kedah.

Berdasarkan maklumat perisikan terdapat pergerakan masuk PATI melalui laluan  yang tidak sah di sempadan.  Tim Serang dan Tangkap (SERKAP) Briged Ke-6 Infantri telah diatutgerak ke lokasi terbabit dan berjaya menahan 2 buah motosikal yang dinaiki oleh 4 orang lelaki disusuli 6 buah motosikal yang dinaiki oleh 6 orang lelaki, 10 minit kemudiannya.

Hasil pemeriksaan mendapati 8 orang lelaki adalah warganegara Thailand dan 2 orang adalah warganegara Myanmar. Kesemua yang ditangkap adalah berumur di antara 28 hingga 50 tahun dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Turut dirampas adalah 8 buah motosikal Honda Wave (no pendaftaran Thailand), 8 buah telefon bimbit dan 2 buah beg galas dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM 44,000.00. Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang.

Sunday, May 8, 2022

OP BENTENG LAUT: TLDM TAHAN 9 PATI DI PERAIRAN JOHOR SELATAN

 



Oleh: Paklang Hamzah

Foto: TLDM


8 Mei- Sembilan orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan di perairanTeluk Ramunia Johor Selatan 9.45 malam tadi.  Keberadaan sebuah bot curiga telah dikesan oleh Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) membawa kepada penahanan 8 lelaki dan seorang wanita yang dipercayai warganegara Indonesia lingkungan umur 20-an hingga 40-an atas kesalahan menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan. 


Johor. Area Control Centre (ACC) Johor telah menyalurkan maklumat pencerobohan kepada kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD GANYANG yang sedang berada di lapangan untuk tindakan lanjut. KD GANYANG seterusnya telah mengkoordinasikan aset TLDM FCB 1123 dan bot pemintas RHIB LEPAU bagi memintas bot tersebut. 


PATI yang diberkas telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan diserahkan kepada Tim Op MERPATI untuk soal siasat dan ujian saringan COVID-19. Kesemua PATI yang diberkas seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan siasatan lanjut.


PATI yang diberkas diserahkan kepada Tim OP MERPATI untuk siasatan lanjut



Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini