About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, October 21, 2020

COVID-19 EXTRACTION DIPERKENALKAN DALAM EKS PARADISE 7/20

Telah diterbitkan di dalam Majalah Perajurit isu Nov/Dis 2020

Oleh: Paklang Hamzah/ Foto: PRO TUDM

Kuala Lumpur, 21 Okt 20 – TUDM melaksanakan Eksesais PARADISE 7/20 bermula 12 Okt 20 dengan hanya melibatkan elemen TUDM (Single Service) tanpa sebarang penglibatan Elemen Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berikutan mengelakkan risiko penularan pandemik COVID-19. 

Eks PARADISE 7/20 yang berlangsung selama 12 hari menyaksikan penglibatan pegawai dan anggota lain-lain pangkat seramai 700 orang serta 20 buah aset dan elemen sokongan digerakkan untuk mencapai objektif eksesais ini.  

 Eks Paradise 7/20 dilaksanakan bagi menguji kesiagaan dan kompetensi TUDM ketika negara mendepani cabaran krisis kesihatan global.

Meski pun eksesais yang dilaksanakan di dalam skala yang kecil namun ianya menjadi  satu keperluan bagi memastikan pertahanan negara sentiasa bersiapsiaga walaupun ketika suasana krisis mahupun aman. 

Secara tidak langsung eksesais ini dapat meningkatkan kredibiliti dan keyakinan rakyat dan negara kepada TUDM di dalam mengendalikan isu-isu di sempadan maritim negara.

Membawakan tema Ready and Competent atau Bersiaga dan Kompetensi, Eks PARADISE menjadi antara platform yang bertujuan meningkatkan dan menilai tahap integrasi antara pelbagai elemen pesawat pejuang, pesawat pengangkut, helikopter dan elemen Pasukan Khas Udara (PASKAU).

Latihan-latihan yang dilaksanakan adalah merangkumi dan menjurus kepada peranan TUDM iaitu Air and Surface Control (ASC), Force Application (FA), Intelligence and Situational Awareness (ISA), Force Enhancement (FE), Force Sustainment (FS) dan termasuk Air to Air Refuelling (AAR), Force Down Procedure dan Container Delivery System (CDS), selaras dengan doktrin kontemporari yang digunapakai oleh TUDM. 

Malah eksesais kali ini mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila buat pertama kali bertepatan dengan cabaran mendepani Covid-19,TUDM melaksanakan latihan Covid-19 Extraction yang dilaksanakan dengan penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap serta mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan yang juga menjadi SOP norma baharu yang boleh diaplikasikan dan ditambah baik bagi kesiagaan dan kompetensi anggota bagi menangani kes-kes di luar jangka terutama melibatkan penularan penyakit berjangkit seperti Covid-19. 

Projek Jiwa Murni

Sempena eksesais ini juga, pihak penganjur turut melaksanakan program jiwa murni bersama komuniti setempat iaitu sumbangan wang tunai dan barang makanan keperluan asas hasil sumbangan warga TUDM kepada dua  komuniti yang dikenalpasti di Kuantan iaitu Permata Al-Insyirah Kampung Sungai Isap dan Rumah Orang Tua Kampung Pandan Permai. 

Program ini bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim di antara anggota pertahanan khususnya TUDM dengan orang awam selain membantu meringankan beban kewangan kepada golongan yang memerlukan. 

Majlis Penutupan

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal bin Haji Abdul Samad TUDM, hari ini menyempurnakan Majlis Penutup Eksesais PARADISE (Paradrop, Air Defence, Insertion, Strike, Search and Resque and Extraction) 7/20 secara persidangan video (Video Conferencing) dari Markas Tentera Udara ke markas-markas wilayah, pangkalan-pangkalan udara utama dan unit-unit Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)

PTU di dalam ucapan penutup mengucapkan syabas kepada semua peserta kerana eksesais ini berjaya dilaksanakan dengan baik dan sempurna tanpa sebarang insiden yang tidak diingini dan ketika negara di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). 

Menurutnya, tujuan utama Eks PARADISE ialah untuk memastikan keupayaan dan kesiapsiagaan TUDM sentiasa berada di tahap yang terbaik khususnya bagi melindungi kedaulatan ruang udara negara. 

Secara keseluruhan, beliau menjelaskan bahawa objektif eksesais iaitu meningkatkan tahap interoperability dalam menjalankan operasi berjaya dicapai iaitu menilai kesediaan pertempuran, meningkatkan tahap saling kendali di dalam menjalankan operasi, menilai kemahiran dan kecekapan pegawai dan anggota serta tahap keberkesanan peralatan, sistem dan persenjataan TUDM. 

Majlis penutup eksesais turut dihadiri oleh Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Haji Mohammad Salleh bin Haji Osman TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Roshaimi bin Zakaria TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Dato’ Muhamad Norazlan bin Aris TUDM serta pegawai kanan TUDM dan turut disaksikan bersama secara persidangan video di markas, pangkalan dan unit TUDM.





No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini