Telah diterbitkan dalam Majalah Perajurit edisi Jan/Feb 2022
Oleh: Paklang Hamzah
Foto: TLDM
Fast Interceptor Craft (FIC) mula memasuki inventori Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada bulan Mac 2021 dan diletakkan di bawah naungan skuadron Bot tempur Laju (FCB). Bot pemintas laju Kelas G2000 FIC yang saiznya 18 meter panjang dan 4.6 meter lebar dilengkapi persenjataan 1 x 12.7mm RCWS dan 2x 7,62mm machine gun serta didorong oleh 2 jentera utama dengan sistem dorongan Jet air (Water Jet) mampu mencapai kelajuan maksima 50 knots. Bot berkelajuan tinggi ini telah dibina sepenuhnya oleh Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd (GMI) di Limbungan GMI Lumut Perak.
Sebanyak 6 buah FCB pada perolehan pertama dengan setiap satunya dikendalikan oleh 5 orang kru dan mampu memuatkan sehingga 8 orang Quick Reaction Force pada satu-satu masa. Diberi pengenalan dengan nombor 1021, 1022,1123,1124,1325 dan 1326 dan ditempatkan di beberapa Pangkalan TLDM seluruh Malaysia untuk penugasan operasi bagi memperkukuhkan kawalan perairan negara. Pembelian FCB ini adalah sangat relevan bagi mempertingkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan di perairan cetek dan juga bersesuaian dengan geografi negara Malaysia yang berpulau.
Walau pun mula menyertai Ops Benteng pada 26 Apr 2021 yang lalu, Skuadron FCB telah menunjukkan keupayaan yang sangat memberangsangkan dan telah dizahirkan melalui beberapa kejayaan yang dicapai iaitu pada 29 Apr 2021 telah membuat tangkapan penyeludup di Telok Ramunia Johor, 1 Jun 2021 telah membuat tangkapan PATI di Johor dan tangkapan nelayan Vietnam di Pulau Tioman Pahang pada 4 dan 8 Jun 2021..
Kejayaan 2022
Kejayaan terkini ialah pada pada 20 Januari lalu, bot FCB TLDM sekali lagi membuktikan kemampuan mematahkan satu aktiviti rentas sempadan. Kali ini melibatkan cubaan menyeludup Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Tindakan pantas kru FCB 1123 telah berjaya menahan 21 orang PATI di perairan Johor Selatan.
Aktiviti rentas sempadan ini dikesan sekitar jam 2.51 pagi oleh Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) di mana satu kontak berkelajuan tinggi dikesan bergerak di Selatan perairan Tanjung Penyusop, Johor dalam keadaan mencurigakan.
Area Control Centre (ACC) Johor seterusnya memaklumkan kepada , KD SRI INDERA SAKTI (KDSIS) selaku Ketua Gugus Tugas dalam operasi ini dan seterusnya mengaturgerak task unitnya iaitu FCB 1123 untuk melaksanakan penjejakan dan pemintasan ke atas kontak tersebut.
Menyedari kehadiran bot FCB TLDM, bot curiga telah bertindak memecut laju dan berpatah balik untuk keluar dari perairan negara. Semasa bot tersebut berusaha untuk melarikan diri dan cuba mengelak dari ditahan untuk diperiksa, ia bertindak agresif dengan melanggar FCB 1123 yang mengakibatkan bot curiga terbalik di lokasi.
Hasil tindakan pantas kru FCB 1123 telah berjaya menyelamatkan sejumlah 21 mangsa dipercayai PATI terdiri dari 9 lelaki serta 12 wanita dan dua darinya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Kesemua 21 orang PATI yang diselamatkan telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan seterusnya diserahkan kepada Tim Op MERPATI 1 Tentera Darat Malaysia (TDM) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk ujian saringan COVID-19 dan juga siasatan lanjut. Siasatan lanjut yang dilaksanakan ke atas mangsa yang diselamatkan mengesahkan bot curiga telah membawa seramai 27 individu dipercayai PATI semasa kejadian.
Operasi Carilamat telah diaktifkan sejurus selepas kejadian bagi mengesan baki 6 orang PATI yang masih hilang. Usaha Carilamat telah dikoordinasikan oleh Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM) dengan penglibatan aset TLDM iaitu FCB 1124, RHIB SANTI dan RHIB CERDIK di lokasi. Hasil pencarian telah menemukan 3 orang mangsa wanita di lokasi berhampiran dan meneruskan pencarian 3 mangsa lagi.
Nota Kaki
Pembukaan sektor ekonomi dalam negara dalam fasa endemik COVID-19 telah menjadi pendorong kepada peningkatan aktiviti rentas sempadan samada melalui jalan laut mau pun melalui sempadan darat.
Operasi-operasi bersepadu dalam kalangan agensi-agensi penguatkuasa dilihat mampu menangani aktiviti- aktiviti seperti ini, namun begitu pihak kerajaan seharusnya menyediakan aset-aset serta alat bantu berprestasi tinggi kepada agensi-agensi penguatkuasa terlibat di samping membina makanisma penghadang seperti tembok di sepanjang sempadan negara.
Aset-aset udara dan FIC perlu kepada penambahan kerana aset udara mempunyai keupayaan yang tinggi bukan sahaja dari sudut jangkauan dan kepantasan malah identifikasi terhadap kontak mencurigakan yang dikesan melalui radar dapat dikenal pasti secara visual sebelum menghantar pasukan darat atau laut untuk membuat pemintasan dan penangkapan.
Dengan cara ini bukan sahaja aktiviti pencerobohan dapat dikekang semaksima mungkin malah negara akan kembali mendapat keuntungan dari kutipan percukaian serta penyeludupan keluar barang-barang terkawal yang sentiasa mempunyai permintaan tinggi negara-negara jiran dapat dikekang penularannya.
No comments:
Post a Comment